Cerpen: Ketika Mendung Berarak [Bahagian 1]
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."
Surah al-Hujurat: Ayat 6
"Jauhilah prasangka itu, sebab prasangka itu pembicaraan yang paling dusta."
Hadis Riwayat Muttafaqun Alaihi
Aku melabuhkan punggungku di sebuah bangku yang terletak di halaman rumah. Pemandangannya menghala ke arah taman bunga yang bertentangan dengan rumahku. Sebuah buku karangan penulis yang paling aku kagumi, Ustaz Pahrol Mohd Juoi berada dalam pangkuan tanganku. Nota Hati Seorang Lelaki - sebuah permata tinggalan yang sememangnya berguna untuk aku, kaum lelaki dalam mendepani perjalanan kehidupanku.
Suasana pada petang hujung minggu itu sedikit suram dengan lindungi awan yang berarak di lelangit biru. Petanda bahawa mutiara hujan bakal menyirami permaidani bumi Ilahi.
Aku termenung jauh. Pelbagai perkara datang menyinggah jendela nurani. Terkenang aku pada peristiwa hitam lima hari lepas.

"Haa, mengapa diam? Dah tak ada modal nak bela diri?" herdikku lagi tanpa menghiraukan suasana sekeliling. Seperti sabarku dirobek-robek disebabkan kebisuan yang berlanjutan daripadanya.
"Abang, ni semua salah faham. Perkara ni bukan seperti yang abang fikirkan," jawab Balqis dengan airmata berjujuran mengalir di pipinya. Esak tangis kecil mula memenuhi ruang tamu rumah.
"Habis tu, siapa yang kat depan rumah tadi tu? Saya nampak dengan mata kepala saya sendiri. Bukan tu aje, jiran sekeliling ni pun nampak. Mana saya nak letak maruah saya sebagai suami? Cakap! Cakap!" Aku membentak dengan keras. Bagaikan dirasuk. Tiada lagi belas kasihan mahupun kelembutan terhadap Balqis. Serba-serbi dirasakan seperti bahang kepanasan hati. Panas membara di gelodak jiwanya.
Balqis masih lagi menahan sedu-sedannya. Hanya airmata saja menjadi peneman dan kekuatan baginya menempuh segala bentakan seorang suami.
"Abang, mengapa abang percayakan orang lain berbanding isteri abang sendiri? Apa salah Balqis terhadap abang? Sampai sebegini kejam abang buat terhadap Balqis?" Suaranya serak mengeluarkan butir-butir kata. Meskipun suaminya sudah tidak lagi mengeluarkan kata-kata sayang terhadapnya melainkan awak dan saya, namun, bibir Balqis masih lagi basah dengan kata-kata hormat buat suaminya itu. Suami yang dicintai dan dikenalinya hanya pada hari mereka berdua diijab kabulkan.
Bersambung...
Post a Comment