Coretan UTM Bloggers


Photobucket

Tuesday, February 28, 2012

Jangan Pernah Luahkan Ucapan Tersebut

Selama mana kita bersua, mungkin ini sahaja yang menjadi tinggalan memori kita semua. Memang perpisahan itu pahit, namun dengan perpisahan itulah menjadikan kita sentiasa cuba menyelami dan mengingati detik-detik berharga yang dilalui bersama.

Selamat Maju Jaya buat semua. Sehingga kita bertemu kelak.


Master of Science (Biotechnology)
2010/2012 session
Universiti Teknologi Malaysia


Kalau ada sumur di ladang,
Boleh hamba menumpang mandi;

Kalau ada umur yang panjang,

Boleh kita berjumpa lagi.

Friday, January 13, 2012

Siapa Kita Sebenarnya?


Ke arah satu perjalanan
Dalam sebuah kehidupan
Demi untuk mengecapi
Hasrat murni di dalam hati

Usaha dengan doa
Masanya akan tiba
Dengan restu Ilahi
Kelak akan pasti ditemui

Suluhkan cahaya di hati terang (Allah)
Tunjukkan jalan seandainya hilang (Allah)
Tegakkan perjalanan yang bakal ditempuh
Tegakkan semangat bila runtuh
Setibanya di sisiMu ku berserah
Terimalahku hambaMu Allah

HambaMu Allah

Sekiranya takdir menguji
Cekalkan hasrat di hati
Semoga kesusahan bisa
Mengajar erti terus asa

Usaha dengan doa
Masanya akan tiba
Dengan restu Ilahi
Kelak akan pasti ditemui

Suluhkan cahaya di hati terang (Allah)
Tunjukkan jalan seandainya hilang (Allah)
Tegakkan perjalanan yang bakal ditempuh
Tegakkan semangat bila runtuh
Setibanya di sisiMu ku berserah
Terimalahku hambaMu Allah

Dengan restu Ilahi
Kelak akan pasti ditemui

Suluhkan cahaya di hati terang (Allah)
Tunjukkan jalan seandainya hilang (Allah)
Tegakkan perjalanan yang bakal ditempuh
Tegakkan semangat bila runtuh
Setibanya di sisiMu ku berserah
Terimalahku hambaMu Allah
HambaMu Allah
HambaMu Allah


*****************

Seringkali diri ini termenung seketika
Siapa sebenarnya kita?
Untuk apa kita berada di dunia ini?
Untuk apa kita mengejar semua ini?
Sekadar memenuhi kuota kita di dunia ini semata?
Atau lebih daripada itu?

Selalunya, kita kejar sesuatu yang belum pasti
Namun, mengapa kita sering alpa
Dengan sesuatu yang sudah benar dan konkrit

Kita mengejar cinta duniawi
Kita mendabik dada bahawa kita pejuang ukhrawi
Namun, di mana jejak kaki kita kini?


Nota Kaki:
Nasyid ini benar-benar menusuk kalbu. Setiap bait liriknya amat mendalam ertinya. Di manakah kita ketika ini?

Friday, December 30, 2011

30 Disember 2003

30 Disember. Suatu tarikh yang tiada istimewanya bagi aku. Namun, tarikh inilah yang telah mencoretkan salah satu suka duka dalam rentetan sejarah hidup aku.

Bangun Subuh pada pagi itu, seakan-akan tidak sabar untuk melangkah pergi menuju ke destinasi itu. Namun, jauh di sudut jiwa ini, seakan suatu suara mula mencerakah gemanya, melaungkan rasa gementar yang amat. Rasa debar yang menggunung. Rasa risau mula bertakuk sedikit demi sedikit.

photo

Entah di mana datangnya kekuatan untuk melangkah pergi ke destinasi tersebutpun tak tahu. Semakin hampir detiknya ke angka 10 pagi, semakin bergelojak jiwa yang menanti. Masing-masing membawa harapan dan impian yang tersayang. Beban dan galas cita-cita juga turut sama menabur kasih.

Sebelum aku melangkah keluar rumah, wajah mama aku tatap dengan sekilas. Hanya telinga saja yang menjadi teman setia mendengar kata-kata daripadanya. Bukan biadap. Tetapi hati ini terlalu kuat dipaut oleh rasa gemuruh, gementar, dan risau. Risau mata ini tertancap mata yang satu lagi. Mata yang memandang penuh pengharapan. Mata yang memandang penuh keyakinan. Tidak mampu untuk aku merobek pandangan mata tersebut.

Setibanya di destinasi tersebut, sudah ramai susuk-susuk tubuh manusia, lengkap mengenaikan pakaian sekolah bertakhtakan lencana Sekolah Menengah Kebangsaan Selayang Bharu memenuhi ruang perkarangan sekolah. Suasana berbaur menjadi satu. Ada yang bergelak ketawa sesama rakan, ada yang bersiar-siar mengelilingi kawasan sekitar, ada juga yang hanya duduk berborak santai sesama kenalan.

Tepat jam 10 pagi, suasana yang tadinya riuh-rendah, akhirnya menjadi agak lengang. Masing-masing sudah mula berarak ke tempat yang telah diarahkan oleh guru bertugas. Wajah masing-masing tatkala itu semuanya tenang, namun, dalam hatinya siapa yang mengerti. Mungkin badai resah dan risau mula menghempas tepian pantai ketenangan yang telah dibina sebelum itu.

"Baik, 3 Helium. Beratur ya untuk mengambil slip keputusan kamu." Suara cikgu Meriam Bi dilontar di sebalik kaca tingkap kelas. Sekali lagi, masing-masing di antara kami menoleh antara satu sama lain. Masing-masing cuba untuk memberi laluan kepada rakan dan sahabat untuk pergi mengambil keputusan mereka terlebih dahulu. Namun, hampa. Tiap-tiap pasang mata yang hadir ketika itu hanya memandang. Gelojak risau dan ghairah mula singgah bersilih ganti. Nama 3 Helium menjadi taruhannya kali ini. Kelas yang menjadi harapan pihak sekolah dalam meraih pencapaian cemerlang keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kali ini.

"Eh, cepatlah. Kamu tak nak ambil slip periksa ke?" getus cikgu Meriam Bi sekali lagi setelah melihat senario kami semua ketika itu. Akhirnya, salah seorang rakan perempuan kami menyerah diri, menghadap ke hadapan untuk mengambil slip keputusan peperiksaannya.

"Nur Syahirah Mohd Nadzri, tahniah. Awak dapat 8A," ceria wajah cikgu Meriam Bi menghulurkan slip berkenaan kepada empunya diri.

"Syahirah, awak dapat 8A? Tahniah." Suara-suara tahniah dan jerit sorak keriangan mula memenuhi ruang udara persekitaran ketika itu. Pasang-pasang mata yang berada di sekitar mula memandang ke arah kami. Babak kehidupan mula dipentaskan ketika itu. Pelbagai reaksi terpancar tanpa diminta.

Enam orang pelajar berturut-turut memperoleh keputusan 8A dalam PMR kali ini. 5 orang perempuan dan seorang lelaki. Namun, masih ada lagi seramai 32 orang belum lagi mahu tampil ke hadapan untuk menerima slip berkenaan. Maka, aku dengan rasa sedikit yakin, melangkah menuju cikgu Meriam Bi.

"Fahmi Mubarak ya?" soal cikgu Meriam Bi.

"Ya saya, cikgu," jawabku gementar.



Nota Kaki:
Pengakhiran kisah benar ini akan dibiarkan tergantung sebegini. Biarlah ianya menjadi andaian kepada anda yang membacanya. Andalah yang menjadi pengarah bagi sebuah sketsa drama kehidupan anda.

Saturday, December 24, 2011

Cerpen: Ketika Mendung Berarak [Bahagian Akhir]


"Awak masih tak menjawab persoalan awal saya," Dr. Faris masih lagi dengan persoalan awalnya sejak tadi.

"Dr. Faris?" Hatiku melonjak-lonjak untuk mengetahui siapa gerangan tersebut. Aku mengintai di sebalik cermin berhampiran pintu wad.

"Dia?" Hatiku tersentap. Marahku mula meluap. Mengapa dia berada dalam wad bersama-sama dengan isteriku? Ke mana perginya ayah dan ibu?

"Abang, abang. Jauh menung tu. Abang termenung apa tu?" suara lunak manja datang menerjah ke gegendang telingaku. Aku tersentak.

"Ya, sayang. Kenapa? Sayang tak sihat ke?" Aku menghulurkan tangan kananku lalu mencapai tangan kanannya. Susuk tubuh yang ayu bertudung ungu orkid dipadankan dengan jubah ungu bermotifkan flora duduk di sebelah kiriku. Seukir senyuman aku hadiahkan buatnya.

"Abang tak jawab lagi soalan Balqis."

"Soalan? Soalan apa sayang? Sayang ada hulur soalan kat abang ke?" Aku memandang wajahnya sambil keningku berkerut memikirkan pertanyaan Balqis.

"Abang ni. Dia buat-buat lupa pula. Tadi tu Balqis tanya apa yang abang termenung tu."

"Oh! Maaflah sayang. Abang terperasan pertanyaan sayang. Ni sebab salah sayanglah ni."

"Salah Balqis? Apa yang Balqis dah kepada abang?"

"Sebab sayang cantik sangatlah sampai abang tak terperasan langsung pertanyaan sayang."

"Eeiii, abang ni, kalau tak usik sayang, memang tak sah." Satu cubitan pantas hinggap di lengan kiriku.

"Aduh! Sakit tahu sayang. Tapi, memang betul apa isteri abang ni cantik orangnya. Kalau tak, takkanlah abang boleh terpegun melihat sayang sebegini," ajuku seraya mencubit hidungnya.

Angin petang itu bertiup perlahan meskipun awan-awan mendung telah mula berarak memasuki ruang langit. Namun, aku dan Balqis masih lagi berada halaman rumah. Tenggelam dengan lamunan masing-masing.

"Sayang, sayang nak tahu apa yang abang menungkan tadi?" soalku setelah suasana sepi beberapa ketika.

"Emm." Sepatah Balqis menjawab sambil menganggukkan kepalanya sebagai tanda ya. 

Nafasku tarik sedalam-dalamnya.

"Abang terkenangkan peristiwa abang bertelagah dengan Dr. Faris tempoh hari." Kataku terhenti. Seboleh-bolehnya, aku tidak mahu mengungkapkan peristiwa itu lagi. Lebih-lebih lagi di hadapan Balqis.

"Sudahlah bang. Benda dah berlaku. Dah lepas dah. Tak usah dikenang lagi. Balqis minta ampun sebab Balqis tak beritahu perkara sebenarnya kepada abang." Tangan kanannya erat menggenggam tangan kananku.

"Sepatutnya, abang yang perlu minta maaf daripada sayang sebab cemburu buta abang terhadap sayang. Abang sepatutnya selidik dulu hal tu bukannya terus menerpa dengan emosi amarah dan cemburu yang tidak berasas."

Suasana hening seketika. Hanya teriakan kecil kanak-kanak yang bersorak riang di taman permainan berhampiran mengisi ruang masa ketika itu.

"Kenapa sayang tak beritahu pasal kesihatan sayang kepada abang? Risau abang kalau jadi sesuatu kepada sayang nanti."

"Maafkan Balqis, abang. Balqis cuma nak bagi 'surprise' kepada abang."

"Kalau ya pun nak bagi 'surprise', janganlah sampai macam tu sekali. Risau abang dibuatnya," balasku sambil mengusap perut Balqis.

"Syukur, alhamdulillah. Sayang tak apa-apa. Cumanya, tekanan darah sayang kurang. Banyakkan berehat ya sayang. Bahaya untuk kandungan sayang nanti," sambungku lagi.

"Amboi, abang. Ingatkan kandungan aje, si ibu ni tak ingat ke?" Balqis bersuara seakan-akan merajuk.

"Ibu kandungan tu abang tak ingat." Spontan aku menjawab.

"Abang! Sampai hati abang kata macam tu." Balqis mula menarik muka. Genggaman tangan kami diurai olehnya.

"Ibu yang mengandungkan anak ni abang tak ingat sebab ingatan tu bukannya terletak di sini, tapi di sini," jawab aku sambil meletakkan jari telunjuk kananku di kepala, kemudian membawanya terus ke dada.

"Abang ni kan. Memang sengaja nak usik Balqis." Satu cubitan kecil hinggap di lengan kiriku.

"Aduh! Sakitnya. Isteri abang ni memang suka cubit orang ya."

"Memang."

Aku tersenyum melihat wajah Balqis. Aku merangkul tubuhnya mendekati tubuhku. Syukur, Ya Allah atas kurniaan Kau ini. Awan berarak perlahan di langit Ilahi. Bertindih antara satu sama lain. Ada awan putih, ada juga awan gelap. Suasana petang itu memungkinkan bahawa hujan rahmat bakal membasahi bumi-Nya.


Ujian adalah tanda Allah sayang kepada hamba-Nya
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan: kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka. Maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."
Surah al-Ankabut: Ayat 2-3

Monday, November 21, 2011

Cerpen: Ketika Mendung Berarak [Bahagian 4]


"Seseorang wanita apabila ia mengerjakan sembahyang yng difardhukan ke atasnya, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dirinya dan taat kepada suaminya, maka berhaklah ia masuk syurga dari mana-mana pintu yang ia suka".
Hadis Riwayat Anas bin Malik



Aku memandang wajah yang berada dalam cermin muka berkenaan. Wajahku ternyata sugul. Masih lagi kusut. Kusut memikirkan segala yang berlaku. Ah! Balqis sentiasa berlegar-legar di minda. Gadis berkenaan hanyalah gadis biasa, namun, bukan yang biasa-biasa bagiku. Perwatakannya yang lemah-lembut tetapi tegas dalam pendiriannya, tidak bisa memperagakan kecantikan diri terhadap duniawi semata-mata meraih cinta Ilahi. Aku akui, aku tidak pernah terlintas di fikiranku bahawa gadis berlatar belakangkan sebegini yang akhirnya menjadi pelengkap tulang rusuk kiriku.

Wajahku disapu dengan air sehingga rata seluruhnya. Sejuk. Sejuk sehingga menggigit tulang hitamku. Aku capai tisu yang berada berhampiran dengan sinki di dalam tandas berkenaan.

"Balqis. Bagaimana dirimu ketika ni? Masih menuntunkah marahmu terhadap aku?" Satu persatu kegusaran menjengah jendela hati. Risau sudah menjadi teman setia di sisi sejak Balqis dimasukkan ke hospital. Sehingga kini, aku masih lagi tidak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku terhadap Balqis. Aku melangkah keluar dari tandas sambil membulatkan niat yang satu.


*****


"Balqis, sudah berapa kali saya nasihatkan kepada awak, jangan dibiarkan perkara ni dari terus berlalu. Awak mesti maklumkan kepada suami awak. Lambat-laun, dia akan tahu juga duduk sebenar perkara ni," ujar Dr. Faris sambil duduk di birai katil. Balqis masih membatukan diri.

Suasana di dalam wad sunyi. Hanya kelibat Balqis dan Dr. Faris saja. Masing-masing hanya memandang di antara satu sama lain, seolah-olah mata mereka berbicara.

"Balqis, kalau awak sendiri tak nak maklumkan kepada suami awak, biar saya sendiri yang maklumkan." Dr. Faris bingkas bangun dari duduknya.

"Dr., jangan. Saya tak sanggup nak lukakan hati suami saya. Saya tak nak dia risau." Terpacul laju kata-kata berkenaan daripada mulut Balqis. Resah kian menghambat dirinya. Dadanya berombak kencang. Kaca jernih berlinang di kelopak matanya.

Dr. Faris terhenti langkahnya. Wajahnya dipaling ke arah Balqis. Mata mereka bertemu. Airmata Balqis sudah tumpah, mengalir di pipi kirinya. Dr. Faris melangkah merapati katil.

"Cuba awak beritahu saya mengapa awak risau dan tak nak maklumkan kepada suami awak?" Dr. Faris mengambil kerusi lalu duduk menghadap Balqis. Balqis masih lagi membisu. Hanya sedu-sedan kedengaran kecil memenuhi ruang bilik wad ketika itu.

Kredit untuk gambar
Langkah kakiku terhenti. Terhenti di hadapan pintu bilik wad. Telingaku tertancap sedu-sedan kecil.

"Ya, tu sedu Balqis."

"Dr., saya pohon budi baik Dr., Dr. rahsiakanlah perkara ni daripada suami saya. Saya pohon jasa baik Dr.," luah Balqis dengan suara tersekat-sekat.

"Awak masih tak menjawab persoalan awal saya," Dr. Faris masih lagi dengan persoalan awalnya sejak tadi.

"Dr. Faris?" Hatiku melonjak-lonjak untuk mengetahui siapa gerangan tersebut. Aku mengintai di sebalik cermin berhampiran pintu wad.

"Dia?" Hatiku tersentap. Marahku mula meluap. Mengapa dia berada dalam wad bersama-sama dengan isteriku? Ke mana perginya ayah dan ibu?



Bersambung...

Tuesday, October 25, 2011

Cerpen: Ketika Mendung Berarak [Bahagian 3]


Firman Allah S.W.T yang bermaksud, "Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."
Surah Ar-Rum: Ayat 21




Aku termenung lesu di sisi Balqis. Balqis masih lagi di pembaringan. Pucat wajahnya. Glukosa sedikit demi sedikit masuk ke dalam tubuhnya melalui jarum di belakang tangan kanannya. Bunyi dari alat eletrocardiogram (ECG) saja yang menemani bicara hatiku di situ sejak semalam.

Balqis masih belum sedarkan diri. AKu tidak putus-putus mengungkap penyesalan terhadap apa yang berlaku semalam. Mataku sentiasa dibasahi dengan linangan airmata. Ianya bisa berderai tanpa aku pinta. Sugul hatiku tatkala memikirkan peristiwa semalam.

"Fattah, kau baliklah dulu. Tukar pakaian. Dah sehari semalam kau duduk di sini. Ayah rasa, kau tak jamah pun lagi sejak semalam. Baliklah dulu nak. Kami ada di sini untuk menjaga Balqis," ujar ayah mentuaku, Haji Amran yang berada di belakangku sambil mengusap bahu kiriku.

"Tak apalah, ayah. Fattah OK lagi. Fattah nak jaga Balqis. Fattah tak nak Balqis sedar tanpa Fattah berada di sisinya."

"Fattah, ayah bukan apa. Ayah risau tengok keadaan kau ni. Baliklah berehat dulu. Isi perut tu. Jangan menyeksa diri kau pula." Lembut pintaan ayah mentuaku. Aku memaling muka dan memandang tepat ke arah mukanya. Wajahnya seakan-akan meminta untukku menerima permintaannya itu. 

Aku akhirnya mengangguk. Perlahan-lahan.


*****


Matanya sedikit terbuka. Retina matanya cuba mencari fokus pencahayaan sempurna. Keadaan samar berubah sedikit demi sedikit. Akhirnya, penglihatannya jelas. Balqis tersentak seketika. Dia keliru. Ibu mentuanya berada di sisi katil. Sedang tidur hanya beralaskan lengan kirinya. Balqis cuba mengamati suasana ruang bilik yang bercat biru muda itu.

"Di mana aku kini?" Getus hati kecilnya. Balqis cuba untuk membetulkan baringannya. Cuba untuk berada dalam posisi bersandar. Namun, tidak semena, dia mengejutkan ibu mentuanya.

"Balqis. Abang, Balqis dah sedar. Syukur, alhamdulillah." Ucapan pertama yang diujar mama. Wajahnya ceria, disulami linangan airmata. Abah bergegas masuk ke dalam wad sejurus melihat Balqis sudah mulai sedar.

"Balqis, jangan buat kami risau lagi ya, nak. Entah apalah yang kami fikirkan sebelum ni. Jaga kesihatan tu ya." Panjang lebar mama menasihati. Balqis hanya melemparkan secebis senyuman. Namun, ternyata ianya hambar.

"Err, abah, mama. Mana ibu dan ayah?" Balqis bersuara perlahan. Antara seakan berbisik nadanya.

"Ibu dan ayah ada di luar. Teman Fattah makan rasanya," abah bersuara, menjawab pertanyaan tersebut.

"Nak mama panggilkan mereka?" Mama cuba mengisi kekosongan detik ketika itu setelah beberapa lama sepi tanpa kata. Balqis sekadar menggelengkan kepala. Tidak mahu untuk tergesa-gesa memanggil ibu dan ayah. Dan, yang paling penting, Balqis mahu mengelak daripada bertemu suaminya. Hatinya luka. Pilu. Sangat pilu ketika itu. Biarlah dia mencari kekuatan dari luka yang menghiris hatinya ketika itu.


*****


"Fattah, Balqis tak nak jumpa kamu buat masa ni," ujar ayah, merangkap bapa mentuaku sambil mengusap-usap bahuku. Mungkin cuba menenangkan aku yang baru mendengar khabar sebegitu. Lagipun, aku baru tiba di hospital setelah menukarkan pakaianku.

"Kenapa ayah? Kenapa Balqis tak nak jumpa saya?"

"Ayah tak tahu kenapa. Yang pasti, ayah menghormati permintaan Balqis. Jadi, ayah minta, Fattah hormatilah permintaan dia. Bukannya ayah halang kamu daripada berjumpa dengan Balqis. Cuma, mungkin ni bukan masanya untuk berbuat demikian." Satu persatu ayah menyampaikan kata-katanya. Aku merenung ke dalam mata ayah. Renungan matanya seolah-olah meminta aku menerimanya. Akhirnya, aku mengangguk. Mengalah dengan keputusan sendiri.

"Jom kita pergi minum di kafetaria. Dah lama abah dan ayah tak borak dengan kau," pelawa abah. Aku sekadar mengangguk. Aku melangkah longlai ditemani abah dan ayah menuju ke kafetaria. Hatiku bergelora. Pelbagai persoalan menjengah jendela minda. Tidak satupun persoalan tersebut mempunyai jawapannya. Aku semakin gelisah.

Sunday, September 18, 2011

Cerpen: Ketika Mendung Berarak [Bahagian 2]

Rasulullah s.a.w pernah bersabda, "Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikkannya dan kerana agamanya. Maka, hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia."
Hadis Riwayat Muslim 

Seindah hiasan adalah wanita solehah
Balqis. Namanya seindah pemiliknya. Segala mengenai latar peribadinya tidak aku ketahui sebelum ini. Aku menikahinya atas dasar pilihan dan persetujuan kedua-dua belah pihak keluarga. Lagipun, kedua-dua orang tuanya sudah lama mengenali keluargaku. Namun, aku saja yang tidak pernah mengambil pusing mengenai siapa mereka. Ah! Hidup ini sememangnya penuh misteri dan agenda daripada-Nya.

In Team - Impian Kasih

Dari renungan pandangan pertama aku terhadap Balqis, semasa hari pertunangan, Balqis bukanlah seorang yang sesuai dengan aku. Mengapa? Sebabnya, dia merupakan seorang muslimah yang kuat pegangan agamanya. Tapi aku? Sedangkan diri sendiripun masih lagi bertatih dalam melayari kehidupan, inikan pula untuk menerajui bahtera rumahtangga. Ah! Satu lagi ujian yang perlu aku hadapi.

Namun, usai lima bulan bahtera pelayaran sebagai sepasang suami isteri, aku dapat merasakan kedamaian dan ketenangan yang menyusup dan menyelinap masuk ke dalam jiwa nuraniku. Balqis ibarat cahaya dan teduhan rendang yang memayungi hatiku. Penyejuk jiwa.

"Habis tu, siapa lelaki yang di halaman rumah tadi tu? Selama ni, saya sangka awak wanita yang terlalu baik kalau dibandingkan dengan diri saya yang serba-serbi kekurangan ni. Rupa-rupanya, awak lagi hina!" Amarahku semakin melonjak-lonjak. Tiada lagi tepian had yang mampu mengawal. Jerkahanku sedikit membuatkan Balqis tersentak.

"Abang, sampai hati abang kata macam tu. Abang, mengucap bang. Ingat kepada Allah," ujar Balqis dalam tangisan. Suasana ruang tamu banglo dua tingkat itu bergema silih berganti dengan suara jerkahanku dan tangisan Balqis.

"Ooo, nasihat orang pandai. Tapi diri sendiri tu yang alpa dengan perintah Tuhan. Ni, apa gunanya saya sebagai suami awak kalau hati awak sendiri dah ada pada orang lain?" Desibel suaraku kembali rendah. Namun, masih bersisa amarah.

"Abang, ni semua salah faham. Semua ni bukan yang abang fikirkan. Balqis masih lagi waras. Balqis ni adalah isteri abang. Hak abang. Bukan siapa-siapa." Satu-satu butir kata disusun oleh Balqis bagi menyampaikan duduk sebenar perkara. Ibarat kalau seperti kundur labu, boleh dibelah.

Suasana tegang masih lagi membaluti ruang tamu. Aku memalingkan wajahku daripada Balqis. Nafasku turun naik. Menahan buku kemarahan yang masih lagi berbara. Balqis masih lagi berdiri di hadapanku. Berhampiran dengan tangga kayu jati. Tangisannya masih lagi bersisa.

"Abang, sebenarnya, Balqis ada perkara nak beritahu kepada abang. Sebenarnya, Balqis ..." Balqis rebah. Tidak sempat untuk menghabiskan sisa-sisa ayatnya. Aku tergamam.

"Balqis. Ya Allah ..."


Bersambung...
Blog Widget by LinkWithin