Friday, June 25, 2010

[Cerpan] Ombak Kasih: Bahagian 2

Aku berwirid di tikar sejadah. Lama. Aku mengerling jam di dinding. Sudah hampir jam 9 malam. Aku bangkit. Melipat sejadah. Usai melipatnya, aku duduk di birai katil. Mencapai sebuah buku ilmiah yang bertajuk “Aku Terima Nikahnya”. Nukilan Ustaz Hasrizal Mohd Jamil. Aku menyelak helaian demi helaian, mencari muka surat yang terakhir aku jamah.


“Cinta Tanpa Syarat.” Gumamku sendirian. Muka surat 105. Aku mula membaca. Khusyuk menghayati baris demi baris ayat yang tersusun lakar di halaman buku tersebut.

Anak-anak, jiwanya tidak sebesar ayah dan bonda. Kasihnya kadang-kadang tidak sampai ke makam ayah dan bonda.

Sebuah prolog yang begitu mencengkam hatiku. Sambil mindaku ligat mentafsir di sebalik kebenaran patah kata tersebut. Lama aku mantafsir. Akhirnya, aku kembali memamah bacaanku.

Anak-anak, jiwanya tidak sebesar ayah dan bonda. Kasihnya kadang-kadang tidak sampai ke makam ayah dan bonda. Namun seorang ibu dan ayah, mampu menahan pedih dan perit membesarkan anak-anaknya. Bukan setahun dua, malah majoriti nyawa dan usia. Mereka mampu membelai, mereka mudah memaafkan kita, kerana mereka kasih dan cinta, dengan CINTA TANPA SYARAT.

Aku terpana lagi. Terhenti mataku memandang serangkap susunan laras ayat yang menjadi tema utama prolog bahagian buku ini. Ayah dan ibu mudah memaafkan anak-anaknya kerana mereka kasih dan cinta, dengan konsep CINTA TANPA SYARAT. Aku terkenang kembali peristiwa silam. Peristiwa di mana aku menyaksikan suatu kebenaran yang terungkap di hadapanku sendiri. Kenyataan yang sememangnya tidak sama sekali aku duga. Realiti yang sama sekali pahit untuk aku menterjemahkannya melalui kata-kata mahupun contengan di atas kanvas.

“Amir, duduk sebelah abah ni. Abah dan mama ada perkara penting nak beritahu kepada Amir,” pinta abah selepas usai saja makan malam. Aku terus berlalu mengambil tempat duduk di sofa. Hati aku terus bergolak kencang menantikan perkara yang ingin disampaikan kepadaku. Dari riak wajah abah dan mama, aku pasti, ini merupakan perkara yang sangat penting bagi mereka. Aku hanya menantikan pertuturan kata yang seterusnya oleh abah dan mama. Jam ketika itu sudah melepasi pukul 9 malam.

“Amir, apa yang abah nak sampaikan sebentar lagi, abah harap Amir tabahkan hati ya.”

Aku masih lagi membisu menantikan informasi seterusnya. Hanya mendiamkan diri saja tanpa bersuara. Mama mengangguk memberikan isyarat tanda ya kepada abah sebelum abah meneruskan lagi hasratnya itu.

“Amir, sebenarnya… Sebenarnya, ayah dan ibu kandung Amir bukanlah mama dan abah.”

Abah terhenti ayatnya di situ. Aku terkejut. Aku benar-benar tidak percaya. Selama beberapa hari aku menidakkan apa yang terlintas di ruang akal dan jiwaku mengenai status diriku ini, akhirnya, di saat ini, semua yang aku fikirkan sebelum ini menjadi realiti yang benar-benar menguji diriku. Aku, aku hanyalah anak angkat mereka!

“Amir, maafkan kami sebab merahsiakan perkara ni daripada pengetahuan Amir. Kami risau kalau Amir tak dapat menerima kehadiran kami di sisi Amir,” ujar mama dengan air mata mula berputik di tubir matanya. Namun, ditahan agar tidak jatuh di sisi. Abah pula bungkam setelah menyampaikan suatu kenyataan yang benar-benar berat untuknya luahkan.

“Abah, mama. Sampai hati abah dan mama buat macam ni terhadap Amir. Amir terima abah dan mama dengan sepenuh hati Amir. Tak ada sedikitpun Amir sangsi dengan apa yang Amir terima, tapi tergamak abah dan mama menyimpannya daripada pengetahuan Amir dengan begitu lama,” luahku. Esakan kecil mula bernyanyi di ruang tamu ketika itu.

“Amir, kami bukannya nak menyembunyikan perkara ni daripada Amir seumur hidup. Cuma…”

“Sudah! Amir tak nak dengar lagi tu semua. Amir tak…”

Groom! Guruh tiba-tiba berdentum. Aku kembali semula ke alam realiti. Hujan renyai-renyai mulai membasahi bumi ciptaan Ilahi. Aku menutup buku tersebut dengan penanda buku. Aku terkenangkan kembali arwah mama dan abah. Aku sedar, aku bukanlah anak kandung mereka. Namun, kasih sayang dan cinta mereka terhadap aku tidak pernah pudar dan kurang sedikitpun. Malah, menjagaku bagaikan menatang minyak yang penuh. Sudah lama aku tidak menziarahi pusara mereka. Kebetulan pula, pusara ibu dan ayah berhampiran dengan pusara mama dan abah.

Aku bangkit dari katil menuju ke sebuah meja kecil yang terletak berhampiran dengan pintu masuk bilikku. Aku letakkan buku ‘Aku Terima Nikahnya’ di atas meja tersebut. Aku berjalan perlahan-lahan menuju ke jendela. Menyelak tirai yang membatasi pandangan mataku dari dilepaskan ke luar pandangan. Hujan makin mencurahkan airnya. Kilat kadang-kala sabung-menyabung. Hati aku sebal. Memori bersama mama dan abah kembali menusuk dan mengetuk pintu mindaku. Aku melayani perasaan aku. Melayan perasaan aku terhadap bingkisan kenangan yang pernah aku lalui bersama dengan mereka berdua.

Abah merupakan adik kepada ayah. Amirul Amar Zakiyuddin Abdullah. Itulah nama abah, manakala ayah pula bernama Amirul Amar Zainuddin Abdullah. Sama sekali aku tidak pernah ingin menyelidiki insan yang berada di hadapanku ketika itu. Namun, semuanya hampir terungkap tatkala aku dimasukkan ke hospital. Aku pengsan dan dirawat oleh seorang doktor. Dr Muhammad Syamsul Mahmud yang bertanggungjawab dalam memeriksa keadaan aku.

“Err, Dr., boleh saya tahu apa sebenarnya yang saya alami?” soalku terhadap Dr. Syamsul dengan nada yang agak terketar-ketar. Dr. Syamsul masih lagi memandang diriku. Tenang. Suasana bilik menjadi sepi untuk beberapa jurus. Aku pula diserang rasa risau yang amat setelah lama Dr. Syamsul membiarkan soalan tidak berjawab. Dudukku mula dihuni rasa gelisah yang datang menyerang dari segenap ruang dan terus bertapa di benak hatiku. Bersarang. Semakin memuncak rasa gelisah itu.

“Kenapa Dr. diam?”

“Hmm… Amir, awak sihat. Awak tak menghidap apa-apa jenis masalah kesihatan. Cuma…” Dr. Syamsul terputus katanya di situ.

“Cuma apa, Dr.? Kenapa dengan saya?” Aku terus melontar pertanyaan demi pertanyaan terhadap Dr. Syamsul yang sedang menghela nafas. Panjang. Barangkali kepenatan setelah bekerja sehari. Dugaku.

“Tak. Amir sihat seperti apa yang saya beritahu tadi. Cuma, Amir terlalu penat sehinggakan Amir mengabaikan keperluan rehat yang secukupnya untuk diri Amir sendiri. Tu saja,” jelas Dr. Syamsul dengan secangkir senyuman terukir di raut bibirnya. Aku yang sebelum itu diserang rasa gundah, diterjah dengan pelbagai persoalan yang bermain di minda, akhirnya memperoleh jawapan. Jawapan yang sememangnya enak untuk diterima dan dimamah olehku. Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga terhadap-Nya.

“Amir, boleh saya tanya satu soalan. Tu pun kalau Amir tak keberatan.” Dr. Syamsul mengajukan persoalannya pula setelah mengambil tempat duduk di atas katil di sebelah kananku. Kini, mata Dr. Syamsul bertentang dengan mataku. Dapat aku lihat matanya seolah-olah mengharapkan jawapan dan kesediaan aku untuk menerimanya.

“Ya, Dr. Apa soalannya?” balasku setelah agak lama aku mendiamkan diri. Membiarkan persoalan yang diaju kepadaku menyepi.

“Amirul Amar tu ayah kandung Amirkah?” Terpacul laju soalan itu keluar dari mulut Dr. Syamsul.

Dari saat itulah menyusulnya situasi yang sama sekali aku sangkal realitinya. Namun, Allah Lebih Mengetahui setiap kejadian yang berlaku. Semuanya telah diatur dan dicatur oleh-Nya. Suatu malam, abah dan mama cuba menyampaikan perkhabaran mengenai status diriku. Dari situlah aku mengetahui bahawa aku bukan dilahirkan dalam keluarga mereka. Aku hanyalah anak angkat kepada mereka berdua. Luluh hatiku ketika itu. Hatiku pedih untuk menerima kenyataan bahawa mama dan abah adalah keluarga angkatku.

Aku masih lagi berdiri di tepi jendela. Mataku masih lagi memandang lepas jauh ke luar jendela. Beberapa titis air hangat mengalir dari tubir mataku. Aku menangis. Menangis kerana aku kehilangan insan yang paling agung cintanya terhadap diriku. Mama dan abah tidak pernah menunjukkan diri aku ini asing yang hadir dalam hidup mereka. Sekali tidak. Benar apa yang ditulis oleh Ustaz Hasrizal. CINTA TANPA SYARAT yang dilahirkan oleh ayah dan bonda tidak mampu untuk dipikul oleh jiwa anak-anaknya sehingga ke makam ayah dan bondanya.

Hujan ketika itu menemani aku. Melayan kembali memori silam. Melayan dan merenung kembali diriku dari dulu sehingga kini. Sambil ditemani air mata yang gugur bersama, bertemankan jendela dan bersaksikan hujan rahmat ini.


0 comments: