Friday, December 31, 2010

Imbasan Coretan Tahun 2010

Tahun 2011 bakal menjengah kalendar dunia tidak lama lagi. Ketika artikel ini dinukil, ianya berbaki kurang dari 2 jam saja untuk Malaysia menjengah tahun baru Masihi. Azam dan cita-cita tidak terlepas daripada setiap individu tatkala tibanya tahun baru. Seperti biasa, coretan senarai-senarai yang ingin dicapai dan dikecapi bagi tahun baru sudah semestinya di'bidik'.

Tahun 2010 semestinya meninggalkan 1001 nostalgia, bahagia, derita, pahit mahupun manis bagi setiap individu. Sebegitulah lumrahnya saban tahun. Ianya tidak terhenti berputar dan berlegar di situ. Ianya akan terus subur sehingga sampai masa akhirnya. Bagaimana pencapaian anda semua bagi tahun ini? Bagi mereka yang telah mencapai sasaran, alhamdulillah. Syukur kepada-Nya kerana mengurniakan kesempatan kepada kita untuk terus mengejar cita-cita diingini. Bagi yang tidak mampu, tidak mengapa. Anda masih lagi mampu mencubanya untuk tahun baru yang bakal menjelang ini. Teruskan niat atau hajat yang tergendala. Kecapi apa yang boleh dirasai. Insya Allah, dengan pertolongan daripada-Nya, kalian mampu merasainya kelak.

Baiklah. Sebelum tirai tahun 2010 ini melabuhkan detiknya, ingin saya membawa kalian semua mengembara jauh memori sepanjang perjalanan tahun ini. Kesemua coretan ini adalah yang berlaku di sekeliling kita, yang mana saya rasakan ianya mempunyai nilai sentimentalnya tersendiri untuk diingati oleh seluruh pelusuk penghuni dunia.

5. Nahas Bas Persiaran di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highland dan Nahas Bas Ekspress Delima di Km 223 Lebuhraya Utara-Selatan Plaza Tol Simpang Ampat

Kedua-dua nahas tersebut adalah titik hitam dalam sejarah pengangkutan awam di Malaysia bagi tahun 2010. Nahas pertama yang berlaku pada 10 Oktober 2010 di Plaza Tol Simpang Ampat mengorbankan 13 nyawa yang rata-ratanya adalah penumpang tanah air manakala tragedi kedua pula melibatkan para pelancong dari Thailand yang bercuti di Cameron Highland. Ianya mengorbankan nyawa seramai 27 orang.
Nahas Bas Ekspress Delima di Plaza Tol Simpang Ampat Km 223 Lebuhraya Utara-Selatan


27 nyawa yang terkorban semasa nahas di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highland


4. Kes Pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya


Berita yang tragis di minggu Hari Raya Puasa. Kematian jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47 tahun bersama-sama 3 orang lagi yang dibakar mayatnya di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting, Selangor Darul Ehsan. Abu mayat mereka kemudiannya dibuang ke Sungai Panchau, Kampung Kanchong Laut, berhampiran dengan tempat mayat mereka dibakar. Suspek utama dalam kes ini adalah Datuk Pathmanabhan a/l Nalliannen yang berstatus peguam. Kes ini masih lagi dibicarakan.


3. Piala Dunia 2010 Afrika Selatan


Pelbagai suka dan duka dapat dirangkum dalam Piala Dunia Bola Sepak edisi kali ini, di mana salah satu kontroversinya adalah penidakkan jaringan gol oleh Frank Lampard semasa England menentng Jerman di peringkat suku akhir. Jaringan tersebut tidak disahkan oleh pengadil perlawanan ketika itu yang nyata jelas bola sudah memasuki gawang lawan.


Wayne Rooney of England is tackled by Arne Friedrich of Germany during the 2010 FIFA World Cup South Africa Round of Sixteen match between Germany and England at Free State Stadium on June 27, 2010 in Bloemfontein, South Africa.
Kontroversi jaringan Frank Lampard boleh dilihat di sini.

Seterusnya adalah pertembungan perlawanan akhir yang melibatkan pasukan dari Sepanyol menentang Belanda yang berpihak kepada Sepanyol dengan jaringan 1 - 0 semasa masa tambahan. Jaringan yang disudahkan oleh pemain FC Barcelona, Andreas Iniesta pada minit ke-116 memberikan laluan kepada Juara Eropah itu merangkul buat pertama kalinya dalam sejarah bola sepak negara mereka menjulang Piala Dunia. Dalam perlawanan ini, pengadil dari England, Howard Webb telah melayangkan 14 kad kuning dan 1 kad merah pada perlawanan tersebut, menjadikan ianya sejarah dalam penganjuran perlawanan akhir bola sepak Piala Dunia sebagai perlawanan yang paling banyak dilayangkan kad.


2. Jose Mourinho Sah Milik Real Madrid CF

Jose Mourinho yang berjaya membawa kelab Itali, Inter Milan menjuarai Piala Liga Juara-Juara, Liga Serie A dan juga Piala Coppa Italia akhirnya mengesahkan dirinya sebagai pengurus baru di Stadium Bernabeu. Spekulasi hangat sebelum ini mengatakan bahawa Jose Mourinho akan beralih arah ke Sepanyol akhirnya menjadi kenyataan dan meninggalkan kelab Itali tersebut dengan kejayaan 3 piala semusim. Inter Milan akhirnya melantik bekas pengurus Liverpool FC, Rafael Benitez bagi meneruskan tradisi kegemilangan kelab itu sebelum beliau dipecat seminggu sebelum Krimas kerana mencabar lembaga pengarah kelab itu untuk mengeluarkan dana bagi memperkuatkan skuad yang ada.



1. Penantian Malaysia Berakhir Setelah 14 Tahun bagi Piala Suzuki AFF

Skuad anak muda Harimau Malaya yang diterajui oleh kapten pasukan, Safiq Rahim akhirnya memberikan kegemilangan penutup tahun 2010 dengan berjaya membawa pulang piala edisi ke-8 Piala Suzuki AFF ke Malaysia setelah menumpaskan jiran Asia Tenggara, Indonesia dengan agregat 4 -2. Meskipun skuad yang dibimbing oleh jurulatih K. Rajagobal tewas di Stadium Gelora Bung Karno pada 29 Disember lalu dengan jaringan 2 -1, namun, bekalan selesa jaringan 3 gol di Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi taruhan untuk memberi laluan buat Malaysia mengecapi piala tersebut setelah 14 tahun edisi berlangsungnya kejohanan tersebut.


Nota Kaki: Ini adalah merupakan pandangan saya terhadap sorotan dan bingkasan memori bagi tahun 2010.

1 comments:

Thursday, December 23, 2010

Permintaan Yang Tertangguh

Diri ini masih lagi terkedu di hadapan paparan laptop dengan jari-jemariku kaku di atas papan kekunci. Aku masih lagi tidak mampu untuk mengerahkan otakku untuk mentafsirkan segala persoalan dan permintaan yang diminta oleh seniorku, Kak Ku Anis Shazura yang telah menge'tag' aku di dalam warkahnya terdahulu yang sudah berusia 2 minggu.

Nampaknya, aku masih lagi berhutang dengannya kerana boleh lagi melangsaikan permintaan daripadanya.

Baiklah. Dengan hembusan nafas yang dalam, aku memulakan marathon larian jari-jemariku di atas papan kekunci laptop.

"Once you have been tagged, you are supposed to write a note with 25 random things, facts or goals about you. In the end, choose 25 people to be tagged. You have to tag the person who tags you. If I tag you, it's because I want to know you more."

1. Aku kini sedang melanjutkan pengajianku di peringkat sarjana dalam bidang Bioteknologi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

2. Aku berbadan besar, tinggi juga orangnya.

3. Wajahku seringkali disama ertikan dengan singa. Aku sendiri agak musykil. Yang aku tahu, kebanyakkan mereka yang berada di sekelilingku mengatakan bahawa riak wajahku garang dan kadang-kadang seperti orang tertekan atau stress. Entah. Aku tidak mengerti.

4. Masuk tahun ini, sudah hampir 5 tahun aku berkelana menuntut ilmu di bumi Johor Darul Ta'zim ini.

5. Jurusan aku semasa peringkat Ijazah Sarjana Muda adalah Biologi Industri di UTM. Yang menariknya, itu adalah pilihan aku yang terakhir dalam senarai permohonan kemasukan ke universiti semasa aku melakukan permohonan di matrikulasi terdahulu.

6. Aku berasal dari Selangor Darul Ehsan. Secara spesifiknya berasal dari Selayang.

7. Aku suka melakukan aktiviti kepengakapan semasa aku berada di bangku sekolah. Kini, ianya tinggal memori dalam lipatan sejarah hidup aku kerana kesibukan menuntut ilmu yang menagih aku untuk bersara dari hobi tersebut.

8. Meskipun tubuhku besar, namun, aku gemar bersukan seperti bermain badminton, ping pong, futsal, bola sepak, dan bola tampar. Namun, amat payah untuk aku berjogging. Sebab? Entah. Aku tiada jawapan spesifik di situ.

9. Gemar masakan sambal tumis.

10. Mengalami kecacatan kekal di siku dan pergelangan tangan kanan disebabkan kecuaian diri sendiri.

11. Tidak gemar untuk keluar bersiar-siar kecuali situasi memerlukan untuk berbuat demikian.

12. Aku benci dengan kelewatan dan menunggu. Tapi, adat dan lumrah kehidupan. Ada yang menunggu dan ada yang ditunggu. Jadi, banyakkan bersabar.

13. Aku paling benci dengan pembentangan. Sebab? Aku mempunyai darah gemuruh sebelum bermulanya sesuatu pembentangan. Jadi, memang aku mengambil masa untuk cuba mengawal darah gemuruh yang datang secara tiba-tiba.

14. Suka membaca novel dan bahan-bahan ilmiah.

15. Bakat menulis ini bermula semasa aku berada dalam Darjah 3. Sejak dari waktu, aku akan menulis mengikut apa yang mampu aku luahkan. Kadang-kala, individu-individu di sekelilingku agak rimas dengan pertuturan dan ayat-ayat yang keluar dari mulutku. Ianya bagaikan seperti alunan dan adunan sastera.

16. Tak suka menyusahkan orang lain.

17. Bidang biologi bukanlah salah satu bidang yang aku minati. Namun, aku mengikut hala tujuku berdasarkan keputusan peperiksaan yang aku peroleh semasa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

18. Sukar untuk memulakan perbualan dengan individu yang baru atau tidak dikenali, terutamanya golongan Hawa. Aku memerlukan masa untuk mencari keserasian dalam berkomunikasi dengan mereka. Mungkin ini salah satu sebab mengapa aku dikatakan sebagai garang oleh mereka. Mungkin.

19. Suka memendamkan perasaan.

20. Lesen memanduku baru berusia 5 bulan. Sengaja aku tidak mengambil lesen memandu sebelum aku menyambung pengajian dahulu.

21. Suka berada di dapur. Itu merupakan salah satu sebab mengapa tubuh badan aku besar.

22. New Zealand All Blacks adalah pasukan ragbi yang aku sanjungi. Suka dengan semangat dan tradisi mereka, iaitu Hakka atau Kapa O Panga. Tarian pahlawan puak orang asli New Zealand ini hanya dipersembahkan oleh All Blacks sebelum bermulanya sesuatu perlawanan.

23. Suka dengan filem-filem aksi, tapi benci dengan filem-filem berunsurkan tahyul dan khurafat.

24. Kedua-dua ibu bapaku berasal dari Utara Semenanjung Malaysia.

25. Anak sulung daripada 2 orang adik-beradik.


Akhirnya, selesai juga. Tapi, ada lagi satu tugasan yang perlu aku lakukan, iaitu menge'tag' kenalan-kenalan blog aku untuk menjawab soalan-soalan ini. Oleh itu, berikut adalah senarai mereka yang bertuah:

6 comments:

Thursday, December 9, 2010

Berfikir Di Sebalik Menghayati


Selama beberapa hari ini, saya kembali ke dunia ciptaan 'manusia'. Dunia perfileman. Saya tertarik dengan plot perjalanan cerita Crime Scene Investigation (CSI) yang saya kira mula membuatkan saya berfikir secara analitikal.

Meskipun keseluruhan cerita tersebut tidak memaparkan konsep realiti yang sebenarnya, namun, ianya memberikan suatu impak terhadap para penonton. Memberikan para penonton peluang untuk sama-sama berfikir dan cuba merungkai segala persoalan dan misteri permasalahan yang wujud dalam cerita berkenaan.

Di sebalik perjalanan kronologi cerita terbabit, saya sebenarnya kagum dengan apa yang saya lihat. Lihatlah betapa bijaksananya al-Khaliq dalam mencipta sesuatu. Begitu sempurna dan teliti. Bayangkan, sel darah yang setitis cuma, mampu untuk memberikan 1001 jawapan terhadap persoalan yang sebelum ini bertandan menghala ke jalan buntu.

Ya, saya akui dengan segala teknologi dan perkembangan pesat yang dijana oleh manusia, tanpa adanya kepercayaan terhadap Tuhan, ianya sia-sia. Tanpa Tuhan, siapalah kita di dunia ini.

Segala langkah dan ikhtiar yang diusahakan oleh seseorang manusia itu, seperti yang dilayarkan dalam CSI ini, semuanya berada di dalam pengetahuan dan kehendak Tuhan Yang Maha Esa. Tidak semua yang dilakukan akan mendapat hasil yang dikehendaki. Semuanya adalam ketetapan dan ketentuan daripada-Nya. Qada' dan Qadar-Nya.


Nota Kaki: Cuba untuk mencari bahan-bahan perfileman yang mampu membuatkan kita berfikir dan mampu untuk kita menghargai dan bersyukur setiap apa yang kita miliki. Bukan semata-mata untuk menghela nafas yang telah lelah, namun, dalam masa yang sama, mampu memberikan sesuatu nilai positif terhadap pembangunan diri.

0 comments:

Friday, December 3, 2010

England Patah Hati, Qatar Menabur Janji

Keputusan Undian Bagi Tuan Rumah Piala Dunia FIFA 2018 dan 2022


FIFA telah mengumumkan bahawa tuan rumah bagi penganjuran sukan paling berprestij di dunia, iaitu Piala Dunia pada 2018 telah diberikan kepada Rusia. Seluruh ahli eksekutif FIFA sebulat suara memilih Rusia setelah Rusia bersama-sama England, Belanda/Belgium dan Sepanyol/Portugal membentangkan prospek mereka masing-masing.

Meskipun Presiden FIFA, Sepp Blatter mengatakan bahawa pembentangan daripada wakil England sebagai suatu yang 'sangat baik dan luar biasa', namun ianya tidak mampu untuk memberikan kemenangan terhadap Rusia yang belum pernah menjadi penganjur bagi acara berkenaan.

Qatar pula menjadi tuan rumah penganjur bagi 4 tahun berikutnya, iaitu pada tahun 2022, di mana ianya mengalahkan bidaan negara-negara lain seperti Australia, Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat. Qatar juga merupakan negara yang belum pernah lagi menganjurkan Piala Dunia FIFA.

Qatar menjanjikan bahawa segala kelengkapan stadiumnya adalah yang terbaik di dunia di mana ianya dilengkapi oleh sistem penghawa dingin yang mampu memberikan keselesaan kepada pemain, bahkan kepada para pengunjung.

Keputusan terbabit diumumkan oleh Sepp Blatter sendiri Zurich, Switzerland.

Walau apapun, tahniah kepada Rusia dan Qatar kerana diberi peluang oleh FIFA untuk menganjurkan salah satu acara terbesar di dunia.

Berita lanjut boleh di sini:


Nota Kaki: England akhirnya terpaksa melupakan hasrat mereka untuk menjadi penganjur gara-gara liputan politik dalaman yang membabitkan rasuah yang dihebahkan oleh BBC baru-baru ini. Qatar pula menjanjikan sesuatu yang sememangnya dinanti-nantikan oleh seluruh peminat bola sepak. Adakah ianya akan menjadi realiti? Kita tunggu dan lihat kelak.

4 comments:

Thursday, December 2, 2010

Sekilas Ingatan Terhadap Jendela Perkahwinan

Ketika saya sedang melayari internet dan ber'facebook', tiba-tiba ada suatu nukilan yang menarik tatapan mata saya. Pada mulanya, saya tidak ambil kisah, tetapi, akhirnya ia mampu membuatkan saya untuk mengambil sejenak masa yang ada untuk mengamati dan cuba untuk menyelami isi tersuratnya.

Berikut adalah isi-isi yang saya rasa sesuai untuk saya kongsi bersama dan disebabkan ketika ini kita berada di penghujung bulan dalam tahun 2010, maka sinonimlah kandungan isi tersurat ini dengan majlis walimah yang rancak diatur oleh setiap pasangan yang baru saja mendirikan sebuah masjid.



Anda tahu perkahwinan tu yang paling penting adalah ijab, qabul, anda, pasangan anda, saksi dan wali. Err, dan juga sijil pra-perkahwinan dan ujian HIV.

Mas kahwin boleh hutang tapi siapa berhutang janganlah bernafsu sangat untuk sentuh-sentuh anak dara orang oooi…

Mengadakan kenduri kahwin adalah perkara yang sangat dianjurkan sekalipun hanya dengan menyembelih seekor kambing. Tetapi budaya di Malaysia, susahlah nak cukup dengan perkara macam tu sahaja.

Mari kita lihat apa yang perlu anda sediakan beserta ongkosnya sekali (Ini adalah kos anggaran untuk kebanyakan daripada kita. Status Siti Nurhaliza tidak masuk ya).

Kos # 1 - Mas kahwin
Ini kena rujuk negeri sebelah perempuan. Walaupun nilainya (dari sudut kos) rendah, tapi kalau anda terlupa sediakan susah juga tu. Kalau berhutang, isteri ada hak kata, “Nehi kanda…!” bila anda cuba usik-mengusik.


Kos # 2 - Duit hantaran
Ini bergantung kepada keluarga. Tetapi pengalaman saya apabila mengadakan seminar-seminar keusahawanan di universiti, bila ditanya isu ini, paling sikit siswi-siswi ni minta wang hantaran adalah RM 10,000.

Level Diploma pun diorang dah mintak begitu tau sekarang.

Ada juga keluarga ikut nilai hantaran seperti mana yang telah ditetapkan sebelum ini macam perkahwinan kakak / adik perempuan sebelum ini.

Duit hantaran ini ada keluarga jadikan ia duit belanja hangus. Ia digunakan untuk kos kenduri.

Ada juga keluarga yang berikan semua kepada pengantin perempuan.

Kos # 3 - Barang kemas seperti cincin perkahwinan dan lain-lain
Kosnya berubah-ubah mengikut harga pasaran emas. Siapa yang melangsungkan perkahwinan waktu harga emas tengah tinggi nasiblah.

Sediakanlah sekitar RM 3,000 - RM 5,000.

Kos # 4 - Barang hantaran lain
Kasut. Baju. Kek. Buah. Telekung. al-Quran. Sirih. Coklat. Biasalah tue. Yang tak ikut piawai adalah seperti handphone, PS3, laptop. Sediakan lah sekitar RM 1,000 untuk barang hantaran standard.

Itu belum campur kos buat perhiasan barang hantaran.

Kos # 5 - Baju nikah
Selalunya baju ini ditempah. Boleh pakai masa hari raya yang pertama sebagai suami isteri.

Baju lelaki selalunya lebih murah dari baju perempuan.

RM 200 - RM 600.

Kos # 6 - Baju bersanding/Baju pengantin
Baju ini selalunya disewa. Cukup-cukuplah tu jadi raja. Kita layak jadi raja sehari aje. Baju tu tak pakai dah di waktu lain melainkan anda mengidam nak bernikah lagi.

RM 1,000 - RM 2,500.

Kos # 7 - Mekap
Selalunya dipakejkan dengan set baju pengantin. Tetapi masih boleh dapatkan secara berasingan.

RM 200 - RM 500.

Kos # 8 - Set pelamin
Selalunya dipakejkan bersama set baju pengantin dan mekap. Tetapi masih boleh dapatkan secara berasingan.

RM 500 - RM 1000.

Kos # 9 - Jurugambar
Takkanlah nak suruh jurugambar biasa-biasa ambilkan gambar untuk anda. Ini hari istimewa anda bukan?

RM 1,000 - RM 3,000.

Kos # 10 - Duit untuk jurunikah dan saksi
Perkahwinan di Selangor ada duit yang perlu anda bayar kepada jurunikah dan para saksi. Sila rujuk ke pejabat agama negeri masing-masing.

Kos sekitar RM 150.


Kos # 11 Kad jemputan
Ada yang murah dan ada yang mahal. Paling murah photostat sendiri. Ada orang kisah kita jemput guna SMS, emel dan laman sesawang. Ada orang yang tidak. Mahu kad juga.

Kalau satu kad RM 0.50/kad dan kalau jemputannya dah 1,000 orang?
Cara sekarang selalunya dibuat sekali untuk kedua-dua pihak.

RM 500 - RM 3,000.

Ini adalah kos yang selalunya ditanggung oleh pengantin sahaja dan tidak membabitkan keluarga. Jumlahnya (mengikut anggaran kos terendah) adalah RM 17,550.

Dan berikut adalah kos yang selalunya ditanggung bersama oleh keluarga (tidak semestinya). Jadi kalau ibu bapa minta anda bayarkan juga, kenalah bayar juga. Inikan kenduri untuk anda.

Kos # 12 Duit khemah/Sewa dewan
Untuk pihak perempuan yang gunakan konsep belanja hangus, ia akan ditanggung sebahagian oleh duit hantaran.

Sewa khemah adalah lebih murah dari menyewa dewan. Tapi tak semua orang ada halaman rumah yang sesuai untuk kenduri.

RM 2,500 - RM 10,000.

Kos # 13 Duit makan kenduri
Untuk pihak perempuan yang gunakan konsep belanja hangus, ia akan ditanggung sebahagian oleh duit hantaran.

Masak sendiri adalah lebih murah dari katering. Tetapi lebih banyak guna tenaga kerja.

Kalau di kawasan Lembah Klang, perkhidmatan katering menawarkan RM 10/kepala dah cukup rendah dah tue.

RM 10,000 - RM 20,000.

Kos # 14 Bilik pengantin
Katil. Cadar. Tilam. Almari. Langsir.

Ada keluarga yang dah ada “bilik pengantin” khas. Jadi, selagi mana tiada pasangan adik-beradik lain yang akan berkahwin, maka “pengantin baru” akan menghuni di situ.

Yang kena beli semua, ingat murah?

RM 1,500 - RM 5,000.

Kos # 15 'Doorgift'
Gula-gula. Telur. Sapu tangan. Apa - apalah.

Walaupun kosnya barangkali cuma RM 1/item, tapi kalau dah tetamunya mencecah 1000 orang? Untuk sedara lagi. Untuk keluarga sebelah sana lagi.

RM 1,000 - RM 3,000.

Kos # 16 Untuk bertandang ke rumah pihak satu lagi
Kalau dekat, satu kampung OKlah. Kalau perlu merentas beberapa negeri?

Duit minyak. Duit tol. Duit hotel/'homestay'. Duit makan.

Anda minta saudara anda memeriahkan majlis anda, tapi bukan semua mereka ada kereta sendiri dan cukup wang untuk menemani anda kalau tidak disediakan duitnya. Itu yang kadang-kadang mereka “menolak” pelawaan anda.

Ia berbeza mengikut lokasi.

Sediakanlah RM 500 sebagai jumlah minima.

Kos # 17 'Contigency'
Adakalanya duit yang digunakan terlebih dari belanjawan asal.

Sediakan lah sekitar 5 - 10% dari jumlah belanjawan yang asal.

Dalam pengiraan kita ini, RM 3,000.

Jadi, kos yang pada kebiasaannya ditanggung oleh pengantin adalah RM 17,550 (jangan lupa tolak nilai duit hantaran bagi pengantin perempuan).

Dan, kos yang boleh bincang dengan keluarga adalah RM 15,500.
Dan, kos untuk kecemasan adalah RM 3,000.
Maka, anda perlu sediakan anggaran belanjawan perkahwinan sekitar RM 36,050.


Haaa!!
Umak Aih!
Psst. Tutup mulut tu abang long.
Amacam?
Berani beli kereta baru?
Berani simpan 10% aje dari pendapatan bulanan?
Berani tak mahu buat 'business part time'?
Berani tak mahu belajar 'investment'?

Walaupun boleh kongsi dengan pasangan, paling kurang pun kena ada duit untuk tanggung separuh kos dan dalam pengiraan ini adalah sebanyak RM 18,000.
Ini belum campur kos-kos 'renovation' rumah yang dibuat bagi sesetengah keluarga. Juga belum campur kos memanjakan diri ke spa-spa dan juga berbulan madu.

Kalau nak berhutang kahwin sampai anak sulung berumur 7 tahun baru selesai bayar dekat bank, terus-teruskanlah dengan gaya hidup anda yang tidak mahu menyimpan dan suka menambah liabiliti tue.


Nota Kaki: Berpeluh-peluhlah lelaki bujang di luar sana nanti. Tapi, inilah kenyataan dan realitinya.

0 comments: