Monday, October 11, 2010

Lakaran Detik Hitam Di Jalanan

SEREMBAN 10 Okt. – Seramai 12 orang maut, manakala lebih 40 lagi cedera termasuk parah apabila dua buah bas, dua buah kereta dan sebuah van terbabit dalam kemalangan di Kilometer 223, Lebuhraya Utara-Selatan, berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat dekat Rembau, petang ini.

Nahas berlaku apabila sebuah bas ekspres Delima yang dipercayai dipandu laju dari arah selatan gagal dikawal lalu terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya sebelum melambung ke laluan bertentangan.

Sebuah bas menghempap sebuah kereta dalam nahas di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Pedas, malam tadi

Bas ekspres itu yang dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur kemudian melanggar sebuah van dan kereta sebelum menghempap dua buah kereta lain dalam kejadian pada 6.50 petang itu.

Keadaan bas yang terbalik selepas terbabit dalam kemalangan maut di KM 223 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Pedas, malam tadi

Pada masa yang sama, sebuah bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dinaiki ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) turut gagal mengelak dan melanggar bas ekspres itu.

Tragedi Oktober itu mengakibatkan puluhan ribu kenderaan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sehingga lewat malam ini apabila pihak berkuasa terpaksa menutup laluan di kedua-dua arah untuk kerja-kerja menyelamat.

Mayat diletak di tepi jalan ketika kerja menyelamat dilakukan

Sehingga pukul 11 malam ini, pasukan penyelamat sedang berusaha mengeluarkan mayat mangsa termasuk penumpang bas dan kenderaan yang dihempap oleh bas itu.

Difahamkan, mangsa yang maut adalah pemandu bas dan penumpang serta penumpang dua buah kereta yang terhimpit dihempap bas tersebut.

Pengarah Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, Dr. Jaafar Che Mat pada sidang akhbar lewat malam ini memaklumkan, pihaknya menerima 24 orang mangsa yang cedera terdiri daripada lapan lelaki dan 16 wanita, kesemuanya dewasa.

Katanya, seorang daripada mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) setelah dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Menurut beliau, kesemua mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat, manakala mereka yang cedera menerima rawatan di HTJ.

Antara yang dilihat menerima rawatan termasuk seorang pelancong warga Jepun.

Anggota bomba membersih serpihan kenderaan bertaburan atas jalan

Berikutan kemalangan itu, pihak polis telah menutup laluan masuk ke lebuh raya arah selatan di Plaza Tol Pedas, Linggi di Rembau.

Kebanyakan kenderaan yang memasuki lebuh raya dinasihatkan oleh Plus Expressways Berhad (PLUS) untuk menggunakan laluan alternatif.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah ketika dihubungi malam ini mengesahkan kejadian tersebut dan menurutnya, ketika ini, identiti mangsa yang cedera dan meninggal dunia masih belum diketahui.

Operasi menyelamat masih dijalankan oleh pasukan bomba dan penyelamat, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta bantuan pihak paramedik dari hospital yang berdekatan.

Dalam pada itu, salah seorang penumpang bas Ekspres Delima yang terselamat, Nur Najlaa Aqilah Mohd. Ghazali, 19, berkata, dia tiba-tiba terasa bas yang dinaikinya berpusing lalu menghempap sebuah kereta selepas melambung ke laluan bertentangan.

“Ketika kejadian, saya sedang tidur. Saya tersedar apabila bas itu berpusing dan menghempap kenderaan di laluan bertentangan. Tidak lama kemudian, bas yang kami naiki dirempuh beberapa kenderaan lain termasuk sebuah bas (membawa ahli PBTM),” kata pelajar Universiti Malaya itu yang kini dirawat di HTJ setelah mengalami kecederaan di tangan dan muka.

Difahamkan, bas JKM membawa peserta yang menghadiri Perhimpunan Raksasa PBTM, turut dinaiki Exco Kerajaan Melaka, Datuk Karim Sulaiman. Bagaimanapun, kesemua penumpang bas itu dilaporkan selamat.



Untuk berita/informasi berkenaan dengan tragedi terbabit, bolehlah dilayari di [1], [2] dan [3].


Nota Kaki: Kecelakaan jalan raya sudah sebati dengan kehidupan kita saban hari, tidak kira sama ada dalam musim perayaan, mahupun musim cuti sekolah. Yang menghairankan, perhubungan jalan raya dan kemudahannya adalam antara yang terbaik di dunia, masih lagi dibelenggu dengan statistik kecelakaan dan kemalangan yang meragut nyawa. Seringkali kita lihat bahawa sikap golongan pengguna jalan raya yang sering memandang enteng terhadap keselamatan, bukan saja diri mereka, malah para pengguna lain sememangnya perlu dididik. Bukan lagi diminta mahupun diraih. Setelah apa yang terjadi, semuanya sudah terlambat. Maka, sudah sampai masanya kita ubah tragedi malang seperti ini dari terus menghantui kita segenap kehidupan kita.

Al-fatihah buat keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden berkenaan. Tabahkan hati dan redha dengan pemergian mereka.

0 comments: