Monday, June 15, 2009

Cerpan: Konfrontasi Realiti Hati (Bahagian 4)

Aku berlegar-legar di halaman rumah. Mentari masih lagi menyinari di ufuk Barat ruang langit ciptaan Ilahi, namun kepulan-kepulan awan hitam sedang berarakan masuk dari persada Timur Laut Semenanjung Malaysia. Menandakan bahawa petang itu bakal hujan. Aku mundar-mandir di perkarangan mahligai 2 tingkat itu. Sambil menarik kembali memori-memori indah yang pernah menyaksikan kami sekeluarga hidup ceria sebelum ini. Namun, seperti kata pepatah, kusangkakan petang hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Suasana yang sebegitu hanyalah tinggal kenangan, bertaut rapat disimpan jauh di sanubari. Hanya usia dan waktu saja yang semakin memamahnya. Sejak akhir-akhir ini, abah berubah sikap. Dari perwatakan seorang abah yang penyayang berubah menjadi seorang yang panas baran.

“Kenapa abah menjadi sebegitu rupa? Adakah disebabkan peristiwa tiga bulan yang lalu menyebabkan abah berubah sekelip mata? Ke mana hilangnya seri yang selama ni seringkali menceriakan suasana halaman suatu ketika dahulu?” bertalu-talu persoalan singgah di ruang akalku. Semakin galak memanipulasikan situasi yang aku hadapi kini. Berlatar belakangkan suasana yang mendung, menambahkan lagi sebak di dada, memikirkan situasi yang sedang bergolak kencang dalam keluargaku kini. Sehebat goncangan pohon kelapa yang dihembus bayu laut tatkala musim tengkujuh tiba.

“Ya Allah, jikalau ini merupakan suatu ujian dan dugaan yang harus aku dan keluargaku hadapi, Kau tabahkanlah hati kami. Kau tetapkanlah semangat kami dalam mengharungi detik-detik sukar ujian-Mu ini,” bermonologku sendirian kepada al-Khaliq, Pencipta seluruh alam. Hatiku sayu petang itu sambil dibuai layu dengan rona situasi petang yang muram, seakan-akan memahami arah haluan kehidupanku ini.

**********

Petang Sabtu. Langit masih lagi cerah. Namun, terpalit kepulan Sang Awan Hitan yang kian berarak masuk ke arena langit perkarangan Bukit Mahkota, Bangi. Hanya menantikan detik deraian air hujan yang bakal menyimbah muka bumi ini. Aku bersiar-siar melihatkan keindahan ciptaan Ilahi. Ciptaan al-Khaliq. Sungguh mempersonakan hati yang memandang dan tahu mengucapkan syukur kepada-Nya. Syukur, Alhamdulillah kerana aku masih lagi diberi nikmat daripada-Nya. Tapi, semua ini hanyalah sementara saja. Mungkin esok, lusa aku tidak lagi berupaya melihatkan keindahan panorama alam ciptaan-Nya lagi. Entah-entah sebentar lagi. Barangkali mungkin.


Bersambung...

0 comments: