Saturday, September 18, 2010

Kehendak Dan Keperluan: Mana Satu Prioriti Kita?

Kehendak dan keperluan selalu menjadi topik hangat yang selalu berlegar-legar di minda kita tatkala kita ingin mengklasifikasikan sesuatu perkara. Saya yakin, anda di luar sana juga mengalami dilema yang serupa seperti ini. Namun, sebelum saya melontarkan idea dan luahan terhadap isi-isi tersebut, elok rasanya untuk saya definisikan serba sedikit mengenai apa yang dimaksudkan dengan kehendak dan keperluan itu.



KEHENDAK
* Sesuatu yang kita hajatkan atau impikankan. Biasanya, ia sesuatu yang indah
* Sesuatu yang kadangkala mustahil untuk kita capai
* Hanya satu keperluan untuk sebuah kepuasan yang bersifat sementara
* Kadangkala berakhir dengan sebuah kekecewaan jika impian hanya dihati tanpa dizahirkan dengan usaha
* Bagi orang yang berdaya maju, kehendak adalah sesuatu target yang perlu dicapai dengan usaha yg tidak mengenal erti kegagalan

KEPERLUAN
* Sesuatu yang kita perlukan untuk meneruskan kehidupan
* Kadangkala ia dibenci kerana berlawanan dengan kehendak
* Boleh jadi sesuatu yang diluar jangkaan
* Merupakan anugerah kurniaan Allah kepada hambaNya
* Jarang dihargai sehingga ianya hilang dari hidup kita

Ingin saya lontarkan suatu persoalan - Adakah dunia ini adalah suatu kehendak semata-mata?

Renung-renungkan...

Bagi saya, dunia ini adalah satu keperluan. Keperluan untuk manusia itu sendiri. Kerana dunia adalah tempat bagi manusia untuk mengumpul segala modal amal sebelum melangkah menuju ke alam yang hakiki kelak. Alam akhirat.

Ya, memang benar kehidupan kita di dunia ini disulami dengan pelbagai keperluan dan juga kehendak. Ianya tidak mampu untuk lari dari ruang lingkup realiti.

Sebagai contoh, manusia memerlukan wang untuk melangsungkan kehidupannya agar terurus dan tersusun setiap aturan kehidupannya. Namun, adakah dengan memiliki sejumlah wang yang banyak sehinggakan mampu untuk diwarisi oleh generasi-generasi selepasnya itu merupakan suatu keperluan? Itu hanyalah suatu kehendak sekiranya wang yang dimiliki oleh manusia terbabit melampaui/mencukupi buatnya untuk melangsungkan hidup.

Manusia perlu terhadap makanan. Perlu terhadap makanan yang berkhasiat. Namun, adakah dengan mempunyai nafsu makan yang tinggi sehingga menyebabkan perut kita penuh membulat itu merupakan suatu keperluan?

Lihat, anda sendiri pastinya sudah mengerti apakah perbezaan antara keperluan dan kehendak. Apakah yang perlu untuk kita dan apakah yang kita hendak dalam hidup ini.


Islam Adalah Suatu Keperluan
Sukacita saya di sini untuk memetik kata-kata yang dinukilkan oleh saudara Hilal Asyraf di dalam blognya berkenaan kata kunci berikut - iaitu Islam adalah suatu keperluan.

"Islam telah menggariskan garisan-garisan yang jelas di dalam kehidupan sebagai peraturan. Kita dapat melihat apabila beberapa peraturan Islam dilanggar, maka kehidupan akan menadi kucar-kacir. Baik kehidupan individu, masyarakat, negara, mahupun dunia.

Islam dapat dilihat sebagai satu-satunya agama yang melekat kemas dan tepat dengan kehidupan manusia. Ini terbukti apabila Islam berjaya mengubah satu kaum arab jahiliyyah yang sangat rosak, menjadi kaum yang paling mulia di atas muka bumi. Ini terbukti lagi apabila Islam ini berjaya mencetus penemuan-penemuan baru di dalam medan ilmu bahkan meneraju kemajuan dunia pada awalnya.

Manusia, memerlukan Islam.

Tetapi, jika kita lihat, ‘kehendak’ kita tidak menghala ke sana.

‘Kehendak’ kita kata, kita akan terkongkong. Maka kita ‘nak’ bebas. Justeru kita ‘tak nak’ mengambil Islam secara sepenuhnya.

Islam adalah ibarat oksigen. Manusia perlu kepadanya. Tanpanya, manusia akan rosak dan menemui kehancuran. Oh ya, anda boleh melihat kehidupan sekeliling anda hari ini untuk menilainya. Oh, anda boleh juga baca surat khabar hari ini untuk membuktikan betapa suasana hari ini tanpa Islam yang sebenar ini.

Manusia ada pilihan. Untuk tidak menyedut oksigen. Dia ‘nak’ tak sedut oksigen.

Ok. Terpulang.

Tapi semua orang tahu apa pengakhiran buat mereka yang tidak menyedut oksigen."

Jadi, sepatutnya kita sebagai hamba-Nya bersyukur dengan apa yang telah kita perolehi, bukannya kita merungut dengan apa yang belum kita miliki. Sesungguhnya, Allah hanya memberikan sesuatu kepada hamba-Nya apa yang diperlukannya, bukannya apa yang dikehendakinya.

"Dan mungkin apa yang kamu benci itu adalah baik untukmu dan mungkin apa yang kamu sukai itu adalah buruk untukmu, Allah lebih mengetahui dan sesungguhnya kamu tidak mengetahuinya."
Surah al-Baqarah: Ayat 216

0 comments: