Friday, November 20, 2009

Dalam Kesedihan Terselit Kegembiraan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Alhamdulillah, hari ini berlalu sudah penderitaan yang ditangguh. Bahagian pertama keputusan Projek Sarjana Muda (PSM) telah berjaya diperoleh. Setelah berjumpa dengan penyelia PSM pada pagi tadi, akhirnya beliau memberi kelulusan terhadap keputusan yang telah aku peroleh. Syukur kepada-Nya.

Hari ini, sedikit sebanyak aku dapat mengubati hati aku yang terguris. Terguris akibat keputusan senarai tampal peperiksaan yang disiarkan di laman Aims2000. Sungguh mengguris hati dan perasaan tatkala mata melihatnya. Begitu kecewa sekali aku sehingga aku dipujuk rayu oleh ayahanda dan bonda menerusi perbualan telefon. Inilah pertama kali aku menangis. Menangis akibat keputusan peperiksaan yang aku peroleh. Sebelum ini, aku belum pernah lagi bersikap seperti ini, waima peristiwa-peristiwa yang menyahat hati pernah berlaku dalam rona-rona hidupku.

Testi.Kuriee.Com
[Gambar penghargaan di sini]

Tersingkap kembali kenangan ketika mengambil keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah. Ketika itu, aku diberitahu oleh cikgu bahawa aku memperoleh keputusan yang baik namun tidak sebaik daripada rakan-rakanku yang lain. Tatkala aku mendengar perkhabaran itu, aku cuma terdiam. Menyepikan diri daripada kumpulan manusia yang mula membanjiri lokasi pengambilan keputusan peperiksaan. Hatiku kecewa ketika itu. Namun, aku mampu berdiri dan tersenyum kepada mereka yang berada di sekelilingku. Itulah aku. Seringkali menyembunyikan perasaan sendiri untuk tatapan diri sendiri. Tidak sanggup aku untuk menambahkan bebanan atau merosakkan sesuatu perkara terhadap pihak lain.

Namun, kali ini, aku tiba-tiba menjadi seorang yang rapuh. Rapuh emosinya. Rapuh kepercayaan. Rapuh pendirian. Malah, yang paling bahaya, rapuh qada' dan qadar-Nya. Alhamdulillah, dengan tutur kata nasihat yang dihulurkan kepada aku oleh ayahanda, aku kembali menjejakkan kaki di dunia realiti. Sedikit sebanyak, apa yang dibisikkan oleh ayahanda terus ke gegendang telingaku memberikan suatu suntikan rohani yang telah hilang selama ini. Aku merenung setiap apa yang diluahkan butir-butir patah kata ayahanda terhadap aku. Ya, benar. Memang benar apa yang diutarakan oleh ayahanda. Rezeki dan dugaan ada di mana-mana. Tidak semestinya rezeki datang dalam bentuk harta, pangkat dan materialistik semata-mata. Dugaan yang datang menjengah setiap insan mempunyai kadar hikmahnya. Bak kata pepatah, "tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu".

Photobucket
[Gambar penghargaan di sini]

Aku cuba untuk berdiri semula. Meskipun aku sudah berada di tahun akhir, aku masih lagi mempunyai satu lagi baki semester untuk diperjuangkan. Dan, apa yang aku lalui belum lagi sehebat mana dugaan yang diperoleh oleh teman sekursus aku yang lain. Ada di kalangan mereka yang gagal dalam gred PSM mereka. Kegagalan dalam PSM amatlah besar penangannya bagi kami yang sedah menongkah arus perjalanan hidup sebagai seorang mahasiswa tahun akhir pengajian. Petanda bahawa mereka bakal menambahkan lagi setahun pengajian mereka di sini serta berkemungkinan besar dipaksa untuk ditangguhkan pengambilan PSM mereka ke sesi tahun pengajian akan datang. Mengerikan tatkala aku mendengar kisah tersebut daripada mulut teman-temanku. Aku sepatutnya bersyukur kerana tidak diberi dugaan yang sebegitu rupa.


Nota Kaki 1: Semoga ada sinar daripada-Nya bagi kisah roda hidup kali ini. Amin...

Nota Kaki 2: Semoga kalian semua tabah menghadapi dugaan daripada-Nya.

Nota Kaki 3: Alhamdulillah, syukur kepada-Nya. Keputusan PSM bahagian pertama sudahpun selesai. Cuma, pencarian jurnal masih lagi diteruskan untuk kesinambungan dan sokongan thesis kelak.

0 comments: