Thursday, July 1, 2010

1 Julai: Tarikh Imbauan 3 Tahun Lalu

1 Julai 2007. Tarikh ini adalah tarikh keramat bagi saya. Satu tarikh yang sememangnya amat berat untuk saya melangkah masuk ke gerbang ilmu di selatan tanah air, iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Tidak terdetik langsung bahawa saya akan mengikut jejak langkah abah untuk menyambung pengajian di sini setelah menyaksikan abah membesar di dalam kalangan jurutera di UTM Skudai pada tahun 1995.

Pintu gerbang UTM

Namun, sudah rezeki saya termaktub oleh-Nya di sini. Maka, saya cuba redha dengan pilihan ini. Sememangnya, UTM adalah salah satu penempatan pengajian yang saya pohon melalui UPU, namun, hati saya lebih terarah untuk menempatkan diri dalam kelompok warga kampus di sekitar Lembah Kelang. Mengapa? Kerana saya tidak mahu lagi berjauhan dengan keluarga. Bukannya apa. Saya sudah merantau hampir ke seluruh tanah air. Jadi, saya fikir, sudah masanya untuk saya berada berhampiran dengan kaum keluarga tersayang.

Jam 8.40 pagi, saya tiba di UTM Skudai. Terus mendaftar masuk sebagai mahasiswa Tahun 1, di Kolej Rahman Putra (KRP). Ketika ini, saya masih lagi kekok dengan suasana UTM kerana saya jarang menjelajahi kawasan persekitaran UTM melainkan kawasan-kawasan yang berhampiran dengan Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE). Di situlah tempat abah menuntut ilmu dalam pengajiannya.

Teman sepasukan bagi acara tarik tali semasa Sukan MHS

Semenjak hari pendaftaran itu, rasa sayang dan cinta terhadap UTM semakin menebal, terutamanya terhadap kolej kediaman saya. Semuanya gara-gara ejen-ejen Minggu Haluan Siswa (MHS) yang menyemai rasa kagum dan cinta terhadap UTM dan kolej kediaman masing-masing. Yang paling manis sekali adalah sorak semangat. Sorak semangat ini mempunyai pelbagai citarasanya tersendiri, bergantung terhadap identiti sesebuah kolej kediaman tersebut. Masih lagi saya ingat sorak Bollywood KRP yang turut sama digandingkan dengan penghuni-penghuni puteri Kolej Tun Fatimah. Sorak semangat yang sama sekali membuatkan warga-warga kolej kediaman lain turut sama mencari pasangan gandingan untuk memeriahkan suasana Dewan Sultan Iskandar (DSI) sepanjang minggu MHS tersebut.

Ternyata, semangat kekitaan yang disemai sebenarnya menunjukkan hasil yang positif. Masing-masing sibuk menjaga imej kolej kediaman masing-masing sama ada dalam sorak semangat, mahupun dalam Sukan MHS. Semuanya kenangan dan memori yang sama sekali tidak mampu dirungkaikan kembali.


Kini, 1 Julai 2010 merupakan detik saya menjadi seorang mahasiswa siswazah. Saya masih lagi berada di UTM Skudai, meneruskan visi saya yang seterusnya. Namun, suasana MHS itu tidak lagi berkumandang dan bergema lagi ketika ini. Kerana saya sudahpun melangkah ke alam yang lebih matang dan dewasa. Melangkah ke gerbang ilmu yang lebih luas. Menjadi seorang mahasiswa siswazah yang melanjutkan pengajiannya dalam Ijazah Sarjana.

Oh! Saya rindukan detik-detik tiga tahun yang lalu.

3 comments:

warga utm here i come! :)

mhs best sebab meriah..tp penat jgk time tu..terkejar2..

semoga berjaya fahmi :)

>Iera:
Mari, mari...
Sila penuhkan kawasan kampus dengan kehadiran seluruh mahasiswa...
:)


>Hidayah:
Yup...
Tapi, sekarang nie dah kurang sedikit kemeriahannya sebab polisi baru UTM terhadap Tarnsformasi Mahasiswa...
Tak macam dulu-dulu lagi dah...
Thanks...
Semoga berjaya juga ya untuk Hidayah...
:)