Sunday, September 18, 2011

Cerpen: Ketika Mendung Berarak [Bahagian 2]

Rasulullah s.a.w pernah bersabda, "Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikkannya dan kerana agamanya. Maka, hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia."
Hadis Riwayat Muslim 

Seindah hiasan adalah wanita solehah
Balqis. Namanya seindah pemiliknya. Segala mengenai latar peribadinya tidak aku ketahui sebelum ini. Aku menikahinya atas dasar pilihan dan persetujuan kedua-dua belah pihak keluarga. Lagipun, kedua-dua orang tuanya sudah lama mengenali keluargaku. Namun, aku saja yang tidak pernah mengambil pusing mengenai siapa mereka. Ah! Hidup ini sememangnya penuh misteri dan agenda daripada-Nya.

In Team - Impian Kasih

Dari renungan pandangan pertama aku terhadap Balqis, semasa hari pertunangan, Balqis bukanlah seorang yang sesuai dengan aku. Mengapa? Sebabnya, dia merupakan seorang muslimah yang kuat pegangan agamanya. Tapi aku? Sedangkan diri sendiripun masih lagi bertatih dalam melayari kehidupan, inikan pula untuk menerajui bahtera rumahtangga. Ah! Satu lagi ujian yang perlu aku hadapi.

Namun, usai lima bulan bahtera pelayaran sebagai sepasang suami isteri, aku dapat merasakan kedamaian dan ketenangan yang menyusup dan menyelinap masuk ke dalam jiwa nuraniku. Balqis ibarat cahaya dan teduhan rendang yang memayungi hatiku. Penyejuk jiwa.

"Habis tu, siapa lelaki yang di halaman rumah tadi tu? Selama ni, saya sangka awak wanita yang terlalu baik kalau dibandingkan dengan diri saya yang serba-serbi kekurangan ni. Rupa-rupanya, awak lagi hina!" Amarahku semakin melonjak-lonjak. Tiada lagi tepian had yang mampu mengawal. Jerkahanku sedikit membuatkan Balqis tersentak.

"Abang, sampai hati abang kata macam tu. Abang, mengucap bang. Ingat kepada Allah," ujar Balqis dalam tangisan. Suasana ruang tamu banglo dua tingkat itu bergema silih berganti dengan suara jerkahanku dan tangisan Balqis.

"Ooo, nasihat orang pandai. Tapi diri sendiri tu yang alpa dengan perintah Tuhan. Ni, apa gunanya saya sebagai suami awak kalau hati awak sendiri dah ada pada orang lain?" Desibel suaraku kembali rendah. Namun, masih bersisa amarah.

"Abang, ni semua salah faham. Semua ni bukan yang abang fikirkan. Balqis masih lagi waras. Balqis ni adalah isteri abang. Hak abang. Bukan siapa-siapa." Satu-satu butir kata disusun oleh Balqis bagi menyampaikan duduk sebenar perkara. Ibarat kalau seperti kundur labu, boleh dibelah.

Suasana tegang masih lagi membaluti ruang tamu. Aku memalingkan wajahku daripada Balqis. Nafasku turun naik. Menahan buku kemarahan yang masih lagi berbara. Balqis masih lagi berdiri di hadapanku. Berhampiran dengan tangga kayu jati. Tangisannya masih lagi bersisa.

"Abang, sebenarnya, Balqis ada perkara nak beritahu kepada abang. Sebenarnya, Balqis ..." Balqis rebah. Tidak sempat untuk menghabiskan sisa-sisa ayatnya. Aku tergamam.

"Balqis. Ya Allah ..."


Bersambung...

4 comments:

Tuesday, September 13, 2011

Cerpen: Ketika Mendung Berarak [Bahagian 1]

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."
Surah  al-Hujurat: Ayat 6
"Jauhilah prasangka itu, sebab prasangka itu pembicaraan yang paling dusta."
Hadis Riwayat Muttafaqun Alaihi 


Aku melabuhkan punggungku di sebuah bangku yang terletak di halaman rumah. Pemandangannya menghala ke arah taman bunga yang bertentangan dengan rumahku. Sebuah buku karangan penulis yang paling aku kagumi, Ustaz Pahrol Mohd Juoi berada dalam pangkuan tanganku. Nota Hati Seorang Lelaki - sebuah permata tinggalan yang sememangnya berguna untuk aku, kaum lelaki dalam mendepani perjalanan kehidupanku.

Suasana pada petang hujung minggu itu sedikit suram dengan lindungi awan yang berarak di lelangit biru. Petanda bahawa mutiara hujan bakal menyirami permaidani bumi Ilahi.

Aku termenung jauh. Pelbagai perkara datang menyinggah jendela nurani. Terkenang aku pada peristiwa hitam lima hari lepas.




"Awak, jangan nak berdalih lagi dengan saya. Saya belum buta lagi." Suaraku sedikit meninggi. Mataku mencengkam tubuh halus di hadapanku. Diam terpaku tanpa kata. Hanya mata saja yang berbicara ketika itu. Airmatanya mula bertubir di putik mata.

"Haa, mengapa diam? Dah tak ada modal nak bela diri?" herdikku lagi tanpa menghiraukan suasana sekeliling. Seperti sabarku dirobek-robek disebabkan kebisuan yang berlanjutan daripadanya.

"Abang, ni semua salah faham. Perkara ni bukan seperti yang abang fikirkan," jawab Balqis dengan airmata berjujuran mengalir di pipinya. Esak tangis kecil mula memenuhi ruang tamu rumah.

"Habis tu, siapa yang kat depan rumah tadi tu? Saya nampak dengan mata kepala saya sendiri. Bukan tu aje, jiran sekeliling ni pun nampak. Mana saya nak letak maruah saya sebagai suami? Cakap! Cakap!" Aku membentak dengan keras. Bagaikan dirasuk. Tiada lagi belas kasihan mahupun kelembutan terhadap Balqis. Serba-serbi dirasakan seperti bahang kepanasan hati. Panas membara di gelodak jiwanya.

Balqis masih lagi menahan sedu-sedannya. Hanya airmata saja menjadi peneman dan kekuatan baginya menempuh segala bentakan seorang suami.

"Abang, mengapa abang percayakan orang lain berbanding isteri abang sendiri? Apa salah Balqis terhadap abang? Sampai sebegini kejam abang buat terhadap Balqis?" Suaranya serak mengeluarkan butir-butir kata. Meskipun suaminya sudah tidak lagi mengeluarkan kata-kata sayang terhadapnya melainkan awak dan saya, namun, bibir Balqis masih lagi basah dengan kata-kata hormat buat suaminya itu. Suami yang dicintai dan dikenalinya hanya pada hari mereka berdua diijab kabulkan.


Bersambung...

0 comments:

Friday, September 9, 2011

Cerpen: Aku Terima Seadanya... [Bahagian 3]

Pada suatu hari, ketika Abdullah Umar melakukan tawaf di Baitullah. Ada seorang lelaki berasal dari Yaman memikul ibunya bertawaf dalam keadaan cuaca yang sangat panas. Peluh mengalir di wajahnya, dia amat keletihan. Orang itu bertanya kepada Ibnu Umar: "Apakah menurutmu aku membayar jasa ibuku atas apa yang ia lakukan untukku selama ini?" Ibnu Umar menjawab: "Demi Allah, tidak walaupun satu nafasnya."

Airmataku mengalir. Belumpun sempat untukku luahkan apa yang terbuku di hati, lebih dahulu airmataku berjujuran di pipi.

"Mama, ampunkan segala salah silap Along selama mana Along dibesar dan diasuh oleh mama. Halalkan air susu yang Along minum selama ni." Sedu-sedan mula mencengkam suasana pagi itu. Tangan mama mengusap lembut di kepalaku.

"Mama dah ampunkan segala salah silap Along buat mama. Mama halalkan segala-galanya yang telah mama berikan kepada Along selama ni." Hatiku bertambah sayu dengan ungkapan kata-kata mama. Sungguh mulianya hati seorang insan bernama ibu. Tidak pernah menyimpan dendam mahupun amarah terhadap anak yang dikandung meskipun payah dan jerih dalam membesarkannya. Sekelumitpun tiada. Sungguh besar naungan jiwa seorang ibu buat anaknya. Tidak mengharapkan balasan harta mahupun apa-apa daripada anak. Cuma, hanya perhatian daripada anak-anak yang menjadi sandaran kepada mereka kelak.

*****


Aku berdiri di hadapan pintu rumah. Pintu tidak berkunci. Hanya dipisahkan oleh langsir rona biru langit yang menutupi tirai antara dalam dan luar rumah. Kedengaran riuh sedikit di dalam rumah. Aku memandang ke belakang. Abah dan mama serta sanak saudara yang lain sedang berdiri menunggu aku untuk masuk ke dalam rumah tersebut.

"Haa, apa lagi? Masuklah. Dah bagi salam tapi tercegat lagi kat luar buat apa?" ujar abah yang sedari tadi hanya tersenyum sejak bertolak keluar dari rumah.

"Err, abah masuk dululah. Along seganlah," balasku seraya membuka laluan kepada abah.

"Haish, bila masa pula pengantin lelaki segan ni?" seloroh abah sambil ketawa sedikit. Pipiku memerah menahan malu.

Ya. Aku memang segan ketika itu. Segan terhadap bakal isteriku. Bakal isteriku itu adalah pinangan kedua orang tuaku. Pilihan mereka sendiri. Pilihan yang diajukan kepada aku  terlebih dahulu sebelum mereka merisik dan masuk meminang untukku. Bagi aku, pilihan kedua orang tua adalah yang terbaik buat anaknya. Bukannya aku terlalu memilih sehinggakan abah dan mama perlu mengorak langkah dalam membina Baitul Muslim untukku, namun sikapku yang lebih suka memberikan keputusan kehidupan aku kepada mereka. Mereka lebih arif dan lebih mengetahui terhadap isu-isu sebegini. Bagi aku, pilihan ibu bapa adalah pilihan yang terbaik.

Aku melangkah masuk ke dalam rumah setelah abah dan mama mendahului. Mataku tertancap ke arah bakal isteriku yang duduk bersimpuh di ruang dalam bersebelahan dengan ruang tamu. Mengenakan jubah berona putih. Wajahnya hanya ditundukkan ke bawah.

Mataku beralih ke hadapan. Tok Kadi dan bakal ayah mentuaku berada di ruang tamu. Segala prosedur mengenai pernikahan selesai ditandatangani, maka, langkah seterusnya adalah yang menjadi tanda termetrainya ikatan sah antara aku dan bakal isteriku.

"Aku terima nikahnya ..."



Tamat

4 comments:

Tuesday, September 6, 2011

Cerpen: Aku Terima Seadanya... [Bahagian 2]

Sabda Baginda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa."
Hadis Riwayat  al-Hakim


Aku mengesat airmata mama yang mengalir keluar. Aku tatap wajahnya. Lama. Hanya mata sahaja yang berbicara ketika itu. Hanya mata sahaja yang menyampaikan segala kata-kata.

"Mama, kenapa mama menangis ni? Along minta ampun. Along dah terguriskan hati mama." Hati aku dirundum rasa kesal. Diselubungi rasa bersalah. Amat. Mama perlahan-lahan menggelengkan kepalanya.

"Along tak salah apa-apa terhadap mama. Mama aje yang emosi."

"Cuba mama luahkan apa yang mama pendam. Along nak dengar," ujarku sambil menanti penuh minat. Songkok baldu hitam aku tanggalkan dari kepala. Diletakkan di sebelah kananku.

"Tak ada apa-apa. Mama cuma ..." Ayat terakhir mama tergantung. Cuba mencari kekuatan untuk meneruskan. Mungkin.

"Mama cuma cemburu dengan Along. Cemburu sebab akhirnya Along akan dikasihi oleh seorang Hawa selain mama. Mama cemburu. Mama sedih bila mama tak dapat nak berkongsi kasih sayang mama dengan Along lagi selepas ni." Panjang luahan mama. Aku tersenyum. Tangan aku semakin erat aku genggam. Aku kucup belakang tangan mama.

"Mama, kasih sayang Along terhadap mama lebih tinggi darjatnya selepas cinta Along terhadap Ya Rabb dan Rasul-Nya. Mama sentiasa mekar di hati Along. Mama adalah serikandi Along. Sentiasa berada di sisi Along sehingga ke akhir hayat." Secangkir senyuman aku lampirkan buat insan teristimewa di hadapanku. Aku peluk tubuh mama.

"Along, mama doakan Along agar dikurniakan bakal isteri yang solehah dan zuriat yang menjadi penyejuk mata Along," ujar mama seraya melepaskan dakapannya.


"Terima kasih mama. Amin." Begitu besar pengorbanan seorang ibu. Meskipun mama sedar bahawa anak lelaki tunggalnya itu akan menamatkan zaman bujangnya, mama masih lagi  setia dengan doa dan nasihat terhadap anaknya.

"Mama." Aku terhenti seketika menahan sebak yang tiba-tiba datang bertandang.


Bersambung...

2 comments:

Thursday, September 1, 2011

Cerpen: Aku Terima Seadanya... [Bahagian 1]

"Apabila seseorang melaksanakan pernikahan, bererti telah menyempurnakan separuh agamanya, maka hendaklah ia menjaga separuh yang lain dengan bertaqwa kepada Allah."
Hadis Riwayat Baihaqi


Aku menyarung sepersalinan baju Melayuku. Lengkap berwarna rona putih. Bersongkok hitam dan bersamping hitam bercetakkan motif bunga klawang keemasan. Aku memandang cermin bingkai di hadapan sambil mengenakan butang baju Melayu.

"Wah, cantiknya anak mama hari ni." Mamaku memecahkan hening kesunyian di dalam bilikku pada pagi itu.

"Eh, mama. Tak sedarpun Along yang mama masuk," ujarku seraya memandang sekilas ke arah wajah mama. Senyuman terukir di raut wajahnya. Usianya sudahpun menjangkau 60 tahun. Namun, raut wajahnya masih tidak berubah. Masih lagi cantik seperti dahulu.

"Along, mama nak pesan sesuatu kepada Along." Mama memecahkan kesunyian sekali lagi setelah beberapa ketika suasana bilik diselubungi sepi.

"Ya, mama. Apa pesanan tu?" Aku terus duduk di sebelah mama. Mama yang sedari tadi duduk di birai katil sambil memerhatikan aku bersiap. Bahu kiriku bertemu dengan bahu kanan mama. Tangan kanannya yang sudah mengjangkau melepasi usia separuh abad aku usap.

"Ingat pesan mama ya. Jadilah seorang suami dan seorang ayah yang baik kat terhadap isteri nanti. Jangan pernah sekali-kali meninggikan suara Along terhadap isteri. Banyakkan bersabar. Sifat marah tu perlu kena pada tempatnya. Jangan sifat marah tu menguasai diri. Banyakkan beristighfar. Hidup berkeluarga ni tak serupa dengan hidup bujang berkeluarga." Serba-serbi ucapan dihulurkan kepadaku. Aku terpinga-pinga.

"Err, mama. Apa tu hidup bujang berkeluarga? Tak pernah dengarpun sebelum ni?" Aku menggaru-garu belakang kepalaku. Petanda bahawa aku tidak dapat memahami butir-butir ayat yang terakhir daripada mama. Mama tersenyum.

"Hidup bujang berkeluarga ni macam sekaranglah. Along masih lagi bujang. Tinggal dengan mama, abah dan adik-beradik yang lain."

"Oh," sepatah jawapan yang mampu aku ukirkan buat mama. Tak aku sangka mamapun bijak berkata-kata.

"Insya Allah, mama. Along akan ingat dan amalkan apa yang mama pesan tadi." Tangan mamaku kucup. Terasa ada hangat titisan air menitis mengenai lenganku. Aku mendongak. Memandang tepat ke dalam mata mama. Mama menangis.

"Mama, kenapa ni?" ujarku seraya mengusap airmata yang berjujuran turun dari kelopak mata mama. Mama masih lagi membisu. Aku biarkan seketika. Menunggu dengan penuh sabar. Senyuman di bibir aku hadiahkan kepada mama.

"Mama tumpang gembira buat anak sulung mama ni. Tapi, mama juga sedih."

"Sedih? Kenapa mama? Kenapa mama sedih? Ada apa-apa yang Along buat sampai guris hati mama?" Hati aku semakin dicengkam gelisah. Risau dengan kenyataan mama tadi. Derhakanya aku kepada seorang insan yang begitu penting sekali di sebalik kewujudanku di dunia ini. Ya Allah, apa sudah aku lakukan? Astaghfirullahal'azim.

Bersambung...

4 comments: