UPSR & PMR: Bangkit Setelah Bungkamnya PPSMI
Monday, July 05, 2010
By
Unknown
Luahan Insan
0
comments
Sejak akhir-akhir ini, kita dilontarkan dengan kenyataan yang diuar-uarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai status Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang bakal dimansuhkan kelak.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan mengadakan perbincangan meja bulat bagi mengumpulkan pandangan pelbagai pihak terhadap cadangan kerajaan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 19 dan 27 Julai ini.
"Rumusan perbincangan akan dikemukakan kepada Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada awal Ogos ini," kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Peperiksaan menjadi ukuran kebijaksanaan dan kejayaan negara melahirkan pelapis generasi masa depan lebih berwibawa, selain dianggap aset kecemerlangan.
Justeru, apabila ada cadangan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), pelbagai pihak tampil melontarkan pandangan.
Ada bersetuju kerana berasakan sistem berorentasikan peperiksaan sudah lapuk dan tidak relevan dengan konsep pendidikan alaf baru tetapi tidak kurang yang membantah. Persoalannya, adakah pemansuhan itu mampu mengubah senario sistem pendidikan negara ke tahap lebih baik atau sebaliknya?
Di atas adalah merupakan bingkisan daripada bahan maklumat yang menzahirkan intipati skop topik hangat ketika ini. Adakah wajar untuk memansuhkan dua peperiksaan awam, iaitu UPSR dan PMR dalam meniti kehidupan pelajar sebelum menghadapi peperiksaan tunggal di peringkat sekolah, yakni Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) jika pemansuhan UPSR dan PMR berkenaan menjadi realiti?
Sebenarnya, masing-masing mempunyai pro dan kontranya. Bagi pendapat saya sendiri, jika UPSR dan PMR dimansuhkan sama sekali, pronya adalah terletak pada penilaian pelajar itu sendiri dalam memastikan dirinya sentiasa kompetitif dan mengaplikasikan segala ilmu pembelajarannya dalam kehidupan seharian. Bukannya lagi dinilai dan diukur semata-mata untuk berjaya dalam peperiksaan sebelum ini. Jadi, pembelajaran secara holistik atau menyeluruh mampu diasaskan tanpa adanya ikatan terhadap piawaian peperiksaan yang menyebabkan lahirnya budaya 'belajar untuk peperiksaan'.
Namun, kontranya juga seiring dengan pemansuhan peperiksaan awam tersebut. Sistem atau kaedah penilaian yang perlu diterapkan dan dilaksanakan bagi memastikan status piawaian pembelajaran dan pengajaran (P&P) berlangsung dengan efektif dan efisyen. Ini mungkin menjadi beban terbaru terhadap kementerian berkaitan kerana sudah sedia maklum bahawa populariti peperiksaan UPSR dan PMR sudah sinonim dan sebati dalam hidup seharian masyarakat kita di mana, peperiksaan UPSR dan PMR ini dijadikan sebagai kayu ukur untuk pengambilan pelajar untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh dan penentu aliran bagi pembelajaran di Tingkatan Empat.
Semua sedia maklum bahawa mengubah sesuatu dasar yang sudah lama diguna pakai adalah sesuatu yang perlu diberi penekanan dan diteliti dengan telus tanpa adanya kesilapan yang bakal mengundang permasalahan di masa akan datang. Pemansuhan UPSR dan PMR ini perlu diambil kira dalam pelbagai aspek dan skop tertentu agar pelaksanaannya kelak tidak menjadi suatu slogan yang bisa menjatuhkan martabat pendidikan dan pelajaran negara. Walau apapun jawapan dan keputusan yang diputuskan kelak oleh pihak berwajib, ianya perlu diperhalusi dan diteliti oleh seluruh peringkat masyarakat. Bukannya sekadar membina legasi tersendiri oleh segelintir pihak yang berpengaruh. Semuanya mesti diputuskan atas dasar kewarasan dan ketelusan dalam melahirkan cendekiawan negara yang mampu untuk berdaya saing dan mentadbir negara kelak.
0 comments:
Post a Comment