Saturday, June 13, 2009

Cerpan: Konfrontasi Realiti Hati (Bahagian 1)

“ABAH, jangan pukul mama lagi.”

“Pergi! Aku kata pergi!,” laung abah dengan tangan menghayun ligat tali pinggang ke arah tubuh kerdil mama.

“Abah, sudahlah tu. Amir yang bersalah. Bukannya mama. Cukuplah tu abah,” rayuku meminta abah berhenti. Abah bagaikan dirasuk semangat amuk yang melampau. Melibas mama tanpa penuh perasaan kasihan. Mama pula hanya mampu meleraikan air matanya tanpa mampu untuk berkata-kata.

“Kaupun nak kena juga ya?” jerkah abah apabila melihatku menghalang ‘niat murni’ abah itu. Dengan tidak semena-mena, tubuh aku menjadi santapan panahan tali pinggang yang dahagakan libasan amukan abah.

“Aduh, sakit abah. Sakit,” jeritku merayu. Semakin kuat libasan abah tatkala aku menjerit dan merayu kepadanya. Seperti tiada noktahnya perlakuan abah terhadapku ketika itu. Aku hanya mampu melinangkan air mata sambil ditemani mama yang hampir terkulai layu disebat bertalu-talu oleh abah yang sudah hilang pertimbangan akal dan diri. Hanya manik-manik jernih berjujuran yang mampu aku dan mama persembahkan kepada abah ketika itu.

**********

“Mama, boleh Amir tanya sesuatu?”

“Boleh, sayang. Apa dia?” ujar mama yang lincah memasak di dapur.

“Kenapa abah tu? Selalu melepaskan geram dan marah dekat mama. Apa salah mama?” ujarku seraya memotong timun menjadi hirisan yang nipis-nipis untuk dibuat kerabu.

“Salah mama juga. Abah penat-penat balik kerja, mama pula yang bagi bebanan dekat abah,” balas mama sejurus menanak nasi. Mama mengerling ke arah jam yang tersemat di dinding rumah dapur rumah banglo 2 tingkat itu. Hampir 12 suku tengah hari.

“Kalau ya mama buat salah, kenapa abah libas mama dengan tali pinggang malam tadi?”
Mama terdiam sejenak. Seakan memikirkan sesuatu untuk diperjelaskan kepada anaknya yang seorang itu. Hanya itu saja hartanya di dunia ini. Permata hatinya yang semakin membesar di hadapan mata kepalanya sendiri. Hanya dia satu-satunya tempat dia mengadu kasih selain Ilahi.

“Abah letih malam tadi. Penat sangat. Mama pula banyak tanya masa tu.”

“Tapi, takkanlah sampai sebegitu sekali abah mengamuk,” ulasku membalas jawapan yang diberikan oleh mama tadi. Seolah-olah cuba menentang apa yang dipacakkan oleh mama. Mama diam membisu seribu bahasa. Seakan seperti mahu untuk mengelak daripada menjawab pertanyaan yang satu itu.

“Mama, kenapa mama diam? Amir salah cakapkah tadi?” sambungku lagi setelah keadaan sunyi untuk beberapa jurus lamanya.


Bersambung...

0 comments: