Monday, November 30, 2009

Sekadar Untuk Melepaskan Stress Dan Rindu

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Alhamdulillah, hari ini, 30 November, saya telah selamat tiba di kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai setelah bercuti selama hampir 5 hari di rumah bersempena dengan sambutan perayaan Hari Raya Aidiladha. Tepat jam 1 tengah hari tadi, saya sudahpun berada di bilik yang tercinta ini. Meskipun cuti semester masih lagi berbaki 2 minggu untuk dihabiskan, saya tidak mampu untuk berada agak lama di rumah kerana mempunyai misi yang harus saya teruskan. Tatkala mendengar seakan-akan rintihan daripada seorang ibu yang ternyata tidak puas dengan mata pertemuan bersama-sama anak yang disayanginya. Namun, itulah jalan yang terbaik buat diri anaknya dan juga buat dirinya. Perjalanan hidup mesti diteruskan jua.

Bagi saya, inilah satu-satunya cuti semester yang paling sedikit saya luangkan bersama-sama dengan keluarga tersayang. Berbanding dengan cuti semester sebelum ini, saya mempunyai sekurang-kurangnya 2 minggu untuk dihabiskan bermanja dengan mereka. Setahu saya, hanya cuti pertengahan bagi setiap semester saja saya tidak pulang ke rumah bermula semasa saya menginjak sebagai seorang mahasiswa Tahun 2. Jadi, kebanyakan masa cuti saya habiskan untuk berada di kampus. Walaupun hanya sekadar 5 hari saja saya diizinkan oleh-Nya berada dan bersama-sama dengan mereka, syukur, Alhamdulillah kerana masih lagi dapat menyambut hari kesyukuran umat Islam di samping mereka.

Kepulangan saya ke rumah selama 5 hari mampu untuk sedikit sebanyak mengubat rasa rindu dan mengurangkan stress yang dihadapi sepanjang semester ini. Terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan akademik, atau lebih tepat lagi mengenai Projek Sarjana Muda (PSM) yang masih lagi dalam proses pelaksanaannya. Insya Allah, jikalau tiada aral yang melintang, dijangka dalam bulan Disember ini akan selesai sudah PSM saya yang melibatkan kerja-kerja makmal dan eksperimen. Kemudian, PSM saya lebih terarah terhadap aspek penulisan thesis pula. Insya Allah.

Kelmarin, 29 November, saya berkesempatan melawat Kolej Matrikulasi Johor (KMJ). Atas urusan penghantaran pulang adik saya ke kolej tersebut bersama-sama mama dan abah, saya tidak melepaskan peluang untuk turut sama menyertai mereka. Tatkala tiba di sana, saya dapat melihat perubahan yang ketara dalam konteks luaran fizikal, di mana kolej ini semakin diperbaharui dan diperindahkan persekitarannya. Berikut adalah beberapa keping gambar yang sempat saya rakamkan ketika saya berada di sana.

Masjid An-Nur memberikan imej baru di mana pembinaan wakaf baru hampir siap dibina di sekitar perkarangan masjid. Begitu juga dengan bumbung hadapan masjid yang telah ditukar dengan bumbung berwarna biru. Sebelum ini, warna hijau telah digunakan dalam pembinaan bumbung berkenaan


Wakaf ini sudah berusia lebih dari setahun. Semasa saya mengambil gambar ini, saya dapat melihat beberapa wakaf baru yang hampir siap pembinaannya di sekitar kolej kediaman Az-Zahrawi dan Al-Kindi


Pemandangan dari hadapan kolej kediaman Az-Zahrawi. Sudah ada perubahan yang dilakuakn terhadap suasana sekitar blok kolej kediaman ini. Inilah blok asrama saya dahulu semasa melanjutkan pelajaran di peringkat matrikulasi


Dewan Sri Ledang (DSL) sudah berwajah baru, di mana ianya telah dicat dengan penggunaan warna-warna yang agak terang. Bangunan yang masih lagi mengekalkan imej warna asal bersebelahan dengan DSL adalah gelanggang squash. Bangunan ini hanya menunggu masa untuk dicat


Laluan koridor kompleks kuliah. Semasa saya berada di sini pada sesi pengajian 2006/2007, ianya kosong tanpa adanya perhiasan tumbuhan dan pokok yang mampu mencerna situasi di atas


Ini pula adalah bangunan yang menempatkan perpustakaan yang diberi nama Perpustakaan Zaaba

Kini, bangunan baru 4 tingkat yang dibina bersebelahan dengan kompleks tutoran sudah hampir siap untuk digunakan. Bangunan ini dibina sebagai asas penggunaan untuk menggantikan kompleks tutoran yang digunakan sebagai bilik peperiksaan sebelum ini. Dataran Temenggung juga kini sudah mempunyai astakanya sendiri.

Kenangan lama disingkap kembali tatkala melintasi kawasan yang seringkali saya berada di sini. Walaupun ianya pahit untuk ditelan, saya berharap agar kenangan tersebut memberikan sesuatu mutiara yang bermakna terhadap saya. Insya Allah.


Nota Kaki 1: Kenangan dan memori yang tercipta di sini banyak memberi pengajaran kepada saya. Meskipun tiada kenangan indah yang mampu untuk saya sisipkan dalam perjalanan hidup saya, iktibar yang diperoleh benar-benar memberi impak kepada diri saya.

Nota Kaki 2: En. Farid, ketua felo kolej kediaman Az-Zahrawi telah berpindah keluar dan kini mengajar di sekolah menengah. Beliau antara felo yang mesra pelajar dan menjadi salah seorang favourite icon bagi warga Az-Zahrawi.

Nota Kaki 3: Adik saya kini menetap di kolej kediaman Al-Jazari bagi pelajaran peringkat matrikulasinya.

Nota Kaki 4: Kini, menghitung hari untuk menyiapkan PSM secepat mungkin agar ianya tidak memberi tekanan dan bebanan tatkala semester baru bermula kelak.

2 comments:

Friday, November 27, 2009

Salam Aidiladha 1430 Hijriah

Salam Aidiladha kepada semua sahabat handai, teman-teman seperjuangan, kenalan yang mengenali diri dan pengunjung blog ini serta muslimin dan muslimat sekalian. Salam Kemaafan ikhlas daripada saya sekeluarga.

0 comments:

Thursday, November 26, 2009

Pengorbanan: Manisnya Hanyalah Tersirat

Ehsan dari iLuvislam.com
Kerana Manisnya Pengorbanan




*********************



***********************





***********************




*********************



*********************



Nota Kaki: Artikel ini diambil dari sini.

0 comments:

Kenyataan Realiti Terlalu Pahit Untuk Ditelan

Sekadar Perkongsian...

Ehsan dari iLuvislam.com
Bila Impian Tidak Menjadi Kenyataan

Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga,
Yang baik itu budi, yang indah itu bahasa.

Subhanallah, betapa pentingnya bahasa dalam kehidupan seharian kita. Selain daripada digunakan sebagai medium untuk menyampaikan mesej, bahasa juga boleh diolah, digubah, dikarang, sehingga mampu mengeksploitasi mood, minda, perasaan dan tindakan seseorang.

Bukan sedikit kuasa bahasa. Lihat sahaja karya Shakespear, atau Usman Awang, walaupun telah sekian lama mereka tidak lagi hidup di bumi yang indah ini, namun kuasa bahasa yang telah berjaya mereka cipta, sehingga kini masih terasa kehebatannya. Maha Suci ALLAH.

Dengan izin Allah, saya telah menghadiri kelas terjemahan bahasa lebih kurang 10 kelas. Alhamdulillah. Tenaga pengajar yang 'diimport' dari DBP, UKM, UiTM ternyata hebat-hebat belaka, banyak benda baru yang telah kami pelajari.

Bagi saya, seorang pelajar kejuruteraan yang tiada basis mengenai bahasa, ternyata, pengalaman baru ini benar-benar mengujakan. Saya menikmati kelas terjemahan ini sepenuh hati saya. Saya cintakan bahasa.

Dangkalnya pemikiran saya di zaman sekolah menengah rendah. Walaupun waktu itu, saya benar-benar meminati bidang sastera, saya telah menafikannya lalu memilih aliran sains tulen, kerana waktu itu saya berpendapat, bidang sastera tidak mampu pergi jauh, tidak menjamin masa depan yang cemerlang.

Natijahnya, saya telah menghabiskan masa remaja saya, belajar dalam bidang yang tidak saya minati. Dan kini, saya sudah bergelar seorang jurutera, namun jauh di sudut hati saya, masih tercari hala tuju yang sebenar.

Jiwa saya lebih menyintai bidang bahasa berbanding bidang kejuruteraan, namun saya sudah kehilangan rentak, tidak tahu mahu berhenti dan bermula di mana. Akhirnya, suka atau tidak, saya masih lagi di sini, di bidang ini, kejuruteraan.


Hidup ini mesti diteruskan, tidak semua yang kita inginkan pasti menjadi milik kita

Ada masanya kita harus belajar menerima kenyataan bahawa ada waktunya, sesuatu benda/perkara itu bukan tercipta untuk kita. Mungkin juga, sesuatu yang kita rasakan baik itu, sebenarnya buruk bagi kita dan sesungguhnya, hanya Allah jualah yang Maha Mengetahui.

Bersyukur dengan apa yang ada adalah penyelesaian yang terbaik agar jiwa ini menjadi lebih tenang. Tidak gelisah. Hidup ini adalah kembara. Ibarat kita memandu sebuah kereta. Sebelum memulakan perjalanan, kita harus merancang dengan baik, memastikan keadaan kereta kita dalam keadaan yang baik dan selamat.

Namun ada masanya, tidak semua yang kita rancang, akan menjadi kenyataan. Ada masanya, jalan yang kita lalui tidak disangka-sangka terjadi kemalangan lalu mengakibatkan lalulintas menjadi sesak. Kita tersepit ditengah-tengah jalan. Stuck.

Ada masanya kita terlepas susur keluar lalu sesat entah ke mana-mana. Yang dekat menjadi jauh. Duit minyak dan duit tol berlipat kali ganda perlu dibayar.

Ada masanya juga kita tiba di suatu persimpangan yang asing bagi kita dan kita terpaksa membuat pilihan dengan kadar yang segera samada untuk ke kanan atau ke kiri. Ada masanya juga kereta kita dilanggar oleh kereta lain yang tidak bertanggungjawab. Kita cuma mampu berputih mata tidak dapat berbuat apa-apa. Naauzubillah...

Hidup ini tidak pernah lepas dari cubaan dan ujian. Maka sebab itulah juga, rukun iman yang ke enam, mewajibkan kita sebagai umat Islam agar yakin dan percaya dengan sepenuh hati kita kepada qada' dan qadar Allah. Kita hanya merancang namun Allah jualah penentu segalanya. Bismillahitawakkaltualallah...

Harus diingatkan juga, fail to plan is plan to fail. Walaupun kita tahu setiap apa yang berlaku, hanya berlaku dengan izin Allah, itu tidak semestinya menjadi alasan kepada kita agar berhenti berusaha dan cukup sekadar memeluk tubuh.

Sesungguhnya, ini adalah konsep tawakal yang bercanggah dalam Islam. Islam menyuruh umatnya berusaha, kemudian barulah bertawakal kepada Allah, itu barulah masa yang tepat untuk kita serahkansegalanya kepada qada' dan qadar Allah.

Sebagai umat Islam juga, kita harus yakin dan percaya, doa adalah senjata utama kita. Berdoalah dan mohonlah kepada Allah dengan hati yang penuh yakin kepada kekuasaan dan keagungan Allah. Berdoalah agar segala usaha kita membuahkan hasil yang positif dan bertawakkallah.

Serahkan segalanya kepada Allah, tidak kira apa yang terjadi, pasrah dan redhalah dengan apa yang terjadi. Semoga kita menjadi hamba Allah yang tekun melaksanakan suruhan Allah, bersungguh-sungguh menjauhi larangan-Nya.

Semoga kita menjadi hamba Allah yang berusaha untuk mencapai redha Allah dan gigih mencapai impian, selari dengan saranan agama kita. Berdoalah dengan hati yang penuh yakin dan gantunglah harapan hanya kepada Allah. Tawakkallah.

Sabar dan redha bukan suatu yang mudah untuk dilakukan, namun hati-hati yang mengtauhidkan Allah dan berpegang teguh kepada rukun iman dan rukun Islam insyaAllah pasti mampu memilikinya. Insya Allah...



Nota Kaki: Artikel ini benar-benar memberi impak terhadap saya. Dengan berbekalkan keputusan senarai tampal yang dikeluarkan baru-baru ini, saya berada dalam dilema ketika itu. Alhamdulillah, terima kasih kepada penulis kerana membekalkan artikel ini bagi tatapan dan bacaan umum. Semoga kita mampu mengambil iktibar daripadanya.

Artikel asal diambil dari sini.

0 comments:

Tuesday, November 24, 2009

Selamat Hari Lahir...

Assalamualaikum dan Salam Perkhabaran kepada semua...

Alhamdulillah, di kala saya sedang mengemas kini blog ini, saya bakal meninggalkan kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai dalam jangka masa kurang dari 24 jam lagi. Hati saya melonjak-lonjak kegirangan menantikan detik tibanya waktu itu meskipun saya sedar bahawa waktu pertemuan dengan keluarga tersayang tidak mampu dirantai dalam tempoh waktu yang lama berbanding dengan mahasiswa-mahasiswa lain. Maklumlah, mahasiswa tahun akhirlah katakan. Jadi, setiap masa yang ada kelak, akan saya manfaatkan bersama-sama mereka. Insya Allah. Mungkin, selepas ini, jikalau ada kelapangan masa, akan saya pulang semula pada cuti pertengahan semester akan datang bagi mengubat rindu lagi.

Baiklah, berbalik terhadap warkah kali ini. Agak-agaknya, siapa yang anda semua fikir? Hmm, kali ini saya dan beberapa teman yang lain, terutamanya pelajar bagi Projek Sarjana Muda (PSM), meraikan ulang tahun kelahiran penyelia PSM kami, atau lebih tepat, dekan kesayangan kami, Prof. Dr. Noor Aini Abdul Rashid. Tarikh lahirnya adalah pada 23 November yang lalu. Semoga Prof. panjang umur, dimurahkan rezeki dan diberkati hidup oleh-Nya. Amin...

0 comments:

iLuvislam: Akhbar Mingguan Edisi Pengenalan

Sekadar makluman kepada semua....



Untuk maklumat lanjut, sila klik di sini.

0 comments:

Friday, November 20, 2009

Dalam Kesedihan Terselit Kegembiraan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Alhamdulillah, hari ini berlalu sudah penderitaan yang ditangguh. Bahagian pertama keputusan Projek Sarjana Muda (PSM) telah berjaya diperoleh. Setelah berjumpa dengan penyelia PSM pada pagi tadi, akhirnya beliau memberi kelulusan terhadap keputusan yang telah aku peroleh. Syukur kepada-Nya.

Hari ini, sedikit sebanyak aku dapat mengubati hati aku yang terguris. Terguris akibat keputusan senarai tampal peperiksaan yang disiarkan di laman Aims2000. Sungguh mengguris hati dan perasaan tatkala mata melihatnya. Begitu kecewa sekali aku sehingga aku dipujuk rayu oleh ayahanda dan bonda menerusi perbualan telefon. Inilah pertama kali aku menangis. Menangis akibat keputusan peperiksaan yang aku peroleh. Sebelum ini, aku belum pernah lagi bersikap seperti ini, waima peristiwa-peristiwa yang menyahat hati pernah berlaku dalam rona-rona hidupku.

Testi.Kuriee.Com
[Gambar penghargaan di sini]

Tersingkap kembali kenangan ketika mengambil keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah. Ketika itu, aku diberitahu oleh cikgu bahawa aku memperoleh keputusan yang baik namun tidak sebaik daripada rakan-rakanku yang lain. Tatkala aku mendengar perkhabaran itu, aku cuma terdiam. Menyepikan diri daripada kumpulan manusia yang mula membanjiri lokasi pengambilan keputusan peperiksaan. Hatiku kecewa ketika itu. Namun, aku mampu berdiri dan tersenyum kepada mereka yang berada di sekelilingku. Itulah aku. Seringkali menyembunyikan perasaan sendiri untuk tatapan diri sendiri. Tidak sanggup aku untuk menambahkan bebanan atau merosakkan sesuatu perkara terhadap pihak lain.

Namun, kali ini, aku tiba-tiba menjadi seorang yang rapuh. Rapuh emosinya. Rapuh kepercayaan. Rapuh pendirian. Malah, yang paling bahaya, rapuh qada' dan qadar-Nya. Alhamdulillah, dengan tutur kata nasihat yang dihulurkan kepada aku oleh ayahanda, aku kembali menjejakkan kaki di dunia realiti. Sedikit sebanyak, apa yang dibisikkan oleh ayahanda terus ke gegendang telingaku memberikan suatu suntikan rohani yang telah hilang selama ini. Aku merenung setiap apa yang diluahkan butir-butir patah kata ayahanda terhadap aku. Ya, benar. Memang benar apa yang diutarakan oleh ayahanda. Rezeki dan dugaan ada di mana-mana. Tidak semestinya rezeki datang dalam bentuk harta, pangkat dan materialistik semata-mata. Dugaan yang datang menjengah setiap insan mempunyai kadar hikmahnya. Bak kata pepatah, "tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu".

Photobucket
[Gambar penghargaan di sini]

Aku cuba untuk berdiri semula. Meskipun aku sudah berada di tahun akhir, aku masih lagi mempunyai satu lagi baki semester untuk diperjuangkan. Dan, apa yang aku lalui belum lagi sehebat mana dugaan yang diperoleh oleh teman sekursus aku yang lain. Ada di kalangan mereka yang gagal dalam gred PSM mereka. Kegagalan dalam PSM amatlah besar penangannya bagi kami yang sedah menongkah arus perjalanan hidup sebagai seorang mahasiswa tahun akhir pengajian. Petanda bahawa mereka bakal menambahkan lagi setahun pengajian mereka di sini serta berkemungkinan besar dipaksa untuk ditangguhkan pengambilan PSM mereka ke sesi tahun pengajian akan datang. Mengerikan tatkala aku mendengar kisah tersebut daripada mulut teman-temanku. Aku sepatutnya bersyukur kerana tidak diberi dugaan yang sebegitu rupa.


Nota Kaki 1: Semoga ada sinar daripada-Nya bagi kisah roda hidup kali ini. Amin...

Nota Kaki 2: Semoga kalian semua tabah menghadapi dugaan daripada-Nya.

Nota Kaki 3: Alhamdulillah, syukur kepada-Nya. Keputusan PSM bahagian pertama sudahpun selesai. Cuma, pencarian jurnal masih lagi diteruskan untuk kesinambungan dan sokongan thesis kelak.

0 comments:

Monday, November 16, 2009

Di Mana Silapnya?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Alhamdulillah, sudah agak lama saya menyepi di ruangan ini. Setelah berakhirnya jadual peperiksaan dan meneruskan sisa-sisa perjuangan dalam menyiapkan Projek Sarjana Muda (PSM) di kala waktu cuti semester yang masih lagi muda.

Namun, kini, hati saya terusik. Sejak dari tengah hari tadi sehinggalah kini, ketika saya menitipkan di warkah ini. Persoalan demi persoalan menerjah bertalu-talu di ruang jendela minda saya. Suatu persoalan yang sehingga kini sedang saya analisis dari pelbagai aspek. Namun, tiada ketemu bibit-bibit jawapan mahupun sekelumit jua.

Kenalan: Abang masih lagi terasa kecewa dengan jawapan si A terhadap abang. Abang tahu abang bukanlah seorang yang sempurna. Tapi, sekarang ini, abang dah ada kerjaya. Tapi, jawapan yang diberikan oleh si A benar-benar buat abang berfikir panjang.

Itulah antara bait-bait ayat yang seakan-akan maksud dan nadanya yang diutarakan kepada saya setelah saya usai menunaikan solat Zuhur di Masjid Sultan Ismail, tengah hari tadi. Usai saja saya membaca doa, saya terlihat suatu tubuh duduk bersandar di tiang masijd dengan wajah yang agak sugul. Seperti seseorang memendam sesuatu masalah. Lantas, saya pun menghampirinya dan terurailah persoalan demi persoalan yang ligat bermain di akal saya sebelum menemuinya.

[Gambar penghargaan di sini]

Apa yang boleh saya rumuskan di sini adalah beliau amat kecewa dengan jawapan yang diberikan oleh si A dan dalam masa yang sama, si A sudah mempunyai perasaan terhadap orang lain. Dengan erti kata lain, kenalan saya ini terlambat sedikit dalam menyuarakan isi hatinya terhadap si A, iaitu ingin menjadikan si A sebagai suri di hatinya. Beliau kini masih lagi dalam proses rehabilisasi - cuba menenangkan dirinya dengan meminta petunjuk daripada-Nya. Meminta kekuatan dan ketabahan hati serta jiwa agar kembali tenang dalam menjalani kehidupan seperti biasa.

Saya turut bersimpati terhadapnya kerana beliau merupakan seorang yang berdedikasi dan bertanggungjawab serta sering membantu kami, adik-adiknya tatkala dilanda kesusahan. Sebagai seorang adik dan sahabat kepadanya, saya cuba memberikan sedikit kata-kata perangsang dan nasihat serta pandangan saya mengenai situasi ini. Saya akui, beliau memang bukannya seorang yang mudah tunduk terhadap cabaran dan dugaan yang dialami olehnya, lebih-lebih lagi situasi yang sedemikian rupa.

Cuma, ada beberapa persoalan yang masih lagi bermain-main di minda saya sejak dari dulu lagi. Apakah kriteria bakal suami yang diingini oleh kaum Hawa? Adakah dengan beberapa garis panduan yang dilunaskan oleh tuan punya diri memaksa untuknya menolak calon suami yang baik, yang berada di hadapan matanya kerana ketidak sempurnaan yang tidak mencakupi keinginannya sebagai seorang manusia? Atau adakah faktor-faktor lain yang sebenarnya menghalang bagi dirinya untuk mendampingi bakal seorang suami yang sebegitu rupa? Masih lagi terngiang-ngiang luahan hati dan perasaannya terhadap saya.


Nota Kaki: Semoga abang tabah dalam mengharungi liku-liku hidup. Insya Allah, akan tiba masanya abang akan berjumpa dengan jodoh yang terbaik buat abang.

0 comments:

Tuesday, November 10, 2009

Projek Sarjana Muda: Realiti Semakin Menjadi Nyata

Assalamualaikum dan Salam Perkhabaran kepada semua...

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran, akhirnya, saya selamat menyempurnakan peperiksaan akhir semester saya bagi semester pengajian pada kali ini yang berakhir pada 6 November yang lalu. Meskipun, kebanyakan mahasiswa sudah mula meninggalkan perkarangan kampus Universiti Teknologi Malaysia, Skudai dengan lambaian sanak keluarga semakin kuat beralun di bayangan mata. Namun, saya masih lagi terpaku di sini. Menyiapkan segala hal yang masih lagi berbaki sebelum tibanya musim peperiksaan akhir. Terutamanya Projek Sarjana Muda (PSM). Jika tidak kerana keperluan untuk graduasi kelak, tidak sanggup meranakan diri ini di pangkuannya. Demi ilmu dan harapan keluarga tercinta, semua itu saya ketepikan semua itu. Pada saya, semua itu hanyalah salah satu ujian dan asam garam yang benar-benar diberikan oleh-Nya kepada saya agar saya mengerti, apakah makna di sebalik kehidupan tersebut.

Kini, saya perlu mengulang semula PSM saya buat kali yang ketiganya. Saya tabahkan diri untuk menghadapinya kerana saya tahu, setiap pengorbanan yang saya berikan dan curahkan, Insya Allah, akan mempunyai ganjaran yang setimpalnya. Disebabkan PSM inilah saya gadaikan masa minggu belajar saya demi PSM tercinta. Mengurangkan sedikit masa dalam bertemu janji dengan subjek-subjek lain yang perlu untuk diulangkaji. Cemburu saya melihat rakan-rakan lain yang khusyuk mentelaah pelajaran sedangkan saya berhempas pulas di makmal. Terdetik juga dalam hati akan nasib yang bakal saya hadapi kelak. Meskipun saya mempunyai kekangan dalam mengulangkaji pelajaran, namun, alhamdulillah, keputusan peperiksaan yang telah saya terima untuk beberapa subjek melalui laman Aimsweb amatlah memuaskan hati saya. Begitu juga ibu bapa saya yang tidak putus-putus menghantar mesej ke telefon bimbit saya menyatakan keputusan yang saya peroleh tatkala saya sedang bekerja di makmal sepanjang minggu ini. Terima kasih ya, abah, mama. Segala usaha abah dan mama dalam membesarkan anakanda ini akan anakanda balas meskipun tidak termampu untuk disandarkan pada intan permata.


Semoga perjalanan PSM ini akan kembali berlangsung mengikut teori eksperimen dan objektif projek kelak. Selamat berjuang saya ucapkan kepada seluruh keluarga yang menghadapi sesi pengajian tahun akhir, terutamanya 3SSB dan 3SSG sesi 2009/2010. Kepada mereka yang telah dan akan mula bercuti, selamat bercuti dan bagi mereka yang masih lagi berjuang untuk menghadapi baki-baki kertas peperiksaan, selamat maju jaya.


Nota Kaki 1: Semoga perjalanan PSM mengikut jadual yang dirancang.

Nota Kaki 2: Insya Allah, semoga keputusan peperiksaan pada kali ini lebih baik dari semester-semester sebelumnya.

2 comments:

Sunday, November 8, 2009

Kesan Paku Yang Berbekas di Hati

Ehsan dari iLuvislam.com



“Jangan suka menyakiti hati orang lain dengan kata-kata kita,” nasihat seorang ibu kepada anaknya.

“Saya tahu itu salah, ibu. Tapi, saya akan cepat minta maaf. Itu satu kelebihan juga, bu?” Kilas si anak.

“Tetapi perbuatan kamu itu menyakitkan hati orang, anakku,” kata ibu itu lagi.

“Saya rasa tidak, saya tidak kejam. Selepas minta maaf, segala-galanya langsai, bu.” Si ibu berfikir. Apakah cara untuk menyedarkan anaknya daripada sifat buruk ini?

“Kalau begitu, kamu ikut cadangan ibu ini. Moga kamu akan fahami maksud ibu nanti.” Tanpa membantah anak itu setuju.

“Begini, setiap kali kamu menyakiti hati seseorang, kamu ketuk sebilah paku ke dinding ini. Kemudian, setelah kamu meminta maaf, kamu cabut semula paku yang kamu ketuk itu!”

“Baik, ibu.” Beberapa bulan berlalu, mereka sama-sama menghadap dinding tersebut. “Lihat ibu, mana ada paku yang tinggal?” Ujar si anak dengan bangga.

“Semuanya telah dicabut. Memang ramai orang yang saya sakiti hati mereka, tetapi semuanya telah memaafkan saya setelah saya meminta maaf.”

“Betul kamu sudah minta maaf dan mereka telah memaafkan, tapi sedarkah kamu…?”

“Maksud ibu?”

“Cuba kamu tengok dinding ini. Semuanya sudah tebuk, calar dan ‘berkematu’. Itulah hati-hati yang telah kamu sakiti. Walaupun kamu sudah dimaafkan, tetapi kesan perbuatan buruk itu masih berbekas di hati mereka. Hati yang dilukai ada parutnya, anakku…”

Si anak merenung dinding yang tebuk-tebuk itu. Sudah tidak indah lagi seperti asalnya. Begitukah hati-hati orang yang telah aku sakiti?


Pengajaran: Meminta maaf adalah perbuatan terpuji. Tetapi, berusahalah agar kita tidak terpaksa meminta maaf (menghindarkan diri daripada menyakiti hati orang lain) jauh lebih terpuji. Luka di hati lebih sukar diubati dari luka di tangan.


Nota Kaki: Sekadar renungan dan perkongsian bersama-sama...

0 comments:

Rentetan Perkembangan Sejarah Haji di Malaysia

Ehsan dari Berita Harian Online...

Catatan awal menyatakan Sultan Mansur Shah berhasrat ke Tanah Suci tetapi mangkat sebelum dapat menunaikannya
IBADAT haji di negara ini dipercayai bermula sejak kedatangan Islam ke gugusan Kepulauan Melayu pada abad ke 13. Namun, catatan sejarah yang jelas mengenai perkembangan haji di negara ini sukar diperoleh secara terperinci kerana tidak banyak maklumat mengenainya.

http://ervakurniawan.files.wordpress.com/2009/02/masjidil-haram-1.jpg
Masjidil Haram, Mekah
[Gambar penghargaan di sini]

Dipercayai orang Melayu yang berkemampuan dan terbabit dalam aktiviti pelayaran ialah kelompok terawal menunaikan haji, namun tiada catatan atau apa-apa penunjuk aras mengenainya ditemui.

Pengamal perubatan Portugis, Tom Pires mencatatkan dua pemerintah Melaka ada menyatakan hasrat ke Makkah iaitu Sultan Mansur Shah yang memerintah dari 1456-1477 Masihi atau 860-881 Hijrah dan Sultan Alauddin Riayat Shah (1477-1488 Masihi/881-893 Hijrah). Namun, kedua-duanya tidak dapat meneruskan niat mereka kerana mangkat.

Dalam catatan itu, Tom Pires menjelaskan kedua-dua pemerintah sudah membuat persediaan, termasuk menyediakan emas yang berganda jumlahnya dan mempersiapkan kapal untuk pelayaran menunaikan haji.

Catatan Tom Pires bagaimanapun, tidak boleh dianggap sebagai rekod terawal berkaitan pelayaran masyarakat Melayu menunaikan haji ke Makkah kerana ibadah haji itu sendiri adalah satu kewajipan yang dilaksanakan umat Islam.

Catatan yang tidak kurang penting mengenai jemaah haji dari Kepulauan Melayu ialah perjalanan ilmuwan Muhammad Yusuf Ahmad atau lebih dikenali sebagai Tok Kenali pada 19 Masihi (13 Hijrah).

Tok Kenali berasal dari Kelantan melanjutkan pengajian agama beliau di Makkah ketika berusia 18 tahun. Dicatatkan beliau mengambil masa enam bulan untuk sampai ke Makkah. Tok Kenali kemudian mengambil keputusan menetap di Makkah bagi menuntut ilmu, di samping menunaikan umrah dan haji.

Beliau kemudian kembali ke Kelantan pada usia 40 tahun dan mengasaskan pusat pengajian Islam. Selain beliau, beberapa ilmuwan Islam di Kepulauan Melayu yang terkenal ialah Hamzah Fansuri yang belayar ke Makkah pada akhir abad ke 16 Masihi (10 Hijrah) dan Abdul Rauf Singkel menunaikan haji pada 1643 Masihi (1052 Hijrah).

Apabila tiba abad ke 19 dan 20 Masihi, muncul bukti yang lebih banyak berkaitan aktiviti mengerjakan haji masyarakat Melayu di Malaysia. Banyak artifak, manuskrip, bahan bercetak dan gambar direkodkan orang Melayu yang pergi ke Makkah menunaikan haji.

Antara catatan yang menarik dihasilkan Munsyi Abdullah seorang terpelajar berasal dari negara ini yang menceritakan dengan teliti pelayarannya ke Tanah Suci pada 1854 Masihi (1270 Hijrah) melalui Hikayat Pelayaran Abdullah.

Selepas itu ramai cendikiawan Melayu dan golongan terpelajar yang pernah ke Makkah menunaikan haji dan umrah mengabdikan pengalaman mereka dalam bentuk tulisan bagi berkongsi ilmu dengan orang lain.

Beberapa manuskrip bertulisan jawi ditemui di Kepulauan Melayu menyentuh pelbagai aspek berkaitan haji, termasuk catatan peribadi dan maklumat mengenai haji bersifat keagamaan.

Cendikiawan Melayu Harun Aminurashid menulis pengembaraannya ke Makkah dengan kapal laut pada 1960 Masihi (1379 Hijrah) dalam bukunya bertajuk Chatetan ka-Tanah Suchi.


Cendekiawan Malaya Harun Aminurashid bergambar di atas kapal ketika menunaikan haji pada 1960.


Harun menceritakan perit getirnya sepanjang perjalanan dengan kapal diberi nama Anshun. Antara petikan berkenaan ialah: “susah menjadi penumpang di dalam bahagian tengah kapal...orang yang ingin menunaikan haji mestilah sabar... di sini tiada keseronokan atau kebebasan seperti kebiasaannya ketika di darat...kamu terpaksa menanggung kesusahan ini di sepanjang pelayaran pergi dan balik daripada menunaikan haji, sabar ialah satu-satunya jalan penyelesaian terbaik.”

Selain Harun, ada beberapa tulisan lain yang menceritakan keterujaan mereka menunaikan haji serta gambaran perjalanan ke Tanah Suci seperti Jaafar Jusoh Al Haj (Perihal Pemergian ke Mekah dan Madinah yang diterbitkan pada 1937 Masihi (1355 Hijrah) dan Haji Ismail Haji Ishak dalam bukunya bertajuk, Ke Mekah Mengikut Jalan Darat (1975 Masihi/ 1394 Hijrah).

Selain catatan perjalanan, ada juga ditemui penulisan jemaah haji berkisar mengenai perasaan, pandangan dan pemikiran mereka terhadap apa yang berlaku sepanjang perjalanan yang dipersembahkan dengan gaya tersendiri, termasuk karya seni seperti puisi, lukisan dan poster.

Dicatatkan seorang jemaah haji yang tidak diketahui identitinya mengubah nazam menceritakan perjalanannya dari Kedah ke Makkah.

Dalam nazam tulisan jawi itu, penulis menyatakan tiga bulan dari Kedahlah dan kurang, Pelayaran kapal tatkala menyeberang, Jikalau angin dari belakang sampai ke Jeddah (laut) yang tenang...Dua malam tuan sudah di Jeddah hendak berjalan pula ke Makkah disewalah unta mana yang mudah kecil sedikit daripada gajah...”

Di akhir nazam dinyatakan 120 rahmat ke atas Kaabah iaitu 60 bagi mereka yang mengerjakan tawaf, 40 bagi mereka yang bersembahyang dan 20 bagi yang melihatnya.

Sejak 1900 hingga 1969, jemaah haji negara ini hanya menggunakan kapal laut untuk ke Makkah. Mulai 1970 hingga 1976, sebilangan kecil daripada mereka menaiki kapal terbang tetapi kapal laut masih terus digunakan.

Sejak 1977 kapal laut tidak lagi digunakan, sebaliknya semua jemaah haji Malaysia menaiki kapal terbang untuk ke Makkah. Pada zaman kapal laut, pelayaran dari negara ini ke Makkah mengambil masa di antara dua dan tiga bulan, selain dilihat berisiko lebih tinggi.

Kebanyakan jemaah yang menaiki kapal laut pernah mengalami pelbagai pengalaman pahit, termasuk dilanda ribut taufan. Malah, ada kapal laut yang terbakar ketika dalam pelayaran di tengah samudera. Namun, semua itu dianggap sebagai dugaan dan ujian Allah.

Dalam perjalanan selama berbulan-bulan ke Makkah, ada jemaah yang uzur atau meninggal dunia di atas kapal. Bagaimanapun, rekod sebenar mengenai kematian itu sukar diperoleh.


Nota Kaki 1: Sekadar perkongsian bersama-sama dengan para pembaca. Bagi saya, jemaah haji kini lebih beruntung berbanding para jemaah pada masa dahulu ketika hendak menunaikan fardhu haji. Jemaah pada masa itu benar-benar diuji dengan segala macam bentuk ujian dan dugaan dalam melaksanakan rukun kelima Rukun Islam. Selayaknya, jemaah haji kini bersyukur dengan segala apa yang telah disediakan demi kemaslahatan jemaah.

Nota Kaki 2: Semasa membaca artikel ini, saya teringat kembali sempena tahun 1426 Hijriah, di mana saya menemani abah dan mama menunaikan haji setelah selesainya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2005.

0 comments:

Saturday, November 7, 2009

Isu Bahasa Rojak: DBP Ambil Langkah

Ehsan dari Utusan Malaysia Online

Pindaan Akta Dewan Bahasa
KUALA LUMPUR 5 Nov. - Pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 diharap dapat memberi lebih kuasa kepada DBP untuk menangani penggunaan 'bahasa rojak' di kalangan masyarakat negara ini.

http://ibnuahmadalkurauwi.files.wordpress.com/2008/06/logo-dbp.jpg

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kuasa itu bukan untuk menghukum sebaliknya lebih kepada memberi pendidikan.

Justeru katanya, penerangan perlu dibuat kepada pihak-pihak yang sangsi terhadap usaha berkenaan agar ia dapat dilaksanakan dengan berkesan.

"Sebagai contoh, penggunaan 'bahasa rojak' kini semakin menggerunkan kita. Saya semakin risau dengan masalah ini terutama terhadap masalah penggunaan bahasa Melayu yang semakin parah di dalam masyarakat.

"Mungkin kerana perkembangan teknologi yang pesat, modenisasi, sikap dan faktor globalisasi, DBP dilihat sukar untuk menangani cabaran-cabaran bahasa Melayu kini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Kualiti DBP 2009 di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Johan Jaffar dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz.

Mohd. Puad memberitahu, beliau dimaklumkan bahawa draf pindaan Akta DBP 1959 sedang disemak oleh penasihat undang-undang kementerian itu dan dijangka akan dibawa ke Kabinet sebelum dibentang ke Parlimen pada tahun depan.

"Jika sebelum ini DBP tidak berpeluang untuk menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu dalam masyarakat, dengan pindaan ini diharapkan keadaan tersebut akan berubah,'' ujarnya.

Katanya, salah satu aspek berkenaan adalah dari segi penggunaan bahasa Melayu pada papan-papan tanda.

Beliau mencadangkan salah satu usaha ke arah memperkasakan bahasa Melayu adalah perbincangan secara berterusan antara DBP dengan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung hal itu.

"Bahasa Melayu amat penting dalam menjayakan gagasan 1Malaysia kerana melalui bahasa semua kaum di negara ini dapat disatukan," tambahnya.


Nota Kaki: Hmm... Bahasa rojak. Sudah lama isu ini diperdebatkan. Lebih-lebih lagi dengan isu PPSMI yang menjadi liputan hangat dalam memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

0 comments:

Friday, November 6, 2009

Berakhirnya Kemerdekaan Kelima...

Assalamualaikum dan Salam Bahagia...


Alhamdulillah, aku panjatkan kesyukuranku kepada-Nya kerana hari ini, Jumaat, 6 November 2009 merupakan tarikh peperiksaan terakhir aku bagi semester kali ini. Subjek yang kelima dan merupakan satu-satunya semester yang melibatkan keseluruhan subjek peperiksaan berasal dari teras kursus. Tiada lagi subjek-subjek yang berteraskan subjek universiti mahupun pengurusan. Kalau anda semua nak tahu, inilah subjek-subjeknya:
SSG 3152 Bioremediation & Biodegradation
SSG 3242 Tissue Culture Technology
SSG 3162 Techniques in Molecular Biology
SSG 3522 Bioprocess Engineering
SSG 3212 Molecular Biotechnology

Kesemuanya adalah subjek teras kursus yang diselitkan bersama-sama subjek-subjek elektif yang melengkapi kursus aku ini. Alhamdulillah, tepat jam 5.05 petang tadi, bertempat di C08 408/409, berakhirnya penantian semester ini. Segala ilmu yang dipelajari dan diterokai, akhirnya disimpulkan dalam satu kalimah yang menjadikan azimat peperangan seluruh mahasiswa; peperiksaan.

Namun, aku amat tertarik dengan tajuk warkah kali ini dinama ianya dinamakan 'Berakhirnya Kemerdekaan Kelima'. Ianya lahir daripada salah seorang mahasiswi jurusan Biologi Tulen yang mengucapkan ucap selamat terhadap sahabatnya di dalam laman sosial, Facebook.
Mahasiswi: Selamat Menyambut Kemerdekaan Kelima.

Begitulah baris-baris maksudnya yang membawa erti tersebut. Agak musykil aku pada mulanya apabila terlihat kenyataan tersebut. Namun, biasalah. Hati seringkali bergolak untuk ingin tahu segalanya. Maka, dengan sepantas neurotransmitter menghantar signal terus terhadap deria-deria yang ada, saya menaip menanyakan hal berkenaan. Jawapannya mudah saja.
Mahasiswi: Sekarang ini sudah masuk semester kelima. Hanya tinggal 1 semester saja lagi kita bakal habis belajar.

Begitulah seakan nadanya mengenai pertanyaan yang aku soalkan kepadanya. Aku benar-benar tidak mengambil berat mengenai bilangan semester yang sedang aku lalui. Aku benar-benar terkedu dengan kenyataan yang dilontarkan olehnya kepadaku. Aku hanya tinggal lagi 1 semester sebelum aku mengambil langkah haluanku sendiri. Aduhai, begitu cepat masa berlalu sejak pertengahan tahun 2007 aku mula menjejakkan kaki di sini. Destinasi yang membawa hala tuju diriku untuk menggenggam segulung ijazah dan berbakti kepada masyarakat dengan ilmu yang diteroka di dada.

Sungguh pantas masa meninggalkan aku dan kenangan serta memori yang bersimpul pelbagai onak ranjaunya. Ada masanya aku tersenyum, gembira, menangis dan juga marah. Semuanya disebatikan dalam putaran kehidupan yang begitu pantas berlalu cuma. Kini, kesemua yang berlaku terdahulu sudah selamat menjadi lipatan sejarah yang tertulis dalam diari diriku. Rindu rasanya untuk kembali semula ke alam tersebut. Melalui segala suka duka bersama dan memperbaiki dan memperbetulkan segala kekhilafan yang pernah terjadi. Namun, itu semua hanyalah mitos semata-mata yang hanya mampu dicipta oleh mimpi-mimpi manusia.

Bagaimana pula aku untuk hayat yang akan datang? Hmm...

0 comments:

Tuesday, November 3, 2009

FBB = FKBSK?

Assalamualaikum dan Salam Mesra...

Hmm...

Sebenarnya, saya kadang-kadang terkesima dengan beberapa orang rakan saya yang seringkali tersalah anggap mengenai fakulti saya dengan sebuah lagi fakulti yang juga baru ditubuhkan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini. FBB merujuk pada Fakulti Biosains & Biokejuruteraan, manakala FKBSK adalah singkatan nama dari Fakulti Kejuruteraan Bioperubatan & Sains Kesihatan. Kebanyakan rakan-rakan saya yang mengambil subjek berkaitan dengan FKBSK ini. Namun, acap kali, mereka mesti mengaitkan saya dengan fakulti ini, sedangkan saya dari FBB, bukannya FKBSK.

Mesti anda semua tertanya-tanya, apa perbezaan 2 buah fakulti ini sedangkan kedua-duanya masih lagi berhubung kait dengan subjek Biologi? Sebenarnya, sejarah penubuhan FBB adalah berasal dari Jabatan Biologi yang dulunya di bawah pentadbiran Fakulti Sains sebelum dinaik tarafkan sebagai sebuah fakulti pada tahun 2006. FBB ini lebih terarah terhadap aspek biologi dan sains hayat yang diimplimentasikan dengan kejuruteraan selaras dengan perkembangan era bioteknologi di Malaysia. Bagi FKBSK, ia berasal dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik, di mana jurusan Kejuruteraan Bioperubatan yang bernanung di bawah seliaan fakulti tersebut diangkat martabatnya menjadi sebuah fakulti baru. Fakulti ini lebih fokus terhadap instrumen yang berkait rapat dalam bidang perubatan, di mana merekalah antara pakar-pakar kejuruteraan yang mahir dalam mengendalikan serta menyelenggara segala instrumen tersebut. Jikalau tidak silap pada firasat saya mengenai perkara tersebut.

Itulah antara perbezaan yang dapat saya berikan mengenai kewujudan 2 buah fakulti yang baru bertapak di bumi UTM ini. Insya Allah, dalam tempoh masa lebih kurang 3 tahun dari sekarang, bangunan fakulti tersebut akan siap dibina.

Berikut adalah rupa bentuk bangunan FBB yang bakal siap kelak. Klik di sini untuk selanjutnya.


P/S: Tak sabar nak melihat wajah bangunan baru yang tersergam indah. Insya Allah, harapnya dapatlah nanti...

0 comments:

Sunday, November 1, 2009

2 Temu Janji dan 1 Mesyuarat Telah Selesai...

Assalamualaikum dan Salam Harmoni...

Alhamdulillah, rasanya, dah lama tidak mencoretkan sesuatu di sini tatkala diri ini diselubungi dengan suasana kesibukan mentelaah. Mana tidaknya, setakat ini, sudah 3 buah subjek dilalui sepanjang seminggu menghadapi peperiksaan akhir semester. Alhamdulillah, setakat ini, prestasi ulangkaji dan kualiti menjawab semasa peperiksaan berada dalam situasi baik meskipun ada salah satu subjek untuk peperiksaan ini agak hambar dan kelam-kabut persediaannya, terutamanya dari aspek pemahaman konsep dan aplikasi yang begitu menguji dasar norma seseorang manusia.

Sehingga blog ini dikemas kinikan, tinggal lagi 2 buah subjek yang bakal datang menjengah jendela dan diari. Insya Allah, yang paling hampir tarikhnya adalah pada 3 November ini, diikuti pula dengan 6 November kelak. Walaupun peperiksaan pada kali ini menutup tirainya agak awal bagi fakulti aku, namun, hampir keseluruhan mahasiswa Tahun 3, yakni tahun akhir bagi jurusan Bologi Industri dan Biologi Tulen akan lebih terarah dan fokus terhadap Projek Sarjana Muda (PSM) yang melihatkan penyelia PSM masing-masing inginkan keputusan dan perkembangan yang positif setelah ianya terhenti seketika di kala menjelangnya musim peperiksaan.

Bercerita mengenai subjek-subjek peperiksaan yang telah aku lalui ini, sebenarnya, sebuah sejarah baru telah dicipta dan tercipta olehku sepanjang hayatku sehingga kini. Seringkali kita mendengar bahawa tidur awal adalah salah satu aspek persediaan fizikal dan mental yang bakal memberikan impak positif ketika menghadapi peperiksaan pada hari esoknya. Tetapi, perkara berkenaan tidak berlaku terhadapku dan beberapa sahabat seperjuanganku yang lain. Kami hanya ke pembaringan setelah jam menunjukkan lebih dari pukul 3 pagi (waktu Malaysia) sedangkan peperiksaan akan bermula tepat jam 9 pagi (waktu Malaysia). Bayangkanlah, minda yang sedang sesak dengan pelbagai informasi yang perlu diisi sebelum bertempur dengan subjek SSG 3162 Techniques in Molecular Biology memerlukan ruang rehat yang ideal bagi minda sebelum ianya beroperasi dengan ligat mencatur strategi semasa waktu peperiksaan berlangsung. Dan, alhamdulillah, berbekalkan keazaman dan ketabahan yang tinggi, kami semua mampu bersengkang mata menghadapi ujian dan dugaan tersebut. Syukur buat-Nya.

Baiklah, waktu pun sudah hampir menitipkan saatnya ke waktu Maghrib. Insya Allah, jika diberi keizinan lagi oleh-Nya, akan aku nukilkan sesuatu di sini kelak. Kepada mereka yang masih lagi menempuh hari-hari peperiksaan kelak, Selamat Mengulangkaji Pelajaran dan Selamat Maju Jaya.


Wassalam...

2 comments: