Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Thursday, July 4, 2013

Erti Syukur


Alhamdulillah. Masih lagi diberi kekuatan dan nikmat kesihatan olehNya untuk terus melangkah di bumiNya.


Meskipun dibiarkan blog ini ber'sawang' tanpa adanya pengisian, Insya Allah, nukilan yang dikongsikan bersama ini mampu memberikan sedikit sebanyak kepada kita semua.

Syukur?

Mudah untuk disebut namun adakah kita mampu untuk menilainya?

Mudah untuk membilang namun adakah cukup untuk kita menghitungnya sehari semalam?

Ya. Syukur ini meluas. Bukan sekadar dengan lisan, malah, hati dan perbuatan ke arah kita bersyukur atau berterima kasih dengan pemberian tersebut juga termaktub dalam satu tujuan dan erti.

Mari kita hayati sejenak video muzik yang dikeluarkan oleh Hijjaz dalam nasyidnya berjudul 'Janji Khalifah' ini.



Mendalamkan maksud erti seni kata nasyid ini?


Lebih-lebih lagi insiden kejadian dalam video tersebut yang memaparkan 2 situasi berbeza.

Begitulah kehidupan sehari kita.
Kita tidak pernah lari atau hilang dari gambaran hidup sebegitu.
Mungkin bukan kita atau ahli keluarga kita, namun mereka-mereka yang berada di sekeliling kita.


Selagi kita mempunyai sesuatu di tangan kita, maka, jangan pernah lekang dan culas untuk bersyukur kepadaNya. Teringat kepada kata-kata seorang ustazah terkemuka di Malaysia, mengupas mengenai perihal bersyukur ini. Katanya:

Jagalah pandangan mata kita. Jangan biarkan mata kita melebih orang lain melebih daripada kita melihat diri kita sendiri. Jangan biarkan mata kita melihat mereka yang mempunyai segala-galanya, tetapi lihat mereka yang tidak mempunyai apa-apa. Nescaya, kamu akan lebih bersyukur dan mengenal erti syukur itu dengan lebih mendalam jika kamu berbuat demikian.
Mari kita panjatkan kesyukuran buatNya!
Read more

Monday, February 18, 2013

Sakit: Nota 'Cinta' Buat Para Hamba-Nya

Ingat lima perkara, sebelum lima perkara. Antara salah satunya adalah sihat sebelum sakit.

Sakit sudah menjadi sinonim dan lumrah dalam kehidupan manusia. Tanpa adanya ujian kesakitan, manusia alpa dengan nikmat kesihatan.

Nikmat sihat tidak mampu untuk dinilai dan dirasai oleh manusia. Ianya tidak seperti harta benda yang berupa nilai materialistik, yang mampu dinilai bersandarkan terhadap sesuatu terma, misalnya wang ringgit. Nikmat sihat itu hanya akan dijaja setelah nikmat itu di'sentap' atau ditahan pemberiannya, oleh Yang Maha Esa.



Pelbagai suasana dpaat disaksikan semasa berada di hospital ini.

Ada sebahagiannya datang berbalut di bahagian tertentu anggota tubuh.

Ada yang hadir untuk mendapatkan rawatan susulan kesan dari penyakit 'warisan' zaman kini.


Ada juga yang hadir dengan berkerusi roda.

Malah, ada yang diusung masuk ke dalam hospital sambil diri berbaring di atas katil.

Subhanallah.


Sakit buka sahaja boleh menjadi ujian terhadap para hamba-Nya, bahkan juga menjadi nikmat buat mereka yang mengerti  di sebalik makna sakit itu.

Sakit adalah penghapus dosa-dosa kecil mereka selagi mana mereka tidak mensyirikkan Allah.

Sakit juga adalah indikator tanda 'cinta' daripada-Nya terhadap hamba-Nya.


Allah amat merindui rintihan para hamba-Nya kepada-Nya.

Allah amat menantikan bait-bait doa dan tangisan kita, bagi diluahkan dan dihadapkan kepada-Nya.

Jadi, sakit bukanlah suatu BEBANAN, namun suatu PELUANG 'cinta' daripada-Nya bagi kita mendekati diri kepada-Nya.
Read more

Thursday, January 31, 2013

Memasak


Memasak ini adalah suatu seni yang pastinya dipelopori oleh kaum Hawa, secara majoritinya. 

Namun, golongan Adam juga setanding, bahkan mapu menempa nama dalam bidang ini.


Seperti di baris pertama ayat di atas, memasak ini suatu seni.

Seni?

Seni yang bagaimana?

Ya, seni. Bagaimana ianya boleh menjadi seni?

Baik. Cuba bayangkan bagaimana memasak mee segera. Ada yang memasaknya dengan hanya menggunakan air panas tanpa perlu menggunakan kuali atau periuk belanga.

Sekadar masukkan mee dan segala rencahnya, dan terus letakkan air panas mendidih ke dalam bekas yang mengandungi mee berkenaan. Tunggu sebentar dan terus menjamahnya.

Ada pula yang menjerang air dan memasak mee berkenaan. Kemudian, setelah mee tersebut masak, ianya ditoskan dan barulah dimasukkan pelbagai rencah dan bahan lain ke dalam mee tersebut sebelum dihidangkan.

Lihat.

Cara-cara di atas adalah cara memasak asas bagi mee segera tersebut. Ada pelbagai cara lain yang boleh diterokai apabila anda ingin memasak mee segera. Jadi, ianya adalah suatu seni, bukan?

Samalah caranya dengan perjalanan hidup ini.

Terhadap pelbagai ujian dan halangan yang sedia terbentang buat kita, manusia dan hamba kepada-Nya.

Bagaimana permulaannya, bagaimana pertengahannya, akhirnya akan ditamatkan berdasarkan bagaimana caranya kita melalui dan mengharungi jalan tersebut.

Mirip dengan memasak.

Bagaimana pengakhirannya bermula sejak dari awal perancangannya.

Jikalau hendak memasak sambal tumis, maka, persediaan bahan-bahan asas seperti cili dan bawang seharusnya disediakan terlebih dahulu.

Begitulah situasi analogi perjalanan kehidupan kita sebagai manusia di dunia ini.

Jadi, rancanglah sebaik mungkin perjalanan kita di sini, sebelum kita hendak menuju ke sana!

Read more

Monday, January 21, 2013

Susah?


Susah?

Hidup ini tidak pernah lekang dengan pelbagai ukiran getir dan cabaran yang semestinya menjadi darah daging kehidupan seorang bernama manusia.

Susah hadir sebelum sinar cahaya kesenangan wujud di hadapan kaca mata insan.

Dengan susah, kita belajar erti menghargai.

Dengan susah, kita mengenal erti tidak kenal kalah.

Dengan susah juga, kita merangkak memahami makna apa itu usaha.

Hidup ini saling melengkapi.

Sihat, diiringi dengan kesakitan.

Lapang, diikuti dengan kesempitan.

Kaya, dipimpin dengan kemiskinan.

Begitu juga susah. Ia dipasangkan dengan kesenangan.

Saban hari, apa yang kita lalui seringkali kita tidak menyedarinya. Misalnya, bagaimana sesebuah antena diletakkan di atas sebuah menara pemancar yang tingginya lebih dari 2000 kaki?

Ya, kita terlupa mengenai perkara itu.

Kita alpa terhadap hal yang sebegitu rupa sedangkan, saban hari kita menggunakan kemudahan telefon bimbit, menonton rancangan televisyen dan mendengar radio kesukaan kita.

Kita terlena.

Kita terleka.

Kita terbuai dengan rasa senang yang kita miliki.

Namun, di sebalik segala kemudahan dan kesenangan yang kita peroleh, ada insan yang sanggup menyabung nyawa dan keringat demi orang lain.

Bayangkan jikalau golongan ini tiada untuk berada dalam situasi tersebut semata-mata kemaslahatan sejagat?

Ambillah masa sejenak buat kita fikirkan bersama.



Nota Kaki:

World's Toughest Fixes yang ke udara dalam slot National Geographic Channel ini sememangnya banyak memberikan gambaran mengenai situasi di atas.

Tanpa adanya mereka seperti ini, kita semua mungkin tidak mampu mengecapi segala kemudahan dengan sebaiknya.

Dalam kehidupan seharian kita, adakah kita mampu menghulurkan sesuatu yag bermanfaat bagi diberikan terhadap orang di sekeliling kita?
Read more

Saturday, August 18, 2012

Ramadhan: Kehadirannya Dirai, Pemergiannya Ditangisi

Hari ini genap 29 Ramadhan. Maka, segenap masyarakat akan melihat anak bulan Syawal 1433 Hijrah.

Sebulan yang lepas, perkara sama juga dilakukan bagi menentukan tarikh datangnya Ramadhan.


Ramadhan, ianya bukan dirasai sehari, seminggu sebelum tibanya ia menjengah diari kehidupan seorang Muslim. Ianya telah dirasai semenjak kehadiran 'sahabat'nya, iatu Rajab lagi.

Masing-masing cuba menduga apakah dirinya masih sempat dikurniakan kehadiran tetamu istimewa ini.

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
Surah Al-Baqarah: Ayat 183 

Kini, dirinya bakal pergi. Memberikan laluan buat 'sahabat karib'nya menjengah jendela hidup manusia, terutamanya bagi mereka yang mentarbiyah diri mereka dalam madrasah atau universiti Ramadhan.

1 Syawal adalah ibarat majlis graduasi bagi mereka. Mereka yang berjaya mengharungi sebulan kehidupan Ramadhan.

Tambah manis lagi jikalau mereka-mereka ini berjaya memperoleh 'anugerah diraja' oleh Allah, iaitu Lailatul Qadar. Subhanallah.
Namun, masih adakah sisa-sisa pengharapan usia ini bakal disambut lagi oleh Ramadhan akan datang?

Masih ada ruangkah diri ini dipilih olehNya untuk tiba ke Ramadhan seterusnya?

Wallahu'alam.

Banyakkan berdoa dan memohon kepadaNya agar usia ini sempat dipanjangkan bertemu dengan bulan barakah ini.

Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana iman dan mengharapkan pahala Allah maka diampuni dosanya yang terdahulu.
Riwayat Bukhari 


Read more

Sunday, April 15, 2012

Secebis Itu Cuma...

Bismillah...

Di sini, saya ingin kongsikan sebuah video yang saya rasa, perlu buat semua individu yang membentuk sebuah gagasan ummah dalam meneliti kehidupan hari ini. Sebuah video yang saya anggap amat penting, terutamanya para wanita dan muslimat di luar sana. Hayatilah video berkenaan dan sampaikanlah ilmu tersebut kepada setiap insan yang anda kenali dan sayangi.



Ceramah ilmu oleh Ustaz Don mengenai Syarat Pemakaian Tudung Yang Sempurna


Ringkasan ilmu dalam video berkenaan:



Nota Kaki: Buat para lelaki dan muslimin, bukan sahaja untuk wanita semata-mata, anda juga mempunyai peranan yang sama pentingnya dalam hal ini.
Read more

Sunday, July 31, 2011

Ramadhan: Yang Dinanti Dan Ditunggu

Arab Saudi, Yaman dan beberapa buah negara di Timur Tengah sudah mengesahkan tarikh bermulanya Ramadhan, iaitu pada esok hari. Insya Allah, Malaysia bakal menyusul kelak. Saat nukilan ini dicoretkan, tinggal lagi kurang dari 9 jam Syaaban akan melambai dan disambut dengan rahmatnya bulan yang di dalamnya terdapat satu malam yang lebih dari seribu bulan.

Dalam Al-Quran, Allah SWT pernah berfirman:
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!
Al-Qadr: Ayat 1-5

Nabi saw bersabda:
Telah datang kepadamu Ramadhan, bulan berkah, Allah mewajibkan kamu berpuasa, pada bulan ini pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup, syaitan diikat, dan di dalamnya terdapat malam yang lebih baik dari seribu bulan.
Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Imam Nasa’i

Jadi, marilah kita sama-sama berusaha untuk mendapatkan malam tersebut ya.



Nota Kaki: Nama abah selalu dikaitkan dengan bulan yang barakah ini. Sehinggakan apabila tibanya bulan Ramadhan, mesti aku juga yang dijadikan sebagai 'rujukan' oleh ustazah dan rakan-rakan tatkala masa sekolah dahulu.
Read more

Tuesday, July 19, 2011

Semut Itu


Awan mendung berarak kembali. Bayu dingin yang berpuput dari arah Barat sekali-sekala menyapa pipiku. Mataku masih lagi tidak putus-putus memerhatikan gelagat si kenit yang melata di pohonan rendang. Melihat gelagat mereka yang rajin bekerja dalam membina kehidupan.

"Farah, saya nak awak siapkan kertas kerja bagi program 'Mendidik Minda Intelektual Mahasiswa' secepat mungkin." Suara Setiausaha Kerja Majlis Perwakilan Mahasiswa seakan keras. Tiada kompromi dalam lontaran nada suaranya.

"Insya Allah, tapi, saya perlukan sedikit masa lagi untuk siapkannya sebab saya ada perkara mustahak yang perlu saya selesaikan minggu ni," ujarku sedikit cuba untuk meraih simpati. Suaraku seakan serak mengeluarkan bait hujung kalimah ayat yang diutarakan.

Tangannya yang ligat menulis di atas helaian putih itu terhenti. Mukanya sedikit diangkat. Menghala tepat ke wajahku. Kerutan kening di wajahnya seakan menggambarkan sesuatu terhadapku.

"Berapa banyak masa yang awak perlukan? Awak tahu, tarikh program kelolaan jabatan awak tinggal beberapa minggu saja lagi untuk dilancarkan. Segala perjalanan dan progres program tu masih lagi tergendala. Tanpa adanya kertas kerja, mustahil kita mampu untuk menggerakkan AJK untuk memulakan langkah awal pelaksanaannya." Panjang lebar huraian ayat daripadanya. Aku hanya mampu tunduk. Sesekali aku menjelingkan mataku memandangnya. Aku cuba untuk meluahkan permasalahan aku terhadapnya. Namun, suaraku bagaikan disekat. Sepatah kata tidak mampu diatur.

"Awak, kita sama-sama menuntut ilmu. Masing-masing ada tanggungjawab yang perlu diselesaikan dalam satu-satu masa. Jangan awak ingat awak seorang saja yang sibuk. Orang lain pun sibuk juga. Saya tahu awak sekarang ni tahun akhir. Projek Tahun Akhir perlu disiapkan. Tapi, jangan kerana perkara tu, awak menjadikannya alasan."

Aku kembali ke dunia realiti. Deruan angin semakin kencang menampar-nampar pipiku. Aku cuba perbetulkan lipatan tudungku yang sedikit mengerbang.

"Orang lain pun sibuk juga. Saya tahu awak sekarang ni tahun akhir. Projek Tahun Akhir perlu disiapkan. Tapi, jangan kerana perkara tu, awak menjadikannya alasan." Masih terngiang-ngiang lagi butiran kata yang dilontarkan oleh Nafisah. Mengapa sedemikian rupa dia mengucapkan kata-kata tersebut? Tidakkah dia perlu mendengar sendiri permasalahan yang sedang dibelenggu oleh aku? Bukannya aku sengaja untuk meminta tempoh lanjutan tersebut, cuma aku punya hal mustahak yang perlu diuruskan di kampung. Urusan kedua orang tuaku.

"Assalamualaikum, Farah. Jauhnya menung tu. Sampai saya berdiri di sebelah awak pun awak tak sedar," sapa seseorang di belakangku.

"Waalaikumussalam. Oh, Nazira. Ingatkan siapa tadi." Aku menyambut huluran tangan Nazira. Nazira duduk di kananku. Suasana sepi buat beberapa ketika. Hanya kicauan burung dan puputan bayu yang mengisi di perantaraannya.

"Farah, saya tahu awak ada masalah. Setiap kali awak ada masalah, mesti awak akan datang sini. Awak, kalau ada apa-apa yang nak dikongsi masalah tu, kongsilah dengan saya. Jangan pendamkan seorang."

"Hmm. Entahlah Ira. Saya rasa buntu sekarang ni. Tak tahu macam mana nak hadapi masalah yang sebegini. Masalah akademik, tanggungjawab berorganisasi, tanggungjawab terhadap ibubapa. Semuanya kini bercelaru. Semuanya menuntut untuk saya hadapinya." Air mataku mula bergenang di pelupuk mata.

"Farah, setiap ujian yang diberikan sebenarnya adalah mengikut kemampuan diri kita. Sebenarnya, kita yang tak nampak apa hikmahnya diberikan ujian sebegitu rupa. Cuba kita lihat semut yang melata di pohon tu. Meskipun saiz tubuhnya kecil, ianya masih gagah dalam meneruskan kehidupan. Sebesar manapun ujian dan cabaran yang dihadapinya, ia tetap akan mengharunginya kerana ujian yang diberikan kepadanya mampu untuknya meneruskan hidupnya."

Aku diam tanpa kata. Cuba menghayati senario yang disampaikan oleh Nazira. Sememangnya aku lupa akan perkara itu. Lupa bahawa ujian itu datang daripada-Nya yang sememangnya mampu untuk tempuhi.

"Jadi, jangan sedih-sedih lagi ya. Kuatkan semangat. Saya tahu awak lagi sibuk daripada saya sebab awak ada lebih tanggungjawab dan amanah yang perlu awak pikul, tapi semua tu sebenarnya kesempatan buat awak dalam mencari redha-Nya." Nazira tidak putus-putus memberikan kata dorongannya kepadaku. Sememangnya, sahabat sejati sukar dicari.

Aku memandang wajahnya. Cuba menyelami setiap inci ruang di wajahnya. Mencari bibit-bibit kematangan yang mekar yang semakin menjalar pada usianya.

Aku terus memeluk Nazira seerat-eratnya. Tanpa sedari, air mataku turut sama mengalir. Laju.

Ya. Aku lupa. Aku lupa bahawa setiap ujian yang diberikan oleh-Nya adalah ujian yang mampu diharungi oleh hamba-Nya. Ia juga sebagai indikator taqwa kepada hamba-Nya yang beriman.

Ya Allah. Aku lupa. Aku lalai.

Angin petang itu semakin berpuput kencang. Gerimis hujan sudah mulai membasahi bumi ciptaan Ilahi. Aku dan Nazira cepat-cepat beredar ke wakaf berhampiran untuk berteduh. Kala itu, mataku sempat sekilas memandang terhadap semut-semut itu. 
Read more

Thursday, May 19, 2011

Ujian Datang Bertandang

Ujian tak datang dalam bentuk yang serupa bagi setiap hamba-Nya.

Ujian juga tidak datang dalam pakej yang serupa meskipun pernah ditempuhi sebelumnya. Namun, ujian yang datang sebenarnya membawa suatu mesej yang sama - meninggikan darjat terhadap para hamba-Nya yang bertaqwa. Itu janji-Nya. Tapi, kita?

Seringkali manusia merungut tatkala sesuatu yang dihajatinya tidak mampu digenggam dan dicapai olehnya. Seringkali manusia alpa terhadap apa yang diluahkan bersempena dengan apa yang dihadapinya. Manusia hanya mampu mengadili apa yang dilihat, dirasa dan dilalui oleh mereka. Tapi, mampukah kita? Berhakkah kita?


Meskipun kita ditimpa dengan pelbagai ujian dan dugaan, lumrahnya, manusia akan terlebih dahulu menganggapnya suatu penghalang bagi apa yang mereka inginkan. Namun, sentiasalah bersangka baik hati terhadap-Nya. Dia telah mengaturkan apa yang terbaik bagi kita. Hanya kita, hamba-Nya yang tidak mampu mentafsirkan setiap butir apa yang ingin disampaikan kita.

Semoga kita semua mampu menerima dan menghadapi ujian dan dugaan daripada-Nya dengan sebaik mungkin. Insya Allah.


Nota Kaki: Proposal projek sarjana masih lagi tidak mencapai tahap piawaian yang sepatutnya. Ujian daripada-Nya. Sabar dan senyumlah selagi masih mampu.
Read more

Saturday, October 16, 2010

Kahwin Lewat: Fenomena Lelaki Kini?

Bukan sedikit lelaki yang kahwin lambat hari ini. Agaknya mengapa? Saya ingin berikan suatu contoh.

Katakanlah anda adalah seorang lelaki berumur 23 tahun yang baru tamat pengajian dan bekerja sebagai seorang pegawai.

Gaji bulanan adalah RM 2000 dan anda tidak mempunyai simpanan di dalam bank.

Setiap bulan, katakanlah perbelanjaan makanan, pengangkutan, bil-bil, sewa rumah dan perbelanjaan lain adalah RM 1200.

Kemudian, sebagai anak yang baik, anda mengirimkan wang ke kampung sebanyak RM 300. Maka baki bulanan adalah RM 500.

Berbekalkan disiplin dalam menyimpan duit untuk masa depan, mungkin anda dapat menyimpan duit sebanyak RM 5000 setahun.

Setahun berlalu, anda berumur 24 tahun. Dengan izin Allah, anda berkenalan dengan seorang gadis impian.

Masing-masing telah merancang untuk berkahwin dalam masa setahun atau dua tahun lagi.

Maka, anda berazam untuk menyediakan kemudahan asas seperti rumah dan kereta sebelum berkahwin.

Anda pun bekerja keras dan mendapat kenaikan gaji sebanyak 10%.

Dibesarkan dengan famili yang sungguh baik, anda menjadi seorang yang 'gentlemen'.

Semua perbelanjaan untuk 'dating', hadiah, bunga dan seumpamanya sudah pun disediakan awal-awal. 10% telah pun diperuntukkan untuk si dia.

Seperti tahun sebelumnya, setelah bersusah payah makan mee segera untuk berjimat, anda berjaya mengekalkan RM 5000 sebagai simpanan tahunan.

Malah, syarikat pula memberikan bonus sebanyak 2 bulan pada tahun tersebut. Maka bertambah lagi RM 4000 dalam simpanan. Kini anda memiliki RM 14,000 dalam simpanan bank.

Sudah tiba masanya untuk membeli kereta. Maka anda membayar RM8000 sebagai bayaran permulaan untuk kereta baru yang berharga RM 40,000.

Kini simpanan bersih anda hanya tinggal RM 6000.

Tahun berikutnya, ketika berumur 25 tahun, anda perlu membayar pinjaman kereta setiap bulan. Hal ini bermakna, simpanan bulanan hanya tinggal RM 400 sebulan.

Bonus pula tidak diberi oleh syarikat kerana prestasi syarikat kurang baik pada tahun itu. Maka, jumlah simpanan semasa hujung tahun adalah RM 11,000 sahaja.


Bertunang
Akhirnya anda membuat keputusan untuk bertunang dengan gadis impian. Dia gembira dan bersetuju.

Maka, RM 1500 dibelanjakan untuk cincin emas dan hantaran. Simpanan kini hanya tinggal RM 9500.

Tahun seterusnya, anda berumur 26 tahun. Alhamdulillah, anda diberi kenaikan pangkat. Gaji anda sekarang RM3000.

"Ini berita baik! Aku nak menamatkan zaman bujang tahun ni!" Anda bersorak girang.

Pada suatu hari, anda mengambil cuti separuh hari untuk berbincang dengan tunang.
Anda: "Berape eh hantaran kahwin kita?"

Tunang: "Berapa-berapa yang you sanggup."

Anda: "RM 5000, okay?"

Tunang: "I okay je. Tapi my mom tu. Dia kata grad oversea macam I ni mane boleh letak rendah-rendah. Paling kurang RM10,000 tau!"

Sikit lagi anda nak pengsan mendengar jawapan bakal isteri anda.

"Mana aku nak dapat duit lebih?"


Kerja Lebih Kuat
Oleh kerana anda terlalu sayangkan dia, anda bekerja dengan lebih kuat sehingga dianugerahkan pekerja cemerlang. Malah, anda menambahkan pendapatan melalui perniagaan jualan langsung secara kecil-kecilan.

Akhirnya dapat la anda simpan RM20,000 pada tahun tersebut.

Suatu pencapaian yang amat membanggakan!

Sekarang umur anda sudah 27 tahun. Duit hantaran dah cukup. Tetapi, mak pula cakap pesan:
"Anak mak nak kawin ni mesti la buat grand-grand. Kita sewa khemah besar-besar, jemput penyanyi ke artis ke sorang dua datang buat persembahan. Lauk pauk kita guna katering je la ya? RM 10 je sekepala. Baju kawin ko, kita sewa yg cantik-cantik dan mahal-mahal sikit. Kita jemput dalam 1000 orang. Set!"

Pengiraan pantas dijalankan:
1000 orang x RM 10 = RM10,000.
Penyanyi, khemah, kad kahwin dan baju = RM 5000.

"Alamak, dah RM 15,000! Belum cincin kahwin lagi! Adoi!" Getus hati anda.

Anda 'slow talk' dengan mak anda:
"Mak, nak buat apa membazir duit ni?"

"Apa pulak membazirnya? Kau kawin sekali je seumur hidup. Biarlah buat betul-betul."

"Tapi mak..?"

"Dahlah, kau jangan nak buat malu mak. Cik Tipah jiran kita tu buat kenduri kat hotel siap Dato', Datin, Tan Sri, Puan Sri datang. Mana la mak nak letak muka mak kalau kita buat kenduri kecik-kecik?"


Akhirnya...
Setelah bersusah payah, akhirnya anda berkahwin juga. Fuh! Seronok dan bersyukur habis.

Tetapi, apakan daya, jodoh kamu berdua tidak panjang. Anda berhutang keliling pinggang dan kadar 'interest' makin tinggi. Anda dah tak mampu nak bayar.

Isteri kesayangan dah letih kalau anda asyik nak minta duit. Dia tuduh anda tak bertanggungjawap, tak reti bagi nafkah dan macam-macam lagi.

Akhirnya? Bercerai...

Masalah yang membuahkan masalah. Kadang-kadang kita pelik kenapa perkahwinan sentiasa gagal di negara kita.

Contoh yang saya huraikan di atas adalah salah satu contoh kasar yang boleh dilihat, kenapa orang kita kahwin lambat atau susah nak kahwin.


Punca masalah
Pada pandangan saya, budaya kita yang tak kena tempat. Banyak perkara dalam budaya kita yang tidak masuk akal dan kadangkala meyusahkan diri sendiri.

Budaya yang berakar umbi ini menyebabkan ramai orang takut nak berkahwin, dengan alasan mereka tidak mampu walaupun secara fizikal dan mentalnya mereka sebenarnya mampu.


Sedikit pemerhatian dan penyelidikan yang saya lakukan
1. Perkahwinan perlu dilakukan secara bersederhana. Motif kahwin kan nak menjamu saudara-mara dan rakan-
rakan? Jadi, makanan sahaja lah yang perlu diambil kira.

Tak perlu nak membazir duit untuk perkara lain seperti pelamin.

Biasanya, pelamin yang biasa sahaja pun dah berharga RM 1500. Itu baru pelamin. Belum lagi hiasan ini dan
hiasan itu.


2. "Harga" seseorang wanita diukur dari tahap pendidikan beliau dan bukan diukur dari pengetahuan agama
seperti yang di sarankan oleh Islam.

Apabila wang hantaran diletakkan terlalu tinggi, perkahwinan terpaksa dibatalkan atau ditangguhkan.
Sedangkan akad nikah itu lebih penting dari wang hantaran.


3. Perkahwinan sepatutnya adalah perkara yang paling mudah dan cepat, tetapi kini ia telah menjadi beban.

Zaman kini, perkahwinan sangat rumit dan rata-ratanya takut untuk berkahwin.


Semasa saya di Sydney, saya lihat beberapa rakan muslim kita yang berkahwin hanya di masjid.

Kemudian, ada kenduri kecil yang dijalankan di masjid.

Para jemputan terdiri dari jemaah masjid, kawan-kawan dan saudara terdekat.

Perkara yang perlu difokuskan adalah kehidupan selepas berkahwin, bukannya majlis perkahwinan.

Majlis itu hanyalah pintu ke gerbang perkahwinan.

Namun, hakikatnya kini seolah-olah kita menghiasi pintu rumah kita cantik bagai nak rak, tetapi di dalam rumah, kosong, gelap dan tidak menarik?

...and the pressure is on men...


Olahan semula daripada sumber asal


Nota Kaki: Kini, proses perkahwinan lebih cenderung ke arah materialistik dan bukannya ke arah nilai-nilai dalam pembinaan Baitul Muslim. Jangan terlalu bermegah dengan majlis perkahwinan sehingga membawa pada pembaziran dan hutang-piutang. Ingat, majlis perkahiwnan yang bersederhana dan mengikut syariat Islam yang perlu diketengahkan, bukannya diketepikan!
Read more

Tuesday, October 12, 2010

[Renungan] Cinta Tidak Perlu Diungkap

Sekadar renungan buat semua...


Fana, itulah perkataan yang tepat apabila berbicara soal cinta. Cinta itu segalanya indah, tapi ramai jua merasai pahitnya cinta.

Selepas saya menulis beberapa artikel yang menyentuh serba sedikit tentang isu evergreen iaitu CINTA, membuatkan diri ditempatkan oleh pembaca menjadi salah seorang dari rujukan. Sedangkan nikah pun belum, ayat power dan sakti untuk mencairkan wanita belum lagi digunakan. Dan sekarang satu demi satu ada yang meminta pandangan.

Saya serba sedikit cuba untuk menjadi pendengar yang setia, bukan untuk memberikan satu jawapan yang tepat dan jitu. Kerana cinta itu masalah dan bicara jiwa. Jiwa pula berbeza-beza tempatnya disetiap manusia. Mana mungkin saya memberikan jawapan melainkan banyak berkongsi cerita bagaimana untuk menguruskan cinta. Memberikan alat kepada mereka untuk mencari jawapan.

Hadir dalam riang. Hadir dalam duka. Hadir dalam keliru. Hadir dalam blurr.

Itulah warna warni pembaca yang tampil untuk berkongsi cerita dengan saya. Sudah semestinya setiap yang hadir, saya raikan dengan hati yang berbunga-bunga.

Cinta diungkap, hati gelisah.

"Amad, anda percaya tentang mimpi tak?" tanya seorang teman maya.

"Mimpi? Nak kata tak percaya, tidak juga. Nak kata percaya, silaplah. Tapi banyaknya tak percayalah. Kenapa tiba-tiba buka bab mimpi ni?" saya menjawab dan pada masa sama cuba memberi ruang keselesaan kepada beliau untuk berkongsi rasa.

"Macam ini, saya semenjak dua tiga hari ini, asyik bermimpi tentang seorang lelaki ni saja. Saya tak nak, tapi sering termimpi," dia bercerita. Lelaki mimpi lelaki? Haru! Kawan maya saya ini adalah seorang wanita. Jadi pantas saja yang masuk dalam mimpinya lelaki.

"Special sangatkah lelaki tu sampai angau begitu sekali?" saya bertanya lagi. Cuba mengumpulkan sebanyak mungkin informasi daripada history taking yang dijalankan.

"Macam ini sebenarnya. Saya ini ada suka seorang lelaki ini. Tapi tahu sahajalah, saya perempuan, bila suka, hanya mampu buat hanya diam saja. Pendam rasa sorang-sorang. Itu ok lagi. Tetapi satu hari, sebelum lelaki itu mahu ke luar negara belajar untuk beberapa tahun, dia datang jumpa dengan saya..." beliau bercerita.

Orang menaruh hati memendam rasa, datang pula sang jejaka pujaan. Mengantuk disorongkan bantai beb. Indah!

"Apa yang dia cakapkan?" tanya saya lagi. Cuba mengumpul simptom.

"Dia cakap dia sukakan saya. Dia janji selepas habis belajar nanti, dia akan datang cari saya kembali, Insyallah. Dan itulah masalahnya. Selepas itu hati saya tak tenang, asyik teringatkan dia. Sedangkan dia di luar negara, tanpa beri keputusan yang pasti," beliau menyambung.

Penantian satu penyeksaan. Keluar daripada kes sebentar, ini terutama untuk muslimat. Jika orang hadir, bertanya soal hati, cubalah menyatakan keputusan itu secepat mungkin dengan berfikir. Jika YA, katakan dengan cepat. Jika TIDAK, katakan dengan cepat. Anda mungkin tidak perasaan dan tidak mengerti, ada lelaki yang tidak keruan hidup tanpa keputusan yang tepat dan cepat.

Jangan seksa mereka dengan penantian yang lama.

"Apa pandangan dan nasihat Amad pada saya? Saya tahu itu silap, tapi macam mana nak baiki dan ubah?"sedih bunyinya.

"Pertama, saya nak sekeh kepala mamat yang cakap sayang tu," saya menjawap.

"Hah, suka hati nak sekeh kepala orang," cepat beliau memberi respon.

"Ops, maaf terlupa pula kepala orang saya nak sekeh itu adalah 'cik abang'," saya bergurau.

"Sebenarnya, orang yang membuat kesilapan paling besar adalah lelaki itu. Anda, rasa suka, rasa minat kepada seseorang, itu wajar saja. Tetapi tindakan lelaki itu adalah amat tidak wajar," saya bagi pandangan.

"Salah lelaki tu? Kenapa? saya tidak faham," dia menyoal balas.

"Silap paling besar lelaki itu adalah dia mengucapkan rasa sayang dia itu pada anda!"

Perasaan wanita, lelaki harus hormati.

Adakah salah meluahkan rasa sayang apabila sememangnya sudah sayang?

Adakah salah menyimpan rasa sayang apabila sememangnya sudah sayang?

Jangan sekali-kali kita menjadi robot cinta. Persoalan dan bicara soal hati dan perasaan diukur dengan digital.

Wanita sebenarnya kompleks hatinya, dan akan mudah dipengaruhi oleh perasaan. Bagi mereka yang tidak menaruh harapan kepada seorang lelaki itu, apabila diuji dengan persoalan berkaitan hati, sudah tidak nyenyak tidur, makan tidak kenyang, mandi tidak basah. Inikan pula yang sudah menaruh harapan.

Mengantuk disorongkan bantal. Tetapi bantal itu bukan bantal biasa, ia bantal fatamorgana. Empuk bicaranya, hakikatnya sensara. Empuknya bisa mengusik hati si gadis, sengsaranya adalah penantian tidak pasti.

Anda! Jika minat dan menaruh harapan kepada si gadis, dan merasakan jalan pernikahan itu masih jauh dipandangan mata, jangan sekali-kali gatal meringankan mulut untuk meluahkan perasaan sayang itu.

Anda mahu pergi jauh, pergilah. Jangan mengusik perasaan si gadis dengan luahan itu. Elok-elok si gadis dapat mengawal diri dengan sangkaan hanya bertepuk sebelah tangan, datang kita untuk bertepuk sama tetapi dalam nada yang tempang.

Kita sebagai lelaki mungkin tidak mengapa, masih mampu mengawal diri. Tetapi mereka? Sedangkan hakikat sebenar jiwa lelaki dan wanita itu berbeza.

Anda mahu pergi dalam masa yang lama, pergilah. Pulang, jika masih ada sisa sayang dan harapan itu, pergilah mencari kembali si gadis. Dan jika si gadis pada saat itu sudah diijabkabulkan dengan jejaka lain, apa susah, cari saja yang lain! Reda dengan ketentuan dan ketetapan Allah SWT itu lebih utama kerana menghadirkan kegelisahan hati pada si gadis itu dosa.

Jadi, bila perlu beritahu yang kita berkenan pada dia?

Apabila sudah berkenan, hadirnya rasa suka dan merasakan jalan untuk ke gerbang pernikahan itu semakin jelas. Pada saat itu, silakanlah mengungkap rasa kasih dan sayang itu kepada ibu bapa si gadis. Bertemulah dengan kedua orang tua si gadis. Mintalah izin dengan ibu bapa si gadis.

Cepat-cepatkanlah kepada shake hand dan lafazkan "Aku Terima Nikahnya".

Lawan jangan layan jangan.

"Dah tu, sekarang dia pun terlepas cakap. Saya pulak dah lama terseksa dengan perasaan ini. Macam mana nak buang ni?" tanya beliau.

Buang jangan, manage perlu. Bagaimana? Cara menguruskan angau yang tidak berpijak ini adalah dengan melupakannya.

Cara untuk melupakan cinta bukanlah dengan memikirkan cara melupakannya. Itu bukan lupa, tapi mengingati cinta secara melupakannya!

Sesungguhnya kaedah terbaik untuk melupakan cinta, ialah dengan menyibukkan diri dengan hal-hal lain yang lebih sesuai dengan masanya.

Sibukkan diri dengan pelajaran dan pengajian seoptima mungkin.

Sibukkan diri dengan kerja-kerja persatuan, aktiviti kemasyarakatan dan lain-lain kegiatan yang bersifat "memberi".

Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
Tidak lupa juga ingin saya berpesan untuk sekian kalinya, masalah sayang, masalah cinta, masalah rindu adalah masalah jiwa. Kembalikan masalah jiwa ini kepada pemilik segala jiwa. Allah SWT. Jangan lepas daripada bermunajat kepada-Nya memohon kekuatan. Jika tidak dijawab dalam satu hari, biarlah terus berusaha hatta 100 tahun sekalipun. Doa tetap doa, kerana kita hamba.

Cinta itu harus fikir, fikir itu harus mengunakan akal, akal mampu sihat dengan hanya disirami iman.


Sumber dari ILUVISLAM
Read more

Saturday, September 18, 2010

Kehendak Dan Keperluan: Mana Satu Prioriti Kita?

Kehendak dan keperluan selalu menjadi topik hangat yang selalu berlegar-legar di minda kita tatkala kita ingin mengklasifikasikan sesuatu perkara. Saya yakin, anda di luar sana juga mengalami dilema yang serupa seperti ini. Namun, sebelum saya melontarkan idea dan luahan terhadap isi-isi tersebut, elok rasanya untuk saya definisikan serba sedikit mengenai apa yang dimaksudkan dengan kehendak dan keperluan itu.



KEHENDAK
* Sesuatu yang kita hajatkan atau impikankan. Biasanya, ia sesuatu yang indah
* Sesuatu yang kadangkala mustahil untuk kita capai
* Hanya satu keperluan untuk sebuah kepuasan yang bersifat sementara
* Kadangkala berakhir dengan sebuah kekecewaan jika impian hanya dihati tanpa dizahirkan dengan usaha
* Bagi orang yang berdaya maju, kehendak adalah sesuatu target yang perlu dicapai dengan usaha yg tidak mengenal erti kegagalan

KEPERLUAN
* Sesuatu yang kita perlukan untuk meneruskan kehidupan
* Kadangkala ia dibenci kerana berlawanan dengan kehendak
* Boleh jadi sesuatu yang diluar jangkaan
* Merupakan anugerah kurniaan Allah kepada hambaNya
* Jarang dihargai sehingga ianya hilang dari hidup kita

Ingin saya lontarkan suatu persoalan - Adakah dunia ini adalah suatu kehendak semata-mata?

Renung-renungkan...

Bagi saya, dunia ini adalah satu keperluan. Keperluan untuk manusia itu sendiri. Kerana dunia adalah tempat bagi manusia untuk mengumpul segala modal amal sebelum melangkah menuju ke alam yang hakiki kelak. Alam akhirat.

Ya, memang benar kehidupan kita di dunia ini disulami dengan pelbagai keperluan dan juga kehendak. Ianya tidak mampu untuk lari dari ruang lingkup realiti.

Sebagai contoh, manusia memerlukan wang untuk melangsungkan kehidupannya agar terurus dan tersusun setiap aturan kehidupannya. Namun, adakah dengan memiliki sejumlah wang yang banyak sehinggakan mampu untuk diwarisi oleh generasi-generasi selepasnya itu merupakan suatu keperluan? Itu hanyalah suatu kehendak sekiranya wang yang dimiliki oleh manusia terbabit melampaui/mencukupi buatnya untuk melangsungkan hidup.

Manusia perlu terhadap makanan. Perlu terhadap makanan yang berkhasiat. Namun, adakah dengan mempunyai nafsu makan yang tinggi sehingga menyebabkan perut kita penuh membulat itu merupakan suatu keperluan?

Lihat, anda sendiri pastinya sudah mengerti apakah perbezaan antara keperluan dan kehendak. Apakah yang perlu untuk kita dan apakah yang kita hendak dalam hidup ini.


Islam Adalah Suatu Keperluan
Sukacita saya di sini untuk memetik kata-kata yang dinukilkan oleh saudara Hilal Asyraf di dalam blognya berkenaan kata kunci berikut - iaitu Islam adalah suatu keperluan.

"Islam telah menggariskan garisan-garisan yang jelas di dalam kehidupan sebagai peraturan. Kita dapat melihat apabila beberapa peraturan Islam dilanggar, maka kehidupan akan menadi kucar-kacir. Baik kehidupan individu, masyarakat, negara, mahupun dunia.

Islam dapat dilihat sebagai satu-satunya agama yang melekat kemas dan tepat dengan kehidupan manusia. Ini terbukti apabila Islam berjaya mengubah satu kaum arab jahiliyyah yang sangat rosak, menjadi kaum yang paling mulia di atas muka bumi. Ini terbukti lagi apabila Islam ini berjaya mencetus penemuan-penemuan baru di dalam medan ilmu bahkan meneraju kemajuan dunia pada awalnya.

Manusia, memerlukan Islam.

Tetapi, jika kita lihat, ‘kehendak’ kita tidak menghala ke sana.

‘Kehendak’ kita kata, kita akan terkongkong. Maka kita ‘nak’ bebas. Justeru kita ‘tak nak’ mengambil Islam secara sepenuhnya.

Islam adalah ibarat oksigen. Manusia perlu kepadanya. Tanpanya, manusia akan rosak dan menemui kehancuran. Oh ya, anda boleh melihat kehidupan sekeliling anda hari ini untuk menilainya. Oh, anda boleh juga baca surat khabar hari ini untuk membuktikan betapa suasana hari ini tanpa Islam yang sebenar ini.

Manusia ada pilihan. Untuk tidak menyedut oksigen. Dia ‘nak’ tak sedut oksigen.

Ok. Terpulang.

Tapi semua orang tahu apa pengakhiran buat mereka yang tidak menyedut oksigen."

Jadi, sepatutnya kita sebagai hamba-Nya bersyukur dengan apa yang telah kita perolehi, bukannya kita merungut dengan apa yang belum kita miliki. Sesungguhnya, Allah hanya memberikan sesuatu kepada hamba-Nya apa yang diperlukannya, bukannya apa yang dikehendakinya.

"Dan mungkin apa yang kamu benci itu adalah baik untukmu dan mungkin apa yang kamu sukai itu adalah buruk untukmu, Allah lebih mengetahui dan sesungguhnya kamu tidak mengetahuinya."
Surah al-Baqarah: Ayat 216

Read more