Tuesday, November 10, 2009

Projek Sarjana Muda: Realiti Semakin Menjadi Nyata

Assalamualaikum dan Salam Perkhabaran kepada semua...

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran, akhirnya, saya selamat menyempurnakan peperiksaan akhir semester saya bagi semester pengajian pada kali ini yang berakhir pada 6 November yang lalu. Meskipun, kebanyakan mahasiswa sudah mula meninggalkan perkarangan kampus Universiti Teknologi Malaysia, Skudai dengan lambaian sanak keluarga semakin kuat beralun di bayangan mata. Namun, saya masih lagi terpaku di sini. Menyiapkan segala hal yang masih lagi berbaki sebelum tibanya musim peperiksaan akhir. Terutamanya Projek Sarjana Muda (PSM). Jika tidak kerana keperluan untuk graduasi kelak, tidak sanggup meranakan diri ini di pangkuannya. Demi ilmu dan harapan keluarga tercinta, semua itu saya ketepikan semua itu. Pada saya, semua itu hanyalah salah satu ujian dan asam garam yang benar-benar diberikan oleh-Nya kepada saya agar saya mengerti, apakah makna di sebalik kehidupan tersebut.

Kini, saya perlu mengulang semula PSM saya buat kali yang ketiganya. Saya tabahkan diri untuk menghadapinya kerana saya tahu, setiap pengorbanan yang saya berikan dan curahkan, Insya Allah, akan mempunyai ganjaran yang setimpalnya. Disebabkan PSM inilah saya gadaikan masa minggu belajar saya demi PSM tercinta. Mengurangkan sedikit masa dalam bertemu janji dengan subjek-subjek lain yang perlu untuk diulangkaji. Cemburu saya melihat rakan-rakan lain yang khusyuk mentelaah pelajaran sedangkan saya berhempas pulas di makmal. Terdetik juga dalam hati akan nasib yang bakal saya hadapi kelak. Meskipun saya mempunyai kekangan dalam mengulangkaji pelajaran, namun, alhamdulillah, keputusan peperiksaan yang telah saya terima untuk beberapa subjek melalui laman Aimsweb amatlah memuaskan hati saya. Begitu juga ibu bapa saya yang tidak putus-putus menghantar mesej ke telefon bimbit saya menyatakan keputusan yang saya peroleh tatkala saya sedang bekerja di makmal sepanjang minggu ini. Terima kasih ya, abah, mama. Segala usaha abah dan mama dalam membesarkan anakanda ini akan anakanda balas meskipun tidak termampu untuk disandarkan pada intan permata.


Semoga perjalanan PSM ini akan kembali berlangsung mengikut teori eksperimen dan objektif projek kelak. Selamat berjuang saya ucapkan kepada seluruh keluarga yang menghadapi sesi pengajian tahun akhir, terutamanya 3SSB dan 3SSG sesi 2009/2010. Kepada mereka yang telah dan akan mula bercuti, selamat bercuti dan bagi mereka yang masih lagi berjuang untuk menghadapi baki-baki kertas peperiksaan, selamat maju jaya.


Nota Kaki 1: Semoga perjalanan PSM mengikut jadual yang dirancang.

Nota Kaki 2: Insya Allah, semoga keputusan peperiksaan pada kali ini lebih baik dari semester-semester sebelumnya.

2 comments:

susa ke psm..?takotnye~ tak lame lg saye lak kena wat psm..

Unknown said...

>Nur Hidayah Isa:
Hmm...
Bergantung kepada individu...
Sebenarnya, PSM nie juga bergantung terhadap penyelia tue sendiri...
Kalau penyelia tue nak keputusan yang terbaik dalam jangka masa yang singkat, maka agak meranalah diri tue...

Nasihat saya, kalau benar-benar suka akan tajuk PSM yang bakal Hidayah ambil kelak, Insya Allah, tak susah...
Yang menyebabkan PSM nie susah adalah disebabkan oleh hasil keputusan yang tidak dapat ditafsirkan bersandarkan terhadap teori penemuan sebelum nie...
Jadi, amatlah sengsara untuk menghadapinya...

Nak atau tak, kenalah ulang balik prosedur dari awal...