Monday, November 21, 2011

Cerpen: Ketika Mendung Berarak [Bahagian 4]


"Seseorang wanita apabila ia mengerjakan sembahyang yng difardhukan ke atasnya, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dirinya dan taat kepada suaminya, maka berhaklah ia masuk syurga dari mana-mana pintu yang ia suka".
Hadis Riwayat Anas bin Malik



Aku memandang wajah yang berada dalam cermin muka berkenaan. Wajahku ternyata sugul. Masih lagi kusut. Kusut memikirkan segala yang berlaku. Ah! Balqis sentiasa berlegar-legar di minda. Gadis berkenaan hanyalah gadis biasa, namun, bukan yang biasa-biasa bagiku. Perwatakannya yang lemah-lembut tetapi tegas dalam pendiriannya, tidak bisa memperagakan kecantikan diri terhadap duniawi semata-mata meraih cinta Ilahi. Aku akui, aku tidak pernah terlintas di fikiranku bahawa gadis berlatar belakangkan sebegini yang akhirnya menjadi pelengkap tulang rusuk kiriku.

Wajahku disapu dengan air sehingga rata seluruhnya. Sejuk. Sejuk sehingga menggigit tulang hitamku. Aku capai tisu yang berada berhampiran dengan sinki di dalam tandas berkenaan.

"Balqis. Bagaimana dirimu ketika ni? Masih menuntunkah marahmu terhadap aku?" Satu persatu kegusaran menjengah jendela hati. Risau sudah menjadi teman setia di sisi sejak Balqis dimasukkan ke hospital. Sehingga kini, aku masih lagi tidak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku terhadap Balqis. Aku melangkah keluar dari tandas sambil membulatkan niat yang satu.


*****


"Balqis, sudah berapa kali saya nasihatkan kepada awak, jangan dibiarkan perkara ni dari terus berlalu. Awak mesti maklumkan kepada suami awak. Lambat-laun, dia akan tahu juga duduk sebenar perkara ni," ujar Dr. Faris sambil duduk di birai katil. Balqis masih membatukan diri.

Suasana di dalam wad sunyi. Hanya kelibat Balqis dan Dr. Faris saja. Masing-masing hanya memandang di antara satu sama lain, seolah-olah mata mereka berbicara.

"Balqis, kalau awak sendiri tak nak maklumkan kepada suami awak, biar saya sendiri yang maklumkan." Dr. Faris bingkas bangun dari duduknya.

"Dr., jangan. Saya tak sanggup nak lukakan hati suami saya. Saya tak nak dia risau." Terpacul laju kata-kata berkenaan daripada mulut Balqis. Resah kian menghambat dirinya. Dadanya berombak kencang. Kaca jernih berlinang di kelopak matanya.

Dr. Faris terhenti langkahnya. Wajahnya dipaling ke arah Balqis. Mata mereka bertemu. Airmata Balqis sudah tumpah, mengalir di pipi kirinya. Dr. Faris melangkah merapati katil.

"Cuba awak beritahu saya mengapa awak risau dan tak nak maklumkan kepada suami awak?" Dr. Faris mengambil kerusi lalu duduk menghadap Balqis. Balqis masih lagi membisu. Hanya sedu-sedan kedengaran kecil memenuhi ruang bilik wad ketika itu.

Kredit untuk gambar
Langkah kakiku terhenti. Terhenti di hadapan pintu bilik wad. Telingaku tertancap sedu-sedan kecil.

"Ya, tu sedu Balqis."

"Dr., saya pohon budi baik Dr., Dr. rahsiakanlah perkara ni daripada suami saya. Saya pohon jasa baik Dr.," luah Balqis dengan suara tersekat-sekat.

"Awak masih tak menjawab persoalan awal saya," Dr. Faris masih lagi dengan persoalan awalnya sejak tadi.

"Dr. Faris?" Hatiku melonjak-lonjak untuk mengetahui siapa gerangan tersebut. Aku mengintai di sebalik cermin berhampiran pintu wad.

"Dia?" Hatiku tersentap. Marahku mula meluap. Mengapa dia berada dalam wad bersama-sama dengan isteriku? Ke mana perginya ayah dan ibu?



Bersambung...

0 comments: