Tuesday, August 31, 2010

Merdeka: Malaysia Patut Bersyukur

31 Ogos 2010 - genaplah usia kemerdekaan kali ke 53. Syukur kepada-Nya kerana Malaysia masih lagi berada dalam keadaan yang aman sentosa, ekonomi yang masih stabil, kehidupan seharian rakyatnya yang masih lagi mampu untuk meneruskan jejak langkah di bumi Ilahi ini.

Malaysia, negaraku yang tercinta ~ picture by charches of deviant art

Namun, sedikit sebanyak, kita perlu kembali pada maksud sebenar kemerdekaan yang kita peroleh kini. Sudah semestinya kalian semua masih lagi ingat akan detik-detik penceritaan bagaimana tanah air kita memperoleh pembebasan daripada cengkaman kuasa kolonial. Betapa peritnya kehidupan di bawah pentadbiran zaman Negara Matahari Terbit, Bintang Tiga dan kuasa Barat. Semua itu perlu diperoleh dengan bayaran yang sangat mahal harganya.


Situasi ini boleh diseiringkan dengan rencah kehidupan yang dilalui oleh saudara-saudara kita di Palestin. Kehidupan seharian mereka ibarat bagaikan seorang pejuang. Pejuang yang memperjuangkan hak tanah air mereka yang dirampas oleh rejim Zionis - puak yang tidak memiliki dan memahami erti konsep kemanusiaan.

Oleh itu, marilah kita sama-sama bersyukur dengan setiap saat dan detik kehidupan kita yang masih lagi beroleh keamanan dan kesenangan ini. Dan tidak dilupakan juga, usaha dan doa kita terhadap saudara-saudara kita di sana yang masih lagi mencari-cari erti kebebasan yang didambakan.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke 53, negaraku, Malaysia!

0 comments:

Thursday, August 19, 2010

Al-Quds: Ungkapan Kronologi Sejarahnya



Hari Al-Quds (atau Hari Al-Aqsa) merujuk kepada peristiwa yang amat mengguris hati umat Islam di seluruh dunia apabila seorang pelampau Yahudi telah membakar Masjid al-Aqsa. Kesan dari pembakaran ini menyebabkan kemusnahan yang besar dan kerugian yang tidak dapat ditaksir dengan wang ringgit.

Masjid al-Aqsa

Selain dari beberapa peninggalan sejarah yang tidak ternilai musnah dijilat api seperti mimbar yang telah digunakan oleh Salahuddin al-Ayyubi sejak 700 tahun yang lalu, lebih penting lagi umat Islam merasa tercabar kerana masjid ketiga paling suci dalam akidah umat Islam cuba dimusnahkan oleh tangan-tangan jahat zionis yang telah lama menyusun strategi untuk merobohkan Masjid al-Aqsa dan merampas tapak masjid untuk mendirikan rumah ibadat mereka (Haikal Sulaiman).

Saat Masjid al-Aqsa dibakar oleh penyembah iblis dan Dajjal


Bahagian kawasan masjid al-Aqsa yang terjejas lantaran dari kebakaran tersebut

Perbuatan pelampau Yahudi yang bernama Michael Dennis Rohan berbangsa Australia ini bukanlah satu perbuatan persendirian yang terpencil. Malah ia merupakan satukonspirasi yang dirancang sebegitu rapi oleh ketua-ketua agama Yahudi yang fanatik dan pendatang Yahudi yang bersekongkol dengan regim zionis untuk mengancam dan memusnahkan Masjid al Aqsa. Konspirasi ini amat jelas apabila penduduk Arab yang berada berhampiran masjid dibiarkan untuk memadamkan api yang sedang marak dengan menimba air dan memadamkan sendiri kebakaran dengan bantuan dari perkhidmatan bomba Jordan dari Ramallah, al-Khalil dan Nablus tanpa sebarang bantuan dari pehak berkuasa zionis Israel. Michael Dennis dibicarakan atas percubaan membakar al Aqsa, tetapi diputuskan oleh mahkamah sebagai tidak siuman.

Samada Michael Dennis siuman atau tidak yang pasti satu laporan rasmi yang diterbitkan dalam akhbar Yediot Aharanot bahawa kuil Yahudi akan didirikan di tapak Masjid al-Aqsa pada 21 Ogos 1969 dan laporan itu terbit pada 18 Ogos, tiga hari sebelum berlakunya kejadian pembakaran ke atas Masjid al Aqsa.

Tindakan jahat ini telah mencetuskan satu inisiatif yang digerakkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Raja Faisal Arab Saudi dan Raja Hassan II, Maghribi untuk mengadakan sidang kemuncak negara Islam di Rabat dari 22 hingga 25 September 1969. Sidang kemuncak ini memutuskan resolusi untuk menyatukan seluruh negara-negara Islam ke arah memastikan pengunduran Israel dari wilayah Palestin yang diduduki natijah dari perang 1967.

Satu resolusi juga menegaskan bahawa sebarang penyelesaian Palestin yang tidak menjamin kedudukan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin sebagaimana statusnya sebelum tahun 1967 akan ditolak oleh negara-negara Islam.

Sehubungan dengan itu sebuah sekretariat ditubuhkan di Jeddah dan Setiausaha Agung (Secretary General) yang pertama diberi kepercayaan dan penghormatan ialah YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Dengan ini rasmilah penubuhan OIC seperti yang diketahui pada hari ini.

Sebaik selesai sahaja sidang kemuncak di Rabat, YTM Tunku Abdul Rahman bergegas ke Persidangan Agung PBB pada 7 Oktober 1969 sebagai mewakili ketua-ketua negara Islam bagi menegaskan semula kedudukan isu Palestin. Persoalan Palestin yang telah dikeluarkan dari agenda Persidangan PBB sejak tahun 1952 telah kembali diiktiraf oleh PBB hasil dari desakan dan aspirasi ketua-ketua negara Islam yang diungkapkan dengan penuh meyakinkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman di dalam persidangan PBB sesi yang ke 23 tersebut. Persidangan Agung PBB kemudiannya merubah perspektif mereka terhadap isu Palestin dengan mengiktiraf rakyat Palestin sebagai penduduk yang mempunyai hak di bawah Piagam PBB.

Kedudukan rakyat Palestin yang terusir dari tanah air mereka dan hak mereka yang tidak boleh diganggu gugat ini terjamin di bawah Resolusi PBB 2535B (XXIV) yang diterima oleh Persidangan Agung PBB pada 10 Disember 1969. Sumbangan dari YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj wajar dirakamkan sebagai batu tanda yang penting dalam perjuangan umat Islam di persada antarabangsa dalam isu pembelaan ke atas rakyat Palestin.

0 comments:

Sunday, August 15, 2010

[Perkongsian] Ramadhan: Antara Bulan dan Bintang

Ehsan dari Saifulislam.com


“Apa istimewanya berpuasa di bulan Ramadhan dan bukannya September?” saya bertanya.

Para peserta modul Fiqh of Travellers terpinga-pinga.

Bukan tidak tahu jawapan, tetapi tidak faham apa hubungkaitnya antara Ramadhan dan September.

“Kedua-duanya adalah bulan kesembilan di dalam kalendar Gregorian dan kalendar Hijriah Islam” aju seorang peserta.

“Benar sekali. Tetapi sentiasakah Ramadhan itu jatuh bersamaan dengan bulan September?” saya melanjutkan soal jawab.

“Tentu sahaja tidak. Malah Ramadhan akan tiba kira-kira 10 hari lebih awal berbanding dengan tahun sebelumnya” balas peserta tersebut.

Tepat sekali. Itulah yang cuba saya gambarkan kepada mereka. Setiap tahun, Ramadhan akan tiba sekitar 10 atau 11 hari lebih awal berbanding dengan tahun sebelumnya. Ramadhan pernah jatuh pada bulan Disember, ia juga boleh tiba pada bulan Jun.

Hikmahnya besar.

Hikmah yang lebih jelas bagi manusia yang mengambil peluang kembara ke utara atau selatan Bumi.


Semasa Ramadhan tiba pada bulan Disember, ia bermaksud umat Islam di negara-negara utara Bumi menyambut bulan yang penuh makna ini pada musim sejuk. Selain cuaca yang sejuk, mengurangkan rasa dahaga yang menguji, siang pada musim sejuk adalah pendek berbanding malam. Subuh lewat dan Maghrib pula awal.

“Seawal bagaimana ustaz?” tanya seorang peserta.

“Subuh boleh masuk selewat 7:30 pagi dan Maghrib pula masuk pada jam 4 petang!” saya menjawab.

“Wah, hebatnya!” pelajar-pelajar itu kelihatan teruja.

“Sebab itu ramai orang kaya buat umrah di London, semasa Ramadhan jatuh pada musim sejuk!” saya berseloroh.

Mereka ketawa. Faham dengan bahasa sinis itu.


“Tetapi lain pula ceritanya di musim panas. Apabila Ramadhan tiba pada bulan Julai, itu sudah terbalik. Siang menjadi panjang, malam menjadi pendek” saya menyambung penjelasan.

“Misalnya?” tanya anak muda yang bakal terbang ke USA itu.

“Di Amerika Syarikat saya tidak pasti. Tetapi di tempat saya bertugas dahulu di Ireland Utara, Subuh boleh tiba seawal 2:15 pagi dan Maghrib selewat 9:45 malam!” saya menjawab.

Terkejut mereka.

“Mujurlah saya sudah balik ke Malaysia. Kalau tidak, tinggal sekepinglah jawabnya!” saya mengusik.

Dalam ketawa, mereka turut dilanda resah. Saya tinggal di Malaysia, mereka bakal terbang ke destinasi pengajian masing-masing. Bakal berpuasa di perantauan. Menyambut Ramadhan di musim panas. Musim yang siangnya panjang berganda dan malam pula hanya segelintir hari.

“Tetapi untunglah mereka yang bakal ke Australia dan New Zealand. Terbalik dari UK, USA, Russia dan Jepun, bulan Jun, Julai dan Ogos di sana itu adalah musim sejuk” saya menyambung kuliah.

Benar sekali.

Jika selama ini, umat Islam di Hemisfera Selatan Bumi seperti Australia, New Zealand, Afrika Selatan dan Argentina diuji dengan Ramadhan yang jatuh pada November, Disember dan Januari yang merupakan musim panas, umat Islam di utara Bumi sedang meraikan puasa di musim sejuk. Kini, apabila umat Islam di Utara pula semakin panjang tempoh puasanya kerana Ramadhan jatuh pada musim panas, umat Islam di Selatan pula mengambil giliran menikmati puasa yang semakin pendek dan mudah.

Duduklah di mana sahaja, dengan Islam kita akan menikmati keadilan Allah Subhanahu wa Ta’aala.

Lagi bagus, kalau duduk di Malaysia, dari lahir sampai mati, sentiasa sederhana dan sama sahaja!


Berbeza sekali dengan agama Kristian yang menggunakan kalendar berasaskan matahari. 25 Disember sentiasa musim sejuk di utara bumi, dan sentiasa musim panas di selatan sana. Imej Krismas di Australia dan New Zealand tidak pernah sama dengan imej Krismas menurut sentuhan UK dan USA kerana Disember sentiasa musim sejuk di atas sana, sentiasa musim panas di selatan pula.

Islam agama fitrah.

Bukankah ia sesuatu yang indah?


Nota Kaki: Sesuatu kejadian yang cukup sempurna dan teratur oleh Maha Pencipta. Sesungguhnya, hanya Dia yang mengetahui setiap kejadian yang berlaku. Hanya mereka yang berfikir sahaja yang mampu untuk melihat segenap perspektif kejadian Tuhan Yang Maha Indah ini.

0 comments:

Sunday, August 1, 2010

15 Tahun Dan Terus Mendaki

1 Ogos 2010. Jam baru melepasi angka 7.25 pagi. Suasana pagi yang amat dingin dan diselimuti oleh hujan rahmat Ilahi sememangnya yang dinanti-nantikan oleh para hamba-Nya setelah berseharian kelmarin bersengkang kepanasan. Alhamdulillah. Aturcara kehidupan yang sememangnya indah dan tersusun oleh-Nya.

Ketika sedang bertekun untuk mencari-cari sipnosis keseluruhan idea bagi tajuk Projek Sarjana, tiba-tiba diri ini terdiam sebentar. Sudah 15 tahun diri ini mengabdikan diri terhadap institusi pengajian formal. Selama itu juga diri ini belajar mengenai erti-erti kehidupan yang sukar untuk dicari dan diselami. Ah! Begitu pantas masa berlalu meskipun angka satu setengah dekad terus-terusan menginjak tanpa henti.

Kini, tidak pernah diri ini sama sekali mengimpikan untuk berada di takat ini. Menuntut ilmu sehingga melepasi kebiasaan norma masyarakat dalam menggapai cita-cita. Semuanya dilakukan dengan berpandukan niat yang satu. Syukur, alhamdulillah. Diri ini masih lagi mempunyai peluang untuk terus menyelami dunia keilmuan selagi termampu oleh kudrat. Meskipun cabaran dan dugaan datang selama mana kita cuba menempatkan diri kita di suatu situasi atau tempat yang mempunyai tinggi nilainya, berlapanglah dada sentiasa terhadap-Nya. Kerana itu semua adalah salah satu rencah bagi kita untuk mengutip butiran mutiara yang terdampar jauh di dasar lautan luas. Lemparkanlah secangkir senyuman setiap kali dugaan datang menjengah jendela kehidupan kerana di situ mungkin terletaknya sebuah kemanisan dalam beribadat kepada-Nya. Insya Allah.


Nota Kaki: Semoga dipermudahkan oleh Allah dalam mengharungi getir-getir kehidupan pengajian kini.

0 comments: