Wednesday, June 17, 2009

Cerpan: Konfrontasi Realiti Hati (Bahagian 7)

“Beginilah, Encik Amar. Apa yang bakal saya perihalkan selepas ni, dapat diterima oleh Encik Amar dengan rela hati.”

Abah diam. Mendengar penuh prihatin terhadap butir-butir kata yang keluar dari mulut Dr. Syamsul.

“Alhamdulillah, isteri Encik Amar berada dalam situasi stabil. Insya Allah, dalam sehari dua lagi, isteri Encik Amar boleh dipindahkan ke wad pesakit luar,” jelas satu persatu informasi Dr. Syamsul terhadap abah. Aku hanya mendengar dengan penuh keinginan untuk mengetahui bagaimana keadaan situasi bakal adikku nanti.

“Syukur, alhamdulillah. Err, Dr., bagaimana pula dengan kandungan isteri saya? Selamatkah dia?” sambung abah dengan riak wajah mula menampakkan sedikit kelegaan berbanding tadi.

“Anak kandungan isteri Encik Amar tidak dapat saya selamatkan. Allah lebih menyayanginya. Maafkan saya, Encik Amar. Hanya tu saja yang terdaya untuk saya laksanakan,” balas Dr. Syamsul terhadap persoalan yang diutarakan oleh abah sebentar tadi.

Abah terjelepuk di lantai. Seakan tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Aku tergamam seketika. Seolah-olah akalku hilang dipuput pawana. Tiba-tiba, abah menangis dan meraung sekuat hati sehinggakan keadaan sekeliling menjadi gamat. Aku tersentak dari gamamku. Aku terus mendapatkan abah dan cuba menenangkan keadaan abah yang semakin tidak keruan. Dr. Syamsul juga turut sama membantu menenangkan abah pada masa itu. Aku dan Dr. Syamsul memapah abah ke tempat duduk yang berada tidak jauh dari tempat kami berdiri sebentar tadi. Abah menangis semahu-mahunya di bahuku. Aku? Aku hanya mampu melinangkan air mataku sambil beristighfar sebanyak mungkin untuk menenangkan jiwaku yang sedang gundah ini.

“Ya Allah, begitu berat sekali ujian dan dugaan-Mu kali ini. Kau berikanlah kami sekeluarga kekuatan untuk menghadapi ujian yang telah Kau berikan kepada kami agar kami beroleh sabar,” monologku sendirian terhadap Tuhan Yang Maha Esa.


Bersambung...

0 comments: