Wednesday, December 16, 2009

Layan Jangan, Lawan Pun Jangan

Ehsan dari Saifulislam.com

“Ustaz, bagaimanakah caranya untuk saya mengelakkan diri daripada bercinta semasa belajar? Apakah kaedah yang boleh digunakan?”, tanya seorang peserta kepada saya di dalam ceramah Aku Terima Nikahnya, anjuran Nisa’ WP tempoh hari.

“Oleh kerana kita sudah berbicara tentang kuasa cinta, maka saya berpandangan, cinta tidak boleh dilawan dan tidak boleh dilayan. Untuk menjadi mangsa kuasa cinta, tidak perlu melayan cinta, sebaliknya melawan cinta juga sama kesannya”, saya memberikan jawapan.

Saya bukan Profesor Serba Tahu yang ada jawapan untuk semua soalan. Maka jawapan-jawapan saya lebih kepada perkongsian. Mana yang baik, jadikan teladan. Mana yang buruk, jadikan sempadan.

Soal melayan cinta, memang tidak sukar melihat akibatnya. Sudah banyak kali saya perkatakan sebelum ini berkenaan kesan melayan cinta tanpa kebarangkalian cinta itu mencapai perkahwinan.

Tetapi soalnya kali ini ialah perbuatan melawan cinta.

Peserta tersebut bertanyakan kepada saya, apakah dengan mengelakkan diri daripada mendengar lagu cinta termasuk nasyid cinta, maka dirinya boleh terelak daripada terjebak ke dalam cinta.

Hakikatnya, cinta tidak perlu dilayan atau dilawan. Hanya dengan mengingatinya dengan cara apa sekali pun, seseorang itu sudah pun duduk di bawah pengaruh cinta. Mengingati cinta lalu melayannya, ada akibat yang kita sedia maklum. Mengingati cinta lalu melawannya, juga ada kesan yang tidak baik.

“Macam mana cara orang melawan cinta?”, saya bertanya.

Peserta tersenyum-senyum. Begitu juga dengan penyoal.

“Bercakap kasar dengan lelaki atau bercakap pedas dengan perempuan?”, saya mengemukakan cadangan tentang cara biasa melawan cinta.


MELAWAN CINTA

Biasa benar saya bertemu dengan muslimat yang mahu melawan cinta, bercakap dengan lelaki seperti seorang askar bertitah kepada anak buahnya. Kalau sekali pun al-Quran menganjurkan perempuan supaya jangan melunakkan suara ketika bercakap dengan lelaki ajnabi, tidak pula sekali-kali al-Quran mengajar alternatifnya begitu.

Cakap biasa sudahlah.

Jika sudah biasa bercakap kasar dengan lelaki kerana kononnya sedang memerangi cinta, lama-lama sudah bercinta dengan suami pun masih terbiasa bercakap kasar. Itu penangan melawan cinta.

Sama juga dengan yang lelaki.

Kalau melawan cinta itu caranya ialah dengan me’laser’ perempuan, bercakap yang pedas-pedas hingga teresak-esak setiap perempuan yang berurusan dengannya, hati-hati! Jangan pula selepas berkahwin nanti pun, bermulut pedas kerana pengalaman bujang menentang cinta, lebih lama dari pengalaman kahwin menyuburkan cinta.


MENGELAK CINTA

Habis, apa caranya untuk mengelakkan diri dari bercinta?

Oleh kerana lawan pun kena, layan pun sama… maka cara terbaik mengelakkan diri dari cinta di luar masa, ialah dengan MELUPAKANNYA.

Cara untuk melupakan cinta bukanlah dengan memikirkan cara melupakannya. Itu bukan lupa, tapi mengingati cinta secara melupakannya!

Sesungguhnya kaedah terbaik untuk melupakan cinta, ialah dengan menyibukkan diri dengan hal-hal lain yang lebih sesuai dengan masanya.

Sibukkan diri dengan pelajaran dan pengajian seoptima mungkin.

Sibukkan diri dengan kerja-kerja persatuan, aktiviti kemasyarakatan dan lain-lain kegiatan yang bersifat “memberi”.

Sibukkan diri dengan kerja dakwah, kerana dakwah bukan boleh berhasil terus dengan kesediaan. Ia memerlukan latihan, pendedahan, proses buat betul dan buat salah… dan zaman pelajarlah masa terbaik untuknya.

Apabila tiba masa untuk berumahtangga, barulah masukkan cinta dalam agenda ketika diri sudah pun biasa dengan kesibukan, iaitu realiti sebenar kehidupan yang jauh dari angan-angan.

0 comments:

Saturday, December 12, 2009

Hujan Meteor

Ehsan dari Berita Harian Online

Saksi keindahan hujan meteor geminid hiasi langit awal pagi esok


Hujan meteor menghiasi pusat kaji bintang Beijing, China pada 1998. Fenomena serupa dijangka berlaku pada esok atau Isnin jika melihat ke arah sebelah timur terutama awal pagi

Satu daripada fenomena cakerawala menarik sepanjang tahun ini ialah hujan meteor geminid. Meteor adalah tahi bintang. Tahi bintang boleh kelihatan saban malam ketika ruang angkasa tidak dilindungi awan atau diganggu oleh cahaya lampu.

Tahi bintang ini kelihatan sekali sekala, tidak kelihatan seperti datang menurun dalam jumlah yang banyak. Jika anda ingin melihat tahi bintang dalam jumlah yang banyak, buatlah perancangan dan persediaan pada awal pagi esok atau Isnin ini sekitar jam 2 pagi hingga ke fajar menyinsing.

Itulah waktu kemuncak hujan meteor geminid yang pasti akan berlaku seperti diduga oleh ilmuwan astronomi. Di seluruh dunia, berjuta-juta peminat astronomi sama ada di kalangan amatur atau profesional akan turut mendongak ke langit ke arah Timur menghadap gugusan Gemini bagi menyaksikan satu sajian alam semesta yang menawan ini.

Tahi bintang geminid boleh dilihat di pelosok mana saja, dari kedua-dua hemisfera selatan dan utara dunia. Sebenarnya meteor geminid sudah boleh kelihatan mulai selesai waktu senja tetapi kekerapannya atau pesta tahi bintang geminid akan berlaku selepas tengah malam dan memuncak pada waktu pagi.

Pada awal pagi, tarikh berkenaan dijangkakan kita boleh melihat sekurang-kurangnya 100 tahi bintang dalam tempoh waktu sejam. Fenomena ini bagaikan menghiasi ruang langit yang gelap itu. Ia kelihatan indah dan fenomena ini dikatakan sebagai suatu sajian cakerawala paling menarik bagi menutup tirai fenomena astronomi untuk 2009.

Kita akan dihidangkan satu pertunjukan bola api kecil yang menyeberangi langit. Bagi tahun ini ia berlaku ketika anak bulan belum muncul, bererti tiada sinaran bulan yang boleh menjejas penglihatan kita terhadap fenomena itu.

Tahun lalu, kemuncak hujan meteor geminid terjadi pada saat serentak purnama penuh. Sajian hujan meteor geminid ini akan mengatasi hujan meteor perseid dan leonid yang berlaku masing-masing pada Ogos dan November lalu.

Apa yang sebenarnya berlaku tatkala fenomena ini? Apabila bumi berputar dan menghadap buruj Gemini, maka akan kelihatan tahi bintang turun bagaikan hujan yang terang lagi jelas seakan-akan bersumber daripada gugusan itu, lantas namanya meteor geminid.

Tahi bintang berupa kerlipan cahaya yang terang itu berhayat tidak sampai dua saat. Ia bergerak dengan kelajuan sekitar 35 kilometer sesaat. Kelajuan meteor geminid menembusi atmosfera bumi dikategorikan sebagai meteor yang berkelajuan sederhana.

Jika tahi bintang itu sampai ke daratan bumi, ia menjadi meteorit. Jika kita halusi cahaya meteor geminid terpantas, ia kelihatan berwarna kuning dan biasanya pula berwarna kebiruan. Jaluran cahaya itu adalah akibat serpihan daripada objek langit, digelar 3200 phaethon, juga dinamakan sebagai komet purba yang sudah mati memasuki atmosfera bumi.

Pergeseran itu menyebabkan terjadinya jaluran cahaya di angkasa bumi. Serpihan itu yang terdiri daripada ais atau debu tidak tahan lama. Ia terbakar dan meninggalkan kesan jalur cahaya yang indah dilihat.

Meteor geminid dikesan sejak 150 tahun dulu dan dipercayai setiap tahun ia akan bertambah jelas dengan syarat cuaca ketika melihatnya adalah gelap gelita. Pada tahun ini, objek 3200 Phaethon berada pada jarak 18 juta kilometer dari bumi, jarak terdekat pernah ia hampiri. Objek langit 3200 Phaethon adalah sebesar saiz bumi.

Jadi bersedialah menunggu detik awal pagi esok dan Isnin ini. Pada waktu itu nanti, hujan meteor geminid pasti terjadi. Hujan meteor geminid adalah peristiwa yang terjadi setiap tahun dan dianggap paling memberikan pertunjukan yang memuaskan.

Jika ditakdirkan malam esok hingga Isnin ini bercuaca baik, maka anda boleh melihat hujan meteor geminid dan menikmati pengalaman bahawa anda benar-benar melihat hujan meteor.


Nota Kaki 1: Insya Allah, mengikut maklumat dalam artikel tersebut, tarikhnya adalah pada 14 Disember 2009.

Nota Kaki 2: Jangan ada pula yang mengamalkan perkara khurafat tatkala berlakunya hujan meteor ini dengan memohon hajat. Sekadar peringatan kepada diri saya dan anda semua.

0 comments:

Wednesday, December 2, 2009

Dubai: Berada Dalam Status Bahaya

Assalamualaikum dan Salam Ceria...

Baru-baru ini, di dada-dada media elektronik, terpampar susutan ekonomi yang melanda salah satu kuasa ekonomi dunia, iaitu Dubai. Dubai seringkali menjadi bahan bualan masyarakat global kerana usahanya dalam membangunkan negara untuk menaikkan dan menjana ekonomi Asia Timur. Antara pembangunan yang dilaburkan oleh Dubai melalui broker pelaburan UAE Dubai World ialah bangunan tertinggi di dunia, Burj Dubai, pulau buatan manusia terbesar dan hotel paling eksklusif di seantero dunia yang masih dalam proses pembinaan, mengumumkan bahawa pembayaran hutang kewangan sebanyak US$59 billion dalam jangka masa 6 bulan oleh pemerintah Dubai sendiri.

http://junsuikeiken.files.wordpress.com/2008/02/burj_dubai.jpg
Lakaran asal menara Burj Dubai

http://junsuikeiken.files.wordpress.com/2008/02/palm-island.jpg
Lakaran asal pembinaan Dubai Palm Island

Kenyataan yang dikeluarkan pada minggu lepas sebelum menjelangnya Hari Raya Aidiladha, benar-benar mengejutkan seluruh penganalisis ekonomi dunia, di mana impak dari penangguhan hutang kewangan tersebut akan menjerumuskan kelembaban iklim ekonomi bursa dunia, terutamanya Asia sendiri. Penganalisis ekonomi berpendapat bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh badan pemerintahan Dubai terbabit, secara tidak langsung memberi kesan negatif terhadap global mengenai keupayaan dan reputasi mereka sebagai hub perniagaan.


Nota Kaki: Ikut keupayaan dan motif pembinaan dan pembangunan yang ingin dilaksanakan. Bukannya sekadar ingin menjadi antara yang terbaik di kalangan yang terbaik sehingga akhirnya, ianya memakan diri sendiri. Renung-renungkanlah.

0 comments:

Tuesday, December 1, 2009

Nur Kasih: Hangat Diperbualkan

Assalamualaikum dan Salam Perkhabaran kepada semua.

Nur Kasih. Itulah drama bersiri Melayu yang menjadi buah mulut dan perkongsian hujah yang mendapat tempat di hati setiap peminatya. Meskipun drama tersebut melabuhkan tirainya pada malam 11 Zulhijjah yang lalu (27 November), ianya masih lagi diikuti oleh segenap masyarakat yang menantikan ulang siarannya pada setiap hari Selasa hingga Jumaat, jam 7.30 malam di TV3. Ternyata, penangan Nur Kasih ini sehebat dan sebaris dengan hangatnya Liga Perdana Inggeris.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh4DNk-g0BezU6MnwYoImNrJBheitqfH4Dt6Xh7aY1aF3D-BCJyF9k9PnbHRtyc25PjAuB5vhaW69N2dW0FQfllhMqVYzY5XlzfkC6j07hUSk54sA5AtA9P0Hln2w2AB5c0GRH4h_NJj2k1/s400/nur.jpg

Dalam sebuah akhbar tempatan, ada saya terbaca mengenai rencana yang membabitkan Nur Kasih. Apa yang mengejutkan saya adalah angka statistik yang dicatatkan pada episod yang ke 25 drama bersiri tersebut, menjumlahkan angka penonton seramai 3.098 juta.

Melihatkan terhadap statistik tersebut, saya terfikir sejenak. Seringkali golongan Melayu dihidangkan dengan drama atau cerita yang berkonsepkan mistik, tahyul dan jenayah kerana dalam lingkungan tersebut, ternyata ianya mempunyai asas peminat yang tinggi. Namun, sejak drama bersiri Nur Kasih yang diarahkan oleh Khabir Bhatia ini, mendapat sambutan yang hangat sejak ianya mula ditayangkan pada 29 Mei lalu.

Persoalannya, apa yang menjadi tarikan yang sebegitu rupa terhadap drama terbabit? Saya juga merupakan salah seorang peminat drama tersebut, namun tidaklah mencapai tahap fanatik. Sekadar mengikuti perjalanan kisah drama tersebut. Hendak dikatakan barisan pelakonnya yang memainkan watak dalam Nur Kasih, hampir kesemuanya dibarisi oleh muka-muka baru yang masih lagi menongkah arus karya seni. Jadi, apa keistimewaan cerita ini sehinggakan ianya digilai oleh masyarakat terutamanya barisan muda-mudi?

Secara kasarnya, drama ini cuba menerapkan konsep dakwah. Cara olahan cerita ini yang berteraskan cinta, kesetiaan dan pengorbanan yang seiring dengan kehidupan norma manusia berkemungkinan menjadi asas bermulanya kejayaan drama ini untuk memikat hati para penontonnya.

Namun, saya sering seakan-akan tidak menyenangi cara pelaksanaan drama ini. Hakikat sebenar unsur Islamik yang ingin ditonjolkan amat saya puji tetapi penerapannya seolah-olah melabelkan Islam itu adalah payah dan susah untuk dituruti. Mengapa saya berkata demikian? Jawapannya adalah aurat wanita. Seringkali saya tertanya-tanya mengapa pelakon wanita, terutamanya watak Nur Amina memakai tudung hanya dalam situasi-situasi atau babak-babak lakonan tertentu? Begitu juga dengan watak pembawaan Adam. Saya berasa tidak senang dengan layanan yang diberi olehnya terhadap isterinya, Katrina.

Namun, secara keseluruhannya, konsep cerita ini mampu ditingkatkan agar kesan dan impak pembawaan motifnya mampu memberi kesan terhadap kehidupan masyarakat, terutama sekali bangsa Melayu. Saya tertarik dengan perenggan ayat yang saya baca berkenaan dengan rencana drama ini:
"Jika filem Hindustan yang memaparkan kemewahan, kekayaan dan keriangan satu ketika dulu dikatakan menjadi escapism bagi majoriti rakyat India yang miskin, apakah sambutan terhadap Nur Kasih ini juga berupa escapism masyarakat Melayu/Islam di negara ini yang sudah bosan dengan keruntuhan moral dalam setiap bidang kehidupan mereka sekarang?"


Nota Kaki: Anda pula bagaimana?

1 comments: