Sunday, October 31, 2010

Kerana Bola Sepak, Semuanya Mampu Dikecapi!


Keputusan akhir Piala Malaysia 2010:
Kelantan 2 - 1 Negeri Sembilan


Kerana semangat kesukanan, semuanya mampu diraih!

Begitulah senario yang melanda kini. Dua ideologi berbeza, mampu bersatu atas nama tiket kesukanan. Hari ini, tercipta sebuah sejarah di mana, pertembungan pusingan akhir Piala Malaysia 2010, di antara Kelantan menentang Negeri Sembilan berkesudahan dengan jaringan kemenangan berpihak kepada Kelantan yang mengatasi Negeri Sembilan dengan 2 gol berbalas 1.

Uniknya, pertembungan pada kali ini adalah imbasan pusingan akhir bagi Piala Malaysia 2009 di mana, Kelantan tumpas 3-1 terhadap Negeri Sembilan yang menjulang piala berkenaan.

Sebelum ini, heboh diperkatakan bahawa kedua-dua pasukan yang semakin meningkat naik ini mempunyai penyokong yang terlalu fanatik sehinggakan sanggup 'bertempur' demi menegakkan pasukan kegemaran mereka. Namun, demi semangat kesukanan pada malam ini, jelas terpancar bahawa kedua-dua penyokong pasukan sudah mempelajari dari kesilapan lalu. Syabas dan tahniah kepada para penyokong yang sememangnya memainkan peranan penting dalam menjayakan kemeriahan sukan bola sepak tanah air.

Dan, yang paling penting, demi sukan sepak, dunia politik juga turut sama bersatu demi mencapai hasrat selaku bagi pasukan Kelantan.



Nota Kaki: Demi bola sepak, segala-galanya mampu dicapai meskipun perbezaan dari segala aspek!

4 comments:

Friday, October 29, 2010

Mari Berta'aruf!

"Once you have been tagged, you are supposed to write a note with 25 random things, fact, habits, or goal about you. At the end, choose 20 people to be tagged. You have to tagged the person who tagged you. If I tag you, its because I want to know more about you."

Demi melangsaikan hajat dan cita-cita kepada kawan-kawan yang ingin mengenali diri ini (terutamanya Hafizuddin, Hayati, Nazreen dan Maryani), jadi, dengan rela hatinya, saya sampaikan serba sedikit mengenai diri saya.

Kenangan bersama dengan pensyarah Bahasa Inggeris, Mr. Marcus Fang (belakang, kanan) bersama-sama sahabat seperjuangan.

1. Nama diberi Mohd Fahmi bin Muhammad Mubarak. Kenalan, kawan, sahabat, teman dan saudara-mara panggil dengan nama Fahmi.

2. Anak sulung daripada dua orang adik-beradik.

3. Saya menggemari makanan yang berasaskan sambal tumis, namun, segala jenis makanan yang halal lagi baik, akan saya makan tanpa memilih.

4. Cita-cita semasa kecil ingin menjadi seorang doktor. Namun, kini, saya masih lagi mencari-cari apakah pekerjaan yang bersesuaian dengan saya.

5. Penyokong kuat pasukan bola sepak Selangor dan Manchester United FC.

6. Mendapat pendidikan awal di SK Bandar Baru Selayang, Selayang, Selangor Darul Ehsan pada Disember 1994. Melanjutkan pendidikan di peringkat menengah di SMK Selayang Bharu, Selayang, Selangor Darul Ehsan dari tahun 2001 sehingga tahun 2005. Kemudian, mendapat tawaran pengajian di peringkat matrikulasi di Kolej Matrikulasi Johor (sesi 2006/07) dalam aliran Sains Hayat. Selepas tamatnya pengajian di peringkat matrikulasi, ditawarkan pula untuk menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor Darul Ta'zim bermula dari tahun 2007 sehingga tahun 2010.

7. Kini, sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Bioteknologi.

8. Sebenarnya, saya tidak tahu ke mana arah tuju saya kerana subjek Biologi bukanlah dalam genggaman saya semenjak di peringkat sekolah lagi.

9. Subjek Matematik Tambahan adalah subjek yang mampu membuatkan saya stress. Bayangkan, dalam masa 2 minggu, saya mampu untuk menghabiskan segala ilmu-ilmu yang diperlukan sebelum masuk ke dalam dewan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk kertas Matematik Tambahan.

10. Sejak di bangku sekolah lagi, saya meminati jawatan Setiausaha di peringkat kelab/persatuan meskipun saya adalsh seorang lelaki.

11. Mengalami masalah stress yang melampau semasa di peringkat menengah atas kerana diberi pelbagai tanggungjawab sehinggakan masa untuk belajar menghadapi peperiksaan SPM dibuat tatkala diri berada dalam keadaan stress.

12. Mempunyai kecacatan kekal terhadap siku tangan kanan saya kerana pernah mengalami terseliuh akibat terjatuh semasa berumur 9 tahun. 3 bulan untuk memulihkan semula keadaan tangan kanan saya supaya ianya kembali ke bentuk asal.

13. Sekali lagi, saya mengalami kecacatan kekal semasa saya berumur 13 tahun, iaitu semasa di Tingkatan 1. Kejadian berlaku apabila saya terjatuh dari bas sekolah ketika hendak pulang ke rumah. Yang pastinya, tangan kanan saya sekali lagi menerima nasib yang sama. Kali ini, ianya terseliuh di pergelangan tangan yang membawa pada proses pemulihan selama seminggu.

14. Seorang yang mempunyai keyakinan diri yang rendah terutama apabila bekerja berkumpulan bersama-sama dengan perempuan. Ini adalah masalah terbesar saya yang sehingga kini saya masih mencari formulanya.

15. Selama saya berusia 22 tahun, hanya tahun ini adalah kali pertama saya merasai bagaimana kemeriahan menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung. Disebabkan abah merupakan seorang pegawai tentera sebelum ini, jadi, masa untuk pulang ke kampung beraya amat terhad. Jadi, saya hanya menyambut perayaan tersebut di rumah bersama-sama dengan keluarga.

16. Saya amat sukakan dapur kerana saya suka berekperimentasikan segala jenis makanan dengan memasak. Ianya semacam hobi bagi saya.

17. Tidak suka terhadap kerja-kerja yang dilaksanakan secara tidak sempurna.

18. Tidak suka untuk memulakan perbicaraan yang tidak mempunyai hala tuju lebih-lebih lagi terhadap kaum perempuan.

19. Lebih banyak berfikir tatkala bersendirian. Tetapi, diri ini akan menjadi ramah apabila berada dalam lingkungan kenalan yang dikenali.

20. Saya amat sukakan buku-buku ilmiah yang memberikan ilmu selain dari bidang yang saya ceburi.

21. Tidak suka memendam perasaan tetapi itulah yang sering saya lakukan.

22. Tidak sanggup untuk melihat orang lain susah. Seboleh-bolehnya ingin cuba membantu untuk meringankan bebanan tersebut.

23. Suka terhadap kehijauan alam. Salah satu sebab mengapa saya memilih FRIM sebagai tempat untuk saya menjalani Latihan Industri (LI) semasa saya di melengkapkan pengajian saya di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

24. Mempunyai keinginan yang tinggi untuk ke Tanah Suci. Insya Allah.

25. Soalan cepumas: Bila nak kahwin? Saya tahu, soalan-soalan sebegini yang seringkali dilontarkan oleh pelbagai pihak kepada seseorang yang sudah mencapai piawaian untuk berkeluarga. Soalan ini hanya Tuhan saja Yang Maha Mengetahui.


Alhamdulillah, selesai juga berkongsi serba sedikit mengenai diri ini kepada mereka-mereka yang berkenaan. Jadi, untuk pihak seterusnya, saya fikir, elok saya tujukan kepada semua pengikut blog saya ini. Tidak adil rasanya jika hanya sebilangan saja yang ditag. Jadi, andalah orang yang seterusnya!

5 comments:

Saturday, October 16, 2010

Kahwin Lewat: Fenomena Lelaki Kini?

Bukan sedikit lelaki yang kahwin lambat hari ini. Agaknya mengapa? Saya ingin berikan suatu contoh.

Katakanlah anda adalah seorang lelaki berumur 23 tahun yang baru tamat pengajian dan bekerja sebagai seorang pegawai.

Gaji bulanan adalah RM 2000 dan anda tidak mempunyai simpanan di dalam bank.

Setiap bulan, katakanlah perbelanjaan makanan, pengangkutan, bil-bil, sewa rumah dan perbelanjaan lain adalah RM 1200.

Kemudian, sebagai anak yang baik, anda mengirimkan wang ke kampung sebanyak RM 300. Maka baki bulanan adalah RM 500.

Berbekalkan disiplin dalam menyimpan duit untuk masa depan, mungkin anda dapat menyimpan duit sebanyak RM 5000 setahun.

Setahun berlalu, anda berumur 24 tahun. Dengan izin Allah, anda berkenalan dengan seorang gadis impian.

Masing-masing telah merancang untuk berkahwin dalam masa setahun atau dua tahun lagi.

Maka, anda berazam untuk menyediakan kemudahan asas seperti rumah dan kereta sebelum berkahwin.

Anda pun bekerja keras dan mendapat kenaikan gaji sebanyak 10%.

Dibesarkan dengan famili yang sungguh baik, anda menjadi seorang yang 'gentlemen'.

Semua perbelanjaan untuk 'dating', hadiah, bunga dan seumpamanya sudah pun disediakan awal-awal. 10% telah pun diperuntukkan untuk si dia.

Seperti tahun sebelumnya, setelah bersusah payah makan mee segera untuk berjimat, anda berjaya mengekalkan RM 5000 sebagai simpanan tahunan.

Malah, syarikat pula memberikan bonus sebanyak 2 bulan pada tahun tersebut. Maka bertambah lagi RM 4000 dalam simpanan. Kini anda memiliki RM 14,000 dalam simpanan bank.

Sudah tiba masanya untuk membeli kereta. Maka anda membayar RM8000 sebagai bayaran permulaan untuk kereta baru yang berharga RM 40,000.

Kini simpanan bersih anda hanya tinggal RM 6000.

Tahun berikutnya, ketika berumur 25 tahun, anda perlu membayar pinjaman kereta setiap bulan. Hal ini bermakna, simpanan bulanan hanya tinggal RM 400 sebulan.

Bonus pula tidak diberi oleh syarikat kerana prestasi syarikat kurang baik pada tahun itu. Maka, jumlah simpanan semasa hujung tahun adalah RM 11,000 sahaja.


Bertunang
Akhirnya anda membuat keputusan untuk bertunang dengan gadis impian. Dia gembira dan bersetuju.

Maka, RM 1500 dibelanjakan untuk cincin emas dan hantaran. Simpanan kini hanya tinggal RM 9500.

Tahun seterusnya, anda berumur 26 tahun. Alhamdulillah, anda diberi kenaikan pangkat. Gaji anda sekarang RM3000.

"Ini berita baik! Aku nak menamatkan zaman bujang tahun ni!" Anda bersorak girang.

Pada suatu hari, anda mengambil cuti separuh hari untuk berbincang dengan tunang.
Anda: "Berape eh hantaran kahwin kita?"

Tunang: "Berapa-berapa yang you sanggup."

Anda: "RM 5000, okay?"

Tunang: "I okay je. Tapi my mom tu. Dia kata grad oversea macam I ni mane boleh letak rendah-rendah. Paling kurang RM10,000 tau!"

Sikit lagi anda nak pengsan mendengar jawapan bakal isteri anda.

"Mana aku nak dapat duit lebih?"


Kerja Lebih Kuat
Oleh kerana anda terlalu sayangkan dia, anda bekerja dengan lebih kuat sehingga dianugerahkan pekerja cemerlang. Malah, anda menambahkan pendapatan melalui perniagaan jualan langsung secara kecil-kecilan.

Akhirnya dapat la anda simpan RM20,000 pada tahun tersebut.

Suatu pencapaian yang amat membanggakan!

Sekarang umur anda sudah 27 tahun. Duit hantaran dah cukup. Tetapi, mak pula cakap pesan:
"Anak mak nak kawin ni mesti la buat grand-grand. Kita sewa khemah besar-besar, jemput penyanyi ke artis ke sorang dua datang buat persembahan. Lauk pauk kita guna katering je la ya? RM 10 je sekepala. Baju kawin ko, kita sewa yg cantik-cantik dan mahal-mahal sikit. Kita jemput dalam 1000 orang. Set!"

Pengiraan pantas dijalankan:
1000 orang x RM 10 = RM10,000.
Penyanyi, khemah, kad kahwin dan baju = RM 5000.

"Alamak, dah RM 15,000! Belum cincin kahwin lagi! Adoi!" Getus hati anda.

Anda 'slow talk' dengan mak anda:
"Mak, nak buat apa membazir duit ni?"

"Apa pulak membazirnya? Kau kawin sekali je seumur hidup. Biarlah buat betul-betul."

"Tapi mak..?"

"Dahlah, kau jangan nak buat malu mak. Cik Tipah jiran kita tu buat kenduri kat hotel siap Dato', Datin, Tan Sri, Puan Sri datang. Mana la mak nak letak muka mak kalau kita buat kenduri kecik-kecik?"


Akhirnya...
Setelah bersusah payah, akhirnya anda berkahwin juga. Fuh! Seronok dan bersyukur habis.

Tetapi, apakan daya, jodoh kamu berdua tidak panjang. Anda berhutang keliling pinggang dan kadar 'interest' makin tinggi. Anda dah tak mampu nak bayar.

Isteri kesayangan dah letih kalau anda asyik nak minta duit. Dia tuduh anda tak bertanggungjawap, tak reti bagi nafkah dan macam-macam lagi.

Akhirnya? Bercerai...

Masalah yang membuahkan masalah. Kadang-kadang kita pelik kenapa perkahwinan sentiasa gagal di negara kita.

Contoh yang saya huraikan di atas adalah salah satu contoh kasar yang boleh dilihat, kenapa orang kita kahwin lambat atau susah nak kahwin.


Punca masalah
Pada pandangan saya, budaya kita yang tak kena tempat. Banyak perkara dalam budaya kita yang tidak masuk akal dan kadangkala meyusahkan diri sendiri.

Budaya yang berakar umbi ini menyebabkan ramai orang takut nak berkahwin, dengan alasan mereka tidak mampu walaupun secara fizikal dan mentalnya mereka sebenarnya mampu.


Sedikit pemerhatian dan penyelidikan yang saya lakukan
1. Perkahwinan perlu dilakukan secara bersederhana. Motif kahwin kan nak menjamu saudara-mara dan rakan-
rakan? Jadi, makanan sahaja lah yang perlu diambil kira.

Tak perlu nak membazir duit untuk perkara lain seperti pelamin.

Biasanya, pelamin yang biasa sahaja pun dah berharga RM 1500. Itu baru pelamin. Belum lagi hiasan ini dan
hiasan itu.


2. "Harga" seseorang wanita diukur dari tahap pendidikan beliau dan bukan diukur dari pengetahuan agama
seperti yang di sarankan oleh Islam.

Apabila wang hantaran diletakkan terlalu tinggi, perkahwinan terpaksa dibatalkan atau ditangguhkan.
Sedangkan akad nikah itu lebih penting dari wang hantaran.


3. Perkahwinan sepatutnya adalah perkara yang paling mudah dan cepat, tetapi kini ia telah menjadi beban.

Zaman kini, perkahwinan sangat rumit dan rata-ratanya takut untuk berkahwin.


Semasa saya di Sydney, saya lihat beberapa rakan muslim kita yang berkahwin hanya di masjid.

Kemudian, ada kenduri kecil yang dijalankan di masjid.

Para jemputan terdiri dari jemaah masjid, kawan-kawan dan saudara terdekat.

Perkara yang perlu difokuskan adalah kehidupan selepas berkahwin, bukannya majlis perkahwinan.

Majlis itu hanyalah pintu ke gerbang perkahwinan.

Namun, hakikatnya kini seolah-olah kita menghiasi pintu rumah kita cantik bagai nak rak, tetapi di dalam rumah, kosong, gelap dan tidak menarik?

...and the pressure is on men...


Olahan semula daripada sumber asal


Nota Kaki: Kini, proses perkahwinan lebih cenderung ke arah materialistik dan bukannya ke arah nilai-nilai dalam pembinaan Baitul Muslim. Jangan terlalu bermegah dengan majlis perkahwinan sehingga membawa pada pembaziran dan hutang-piutang. Ingat, majlis perkahiwnan yang bersederhana dan mengikut syariat Islam yang perlu diketengahkan, bukannya diketepikan!

3 comments:

Tuesday, October 12, 2010

[Renungan] Cinta Tidak Perlu Diungkap

Sekadar renungan buat semua...


Fana, itulah perkataan yang tepat apabila berbicara soal cinta. Cinta itu segalanya indah, tapi ramai jua merasai pahitnya cinta.

Selepas saya menulis beberapa artikel yang menyentuh serba sedikit tentang isu evergreen iaitu CINTA, membuatkan diri ditempatkan oleh pembaca menjadi salah seorang dari rujukan. Sedangkan nikah pun belum, ayat power dan sakti untuk mencairkan wanita belum lagi digunakan. Dan sekarang satu demi satu ada yang meminta pandangan.

Saya serba sedikit cuba untuk menjadi pendengar yang setia, bukan untuk memberikan satu jawapan yang tepat dan jitu. Kerana cinta itu masalah dan bicara jiwa. Jiwa pula berbeza-beza tempatnya disetiap manusia. Mana mungkin saya memberikan jawapan melainkan banyak berkongsi cerita bagaimana untuk menguruskan cinta. Memberikan alat kepada mereka untuk mencari jawapan.

Hadir dalam riang. Hadir dalam duka. Hadir dalam keliru. Hadir dalam blurr.

Itulah warna warni pembaca yang tampil untuk berkongsi cerita dengan saya. Sudah semestinya setiap yang hadir, saya raikan dengan hati yang berbunga-bunga.

Cinta diungkap, hati gelisah.

"Amad, anda percaya tentang mimpi tak?" tanya seorang teman maya.

"Mimpi? Nak kata tak percaya, tidak juga. Nak kata percaya, silaplah. Tapi banyaknya tak percayalah. Kenapa tiba-tiba buka bab mimpi ni?" saya menjawab dan pada masa sama cuba memberi ruang keselesaan kepada beliau untuk berkongsi rasa.

"Macam ini, saya semenjak dua tiga hari ini, asyik bermimpi tentang seorang lelaki ni saja. Saya tak nak, tapi sering termimpi," dia bercerita. Lelaki mimpi lelaki? Haru! Kawan maya saya ini adalah seorang wanita. Jadi pantas saja yang masuk dalam mimpinya lelaki.

"Special sangatkah lelaki tu sampai angau begitu sekali?" saya bertanya lagi. Cuba mengumpulkan sebanyak mungkin informasi daripada history taking yang dijalankan.

"Macam ini sebenarnya. Saya ini ada suka seorang lelaki ini. Tapi tahu sahajalah, saya perempuan, bila suka, hanya mampu buat hanya diam saja. Pendam rasa sorang-sorang. Itu ok lagi. Tetapi satu hari, sebelum lelaki itu mahu ke luar negara belajar untuk beberapa tahun, dia datang jumpa dengan saya..." beliau bercerita.

Orang menaruh hati memendam rasa, datang pula sang jejaka pujaan. Mengantuk disorongkan bantai beb. Indah!

"Apa yang dia cakapkan?" tanya saya lagi. Cuba mengumpul simptom.

"Dia cakap dia sukakan saya. Dia janji selepas habis belajar nanti, dia akan datang cari saya kembali, Insyallah. Dan itulah masalahnya. Selepas itu hati saya tak tenang, asyik teringatkan dia. Sedangkan dia di luar negara, tanpa beri keputusan yang pasti," beliau menyambung.

Penantian satu penyeksaan. Keluar daripada kes sebentar, ini terutama untuk muslimat. Jika orang hadir, bertanya soal hati, cubalah menyatakan keputusan itu secepat mungkin dengan berfikir. Jika YA, katakan dengan cepat. Jika TIDAK, katakan dengan cepat. Anda mungkin tidak perasaan dan tidak mengerti, ada lelaki yang tidak keruan hidup tanpa keputusan yang tepat dan cepat.

Jangan seksa mereka dengan penantian yang lama.

"Apa pandangan dan nasihat Amad pada saya? Saya tahu itu silap, tapi macam mana nak baiki dan ubah?"sedih bunyinya.

"Pertama, saya nak sekeh kepala mamat yang cakap sayang tu," saya menjawap.

"Hah, suka hati nak sekeh kepala orang," cepat beliau memberi respon.

"Ops, maaf terlupa pula kepala orang saya nak sekeh itu adalah 'cik abang'," saya bergurau.

"Sebenarnya, orang yang membuat kesilapan paling besar adalah lelaki itu. Anda, rasa suka, rasa minat kepada seseorang, itu wajar saja. Tetapi tindakan lelaki itu adalah amat tidak wajar," saya bagi pandangan.

"Salah lelaki tu? Kenapa? saya tidak faham," dia menyoal balas.

"Silap paling besar lelaki itu adalah dia mengucapkan rasa sayang dia itu pada anda!"

Perasaan wanita, lelaki harus hormati.

Adakah salah meluahkan rasa sayang apabila sememangnya sudah sayang?

Adakah salah menyimpan rasa sayang apabila sememangnya sudah sayang?

Jangan sekali-kali kita menjadi robot cinta. Persoalan dan bicara soal hati dan perasaan diukur dengan digital.

Wanita sebenarnya kompleks hatinya, dan akan mudah dipengaruhi oleh perasaan. Bagi mereka yang tidak menaruh harapan kepada seorang lelaki itu, apabila diuji dengan persoalan berkaitan hati, sudah tidak nyenyak tidur, makan tidak kenyang, mandi tidak basah. Inikan pula yang sudah menaruh harapan.

Mengantuk disorongkan bantal. Tetapi bantal itu bukan bantal biasa, ia bantal fatamorgana. Empuk bicaranya, hakikatnya sensara. Empuknya bisa mengusik hati si gadis, sengsaranya adalah penantian tidak pasti.

Anda! Jika minat dan menaruh harapan kepada si gadis, dan merasakan jalan pernikahan itu masih jauh dipandangan mata, jangan sekali-kali gatal meringankan mulut untuk meluahkan perasaan sayang itu.

Anda mahu pergi jauh, pergilah. Jangan mengusik perasaan si gadis dengan luahan itu. Elok-elok si gadis dapat mengawal diri dengan sangkaan hanya bertepuk sebelah tangan, datang kita untuk bertepuk sama tetapi dalam nada yang tempang.

Kita sebagai lelaki mungkin tidak mengapa, masih mampu mengawal diri. Tetapi mereka? Sedangkan hakikat sebenar jiwa lelaki dan wanita itu berbeza.

Anda mahu pergi dalam masa yang lama, pergilah. Pulang, jika masih ada sisa sayang dan harapan itu, pergilah mencari kembali si gadis. Dan jika si gadis pada saat itu sudah diijabkabulkan dengan jejaka lain, apa susah, cari saja yang lain! Reda dengan ketentuan dan ketetapan Allah SWT itu lebih utama kerana menghadirkan kegelisahan hati pada si gadis itu dosa.

Jadi, bila perlu beritahu yang kita berkenan pada dia?

Apabila sudah berkenan, hadirnya rasa suka dan merasakan jalan untuk ke gerbang pernikahan itu semakin jelas. Pada saat itu, silakanlah mengungkap rasa kasih dan sayang itu kepada ibu bapa si gadis. Bertemulah dengan kedua orang tua si gadis. Mintalah izin dengan ibu bapa si gadis.

Cepat-cepatkanlah kepada shake hand dan lafazkan "Aku Terima Nikahnya".

Lawan jangan layan jangan.

"Dah tu, sekarang dia pun terlepas cakap. Saya pulak dah lama terseksa dengan perasaan ini. Macam mana nak buang ni?" tanya beliau.

Buang jangan, manage perlu. Bagaimana? Cara menguruskan angau yang tidak berpijak ini adalah dengan melupakannya.

Cara untuk melupakan cinta bukanlah dengan memikirkan cara melupakannya. Itu bukan lupa, tapi mengingati cinta secara melupakannya!

Sesungguhnya kaedah terbaik untuk melupakan cinta, ialah dengan menyibukkan diri dengan hal-hal lain yang lebih sesuai dengan masanya.

Sibukkan diri dengan pelajaran dan pengajian seoptima mungkin.

Sibukkan diri dengan kerja-kerja persatuan, aktiviti kemasyarakatan dan lain-lain kegiatan yang bersifat "memberi".

Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
Tidak lupa juga ingin saya berpesan untuk sekian kalinya, masalah sayang, masalah cinta, masalah rindu adalah masalah jiwa. Kembalikan masalah jiwa ini kepada pemilik segala jiwa. Allah SWT. Jangan lepas daripada bermunajat kepada-Nya memohon kekuatan. Jika tidak dijawab dalam satu hari, biarlah terus berusaha hatta 100 tahun sekalipun. Doa tetap doa, kerana kita hamba.

Cinta itu harus fikir, fikir itu harus mengunakan akal, akal mampu sihat dengan hanya disirami iman.


Sumber dari ILUVISLAM

2 comments:

Monday, October 11, 2010

Sesat Dalam Dunia Sendiri

Kini, saya sedang bertungkus lumus menyiapkan segala tugasan yang diberikan oleh pensyarah meskipun Peperiksaan Akhir Semester 1 bagi sesi kali ini hanyalah berbaki kurang sebulan saja lagi. Di kala waktu-waktu yang kritikal begini, dengan asakan mental yang sering meminta sesuatu perkara yang bertentangan dari yang sepatutnya, kadang-kadang hadir bisikan jiwa yang menerjah akal dan rasa. Bisikan nurani. Bisikan hati yang seakan-akan ingin membicarakan sesuatu.

"Adakah benar laluan yang aku ambil ini?"

"Apakah ini yang sebenarnya aku inginkan?"

"Sebenarnya, apa yang ingin aku kecapi kini?"


Semua persoalan-persoalan itu bergema acap kali. Seringkali saya membuangnya jauh-jauh kerana bisikan hati juga kadang-kala mampu dipengaruhi oleh bisikan syaitan yang cuba memberikan suatu perasaan was-was terhadap manusia. Namun, setelah berfikir sejenak, rasanya seperti ada sesuatu yang selama ini saya masih belum lagi merungkaikannya. Adakah betul pilihan yang saya lalui kini? Ketika ini, hati dan akal sedang berbolak-balik sesama sendiri. Ah! Sukarnya untuk membuat pilihan.


0 comments:

Lakaran Detik Hitam Di Jalanan

SEREMBAN 10 Okt. – Seramai 12 orang maut, manakala lebih 40 lagi cedera termasuk parah apabila dua buah bas, dua buah kereta dan sebuah van terbabit dalam kemalangan di Kilometer 223, Lebuhraya Utara-Selatan, berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat dekat Rembau, petang ini.

Nahas berlaku apabila sebuah bas ekspres Delima yang dipercayai dipandu laju dari arah selatan gagal dikawal lalu terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya sebelum melambung ke laluan bertentangan.

Sebuah bas menghempap sebuah kereta dalam nahas di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Pedas, malam tadi

Bas ekspres itu yang dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur kemudian melanggar sebuah van dan kereta sebelum menghempap dua buah kereta lain dalam kejadian pada 6.50 petang itu.

Keadaan bas yang terbalik selepas terbabit dalam kemalangan maut di KM 223 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Pedas, malam tadi

Pada masa yang sama, sebuah bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dinaiki ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) turut gagal mengelak dan melanggar bas ekspres itu.

Tragedi Oktober itu mengakibatkan puluhan ribu kenderaan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sehingga lewat malam ini apabila pihak berkuasa terpaksa menutup laluan di kedua-dua arah untuk kerja-kerja menyelamat.

Mayat diletak di tepi jalan ketika kerja menyelamat dilakukan

Sehingga pukul 11 malam ini, pasukan penyelamat sedang berusaha mengeluarkan mayat mangsa termasuk penumpang bas dan kenderaan yang dihempap oleh bas itu.

Difahamkan, mangsa yang maut adalah pemandu bas dan penumpang serta penumpang dua buah kereta yang terhimpit dihempap bas tersebut.

Pengarah Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, Dr. Jaafar Che Mat pada sidang akhbar lewat malam ini memaklumkan, pihaknya menerima 24 orang mangsa yang cedera terdiri daripada lapan lelaki dan 16 wanita, kesemuanya dewasa.

Katanya, seorang daripada mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) setelah dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Menurut beliau, kesemua mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat, manakala mereka yang cedera menerima rawatan di HTJ.

Antara yang dilihat menerima rawatan termasuk seorang pelancong warga Jepun.

Anggota bomba membersih serpihan kenderaan bertaburan atas jalan

Berikutan kemalangan itu, pihak polis telah menutup laluan masuk ke lebuh raya arah selatan di Plaza Tol Pedas, Linggi di Rembau.

Kebanyakan kenderaan yang memasuki lebuh raya dinasihatkan oleh Plus Expressways Berhad (PLUS) untuk menggunakan laluan alternatif.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah ketika dihubungi malam ini mengesahkan kejadian tersebut dan menurutnya, ketika ini, identiti mangsa yang cedera dan meninggal dunia masih belum diketahui.

Operasi menyelamat masih dijalankan oleh pasukan bomba dan penyelamat, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta bantuan pihak paramedik dari hospital yang berdekatan.

Dalam pada itu, salah seorang penumpang bas Ekspres Delima yang terselamat, Nur Najlaa Aqilah Mohd. Ghazali, 19, berkata, dia tiba-tiba terasa bas yang dinaikinya berpusing lalu menghempap sebuah kereta selepas melambung ke laluan bertentangan.

“Ketika kejadian, saya sedang tidur. Saya tersedar apabila bas itu berpusing dan menghempap kenderaan di laluan bertentangan. Tidak lama kemudian, bas yang kami naiki dirempuh beberapa kenderaan lain termasuk sebuah bas (membawa ahli PBTM),” kata pelajar Universiti Malaya itu yang kini dirawat di HTJ setelah mengalami kecederaan di tangan dan muka.

Difahamkan, bas JKM membawa peserta yang menghadiri Perhimpunan Raksasa PBTM, turut dinaiki Exco Kerajaan Melaka, Datuk Karim Sulaiman. Bagaimanapun, kesemua penumpang bas itu dilaporkan selamat.



Untuk berita/informasi berkenaan dengan tragedi terbabit, bolehlah dilayari di [1], [2] dan [3].


Nota Kaki: Kecelakaan jalan raya sudah sebati dengan kehidupan kita saban hari, tidak kira sama ada dalam musim perayaan, mahupun musim cuti sekolah. Yang menghairankan, perhubungan jalan raya dan kemudahannya adalam antara yang terbaik di dunia, masih lagi dibelenggu dengan statistik kecelakaan dan kemalangan yang meragut nyawa. Seringkali kita lihat bahawa sikap golongan pengguna jalan raya yang sering memandang enteng terhadap keselamatan, bukan saja diri mereka, malah para pengguna lain sememangnya perlu dididik. Bukan lagi diminta mahupun diraih. Setelah apa yang terjadi, semuanya sudah terlambat. Maka, sudah sampai masanya kita ubah tragedi malang seperti ini dari terus menghantui kita segenap kehidupan kita.

Al-fatihah buat keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden berkenaan. Tabahkan hati dan redha dengan pemergian mereka.

0 comments:

Sunday, October 10, 2010

UPSR Dipertingkat, PMR Diberi Era Baru

FORMAT baru Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diganti penilaian sekolah, akan diperkenalkan mulai sesi persekolahan 2016, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin

Timbalan Perdana Menteri berkata, rundingan meja bulat terakhir mengenai pelaksanaan UPSR dan PMR bersetuju UPSR dikekalkan tetapi diberi penambahbaikan, manakala PMR diganti penilaian sekolah.

“Sistem pendidikan ini ada putarannya. Kalau anak kita belajar sekarang, takkanlah tahun depan tiba-tiba (belajar) dengan sistem baru, dia akan menanggung beban, susah esok pada dia.

“Tapi kohort (kumpulan) yang baru mungkin akan masuk 2011 dan ujian pertama (diadakan) pada 2016. Pada waktu itu, kita akan adakan UPSR baru dan PMR dalam bentuk penilaian sekolah,” katanya kepada pemberita pada hari terakhir lawatannya di bandar raya ini, semalam.

Hari ini, Timbalan Perdana Menteri dijadualkan berangkat ke Melbourne bagi menghadiri beberapa acara termasuk perasmian Dewan Malaysia Melbourne.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau akan membentangkan kepada Kabinet mengenai hasil rundingan meja bulat ketiga yang menerima cadangan penambahbaikan dan perubahan dalam UPSR dan PMR yang disyorkan kementerian.
Beliau berkata, antara perubahan dicadang dalam proses penambahbaikan UPSR termasuk mengambil kira bidang utama saja dengan 60 peratus penggredan berasaskan akademik terpilih dan baki 40 peratus berteraskan kokurikulum atau sivik.

“Bagi UPSR, maknanya walaupun kemungkinan besar UPSR dikekalkan, tapi bentuk dan formatnya agak berbeza. Ini dikatakan penambahbaikan yang kita akan lakukan.

“Mengenai PMR, meja bulat bersetuju dengan cadangan mengubah bentuk (pelaksanaannya) kepada penilaian berasaskan sekolah. Tetapi Lembaga Peperiksaan perlu menyelaras ujian itu supaya tidak dilihat berat sebelah,” katanya.

Muhyiddin berkata, proses transformasi membabitkan penambahbaikan UPSR dan penggantian PMR memerlukan tempoh enam tahun untuk disiapkan mengambil kira semua aspek dalam sistem pendidikan itu.

“Saya fikir dalam tempoh seminggu dua ini apabila selesai dan laporan lengkap (diterima), kita akan maklumkan secara muktamad (proses penambahbaikan UPSR dan penggantian PMR),” katanya.


Sumber ehsan dari Berita Harian Online


Nota Kaki: Ada juga pro dan kontranya dalam pelaksanaan bagi dua peperiksaan awam ini. Di suatu sudut, ia memaparkan bahawa hasrat kerajaan yang mampu melupuskan sistem pelajaran berteraskan peperiksaan yang sememangnya menjadi intipati pelaksanaan kini. Namun, di suatu sudut lain, ianya seperti mula membebankan para pelajar di bangku sekolah, yakni pelajar Darjah 6, di mana waktu mereka ketika itu bukan lagi boleh diisi dengan riang tawa keanak-anakan lagi. Walau bagaimanapun, semoga pendekatan yang diambil kini benar-benar serius dan tidak lagi menjadi seperti projek gajah putih yang pernah terjadi terhadap Pembelajaran dan Pengajaran Subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) berulang.

0 comments:

Saturday, October 9, 2010

Meraikan Permintaan

Cuaca petang ini terasa agak bahang panasnya. Tatkala diri sudah penat berhempas pula menyiapkan tugasan berkumpulan bagi subjek Protein Engineering, akhirnya, hari ini, saya meluangkan masa untuk menjelajah ke blog-blog rakan. Entah bagaimana, akhirnya, terbaca sebuah blog Kak Anis, senior saya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang sedang berada di pengajian semester akhirnya dalam bidang Sarjana Bioteknologi.


Terkejut juga sebenarnya dengan warkah tersebut. Saya ditag olehnya. Sebuah anugerah yang rasanya sama sekali tidak layak untuk saya peroleh kerana kini, saya bukannya pengguna blog tegar lagi. Disebabkan kesibukan yang amat dan ketandusan idea dalam mencernakan buah fikiran dalam medium penulisan, blog ini seolah-olah agak terbiar usang. Baiklah, untuk meraikan dan menghargai permintaan Kak Anis, jadi warkah kali ini khas dinukil untuk anugerah terbabit.

Soalan-soalan Cepumas
1. Apakah yang bermain di fikiran anda?
Sedang berkira-kira untuk menyiapkan segala tugasan akademik sebelum singkatnya peruntukan masa yang ada

2. Apakah nama samaran anda?
Maaf. Tiada nama samaran yang diguna dan diaplikasikan sehingga kini

3. Senaraikan tiga (3) orang yang anda sayang.
i. Keluarga tercinta
ii. Saudara-mara tersayang
iii. Semua sahabat, rakan dan teman yang mengenali diri ini

4. Panggilan untuk si dia.
Masih lagi dalam prosedur pencarian

5. Hadiah yang paling diimpikan daripada si dia
Berbalik semua pada jawapan soalan 4

Blog mana yang paling anda suka jenguk?
Blog para sahabat dan blog berunsurkan ilmu dan informasi

Tag kepada lima belas (15) rakan blogger anda.
Rasanya, soalan ini saya terpaksa jawab di luar lingkungannya. Kepada semua sahabat, anda ditag oleh saya untuk menjawab nukilan ini dengan hati yang terbuka

2 comments:

Sunday, October 3, 2010

Sekilas Majlis Konvokesyen UTM ke 45


27 September 2010, bersamaan 18 Syawal 1431 Hijrah. Suasana sekitar Dewan Sultan Iskandar (DSI) diselubungi dengan hujan yang mulai turun pada tengah harinya. Suasana sekitar dewan juga turut dibanjiri dengan ibu bapa dan ahli keluarga tersayang.

Jam hampir menunjukkan jam 1.25 tengah hari. Usai saja solat Zuhur berjemaah di Masjid Sultan Ismail (MSI), aku melangkah keluar. Dengan siap berpakaian baju Melayu hitam cekak musang bersampingkan songket hitam emas, aku menyarung jubah berwarna merah maroon. Mortar board aku sisipkan di sisi kepala tatkala selesai menyarung jubah. Seterusnya, aku melangkah menuju ke perbarisan para graduan.

Mataku meliar melihat keadaan sekeliling. Wajah ibu bapa dan sanak saudara yang hadir mempamerkan secalit senyuman. Senyuman bangga dan gembira. Ada yang tiba beberapa hari lepas, ada juga yang baru tiba hari ini. Meskipun keletihan menempuh perjalanan yang panjang bagi mereka yang datang dari pelbagai pelusuk kawasan, semua itu tidak menjadi agenda utama. Semuanya kerana segulung ijazah yang diraih oleh insan tersayang dan teristimewa.

Semasa berada di dalam DSI, menantikan ketibaan Yang Berhormat Dato' Pro-Canselor UTM, aku sempat merenung ke arah ibu bapa yang hadir dan berada di dalam DSI berkenaan. Sama seperti dengan apa yang aku lihat sebelum aku memasuki DSI. Sinar cahaya kegembiraan jelas terpancar di medan wajah mereka. Alhamdulillah, berkat usaha mereka, anak-anak berjaya mencapai cita-cita untuk menggenggam segulung ijazah di menara gading.

Seketika kemudian, Yang Berhormat Dato' Pro-Canselor diarak masuk ke DSI dengan diiringi Yang Berbahagia Dato' Naib Canselor UTM bersama-sama Timbalan Naib Canselor dan para Dekan. Di hadapan perarakan mereka diterajui oleh seorang lelaki yang lengkap berpakaian Melayu bersama tanjak di kepala sambil memegang sebilah keris gergasi. Beliau berjalan, memandu semua dif-dif kehormat masuk ke dalam DSI. Keris terbabit diletakkan di atas paranya; di atas pentas utama sebagai simbolik terhadap bermulanya majlis konvokesyen bagi sesi petang itu.

http://www.utm.my/aboututm/images/stories/datoZaini.gif
Yang Berbahagia Dato' Ir. Dr. Zaini Ujang
"Percayalah bahawa mereka yang berilmu tidak akan sekali-kali rugi dan miskin. Para ilmuwan sebenarnya lebih berharta dari hartawan kerana ilmu tidak berkurangan walau dibelanja sebanyak manapun; ilmuwan lebih berkuasa dari ketua penguasa kerana ilmu memimpin ke jalan yang lurus. Sesungguhnya, peranan ilmuwan itu adalah penyuluh minda, penyubur jiwa, pemimpin zaman dan pewaris para Nabi."
Petikan ucapan daripada Yang Berbahagia Dato' Naib Canselor UTM semasa ucaptamanya sempena majlis konvokesyen bagi sesi lima, 27 September 2010.

Ucapan daripada Yang Berbahagia Dato' Naib Canselor UTM sememangnya memberikan suatu semangat yang mengalir dalam diriku. Semangat untuk memburu ilmu dan berbakti terhadap masyarakat apabila tiba masanya. Suatu ucapan dan laungan ilmuwan yang begitu memberikan isotonik terhadap para graduan, terutamanya yang menyambung pengajian masing-masing di peringkat pasca-ijazah.

Tamat saja sesi penganugerahan ijazah Sarjana Muda bagi sesi petang itu, maka, secara rasminya aku bergelar graduan. Alhamdulillah. Suasana pada petang itu disambut dengan linangan air hujan yang turun menyambut kami keluar dari DSI. Hujan rahmat bagiku meskipun ada yang merungut kerana dek hujan kerana mengganggu agenda mereka setelah itu iaitu bergambar.

Aku melangkah keluar dari DSI menuju ke MSI. Melihatkan jam di tangan yang sudah menunjukkan angka melepasi jam 5 suku petang, aku berwuduk dan terus bersolat Asar. Setelah selesai segala urusanku yang melibatkan majlis konvokesyen pada petang itu, aku melangkah menuju ke bilikku. Terasa seperti kosong. Terasa seperti kehilangan sesuatu.

Aku meredah jalan menyelusuri hingga ke Centre Point (CP) untuk membeli makanan. Hampir seharian aku tidak menjamah sesuap makanan masuk ke perut. Hanya semata-mata untuk bersiap dan bersedia untuk menghadiri ke majlis konvokesyen tersebut. Di segenap pelusuk bumi UTM, para ibu bapa dan sanak saudara berkumpul untuk meraikan kejayaan anak dan saudara mereka. Sememangnya, suasana tersebut adalah lumrah apabila majlis konvokesyen seperti itu dianjurkan.

Aku melangkah menuju ke bilik setelah usai membeli makanan. Niatku ketika itu hanya satu. Berusaha untuk mengecapi kejayaan seterusnya dalam bidang pengajian di peringkat sarjana dengan kehadiran keluarga. Insya Allah. Itu tekadku. Itu nekadku.

http://azrulhisyam.files.wordpress.com/2008/08/1_769815126l.jpg

Nota Kaki: Belum terlambat lagi rasanya untuk mengucapkan tahniah kepada para graduan UTM pada Majlis Konvokesyen UTM ke 45. Semoga kalian semua berjaya dalam kehidupan yang kalian tempuhi. Kepada rakan sekuliah, Sarjana Muda (Sains) Biologi Industri dan Biologi Tulen, Insya Allah, jika ada kesempatan, kita berjumpa lagi. Selamat Maju Jaya buat kalian semua.

5 comments: