Tuesday, November 30, 2010

Klise Daripada Tun Dr Mahathir Mohamad


KUALA LUMPUR: Tidak perlu dibina satu lagi menara tinggi di negara ini buat masa ini kerana sudah ada tanda-tanda lebihan bekalan harta, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya rasa kita belum memerlukan satu lagi menara yang lebih tinggi (daripada Menara Berkembar) kerana kita mengalami sedikit lebihan bangunan," katanya ketika ditanya mengenai cadangan projek Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat oleh Permodalan Nasional Bhd.

Gambaran bagi pembinaan Menara Warisan Merdeka

Ada banyak iklan tentang ruang yang ada, katanya pada satu sesi soal jawab selepas menyampaikan ucapan pada acara "Revisiting Vision 2020" anjuran Institut Pemasaran Malaysia di sini hari ini.

Dubai adalah contoh klasik tentang lebihan bangunan, katanya ketika menjawab soalan daripada hadirin.

Katanya, Jepun dan Hong Kong juga mengalami keadaan yang sama pada masa lalu.

"Jepun masih belum pulih daripada keruntuhan ekonominya disebabkan oleh lebihan bangunan. Begitu juga Dubai dan apa yang terjadi di sana, boleh terjadi di mana-mana sahaja. - BERNAMA


Nota Kaki: Sesungguhnya, pembinaan menara tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada pelbagai susun lapis masyarakat. Bagi saya, pihak pengurusan dan kerajaan perlu mengambil kira segala pandangan dan pendapat serta keberkesanannya dalam memberikan impak terhadap negara. Lihat saja negara-negara maju seperti Jepun. Mereka tidak menitik beratkan terhadap faktor binaan tertinggi untuk menjana pertumbuhan ekonomi mereka. Jangan kita menjadi seperti Dubai yang akhirnya terpaksa menanggung segala hutang kerana sikap mereka yang ghairah dalam menjadi serba-serbi indikator terhadap dunia. Malaysia patut belajar daripada kesilapan dan bukannya menghasilkan kesilapan yang sama.

1 comments:

Friday, November 19, 2010

Sorotan 12 Zulhijjah 1426H

Mataku tertumpu pada sebuah binaan yang sangat utuh berdiri di hadapan kaca mataku. Sebuah binaan yang menjadi pusat tujuan seluruh umat Islam dalam melengkapi kelima-lima rukun Islam.


Kaabah. Dibaluti dengan kiswah berwarna hitam, bersulamkan jahitan berwarna emas dengan pelbagai kalimah Allah berada di atasnya. Aku merenung ke arah Kaabah sambil korneaku ligat memerhatikan segenap pelusuk tempat yang mula dipenuhi manusia untuk mengerjakan tawaf. Semuanya mempunyai satu matlamat, satu darjat, satu pakaian, satu niat. Iaitu menyerah diri kepada Tuhan Yang Maha Esa. Tiada satupun perbezaan di antara mereka meskipun mereka datang dari pelbagai latar belakang dan profil. Semua itu bukan suatu indikator dalam menghadap Tuhan Yang Maha Esa. Hanya hati dan iman saja yang menjadi huluran dalam meraih cinta sejati-Nya.

Hari ini genap 12 Zulhijjah 1426H. Suasana pagi ini disulami dengan curahan cahaya mentari yang menyinari dari ufuk Timur dunia, seakan-akan memberi peluang kepada para jemaah haji yang menunaikan rukun kelima Rukun Islam ini melaksanakannya dengan tenang. Kebanyakkan para jemaah haji yang berada di Mina beransur-ansur bergerak masuk ke Masjidil Haram untuk menyempurnakan segala rukun dan wajib haji, bagi mereka yang berniat untuk mengerjakan Nafar Awal.

Gambarajah perjalanan ketika melakukan ibadah haji

Aku telah usai mengerjakan tawaf dan sai'e bersama-sama dengan adik dan abahku. Kini, aku menunggu mereka dalam menyelesaikan sujud syukur mereka terhadap Ilahi. Syukur kerana mampu melaksanakan segala yang diperintahkan-Nya dan dipermudahkan segala urusan.

Hatiku sayu memerhatikan lambaian manusia yang mengelilingi Kaabah. Oh! Betapa rindunya hati ini tatkala melihat Kaabah. Hati ini sudah dipungut rindu sebelum ini ketika meninggalkan Madinah al-Munawwarah terdahulu. Sebuah tempat yang bersemadinya seorang insan agung yang menjadi kekasih Allah, iaitu Muhammad saw. Selamat dan salam ke atas baginda. Entah bila lagi hati ini mampu untuk datang mendekati kedua-dua tempat suci ini.

Sungguh tidak aku sangka bahawa aku mampu untuk sampai ke sini. Ianya seperti bagaikan mimpi yang menjadi realiti. Sesungguhnya, diri ini terpilih menjadi salah seorang tetamu jemputan-Nya adalah salah satu penghargaan yang tidak mampu untuk dihitung, malah diukur dengan nilai permata sekalipun. Syukur, alhamdulillah.

Aku tidak sama sekali terfikir bahawa pemergianku bersama-sama dengan keluargaku ke Tanah Suci ini membawa pada penyempurnaan rukun Islamku. Yang nyata, dalam mindaku, aku hanya hadir ke bumi para Anbiya' ini sekadar untuk membantu abah dan ibuku menunaikan fardhu haji mereka. Kerana aku bertanggungjawab sebagai anak sulung untuk membantu mereka menyempurnakan ibadah tersebut tanpa adanya sebarang permasalahan yang wujud. Namun, akhirnya ia diakhiri dengan aku turut sama mengerjakan ibadah tersebut. Subhanalllah. Maha Suci Allah yang mengatur segala perjalanan hidup para hamba-Nya. Begitu teliti dan berhikmah sekali tanpa mampu untuk hamba-Nya menjangkau makna yang tersurat, apatah lagi makna yang tersirat di sebalik kejadian dan peristiwa tersebut.

Masih lagi segar dalam ingatanku ketika melontar jamrah buat kali pertama dengan asakan dan rempuhan manusia yang mempunyai bentuk fisiologi dan anatomi tubuh yang jauh lebih besar daripada kebanyakkan warganegara Malaysia. Ketika itu, aku menggunakan tubuhku sebagai perisai untuk melindungi seluruh ahli keluargaku daripada rempuhan manusia yang bisa meninggalkan kesan kesakitan dan trauma. Ah! Pengalaman yang jarang untuk aku peroleh di mana-mana tempat. Begitu juga dengan pengalamanku mencukur rambut bagi seorang jemaah daripada Turki yang memintaku berbuat demikian kerana beliau sudah melaksanakan Tahalul Awal. Meskipun perbezaan bahasa, namun, kita mampu memahami antara satu sama lain kerana ianya didasari atas niat yang satu; menuju Allah swt.

Aku kembali semula ke dunia fana ini setelah aku dicuit oleh adikku. Abah dan adikku kini berada di sebelahku. Mereka mengajakku untuk pulang ke hotel. Sambil aku bergerak seiringan bersama mereka, mataku sempat memandang sekilas ke arah Kaabah. Ya. Selepas ini, aku akan menemani ibuku untuk melaksanakan tawaf dan sai'enya kelak. Tidak sabar rasanya hati ini untuk mengerjakan tawaf pada waktu malam pula. Semoga dipermudahkan urusan. Insya Allah.


Nota Kaki: Sebuah perjalanan kisah ini telah diubah suai bagi membolehkan penulis menceritakan semual situasi yang pernah dilaluinya.

0 comments:

Tuesday, November 16, 2010

Salam Aidiladha 1431H

Di kesempatan ini, saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan Salam Aidiladha kepada seluruh kenalan yang mengenali diri ini. Moga-moga, hari raya kali ini disambut dengan pengertian yang sungguh mendalam, terutamanya pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

Salam Aidiladha 1431H kepada semua.


Nota Kaki: Kepada individu-individu yang masih lagi berada dalam situasi peperiksaan akhir semester, selamat maju jaya dan berusaha sehingga ke helaian kertas yang terakhir.

0 comments:

Saturday, November 13, 2010

Garangkah Saya?


Saya sering kali tertanya-tanya kepada siri saya sendiri. Adakah saya begitu garang sehingga mereka-mereka yang berada di sekeliling saya, hampir kesemuanya seperti ketakutan untuk berhadapan dengan saya?

Saya sendiri merasai perubahan tersebut, namun saya lontarkan jauh-jauh kerana omelan monolog diri saya yang mungkin tiada asasnya. Namun, kadang-kadang, ianya seperti menjerut diri saya sendiri. Adakah benar perwatakan saya selama ini yang terlalu susah untuk melemparkan senyuman tatkala berada dalam keadaan biasa sebenarnya memakan diri saya sendiri?

Kusut pemikiran saya. Semakin saya renung dan fikirkan, semakin saya rasa saya ke arah itu. Kebanyakan mereka yang berada di sekeliling saya, menyatakan bahawa saya seorang yang mempunyai ekspresi muka yang tertekan, amarah, tegang dan seantero dengannya. Sedangkan, itulah diri saya ketika saya berada dalam keadaan atau 'mood' biasa.

Namun, saya perlu juga meneliti setiap apa yang diperkatakan oleh mereka kerana mereka boleh diibaratkan sebagai cermin bagi saya. Merekalah yang nampak apa yang saya tidak nampak pada diri saya sendiri. Merekalah refleksi terhadap segala kekurangan saya. Kekurangan yang mampu untuk saya atasi selagi mampu kudrat saya tempuhi.

Terimbas semula sebuah kisah pada zaman Saidina Umar al-Khattab, semasa beliau menjadi pemimpin ummah. Kesemua rakyat takut untuk berdepan dengannya sehinggakan pernah diriwayatkan bahawa syaitan yang bertembung dengan Saidina Umar akan bertempiaran lari mencari jalan lain untuk tidak bersemuka dengan Umar. Begitu tinggi kewibawaan perwatakan Saidina Umar.

Persoalan 'Garangkah Saya?' masih lagi berlegar-legar di minda saya sehingga kini. Garangkah saya?

8 comments: