Saturday, July 17, 2010

Muhasabah Diri Untuk Masa Hadapan


Sudah seminggu aku melalui detik-detik sebagai seorang mahasiswa siswazah. Seperti biasa, bergelumang dengan segala macam ilmu dan bahan ilmiah. Namun, suasana menuntut ilmu tidak lagi sama seperti di bangku pra-siswazah. Semuanya berdiri di atas bumi realiti. Bertemankan hati dan minda sendiri.

Bukannya diri ini ingin melancarkan Perang Saraf mahupun Perang Psikologi terhadap mahasiswa pra-siswazah yang ingin melanjutkan pengajian mereka kelak. Hakikatnya, diri ini ingin melontarkan sedikit perasaan selama mana berada dalam kategori mahasiswa siswazah. Cuma.

Betullah apa yang sering kita dengar mahupun baca mengenai alam mahasiswa ini. Sesungguhnya, berada dalam lingkungan dan kelompok teman-teman dan rakan-rakan yang sama-sama ingin mengejar genggaman ijazah pertama dalam hidup adalah lebih seronok berbanding melaluinya buat kali kedua, atau melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Suasananya tidak semanis dan seindah jika tempoh tersebut usai dilalui.

Pernah juga terdetik dalam diri bahawa mengapa diri ini berada di sini ketika ini. Pernah juga mencari persoalan-persoalan lain mengapa diri ini perlu melalui saat-saat sebegini. Namun, hidup ini ibarat sebagai masa. Sekali kita melangkah ke hadapan, kita tidak mampu untuk memutarkannya kembali. Jadi, apa yang perlu diri ini lakukan adalah dengan menetapkan semula hati dan minda serta bersedia menghadapi penjelajahan baru yang bakal mendatang kelak. Tiada gunanya jika hati dan minda masih lagi ragu-ragu setelah berada dalam situasi tersebut. Insya Allah, mudah-mudahan, diri ini mampu mengatasi dugaan dan cabaran mendatang dengan hati dan minda yang lapang.

Visi dan misi ketika ini perlu diselaraskan semula mengikut piawaian asal. Lupakan kisah lalu. Fokus untuk menghadapi gelombang masa kini dan bersedia untuk jelajah diri bagi masa hadapan.

0 comments:

Monday, July 5, 2010

UPSR & PMR: Bangkit Setelah Bungkamnya PPSMI

Sejak akhir-akhir ini, kita dilontarkan dengan kenyataan yang diuar-uarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai status Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang bakal dimansuhkan kelak.

pix_middle

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan mengadakan perbincangan meja bulat bagi mengumpulkan pandangan pelbagai pihak terhadap cadangan kerajaan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 19 dan 27 Julai ini.

"Rumusan perbincangan akan dikemukakan kepada Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada awal Ogos ini," kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Berita lanjut, klik di sini.


Peperiksaan menjadi ukuran kebijaksanaan dan kejayaan negara melahirkan pelapis generasi masa depan lebih berwibawa, selain dianggap aset kecemerlangan.

Justeru, apabila ada cadangan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), pelbagai pihak tampil melontarkan pandangan.

Ada bersetuju kerana berasakan sistem berorentasikan peperiksaan sudah lapuk dan tidak relevan dengan konsep pendidikan alaf baru tetapi tidak kurang yang membantah. Persoalannya, adakah pemansuhan itu mampu mengubah senario sistem pendidikan negara ke tahap lebih baik atau sebaliknya?


Klik di sini untuk bacaan selanjutnya.


Di atas adalah merupakan bingkisan daripada bahan maklumat yang menzahirkan intipati skop topik hangat ketika ini. Adakah wajar untuk memansuhkan dua peperiksaan awam, iaitu UPSR dan PMR dalam meniti kehidupan pelajar sebelum menghadapi peperiksaan tunggal di peringkat sekolah, yakni Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) jika pemansuhan UPSR dan PMR berkenaan menjadi realiti?

Sebenarnya, masing-masing mempunyai pro dan kontranya. Bagi pendapat saya sendiri, jika UPSR dan PMR dimansuhkan sama sekali, pronya adalah terletak pada penilaian pelajar itu sendiri dalam memastikan dirinya sentiasa kompetitif dan mengaplikasikan segala ilmu pembelajarannya dalam kehidupan seharian. Bukannya lagi dinilai dan diukur semata-mata untuk berjaya dalam peperiksaan sebelum ini. Jadi, pembelajaran secara holistik atau menyeluruh mampu diasaskan tanpa adanya ikatan terhadap piawaian peperiksaan yang menyebabkan lahirnya budaya 'belajar untuk peperiksaan'.

Namun, kontranya juga seiring dengan pemansuhan peperiksaan awam tersebut. Sistem atau kaedah penilaian yang perlu diterapkan dan dilaksanakan bagi memastikan status piawaian pembelajaran dan pengajaran (P&P) berlangsung dengan efektif dan efisyen. Ini mungkin menjadi beban terbaru terhadap kementerian berkaitan kerana sudah sedia maklum bahawa populariti peperiksaan UPSR dan PMR sudah sinonim dan sebati dalam hidup seharian masyarakat kita di mana, peperiksaan UPSR dan PMR ini dijadikan sebagai kayu ukur untuk pengambilan pelajar untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh dan penentu aliran bagi pembelajaran di Tingkatan Empat.

Semua sedia maklum bahawa mengubah sesuatu dasar yang sudah lama diguna pakai adalah sesuatu yang perlu diberi penekanan dan diteliti dengan telus tanpa adanya kesilapan yang bakal mengundang permasalahan di masa akan datang. Pemansuhan UPSR dan PMR ini perlu diambil kira dalam pelbagai aspek dan skop tertentu agar pelaksanaannya kelak tidak menjadi suatu slogan yang bisa menjatuhkan martabat pendidikan dan pelajaran negara. Walau apapun jawapan dan keputusan yang diputuskan kelak oleh pihak berwajib, ianya perlu diperhalusi dan diteliti oleh seluruh peringkat masyarakat. Bukannya sekadar membina legasi tersendiri oleh segelintir pihak yang berpengaruh. Semuanya mesti diputuskan atas dasar kewarasan dan ketelusan dalam melahirkan cendekiawan negara yang mampu untuk berdaya saing dan mentadbir negara kelak.

0 comments:

Sunday, July 4, 2010

[Cerpen] Aku Anak Abah dan Ummi

Aku melangkah dengan penuh sayu. Hati ini dari pagi lagi diruntun pilu. Resah. Tidak mahu untuk berdamai. Sentiasa digasak. Aku melangkah menuju ke satu destinasi; destinasi ilmu.

Aku mengeluarkan segala borang dan helaian kertas yang berkaitan semasa berada di ruang menunggu. Mataku mengerling di segenap sudut. Memerhatikan segala tingkah manusia yang berada di situ. Abah dan Ummi menghampiriku. Baru tiba. Semenjak tadi mencari lokasi yang sesuai untuk memakirkan kenderaan.

"Dah daftar dah?" soal abah.

"Belum lagi, abah. Ira tunggu giliran sekarang ni." Jawabku sambil menghulurkan kerusi yang aku duduk terhadap abah dan ummi.

Aku memerhatikan jam di tangan. Sudah menginjak ke jam 9 pagi. Suasana pagi itu sedikit suram tanpa kelibat cahaya mentari yang sebelum ini begitu setia melabuhkan sinarnya di ufuk Timur. Awan mendung larat memenuhi gema langit. Bakal menandakan butiran rahmat hujan akan turun.

Mataku melinggas memerhati. Sambil cuba menenangkan hati. Kehadiran mahasiswa-mahasiswa baru yang mendaftar sebagai mahasiswa Tahun 1 bagi pengajian kali ini sememangnya merupakan saat atau detik yang menggembirakan bagi seluruh pelusuk keluarga. Aku pernah melihat dan merasai saat sebegitu semasa menghantar abangku 4 tahun dahulu. Lokasi pengajian abangku dan aku masih lagi sama. Tidak pernah berubah.

Keceriaan jelas terpancar dari raut wajah ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka. Meskipun mereka sedar bahawa mereka akan berpisah demi secicip ilmu yang perlu buat si anak kelak, maka mereka merelakan perpisahan ini terjadi. Rela melepaskan anak jagaan yang dibelai penuh kasih dan sayang itu pergi memenuhi keinginan dan peluang dalam memperoleh ilmu buat persediaan di hari muka.

Aku tunduk memandang sampul surat tawaranku. Membukanya. Fokus mataku terus tertancap pada nama dan kod pengajian aku. Nurul Nazira binti Abu Bakar. SEL-Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Elektronik). Aku bakal mewarisi baka kejuruteraan daripada abah. Abangku lebih terarah minatnya terhadap ilmu bioteknologi. Ah! Aku sememangnya anak abah. Getus hatiku sendirian.

Tidak lama kemudian, aku telah selamat mendaftar sebagai mahasiswa. Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia. 3 hari lagi, aku akan mendaftar di Fakulti Kejuruteraan Elektrik pula bagi pendaftaran subjek kelak. Itu yang tertulis dalam senarai jadual waktu yang diberikan oleh krew-krew yang bertugas semasa pendaftaran mahasiswa baru.

Aku mengatur langkah aku bersama-sama abah dan ummi menuju ke blok kediaman. Setelah segalanya siap dan usai menyelesaikan urusan pengemasan bilikku, abah dan ummi meminta diri untuk pulang. Ketika itu, hati aku diragut sayu. Pilu. Tubir mata mula bergenang dengan air jernih.

"Ira, jangan menangis ya. Ira kan anak abah, anak ummi. Anak abah dan ummi mana boleh menangis. Mesti kuat tahu. Ingat pesan abah dan ummi ni. Rajinlah dalam menuntut ilmu. Namun, jangan sekali-sekali Ira alpa tanggungjawab Ira terhadap Allah. Jangan tinggalkan solat. Jaga diri elok-elok ya." Abah berpesan dengan penuh hikmah. Pesanan demi pesanan yang sudah acap kali kedengaran oleh aku dan abangku. Namun, nasihat inilah yang begitu penting, yang sentiasa berlegar-legar di mindaku agar sentiasa memandu diri ini daripada tidak terbabas kelak.

"Ummi nak tengok anak-anak ummi semuanya berjaya. Meskipun kita dari keluarga yang kurang berkemampuan, tapi, hanya dengan ilmu saja yang mampu abah dan ummi usahakan untuk berikan kepada Ira. Ira belajar rajin-rajin ya." Ummi terus memelukku. Suatu dakapan hangat yang diraikan bersama dengan jujuran air mata ibu dan anak.

Aku mengiringi abah dan ummi. Mengiringi kepulangan mereka. Lambaian abah dan ummi aku tatap sehingga ianya hilang dari pandangan mataku. Ya. Aku tekad. Aku akan berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai segulung ijazah di tangan demi membalas segala perit-jerih pengorbanan abah dan ummi dalam membesarkan aku. Aku berlalu masuk ke bilik dengan azam baru. Azam yang berkobar-kobar. Aku mesti kuat. Sebab aku anak abah dan ummi.


Nota Kaki: Selamat melangkah ke dunia baru kepada mahasiswa-mahasiswi baru bagi sesi pengajian 2010/2011.

1 comments:

Friday, July 2, 2010

[Cerpan] Ombak Kasih: Bahagian 4


Fikiranku kusut. Buntu. Menanti tibanya hari pembentangan perancangan projek mega empangan hidroelektrik BAKUN. Kesemua pegawai kanan syarikat dan anak syarikat yang berkaitan akan turut sama hadir. Aku mengerling jam di hadapanku. Jarum sudah melepasi angka 1. Perlahan-lahan aku bangkit. Menuju ke arah ruang jendela pejabat. Melepaskan pandangan mataku jauh ke hadapan. Suasana kesesakan ibu kota Kuala Lumpur semakin galak. Aku menghela nafasku panjang. Berat.

“Assalamualaikum.” Suatu suara menyapaku. Aku menoleh sekilas mataku ke arah datangnya suara berkenaan.

“Waalaikumsalam. Zakaria, masuklah,” pelawaku sambil aku merapatkan tubuhku di kerusi sofa, yang tersedia di suatu sudut dalam ruang pejabatku.

“Kenapa dengan kau ni, Amir? Aku tengok dua, tiga hari ni kau banyak mendiamkan diri. Kenapa?”

“Entahlah, Zakaria. Aku runsing. Runsing.”

“Runsing? Maksud kau, runsing mengenai projek BAKUN tu?” Zakaria cuba menduga.

“Yalah. Apa lagi kalau bukan projek tu. Aku risau sangat sampai malam tadipun aku tak tidur lena. Asyik fikir benda tu saja.” Aku memejamkan mataku. Terasa benar penatnya akal ini berfungsi tanpa memberinya ruang untuk berehat.

“Amir, tenang, OK. Aku tahu impak beban kerja projek tu. Aku pun terasa sama. Tapi, jangan sampai beban kerja tu menyebabkan kita juga turut sama merengnya. Buat dengan terbaik, tapi jangan paksa diri sampai fitrah diri kita abaikan. Tubuh kau juga memerlukan rehat.” Panjang lebar penjelasan yang dihamburkan oleh Zakaria kepadaku. Aku memandang tepat mukanya.

“Amboi, amboi. Pandainya kau bagi motivasi percuma kepada aku ya?” Zakaria menahan gelak. Namun, terburai juga akhirnya deraian ketawanya.

“Aku memang pandai dalam hal-hal motivasi ni. Kau saja yang tak tahu,” katanya setelah ketawanya makin surut.

“Yalah, yalah. Aku admit. Kau memang pakar dalam hal-hal motivasi ni,” sindirku lalu bangkit menuju ke meja.

“Jom, Zakaria. Kita pergi lunch. Aku laparlah,” ujarku setelah mengemas fail-fail di atas mejaku.

“Jom. Aku pun lapar juga ni. Tapi, tak sampai hati nak pergi makan sebab ada orang tu stress dengan kerja sampai waktu makanpun tak ingat.” Sekali lagi aku dihamburkan nada-nada sinis oleh Zakaria. Aku hanya tulikan telingaku. Malas hendak aku layan kerenah orang tua ini. Makin dilayan makin menjadi.

“Nak makan kat mana?” Aku menyoalnya setelah mengunci bilikku.

“Hmm… Kita makan kat restoran Rasamas, OK?”

“OK. Jom. Nanti lambat pula masuk pejabat.”

Aku dan Zakaria bergegas menuju ke ruang letak kereta. Namun, langkahku terhenti di muka pintu utama syarikat tatkala terlihat seorang pekerja wanita sedang duduk menghadap fail-fail yang bertimbun di hadapannya. Aku berhenti seketika tidak jauh dari situ. Memerhatikan gerak-gerinya. Khusyuk. Teliti menjalankan kerjanya sehinggakan tidak sedar aku sedang memerhatikannya dari jauh.

“Hish, tak pergi makankah Fiza ni? Dah waktu rehat tengah hari sekarang ni.” Akalku ligat mengacukan pelbagai soalan yang sama sekali tiada jawapannya. Zakaria sudah hilang dari pandangan aku.

0 comments:

Thursday, July 1, 2010

1 Julai: Tarikh Imbauan 3 Tahun Lalu

1 Julai 2007. Tarikh ini adalah tarikh keramat bagi saya. Satu tarikh yang sememangnya amat berat untuk saya melangkah masuk ke gerbang ilmu di selatan tanah air, iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Tidak terdetik langsung bahawa saya akan mengikut jejak langkah abah untuk menyambung pengajian di sini setelah menyaksikan abah membesar di dalam kalangan jurutera di UTM Skudai pada tahun 1995.

Pintu gerbang UTM

Namun, sudah rezeki saya termaktub oleh-Nya di sini. Maka, saya cuba redha dengan pilihan ini. Sememangnya, UTM adalah salah satu penempatan pengajian yang saya pohon melalui UPU, namun, hati saya lebih terarah untuk menempatkan diri dalam kelompok warga kampus di sekitar Lembah Kelang. Mengapa? Kerana saya tidak mahu lagi berjauhan dengan keluarga. Bukannya apa. Saya sudah merantau hampir ke seluruh tanah air. Jadi, saya fikir, sudah masanya untuk saya berada berhampiran dengan kaum keluarga tersayang.

Jam 8.40 pagi, saya tiba di UTM Skudai. Terus mendaftar masuk sebagai mahasiswa Tahun 1, di Kolej Rahman Putra (KRP). Ketika ini, saya masih lagi kekok dengan suasana UTM kerana saya jarang menjelajahi kawasan persekitaran UTM melainkan kawasan-kawasan yang berhampiran dengan Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE). Di situlah tempat abah menuntut ilmu dalam pengajiannya.

Teman sepasukan bagi acara tarik tali semasa Sukan MHS

Semenjak hari pendaftaran itu, rasa sayang dan cinta terhadap UTM semakin menebal, terutamanya terhadap kolej kediaman saya. Semuanya gara-gara ejen-ejen Minggu Haluan Siswa (MHS) yang menyemai rasa kagum dan cinta terhadap UTM dan kolej kediaman masing-masing. Yang paling manis sekali adalah sorak semangat. Sorak semangat ini mempunyai pelbagai citarasanya tersendiri, bergantung terhadap identiti sesebuah kolej kediaman tersebut. Masih lagi saya ingat sorak Bollywood KRP yang turut sama digandingkan dengan penghuni-penghuni puteri Kolej Tun Fatimah. Sorak semangat yang sama sekali membuatkan warga-warga kolej kediaman lain turut sama mencari pasangan gandingan untuk memeriahkan suasana Dewan Sultan Iskandar (DSI) sepanjang minggu MHS tersebut.

Ternyata, semangat kekitaan yang disemai sebenarnya menunjukkan hasil yang positif. Masing-masing sibuk menjaga imej kolej kediaman masing-masing sama ada dalam sorak semangat, mahupun dalam Sukan MHS. Semuanya kenangan dan memori yang sama sekali tidak mampu dirungkaikan kembali.


Kini, 1 Julai 2010 merupakan detik saya menjadi seorang mahasiswa siswazah. Saya masih lagi berada di UTM Skudai, meneruskan visi saya yang seterusnya. Namun, suasana MHS itu tidak lagi berkumandang dan bergema lagi ketika ini. Kerana saya sudahpun melangkah ke alam yang lebih matang dan dewasa. Melangkah ke gerbang ilmu yang lebih luas. Menjadi seorang mahasiswa siswazah yang melanjutkan pengajiannya dalam Ijazah Sarjana.

Oh! Saya rindukan detik-detik tiga tahun yang lalu.

3 comments: