Monday, September 6, 2010

Ungkapan Maaf Sempena Aidilfitri

Sistem Telesiyen Malaysia Berhad atau dikenali sebagai TV3 telah mengungkapan permohonan maafnya terhadap seluruh masyarakat Malaysia berkenaan iklan Hari Raya Aidilfitri 2010 yang ditayangkan pada 3 September baru-baru ini. Berikut merupakan cebisan berita dari akhbar-akhbar elektronik yang mampu dibingkiskan di sini.


NONE
KUALA LUMPUR: TV3 menarik balik penyiaran iklan Aidilfitri yang disiarkan di stesen televisyen berkenaan selepas menerima pelbagai maklum balas daripada orang ramai.

Sehubungan itu, pihak TV3 memohon maaf kepada penonton yang tersinggung dengan penyiaran iklan berkenaan.

"Tindakan ini diambil selepas mengambil kira maklum balas yang kami terima daripada penonton dan orang ramai. Kami menghargai maklum balas yang diterima itu."




KUALA LUMPUR 5 Sept. - Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) hari ini memohon maaf kepada seluruh masyarakat Islam kerana penyiaran iklan yang dikatakan mempunyai unsur-unsur yang boleh memesong akidah terutama kanak-kanak.

Sehubungan itu, iklan tersebut yang ditayangkan sejak Khamis lalu telah pun dihentikan penyiarannya semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan ketika dihubungi hari ini berkata, bagi pihak TV3 beliau meminta maaf kepada masyarakat Islam terutama penonton TV3 di atas kesilapan yang tidak disengajakan itu.

"Sebagai orang yang bertanggungjawab meluluskan iklan itu, tidak terlintas di fikiran saya untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak sebaliknya hanya melihat itu sebagai daya kreativiti pengarahnya.

"Dalam iklan selama seminit itu, ia menggambarkan impian seorang kanak-kanak dengan beca ajaibnya sesuai dengan tema TV3 tahun ini iaitu Sinari Lebaran,'' katanya.




Stesen televisyen TV3 menarik balik penyiaran iklan hari raya yang dikatakan mempunyai unsur-unsur yang boleh memesong akidah umat Islam.

Penarikan balik beserta permohonan maaf itu dilaporkan diumumkan dalam rancangan berita Buletin Utama televisyen itu malam tadi.

Sejak Khamis lalu, TV3 menyiarkan iklan yang menggambarkan seorang lelaki tua dan kanak-kanak menaiki beca ajaib ala kereta salju Santa Claus sehingga melintasi bulan.

Iklan tersebut juga dilapor menampilkan babak kemunculan pelita melalui bunga teratai yang dikatakan menyamai fahaman agama Buddha.

Sejak disiarkan, iklan yang dengan kos penerbitan RM200,000 dan banyak menggunakan teknik janaan pengimejan komputer (CGI) itu mendapat kritikan banyak pihak termasuk NGO dan badan pelajar.

Dalam satu kenyataan semalam, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia (PMIUTM) membantah iklan itu kerana menurutnya ia jelas mempromosikan konsep pluralism iaitu kesamarataan antara agama kepada masyarakat negara ini.



Nota Kaki: Beringatlah sebelum melakukan sesuatu. Gunakan akal dan hati dalam setiap perbuatan yang ingin dilakukan. Bukannya mengikut kata nafsu semata-mata.

0 comments: