Saturday, September 4, 2010

[Perkongsian] Bibit-bibit Kedatangan Malam Yang Dinantikan: Lailatul Qadar

Ehsan dari iLuvislam.com


Kata sesetengah ulama, Lailatul Qadar berlaku pada satu malam tertentu seperti malam 21 dan 23 Ramadan. Ini menurut Imam Syafie r.a dan sesetengah ulama kerana ada hadis Bukhari dan Muslim yang menceritakan Lailatul Qadar berlaku pada malam tersebut sehingga Rasulullah saw sujud dan dahinya yang mulia masih berlumuran tanah pada malam itu. Ada sesetengah ulama, tidak menentukannya secara pasti dan ada juga ulama terutama dari kalangan para zuhad dan sebagainya mengira dengan hari permulaan puasa.

Menurut mereka, sekiranya permulaan puasa jatuh pada hari Ahad atau Rabu maka Lailatul Qadar ialah pada hari yang ke 29. Jika bermula puasa pada hari Jumaat atau Selasa, ia jatuh pada hari ke 27 dan jika permulaan puasa pada Khamis, Lailatul Qadar berlaku pada 25 Ramadan. Sekiranya awal puasa pada Sabtu, maka Lailatul Qadar jatuh pada hari ke 23 dan jika awal puasa pada Isnin, maka Lailatul Qadar jatuh pada malam yang ke 21. Demikianlah kaedah yang diguna pakai oleh sebahagian ulama termasuk Imam Abul Hasan r.a. Tegas beliau: "Aku tidak pernah terlepas malam Lailatul Qadar tersebut dengan menggunakan kaedah ini.''

Tanda dan alamatnya adalah banyak, antara lain malam itu sendiri berlalu dengan penuh keheningan dan tenteram, angin bertiup lembut sepoi-sepoi bahasa dan esoknya, pada pagi hari kelihatan langit agak redup dan cahaya matahari tidak begitu menyinari ruang angkasa dan macam-macam lagi. Hikmatnya ialah apabila seseorang mengetahui malam Lailatul Qadar tersebut, maka eloklah diperbanyakkan doa dan istighfar juga ibadat pada malam dan keesokannya, untuk mendapatkan fadilat hari yang penuh berkat dan mulia itu. Yakinlah apabila seseorang itu bersedia setiap malam Ramadan dengan ibadat, sekurang-kurangnya bersolat jemaah setiap waktu, Maghrib, Isyak dan Subuh, kata ulama dia pasti memperoleh fadilat malam Lailatul Qadar.

Oleh itu, bersolatlah dengan tekun dan berterusan terutama pada bulan Ramadan al-Mubarak ini. Walau tinggal beberapa hari saja lagi malam-malam di bulan Ramadhan, pastikan kita menjadi juara di akhirnya nanti. Semoga Ramadhan kali ini menjanjikan kita kemenangan. Kemenangan melawan dan menguasai hawa nafsu. Insya Allah.

0 comments: