Saturday, May 23, 2009

Kewangan: Keterbatasan Dalam Perbelanjaan

~Warkah nukilan pada kali ini ditujukan khas kepada pihak yang sering kali mengeluh berkenaan belanjawan yang tidak mencukupi bagi merealisasikan program~

Seringkali kita kedengaran suara-suara yang menyatakan pendirian dan pendapat mengenai aspek kewangan dalam kehidupan seharian kita. Tidak terlepas juga rungutan yang lahir daripada sebilangan individu yang merasakan dengan belanjawan yang tersedia tidak mampu untuk menggerakkan dan menjana prospek aktiviti yang ingin dilaksanakan.

Suara-suara dan lontaran gema yang acap kali kita dengar saban hari, khususnya mahasiswa dalam menjana dan menganjurkan aktiviti dan program terutamanya di Institut Pengajian Tinggi ketika ini menampakkan impak yang berbeza. Ada segelintirnya menyuarakan bahawa institusi kewangan yang dipelopori oleh badan-badan yang berkaitan dengan hal ehwal pelajar (misalnya Pejabat Hal Ehwal Pelajar) sering kali dikatakan mengalami kesulitan dalam mendapatkan peruntukan untuk membiayai dan mengelola sesuatu produk aktiviti.

Di pihak yang lain pula menyatakan bahawa peruntukan yang diluluskan berkaitan adalah setimpal dengan visi dan misi serta objektif yang terkandung dalam sesuatu program yang ingin dianjurkan. Malah, bertepatan dengan garis panduan atribut yang terkandung dalam Kemahiran Insaniah yang memperihalkan mengenai keusahawanan; mencari dana, tajaan, sumbangan dan yang sinonim dengannya bagi menjamin kelancaran dan kelangsungan sesebuah program berkenaan.

Tidak terkecuali juga, ada pihak yang menganggap bahawa penganjuran sesebuah aktiviti atau program sebenarnya menjurus ke arah pembaziran, tidak langsung menampakkan sebarang penunjuk yang mampu menyumbang ke arah pembangunan insaniah mahupun keintelektualan mahasiswa. Penganjuran dan pelaksanaan porgram dan aktiviti tersebut hanyalah sekadar 'mencampakkan benih di gurun gersang'.

Namun, di sebalik pertikaian yang melibatkan status kewangan ini, seharusnya di pihak jawatankuasa pelaksanaan program dan aktiviti menilai kembali aspek-aspek kewujudan program dan aktiviti tersebut. Adakah ianya mampu mencapai segala garis panduan yang ingin diketengahkan dan melaksanakan atribut-atribut yang terkandung dalam Kemahiran Insaniah atau sekadar melengkapkan takwim kalendar aktiviti sepanjang tahun? Ingatlah bahawa setiap nilai kewangan yang digunakan atas nama 'program atau aktiviti mahasiswa' perlu difikirkan sentiasa. Adakah ianya berbaloi atau tidak dengan garis-garis panduan yang ingin dicapai? Bukan dengan sewenang-wenangnya menterjemahkan status dana kewangan yang diberikan mesti 'dihukum' sepuas-puasnya laksana singa yang membaham mangsanya.

Fikir-fikirkanlah semula situasi tersebut. Adakah dengan tidak adanya atau kurangnya dana kewangan daripada pihak yang sepatutnya akan membantutkan dan menidakkan pelaksanaan program berkenaan? Sumber kewangan sebenarnya boleh dijana sendiri oleh ahli jawatankuasa pelaksana program sekiranya mengambil sikap dan inisiatif yang proaktif dalam merealiasasikan aspirasi program tersebut dan secara tidak langsung mampu mencapai objektif atribut Kemahiran Insaniah yang kini menjadi nadi dalam penghasilan produk mahasiswa di alam pekerjaan. Renung-renungkan...

Daripada Revolusi Pemikiran Insan

4 comments:

Unknown said...

Sentiasalah berfikiran positif mengenai apa yang terjadi...

Bukannya semua perkara yang hadir diolah dalam situasi yang mudah, tetapi perlu dirungkaikan menjadi semudah yang mungkin...

Fikir-fikirkanlah sejenak bait-bait ayat di atas...

HB said...

salam. Rasanya fenomena aktiviti atau program di kampus memerlukan penilaian semula, terutama daripada aspek objektif dan matlamat aktiviti itu dianjurkan. Matlamat dan objektif perlu jelas dan boleh diukur serta dilihat. Aktiviti bukan sekadar suka-suka. Ia adalah medan mengembangkan potensi individu dan kumpulan bagi mencapai kematangan berfikir dan bertindak dlm segala hal.

HB said...

Kekangan kewangan perlu dilihat sebagai satu cabaran dlm mengoptimumkan penggunaan wang yg ada untuk mencapai matlamat pendidikan melalui aktiviti. 2 pendekatan dlm berhadapan kekangan kewangan:

1) Jimatkan belanja. Belanja pd hal yg perlu saje
2) Tambah pendapatan melalui sumbangan, tajaan, atau keusahawanan.

Unknown said...

Yup...

Sokong dengan apa yang saudara hujahkan sebentar tadi...

Err, nie abg Hadi kan?

Kenapa tak inform yang abg ada blog sendiri?

Hehehe...