Monday, November 16, 2009

Di Mana Silapnya?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Alhamdulillah, sudah agak lama saya menyepi di ruangan ini. Setelah berakhirnya jadual peperiksaan dan meneruskan sisa-sisa perjuangan dalam menyiapkan Projek Sarjana Muda (PSM) di kala waktu cuti semester yang masih lagi muda.

Namun, kini, hati saya terusik. Sejak dari tengah hari tadi sehinggalah kini, ketika saya menitipkan di warkah ini. Persoalan demi persoalan menerjah bertalu-talu di ruang jendela minda saya. Suatu persoalan yang sehingga kini sedang saya analisis dari pelbagai aspek. Namun, tiada ketemu bibit-bibit jawapan mahupun sekelumit jua.

Kenalan: Abang masih lagi terasa kecewa dengan jawapan si A terhadap abang. Abang tahu abang bukanlah seorang yang sempurna. Tapi, sekarang ini, abang dah ada kerjaya. Tapi, jawapan yang diberikan oleh si A benar-benar buat abang berfikir panjang.

Itulah antara bait-bait ayat yang seakan-akan maksud dan nadanya yang diutarakan kepada saya setelah saya usai menunaikan solat Zuhur di Masjid Sultan Ismail, tengah hari tadi. Usai saja saya membaca doa, saya terlihat suatu tubuh duduk bersandar di tiang masijd dengan wajah yang agak sugul. Seperti seseorang memendam sesuatu masalah. Lantas, saya pun menghampirinya dan terurailah persoalan demi persoalan yang ligat bermain di akal saya sebelum menemuinya.

[Gambar penghargaan di sini]

Apa yang boleh saya rumuskan di sini adalah beliau amat kecewa dengan jawapan yang diberikan oleh si A dan dalam masa yang sama, si A sudah mempunyai perasaan terhadap orang lain. Dengan erti kata lain, kenalan saya ini terlambat sedikit dalam menyuarakan isi hatinya terhadap si A, iaitu ingin menjadikan si A sebagai suri di hatinya. Beliau kini masih lagi dalam proses rehabilisasi - cuba menenangkan dirinya dengan meminta petunjuk daripada-Nya. Meminta kekuatan dan ketabahan hati serta jiwa agar kembali tenang dalam menjalani kehidupan seperti biasa.

Saya turut bersimpati terhadapnya kerana beliau merupakan seorang yang berdedikasi dan bertanggungjawab serta sering membantu kami, adik-adiknya tatkala dilanda kesusahan. Sebagai seorang adik dan sahabat kepadanya, saya cuba memberikan sedikit kata-kata perangsang dan nasihat serta pandangan saya mengenai situasi ini. Saya akui, beliau memang bukannya seorang yang mudah tunduk terhadap cabaran dan dugaan yang dialami olehnya, lebih-lebih lagi situasi yang sedemikian rupa.

Cuma, ada beberapa persoalan yang masih lagi bermain-main di minda saya sejak dari dulu lagi. Apakah kriteria bakal suami yang diingini oleh kaum Hawa? Adakah dengan beberapa garis panduan yang dilunaskan oleh tuan punya diri memaksa untuknya menolak calon suami yang baik, yang berada di hadapan matanya kerana ketidak sempurnaan yang tidak mencakupi keinginannya sebagai seorang manusia? Atau adakah faktor-faktor lain yang sebenarnya menghalang bagi dirinya untuk mendampingi bakal seorang suami yang sebegitu rupa? Masih lagi terngiang-ngiang luahan hati dan perasaannya terhadap saya.


Nota Kaki: Semoga abang tabah dalam mengharungi liku-liku hidup. Insya Allah, akan tiba masanya abang akan berjumpa dengan jodoh yang terbaik buat abang.

0 comments: