Monday, June 15, 2009

Bagai Sirih Pulang ke Gagang

Assalamualaikum dan Salam Nukilan kepada anda semua...

Hari nie merupakan perjalanan yang tidak sejauh mana jika dibandingkan dengan perjalanan pulang ke kampung halaman di utara tanah air pada minggu lepas. Namun, perjalanan yang ditempuh selama lebih 2 jam ke selatan tanah air, iaitu negeri Johor Darul Ta'zim begitu menggamit senario yang pernah aku cipta sewaktu masa dahulu; sebelum diri nie menjejakkan kakinya di persada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai.

Benarlah apa yang diperkatakan oleh pepatah Melayu. Ibarat sirih pulang ke gagang. Akhirnya, aku kembali semula di sini, walaupun sekadar pelawat. Namun, detik sejarah dan memori yang telah aku bina suatu masa dahulu memang terpahat di akal dan sanubariku. Sehingga membawa diri nie kembali menyelami memori dan nostalgia yang pernah aku lalui bersama-sama dengan rakan tauladan yang seiringan mengharungi langkah yang sama, iaitu melanjutkan pengajian di peringkat institusi pengajian tinggi.

Kolej Matrikulasi Johor (KMJ). Namanya terpahat dan gah sekali berdiri seiringan dengan perjuangan aku, sehinggakan mampu membawa aku ke UTM nie. Untuk pengetahuan kalian semua, aku sekeluarga menghantar adikku ke sini bagi proses pendaftaran pelajar baru bagi pengajian Program Dua Tahun (PDT) di kolej matrikulasi nie. Walaupun adik aku tidaklah sehebat mana keputusannya pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lalu, namun, syukur kepada-Nya kerana adik aku masih lagi diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi kelak. Aku doakan semoga adik aku berjaya di sana dan membawa pulang keputusan yang lebih baik berbanding aku. Tue adalah hasrat dan harapan aku terhadapnya.

Sejak mula melangkah masuk ke persada kolej nie, sesungguhnya, dapat dilihat banyak perubahan yang telah dikecapi oleh kolej nie dari segi fizikal serta pentadbirannya. Semestinya, di peringkat pandangan mata kasar, jelas dan nyata sekali bahawa terdapat pembangunan yang sedang dimajukan oleh pihak pentadbiran kolej dalam memberikan kemudahan fasiliti terhadap para pelajar. Syabas diucapkan terhadap mereka kerana prihatin dengan situasi dan suasana yang dihadapi oleh pihak pelajar sebelumnya.

Kepada adinda, semoga berusaha bersungguh-sungguh dalam mengecapi kejayaan yang dihasratkan oleh adinda sendiri bersama-sama ayahanda dan bonda yang menginginkan adinda berjaya dengan cemerlang kelak. Kakanda di sini mendoakan agar adinda tabah dalam mengharungi liku-liku hidup sebagai seorang pelajar di peringkat matrikulasi sebelum menjejakkan kaki yang bakal bergelar mahasiswi kelak. Insya Allah, jika diberi keizinan oleh-Nya.
(Cewah, ada pula tersemat ayat-ayat puitis Bahasa Melayu Klasik tue. Hehehe...)

Baiklah, sebelum aku mengundur diri bagi titipan nukilan pada kali nie, di sini, aku sempat mengambil beberapa keping gambar sekitar kawasan KMJ untuk tatapan umum warkah blog nie. Semoga kita bertemu lagi dalam warkah nukilan yang seterusnya.

Wassalam...


Sekitar kawasan panorama KMJ
Kompleks kuliah yang menempatkan 3 buah dewan kuliah besar dan 4 buah dewan kuliah kecil. Dewan kuliah besar mampu menampung pelajar seramai 250-300 orang pada satu-satu masa manakala dewan kuliah kecil mampu menampung seramai sehingga 200 orang pelajar


Masjid An-Nur. Sebelum nie, masjid An-Nur hanyalah sebuah surau. Namun, pada tahun 2004, ianya telah dirobohkan dan dibina sebuah masjid mukim di atas tapak surau berkenaan. Masjid nie ditubuhkan bagi memudahkan gerakan Islamiah dan sebagai pusat pembelajaran dan penyampaian ilmu agama, seperti KARISMA (Kesatuan Remaja Islam Matrikulasi)


Nie pula adalah bangunan 4 tingkat yang sedang dibina bersebelahan dengan Kompleks Tutoran. Bangunan nie berfungsi seperti yang diberitahu oleh Timbalan Pengarah KMJ sendiri semasa taklimat bersama waris pelajar, adalah sebagai pusat peperiksaan yang bakal digunakan kelak bagi memudahkan para pelajar menjawab peperiksaan dalam keadaan selesa dan teratur


Nie adalah Kolej Kediaman pertama, iaitu Kolej Al-Zahrawi sempena salah seorang tokoh perubatan Islam yang tersohor. Kolej kediaman nie merupakan kolej kediaman bagi pelajar lelaki dan di sinilah bermulanya kehidupanku sebagai seorang pelajar ketika melanjutkan pelajaran di sini bagi sesi 2006/2007


Bangunan di hadapan nie merupakan sebuah lagi kolej kediaman di KMJ. Kolej kediaman nie diberi nama Al-Biruni dan merupakan kolej kediaman bagi pelajar perempuan. Di KMJ, terdapat 6 buah kolej kediaman; 2 darinya untuk pelajar lelaki manakala selebihnya untuk pelajar perempuan. Semua kolej kediaman nie dinamakan sempena dengan nama-nama tokoh Islam yang tersohor seperti Al-Zahrawi, Al-Kindi, Al-Jazari, Al-Razi, Al-Biruni dan Al-Khawarizmi. Setiap kolej kediaman nie ditadbir oleh seorang pengetua

1 comments:

aeyna said...

kmj da cat baru la weyh!!

zahrawi tingkat 3 blik 11 ke dlu???