Tuesday, October 25, 2011

Cerpen: Ketika Mendung Berarak [Bahagian 3]


Firman Allah S.W.T yang bermaksud, "Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."
Surah Ar-Rum: Ayat 21




Aku termenung lesu di sisi Balqis. Balqis masih lagi di pembaringan. Pucat wajahnya. Glukosa sedikit demi sedikit masuk ke dalam tubuhnya melalui jarum di belakang tangan kanannya. Bunyi dari alat eletrocardiogram (ECG) saja yang menemani bicara hatiku di situ sejak semalam.

Balqis masih belum sedarkan diri. AKu tidak putus-putus mengungkap penyesalan terhadap apa yang berlaku semalam. Mataku sentiasa dibasahi dengan linangan airmata. Ianya bisa berderai tanpa aku pinta. Sugul hatiku tatkala memikirkan peristiwa semalam.

"Fattah, kau baliklah dulu. Tukar pakaian. Dah sehari semalam kau duduk di sini. Ayah rasa, kau tak jamah pun lagi sejak semalam. Baliklah dulu nak. Kami ada di sini untuk menjaga Balqis," ujar ayah mentuaku, Haji Amran yang berada di belakangku sambil mengusap bahu kiriku.

"Tak apalah, ayah. Fattah OK lagi. Fattah nak jaga Balqis. Fattah tak nak Balqis sedar tanpa Fattah berada di sisinya."

"Fattah, ayah bukan apa. Ayah risau tengok keadaan kau ni. Baliklah berehat dulu. Isi perut tu. Jangan menyeksa diri kau pula." Lembut pintaan ayah mentuaku. Aku memaling muka dan memandang tepat ke arah mukanya. Wajahnya seakan-akan meminta untukku menerima permintaannya itu. 

Aku akhirnya mengangguk. Perlahan-lahan.


*****


Matanya sedikit terbuka. Retina matanya cuba mencari fokus pencahayaan sempurna. Keadaan samar berubah sedikit demi sedikit. Akhirnya, penglihatannya jelas. Balqis tersentak seketika. Dia keliru. Ibu mentuanya berada di sisi katil. Sedang tidur hanya beralaskan lengan kirinya. Balqis cuba mengamati suasana ruang bilik yang bercat biru muda itu.

"Di mana aku kini?" Getus hati kecilnya. Balqis cuba untuk membetulkan baringannya. Cuba untuk berada dalam posisi bersandar. Namun, tidak semena, dia mengejutkan ibu mentuanya.

"Balqis. Abang, Balqis dah sedar. Syukur, alhamdulillah." Ucapan pertama yang diujar mama. Wajahnya ceria, disulami linangan airmata. Abah bergegas masuk ke dalam wad sejurus melihat Balqis sudah mulai sedar.

"Balqis, jangan buat kami risau lagi ya, nak. Entah apalah yang kami fikirkan sebelum ni. Jaga kesihatan tu ya." Panjang lebar mama menasihati. Balqis hanya melemparkan secebis senyuman. Namun, ternyata ianya hambar.

"Err, abah, mama. Mana ibu dan ayah?" Balqis bersuara perlahan. Antara seakan berbisik nadanya.

"Ibu dan ayah ada di luar. Teman Fattah makan rasanya," abah bersuara, menjawab pertanyaan tersebut.

"Nak mama panggilkan mereka?" Mama cuba mengisi kekosongan detik ketika itu setelah beberapa lama sepi tanpa kata. Balqis sekadar menggelengkan kepala. Tidak mahu untuk tergesa-gesa memanggil ibu dan ayah. Dan, yang paling penting, Balqis mahu mengelak daripada bertemu suaminya. Hatinya luka. Pilu. Sangat pilu ketika itu. Biarlah dia mencari kekuatan dari luka yang menghiris hatinya ketika itu.


*****


"Fattah, Balqis tak nak jumpa kamu buat masa ni," ujar ayah, merangkap bapa mentuaku sambil mengusap-usap bahuku. Mungkin cuba menenangkan aku yang baru mendengar khabar sebegitu. Lagipun, aku baru tiba di hospital setelah menukarkan pakaianku.

"Kenapa ayah? Kenapa Balqis tak nak jumpa saya?"

"Ayah tak tahu kenapa. Yang pasti, ayah menghormati permintaan Balqis. Jadi, ayah minta, Fattah hormatilah permintaan dia. Bukannya ayah halang kamu daripada berjumpa dengan Balqis. Cuma, mungkin ni bukan masanya untuk berbuat demikian." Satu persatu ayah menyampaikan kata-katanya. Aku merenung ke dalam mata ayah. Renungan matanya seolah-olah meminta aku menerimanya. Akhirnya, aku mengangguk. Mengalah dengan keputusan sendiri.

"Jom kita pergi minum di kafetaria. Dah lama abah dan ayah tak borak dengan kau," pelawa abah. Aku sekadar mengangguk. Aku melangkah longlai ditemani abah dan ayah menuju ke kafetaria. Hatiku bergelora. Pelbagai persoalan menjengah jendela minda. Tidak satupun persoalan tersebut mempunyai jawapannya. Aku semakin gelisah.

0 comments: