Sunday, June 14, 2009

Cerpan: Konfrontasi Realiti Hati (Bahagian 2)

“Tak adalah. Amir tak salah cakap apapun,” ujar mama seraya mengerling matanya melihatku.

“Habis, kenapa mama diam membisu?” terusku hunus persoalan-persoalan yang masih lagi berbasi tanpa jawabnya.

“Amir, apa yang jadi malam semalam tu, biarlah menjadi peringatan kepada kita semua. Salah mama. Bukannya nak tenangkan hati abah, lagi mama simbah minyak adalah,” seloroh mama seakan-akan cuba menutup pelbagai rona persoalan yang telah dan bakal muncul di bibirku nanti.

“Amir, Amir tolong mama, boleh?”

“Apa dia mama? Nak Amir masak sambal tumis?” sambutku dengan sekuntum senyuman.

“Ya. Macam mana Amir tahu mama nak masak sambal tumis ni?”, kata mama seraya tangan kanannya ligat mencubit pipi kananku yang tembam ini.

“Amir tahulah, mama. Tu, cili kering dan bawang merah yang mama letakkan di sebelah pisau pemotong. Amir dapat agak apa yang mama nak masak hari ni,” ujarku sambil jari telunjuk kiriku menuding ke arah bahan-bahan utama untuk memasak sambal tumis.

“Pandai anak mama seorang ni. Tolong mama masak ya, sayang. Mama nak sidai pakaian di luar.”

“OK, mama. Serahkan kepada yang pakar,” balasku seraya menepuk dada.

“Hmm, yalah tu. Karang tak jadi sambal tumis, jadi apa pula menu masakan hari ni,” kata mama seraya melangkah menuju ke bilik air. Senyuman mama yang manis sempat diukir kepada aku sebelum dirinya pergi meninggalkan aku sendirian di dapur.

Sedang aku ligat memulakan langkah untuk memasak, rupa-rupanya, mama sempat mengintai di sebalik pintu dapur. Dalam keasyikan memasak menu masakan yang merupakan menu kegemaran aku, aku tidak sedar langsung bahawa ada sepasang anak mata yang memerhatikan segala tindak-tanduk aku di dapur.

“Kasihan anak aku yang seorang ni. Dari kecil sampailah sekarang ni, langsung tak tahu apa yang berlaku dalam rumah ni. Umur baru mencecah 15 tahun, tapi, sikap tak ubah seperti seorang yang baru berumur 3 tahun,” getus hati mama yang sedang melihat karenah aku memasak. Tiba-tiba, riak wajah mama yang ceria sebentar tadi bertukar mendung.

“Kasihan Amir, sampai sekarang dia tak tahu situasi sebenarnya. Nantilah, bila dah sampai masanya kelak, aku beritahu kedudukan yang sebenarnya. Sekarang ni, bukan masa yang sesuai untuk jelaskan status situasi ni,” monolog mama sendirian sambil menitiskan air matanya yang tidak semena-mena berguguran jatuh dari pekung kelopak matanya.


Bersambung...

0 comments: