Monday, May 31, 2010

Israel Semakin Menampakkan Riak Ketakutannya

"Angka kematian mencapai 19 orang dengan 26 lagi cedera dalam serangan komando Israel ke atas bantuan Freedom Flotilla yang menuju ke Semenanjung Gaza."

Jari-jemariku terhenti mengklik tatkala terbaca sebaris ayat yang menarik minatku. Mataku memandang paparan laptop tanpa kerdipan buat beberapa jeda. Aku menghela nafasku. Panjang. Sekali lagi aku memaksa mindaku memikirkan suasana dan situasi yang dilanda oleh para aktivitis yang menuju ke sana. Imaginasi realiti yang hanya dimainkan oleh mindaku. Masya Allah.

Begitu kejam sekali tindakan Israel yang nekad untuk mematikan langkah-langkah dan pergerakan manusia yang ingin membantu saudara-saudara Islam di sana. Begitu tergamak sekali tindakan terkutuk mereka.

Hatiku menyumpah seranah. Menyumpah terhadap perbuatan yang sama sekali tidak masuk dek akal. Cetek sungguh rasionaliti mereka. Apatah lagi hati-hati mereka.

Aku mencari-cari lagi sumber-sumber yang mampu untukku berikan input terhadap diriku mengenai perjalanan aktivitis ini. Dalam mencari-cari tersebut, terlintas sejenak dalam pemikiranku. Aku tersenyum sendirian. Betapa ceteknya ideologi mereka. Mereka mengandaikan bahawa dengan menyekat bantuan sebegitu mampu untuk melumpuhkan sisa-sisa perjuangan untuk pembebasan warga Palestin. Namun, mereka silap. Silap sama sekali. Secara zahirnya, memang mereka mampu berbuat demikian. Mereka tidak mampu menghalang hati-hati yang ingin membantu mereka yang tertindas. Secara rohaninya. Mereka tewas dan tumpas dari segi kerohaniannya. Mereka tidak mampu memotong talian online yang menyambungkan para hamba-Nya yang ditindas dengan Allah Yang Maha Esa. Mereka kecundang sebenarnya. Tewas dengan perbuatan dan sikap mereka sendiri.

"Ya Allah, kami letakkan Kamu di batang leher musuh kami, dan kami berlindung dengan-Mu dari kejahatan mereka. Ya Allah, leburkanlah kumpulan mereka, kacau-bilaukan persatuan mereka, cerai-beraikan pakatan mereka, goncangkan pendirian mereka, hantarkan anjing-anjing kami ke atas mereka, wahai Tuhan Yang Gagah Perkasa, wahai Tuhan Yang Bersifat Murka. Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah, wahai Tuhan Yang Menurunkan Al-Quran, whai Tuhan Yang Mengarakkan Awan, wahai Tuhan Yang Menewaskan Bala Tentera Ahzab, kalahkan mereka, menangkanlah kami ke atas mereka. Amin..."

2 comments:

Subsidi Pelajar Antarabangsa Ditarik: Khaled Nordin

Ehsan dari Berita Harian Online


Subsidi yuran pengajian pelajar asing di IPTA ditarik balik Julai

PUTRAJAYA: Subsidi yuran pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang turut dinikmati oleh pelajar asing akan ditarik balik mulai sesi pengajian Julai ini.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin


Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ini bermakna yuran pengajian yang perlu dibayar oleh pelajar asing tersebut sama seperti jumlah yang dikenakan oleh institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) kepada pelajarnya.


Bagaimanapun, katanya, subsidi yuran pengajian kepada pelajar tempatan di IPTA dikekalkan.


"Dalam sektor pengajian tinggi, kita ingin menjelaskan bahawa tidak ada apa-apa cadangan untuk menghapuskan subsidi kepada pelajar tempatan di IPTA supaya rakyat tidak merasa bimbang."


"Bagaimanapun, mulai tahun ini subsidi yuran pengajian atau sebagainya yang diberikan kepada pelajar antarabangsa tidak lagi membenarkan apa-apa elemen subsidi diberikan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian surat kelulusan penubuhan, pendaftaran IPTS dan pendaftaran Ketua Eksekutif Universiti Antarabangsa Inti, di sini hari ini.


Mohamed Khaled berkata sebelum ini, sesetengah IPTA menjadikan keistimewaan subsidi tersebut sebagai daya tarikan untuk menarik lebih ramai pelajar asing untuk melanjutkan pengajian di universiti berkenaan.


"Tetapi setiap IPTA sekarang ini mempunyai kekuatan masing-masing dan ramai pelajar asing mahu belajar di IPTA, jadi mereka tidak perlu lagi diberikan keistimewaan subsidi itu dan mereka perlu bayar (yuran) penuh," katanya.


Mengenai kenaikan taraf Kolej Universiti Inti kepada Universiti Antarabangsa Inti, beliau berkata pengiktirafan tersebut diharap mampu menyumbang kepada usaha Malaysia menjadikan negara ini sebagai hab pengajian tinggi.


"Universiti Antarabangsa Inti menepati kriteria atau syarat untuk dinaik taraf sebagai sebuah universiti dan diharap dengan pengiktirafan ini bakal menawarkan program bertaraf dunia kepada pelajar," katanya.


Universiti Antarabangsa Inti yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan itu ditubuhkan sejak 1998 dan mempunyai 5,500 pelajar. - Bernama

0 comments:

Wednesday, May 26, 2010

Buku: Membongkar Misteri Dajjal

http://hijjazrecords.com/hrp/images/Cover-MEMBONGKAR-MISTERI-DAJJAL%20500.jpg

Buku 'Membongkar Misteri Dajjal' hasil karya Mohd Khalid Yahya, atau nama penanya Muhammad Nurani Maarif adalah berkisarkan mengenai Dajjal dan penemuan yang dibuat oleh Muhammad Isa Daud terhadap identiti Dajjal yang dihuni pelbagai persoalan tanpa adanya susulan jawapan terhadapnya.

Buku ini juga turut mengupas pelbagai hasil struktur binaan pelik dan aneh yang masih lagi utuh berdiri sehingga kini seperti Stonehenge, Pulau Easter sehingga kompleks binaan yang dianggap mitos, iaitu Atlantis.

Buku ini turut sama menyelongkar segala perancangan Dajjal yang menjadi dalang di sebalik konspirasi terhadap kemunculannya dalam tercetusnya Perang Dunia ke-3 dan keadaan dunia yang huru-hara.

Sebagai konklusi dalam penerbitan buku ini, atas inisiatif penulis, buku ini turut memberikan persediaan dan keperluan asas bagi menghadapi fitnah Dajjal.

Untuk maklumat mengenai buku ini, bolehlah melayarinya di sini.

0 comments:

Saturday, May 22, 2010

Facebook Menjadi Medan Perbalahan

Ehsan dari Berita Harian Online


Lukisan Nabi Cetus Perang di Facebook

http://maboot.com/wp-content/uploads/facebook-banned.jpg

SEATTLE: Idea kartunis Amerika Syarikat, Molly Norris, mengisytiharkan 20 Mei (semalam) sebagai ‘Everybody Draw Mohammed Day!’ (Hari Melukis Muhammad) menyebabkan beribu-ribu orang mengambil bahagian selain mencetuskan bantahan lebih ramai lagi menyebabkan Pakistan menyekat laman web Facebook.

Norris asalnya mengemukakan cadangan itu sebagai membantah keputusan rancangan Comedy Central menapis episod South Park memaparkan Nabi Muhammad dalam kostum beruang.

Cadangannya bulan lalu kemudian menyebabkan ramai pengguna Facebook mengambil bahagian dengan melukis wajah nabi di laman web itu.

Sehingga kelmarin, lebih 41,000 pengguna Facebook menyokong karikatur nabi di laman mereka, manakala 56,000 lagi membantah.

Sementara itu, Pakistan mengarahkan pembekal perkhidmatan internet menyekat Facebook kerana menggalakkan pengguna menyiarkan imej Nabi Muhammad.

Kemarahan disuarakan di Pakistan dan negara lain kerana Islam melarang penyiaran imej Nabi. Kerajaan Pakistan bertindak selepas sekumpulan peguam Muslim memperoleh arahan mahkamah supaya menyekat Facebook sehingga 31 Mei.

Petang kelmarin, akses kepada laman berkenaan tidak menentu kerana pembekal perkhidmatan internet mula melaksanakan arahan itu.

Di Karachi, kira-kira 2,000 pelajar mengadakan perhimpunan dan mendesak Facebook diharamkan kerana membenarkan karikatur nabi disiarkan.

Berpuluh-puluh pelajar berhimpun di kawasan berhampiran sambil memegang papan tanda menggesa jihad terhadap penghina nabi.

Beberapa negara lain seperti China sudah mengharamkan Facebook buat selama-lamanya. – AP




Nota Kaki: Tak sudah-sudah orang kafir ini cuba untuk mengambil peluang menjatuhkan agama Islam.

2 comments:

Thursday, May 20, 2010

Murabbi Cinta

http://www.esasterawan.net/esasterawan/file_load.asp?ID=3278

Murabbi Cinta - buku ketiga yang dinukilkan oleh seorang penceramah terkenal, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil usai buku Aku Terima Nikahnya dan Bercinta Sampai Ke Syurga. Buku ini adalah kesinambungan dari buku-bukunya sebelum ini yang masih menitik beratkan soal kekeluargaan.

Buku ini masih lagi mengetengahkan dan mengekalkan gaya-gaya penulisan yang santai serta luahan bercerita yang disusuli dengan pelbagai onak ranjau kehidupan realiti dalam meniti kehidupan berkeluarga. Di samping itu, buku ini juga turut mengajak para pembaca untuk kembali kepada fitrah penciptaan cinta.

Bagi saya, buku ini adalah salah satu koleksi yang saya fikir patut untuk dimiliki kepada sesiapa yang telahpun memiliki kedua-dua buah buku tulisan Ustaz Hasrizal ini. Ianya merupakan lanjutan terhadap apa yang ingin dikupas dan diperkatakan mengenai soal-soal rumahtangga. Dan, saya tertarik dalam salah satu bab di dalam buku ini yang menceritakan bagaimana seorang manusia agung, iaitu Rasulullah saw, mengenai cintanya terhadap umatnya.

"SEPATUTNYAadalah sesuatu yang diperlukan untuk kita menetapkan matlamat, tetapi ia juga boleh menjadi racun yang memusnahkan kehidupan berumahtangga..."

0 comments:

Sunday, May 16, 2010

Sepucuk Warkah Buat Insan Bernama Guru

Tema Hari Guru 2010: Guru Pembina Negara Bangsa


Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami
Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.


Kami sentiasa menjunjung
Perlembagaan negara
Kami mengamalkan
Prinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.


Setiap butir perkataan berikut sering kita dengari sewaktu di bangku sekolah dahulu. Warga tenaga pengajar akan melaungkan keramat ikrar ini dihadapan anak didik bangsa mereka pada satu yang bersejarah buat mereka, iaitu Hari Guru.


Pernah suatu ketika, guru digelarkan sebagai sebuah lilin, yang membakar dirinya untuk menerangi insan lain. Namun, saya sangkal sama sekali bidalan sebegini. Mengapa? Kerana ianya sama sekali tidak menepati skop dan konsep guru itu sendiri. Seharusnya, guru ibarat cahaya neon, yang menerangi mereka sekelilingnya serta dirinya, bukannya mengabdikan diri mereka terhadap insan lain sambil mengabaikan kebajikan dan kemaslahatan diri mereka sendiri.


Skop guru kini semakin ditagih. Bukan seperti zaman dahulu kala, di mana cabaran guru kini semakin besar. Selain mendidik anak bangsa, mereka juga perlu mengendong hasrat dan impian negara dalam melahirkan produk yang bukan saja cemerlang dari aspek ilmiah, malah insaniah yang semakin hari semakin puput ditiup angin zaman. Cabaran yang perlu digalas oleh insan yang bergelar guru. Meskipun dihambat dengan tugasan rasmi dalam mendidik anak-anak bangsa sendiri, mereka juga perlu bertindak sebagai 'ibu bapa' kedua tatkala berada dalam persekitaran akademia terhadap para pelajar.


Sempena dengan Hari Guru yang diraikan pada hari ini, iitu 16 Mei, diharapkan para guru mampu memikul tanggungjawab dan amanah yang diutuskan terhadap mereka dengan jayanya. Moga-moga, keikhlasan dan pengorbanan mereka dalam mengharungi detik-detik sukar dalam mendidik para pelajar dibalas oleh-Nya. Selamat Hari Guru.




Nota Kaki: Selamat Hari Guru saya ucapkan terhadap seluruh warga pendidik di Malaysia, terutamanya kepada para guru yang telah mendidik saya:

1. SRK Bandar Baru Selayang, Bandar Baru Selayang, Selangor Darul Ehsan [1 Enau, Disember '94 - Mei '95]

2. SK Taman Universiti 1, Skudai, Johor Darul Ta'zim [1 Enau, Jun '95 - 2 Setia '96]

3. SK Si Rusa, Port Dickson, Negeri Darul Khusus [3 Cekap '97 - 4 Bersih '98]

4. SK Bandar Baru Selayang, Bandar Baru Selayang, Selangor Darul Ehsan [5 Dedikasi '99 - 6 Dedikasi '00]

5. SMK Selayang Bharu, Selangor Darul Ehsan [1 Bersih '01, 2 Amanah '02, 3 Helium '03, 4 Einstein '04 dan 5 Einstein '05]

6. Kolej Matrikulasi Johor, Tangkak, Johor Darul Ta'zim ['06/'07]

7. Universiti Teknologi Malaysia ['07 - '10]



Terima kasih. Jasamu dikenang hingga ke akhirnya. Semoga Allah memberkati perjalanan hidupmu.

0 comments:

Friday, May 14, 2010

Tak Jemukah Belajar?

Hati ini sedikit terpana tatkala mendengar ayat yang keluar dari mulut seorang mak cik yang menjual makanan di warungnya. Berikut merupakan sekilas imbauan perbualan yang berlaku petang tadi di antara saya dan mak cik tersebut usai solat Jumaat di Masjid at-Taqwa, Selayang Bharu.

Mak cik: Lama tak jumpa. Dah kerja?
Saya: Belum lagi, mak cik. Baru aje habis belajar. Insya Allah, nak sambung belajar lagi selepas nie.
Mak cik: Belajar lagi? Kau nie tak jemu-jemu ke belajar?

Saya tergumam sebentar mendengarkan ayat-ayat yang lancar keluar dari mulut mak cik terbabit. Sebenarnya, saya tidak langsung menduga itu yang bakal diluahkan oleh seorang insan yang telahpun mempunyai sebuah keluarga, di mana, anak-anaknya kini masih lagi menuntut ilmu di bangku sekolah. Bingung saya memikirkan luahan mak cik tersebut sehingga saya melangkah pulang dan tiba di rumah. Minda saya ligat memikirkan sindrom yang melanda kaum Melayu ketika ini, atau lebih persis umat Islam. Tidakkah ayat pertama yang turun wahyu daripada-Nya kepada junjungan besar, Nabi Muhammad saw melalui perantaraan Jibril as adalah surah Al-Alaq, yang menuntut manusia untuk membaca.


Membaca adalah skop atau ruang yang cukup luas untuk ditafsirkan. Ianya mengandungi pelbagai ilmu yang bisa berguna terhadap insan yang sanggup untuk bertuankan membaca. Jadi, proses pembelajaran dan pencarian ilmu sebenarnya adalah proses yang berterusan sehingga roh berpisah daripada jasad. Tidak kisahlah sama ada ilmu tersebut diperoleh secara formal mahupun tidak. Namun, mentaliti masyarakat kini harus mengubah prospek pencarian ilmu bukan semata-mata terhenti di peringkat institusi pengajian, malah perlu diteruskan dan dijadikan suatu budaya dalam kehidupan harian.



Nota Kaki: Ilmu berada di mana-mana. Cari dan kejar ia selagi hayat dikandung jasad.

0 comments:

Wednesday, May 12, 2010

Lagi Isu Mengenai Perjudian

Ehsan dari Berita Harian Online

Ghani Minhat Bantah Lesen Pertaruhan Piala Dunia
KUALA LUMPUR: Cadangan kerajaan membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia tidak dipersetujui raja bola negara, Datuk Abdul Ghani Minhat, yang bimbang perjudian seperti itu akan turut membabitkan perlawanan liga tempatan.


Datuk Abdul Ghani Minhat

Katanya, jika pertaruhan Piala Dunia dibenarkan, pemilik lesen perjudian itu akan meminta pula perkara yang sama bagi liga tempatan dan ini akan membunuh pembangunan bola sepak negara yang baru tumbuh.

"Jangan cuba simbah minyak ke api nanti ianya akan membakar diri sendiri," katanya di sini hari ini.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, menyatakan kerajaan sedang menimbang kemungkinan mengeluarkan lesen bagi membenarkan pertaruhan dilakukan semasa Piala Dunia bulan depan sebagai langkah mengurangkan aktiviti pertaruhan haram di negara ini.

Abdul Ghani, penyerang yang digeruni semasa eranya sekitar 60an, berkata beliau juga bimbang gejala rasuah yang pernah menyerang pasukan dalam Liga Malaysia pada tahun 1994 dan 1995, akan kembali mencemari bola sepak tempatan.

Liga Malaysia pernah dilanda rasuah pada tahun 1994 apabila 126 pemain dan jurulatih dipanggil untuk membantu siasatan.

Akibatnya 58 daripada mereka dikenakan hukuman gantung selama satu hingga empat tahun oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) manakala 21 pemain dan jurulatih diberhentikan dan beberapa pemain dibuang daerah dan tidak dibenarkan menyertai pertandingan bola sepak kelolaan FAM seumur hidup.

Kesannya, Malaysia kehilangan pemain handalan yang ramai. Kelompok pemain yang didakwa pada tahun itu adalah antara yang terbaik pernah dilahirkan oleh negara.

Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh, berkata beliau tidak menyokong sama sekali sebarang aktiviti yang berkaitan dengan perjudian dan pertaruhan yang membabitkan sukan kerana ia bukan sahaja haram daripada segi agama tetapi turut akan mengundang kepada perkara negatif.

"Bola sepak adalah sukan dan ianya tidak seharusnya dikaitkan dengan perjudian.
Tidak wajar jika perjudian dicampur dengan sukan kerana motif kemenangan dalam perjudian ialah untuk diri sendiri manakala dalam sukan ianya adalah kejayaan yang diperoleh secara pasukan," katanya.

Seorang peminat bola sepak dari Johor yang hanya mahu dikenali sebagai Zamri mempunyai pandangan berbeza kerana beliau berpendapat adalah tidak salah untuk menggunakan hasil yang diperoleh daripada sumber perjudian selagi mereka yang beragama Islam tidak terlibat dalam aktiviti tersebut.

"Air dan minyak tidak dapat bercampur. Terpulang kepada setiap individu menilainya dan dalam hal ini kerajaan boleh menguatkuasakan undang-undung melarang individu beragama Islam untuk terlibat dalam aktiviti ini," katanya. - Bernama

0 comments:

Sunday, May 9, 2010

Secupak Kasih, Segantang Sayang

Faris menatap gambar yang berada dalam sampul surat yang agak lusuh warnanya. Dalam sampul surat tersebut juga terselit sekeping nota tulisan yang amat dikenalinya. Mama. Faris amat mengenali tulisan insan yang tercinta itu. Mama telah pergi menemui Penciptanya seminggu yang lalu. Kini, yang tinggal hanyalah cebisan nostalgia mama dan dia serta peninggalan yang berada di tangannya kini.

Faris termenung jauh mengenangkan masa silam. Saat-saat dia bersama mamanya yang tercinta. Mengimbau kembali satu persatu detik yang pernah dilaluinya dahulu bersama mama.

"Faris, anak mama. Mari sini sayang. Mama suapkan nasi ya."

Ketika itu, Faris baru berusia 5 tahun. Faris hidup dengan mama berdua saja. Abah sudah lama meninggalkan mereka. Khabar beritanya sudah lama tidak didengari lagi. Abah seorang anggota tentera pengaman yang sering bertugas di luar negara. Saat Faris dilahirkan, abah tiada di sisi mama. Mama mengerti. Yang penting bagi mama ketika itu, Faris selamat dilahirkan. Perkhabaran terakhir yang diterima daripada abah adalah ketika abah berada di Somalia. Bertugas di daerah bergolak di sana. Ketika itu, Faris sudah menjangkau umur 3 tahun. Sejak dari itu, tiada lagi khabar berita daripada abah mahupun pasukan angkatan tentera. Berita yang diterima oleh mama baru-baru ini sama sekali tidak diduga oleh mama. Abah terkorban dalam satu misi ketika berada di sana. Mengalir air mata mama tanpa dapat dibendung lagi.

Mama tekad dan gigih untuk membesarkan anaknya yang satu itu. Meskipun usia Faris baru mencecah 5 tahun, mama tabah membesarkannya. Bagi Faris, mamalah ibu dan ayahnya. Faris membesar dalam dakapan mama sehingga Faris berada kini.

Faris terjaga dari lamunanku. Faris menyeka air mata yang mengalir tanpa Faris menyedari di pipinya. Faris membuka helaian kertas yang berada di dalam sampul berkenaan. Faris bukanya perlahan-lahan. Coretan tulisan mama tertera di dalam surat berkenaan. Faris membacanya dengan penuh teliti.


Ke hadapan anakku yang disayangi,

Assalamualaikum. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi Faris masih lagi diberikan peluang untuk meneruskan kehidupan di bumi Ilahi ini. Mama juga bersyukur kepada-Nya kerana berkat daripada-Nya, mama mampu membesarkan Faris dengan sempurna, meskipun ada cacat celanya.

Di saat Faris membuka dan membaca perutusan ini, mama telahpun pergi menyahut seruan-Nya. Mama tahu, Faris masih lagi memerlukan mama di sisi Faris. Namun, mama yakin, Faris mampu untuk meneruskan kehidupan ini tanpa adanya mama di sisi Faris. Tapi, percayalah, doa mama sentiasa mengiringi Faris. Semoga Faris tabah dan cekal dalam meneruskan hidup ini.

Mama gembira di saat mama pergi menemui Pencipta, anak mama berjaya diijab kabulkan dengan pilihan hati mama. Semoga Faris berbahagia dengan Nurul Fatihah sehingga ke akhirnya. Janji dengan mama, ya, sayang akan menjaganya seperti mana mama menjaga Faris. Mama tidak meminta apa-apapun daripada Faris, namun, tunaikanlah permintaan mama ini.

Terima kasih mama ucapkan kepada Faris kerana Faris setia berada di sisi mama sentiasa. Mama hargai pengorbanan Faris terhadap mama. Mama halalkan segala makan minum yang mama berikan kepada Faris selama ini. Mama juga ampunkan segala salah silap Faris selama mana mama menjaga Faris.

Sebelum mama akhiri helaian coretan mama ini, satu lagi pesan mama. Sentiasalah ingat kepada Allah. Jangan lupa jalankan kewajipan kita sebagai hamba kepada-Nya. Semoga anak mama diberi perlindungan oleh-Nya. Mama sayangkan Faris.

Wassalam.


Faris melipat helaian kertas itu usai membacanya. Faris tersentuh dengan ayat-ayat yang dicoretkan oleh mama. Begitu besar pengorbanan mama terhadapnya. Faris menyesali atas segala perbuatannya. Faris kadang-kala alpa dengan kehidupannya sehingga kebajikan mama terabai. Faris bangkit daripada duduknya di pangkin, yang terletak di kawasan halaman rumahnya. Di situlah tempat mama meluangkan masa yang ada. Faris berlalu masuk ke ruang tamu rumahnya. Langkah terhenti. Faris menoleh ke belakang. Memandang ke arah pangkin berkenaan. Di ruang matanya, Faris mampu melihat mamanya sedang khusyuk membaca sambil ditemani Faris sendiri. Mata Faris berkaca-kaca.

"Mama, setiap hari adalah hari ibu buat mama. Terima kasih kerana membesarkan Faris. Terima kasih juga kerana sanggup memberikan kasih sayang mama kepada Faris. Semoga mama tenang di sana."


Nota Kaki: Selamat Hari Ibu

0 comments:

Thursday, May 6, 2010

Demam Bola Sepak = Demam Judi?

Ehsan dari Malaysia Kini


Kerajaan timbang beri lesen judi Piala Dunia
http://2.bp.blogspot.com/_bemplLl_We8/S-KjXmLfaWI/AAAAAAAABbY/QrcGvZXHJrM/s1600/500px-2010_fifa_world_cup_logosvg.png
Kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussein, berkata jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussein, berkata jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.

"Ada beberapa perkara penting untuk dikaji sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram).

"Kerajaan sedang mengkaji perkara ini dan akan memutuskannya jika mahu membenarkan pertaruhan kerana kejohanan Piala Dunia ini semakin hampir," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Awang Adek berkata, jika lesen itu dikeluarkan, kerajaan dapat mengawal aktiviti perjudian, selain hasilnya boleh digunakan terutama untuk pembangunan bidang sukan di negara ini.

Beliau mengakui sudah ada pihak yang membuat permohonan untuk mendapatkan lesen itu tetapi beliau enggan mendedahkan lebih lanjut maklumat itu sehingga kerajaan membuat keputusan mengenainya.

Terdahulu, isu itu dibangkitkan pada sesi soal jawab oleh Senator Ng Fook Heng yang mahukan penjelasan kemungkinan kerajaan mengeluarkan lesen pertaruhan kejohanan Piala Dunia untuk mengelakkan perjudian haram.

Awang Adek berkata, kerajaan memandang serius aktiviti perjudian tanpa lesen yang membabitkan pertaruhan nombor ramalan, permainan mesin slot dan pertaruhan membabitkan bookie bagi permainan bola sepak dan permainan lain.

"Aktiviti perjudian tanpa lesen adalah aktiviti yang boleh mewujudkan kegiatan sampingan lain seperti peminjam wang tanpa lesen, jenayah terancang, penyeludupan dan pengubahan wang haram.

"Oleh itu sebagai sebuah kerajaan yang prihatin terhadap rakyatnya, kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya dan sebarang langkah perlu dilakukan secara berkesan bagi menangani masalah bookie tanpa lesen termasuk membenarkan pertaruhan bookie bola sepak dilaksanakan melalui perlesenan sah," katanya.

-Bernama


Nota Kaki: Maksud Firman Allah:

"Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya."

"Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?"
Surah Al-Maidah: ayat 90-91

Apakah bezanya di antara perjudian tanpa lesen dan perjudian berlesen? Bukankah kedua-duanya adalah haram di sisi Allah menurut Islam kerana ianya masih lagi merujuk terhadap judi. Namun, pihak pemerintah negara menghalalkan isu ini. Semoga Allah mengampuni mereka-mereka yang telah terlanjur dan kembali semula ke syiar Islam yang sebenar.

0 comments:

Tuesday, May 4, 2010

Perjalanan Yang Memenatkan

7 pagi, 2 Mei 2010. Aku tiba di perkarangan Kompleks Sukan Bukit Jalil. Kompleks sukan yang menempatkan sementara stesen bas Hentian Puduraya di sini kerana kerja-kerja penaik tarafan kemudahan sedang dilaksanakan ketika ini.

Waktu seawal itu sudah menampakkan kebanjiran manusia yang bakal bertolak ke destinasi masing-masing yang akan memulakan perjalanan seawal mungkin dengan menggunakan perkhidmatan bas ekspres. Aku bergerak seiringan dengan abah yang datang menghantarku ke stesen berkenaan. Mama dan adikku berada di rumah. Aku akan bertolak ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kampus Johor Bahru dan akan pulang semula ke Kuala Lumpur pada malam ini juga.

Kepulangan aku ke UTM semula berlaku setelah aku usai berada di rumah selama kurang dari 3 hari untuk melengkapkan cuti akhir semester yang bermula secara rasminya tanggal 26 April lalu. Perit diri ini untuk meneruskan perjalanan pulang semula ke UTM. Sengal-sengal tubuh masih ada lagi ketika itu. Memang terasa masih lagi bergelumang dengan noda-noda kepenatan. Namun, apakan daya. Janji telahpun dilafazkan dan demi jihad ilmu itu sendiri.


Dengan jadual perjalanan bas yang bakal bertolak jam 7.30 pagi ke Johor Bahru, aku menjangkakan aku akan tiba di UTM sebelum matahari tegak berdiri di atas kepala. Dan tiket untuk pulang semula ke Kuala Lumpur dijadualkan akan bertolak dari Sri Puteri pada jam 4.30 petangnya. Sungguh aku tak mampu untuk membayangkan suasana yang bakal aku lalui pada hari itu. Aku sendiri terasa bagaikan janggal dengan situasi itu. Awal pagi, aku berada di Kuala Lumpur. Menjelang tengah hari, aku sudah menjejakkan kaki di bumi UTM. Dan pada sebelah malamnya pula, aku berada kembali di kampung halamanku. Sungguh tidak mampu untuk aku ungkapkan perjalanan yang boleh aku klasifikasikan sebagai tidak pernah terjadi lagi sepanjang aku menjangkau usia 22 tahun.

Kerana ilmu, aku sanggup berkelana sebegitu rupa. Kerana Allah, aku turutkan juga niat mama dan abah untuk pulang semula ke UTM. Kerana hati, aku bulatkan nawaitu aku bahawa perkelanaan aku ini bukannya suatu musibah, bahkan suatu kesempatan untuk aku memperbetulkan segala kesilapan yang telah aku lakukan sebelum ini. Dan, syukur kepada-Nya. Aku mampu menempuhinya meskipun kesabaran aku diuji dengan pelbagai situasi yang melanda. Alhamdulillah, semoga perkelanaan aku ini memberikan hikmah kepadaku.


Nota Kaki: Alhamdulillah, sempat juga melihat gred senarai tampal bagi subjek Projek Sarjana Muda (PSM) yang ditampal di luar bilik koordinator. Syukur dengan keputusan yang diperoleh.

0 comments: