Tuesday, May 4, 2010

Perjalanan Yang Memenatkan

7 pagi, 2 Mei 2010. Aku tiba di perkarangan Kompleks Sukan Bukit Jalil. Kompleks sukan yang menempatkan sementara stesen bas Hentian Puduraya di sini kerana kerja-kerja penaik tarafan kemudahan sedang dilaksanakan ketika ini.

Waktu seawal itu sudah menampakkan kebanjiran manusia yang bakal bertolak ke destinasi masing-masing yang akan memulakan perjalanan seawal mungkin dengan menggunakan perkhidmatan bas ekspres. Aku bergerak seiringan dengan abah yang datang menghantarku ke stesen berkenaan. Mama dan adikku berada di rumah. Aku akan bertolak ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kampus Johor Bahru dan akan pulang semula ke Kuala Lumpur pada malam ini juga.

Kepulangan aku ke UTM semula berlaku setelah aku usai berada di rumah selama kurang dari 3 hari untuk melengkapkan cuti akhir semester yang bermula secara rasminya tanggal 26 April lalu. Perit diri ini untuk meneruskan perjalanan pulang semula ke UTM. Sengal-sengal tubuh masih ada lagi ketika itu. Memang terasa masih lagi bergelumang dengan noda-noda kepenatan. Namun, apakan daya. Janji telahpun dilafazkan dan demi jihad ilmu itu sendiri.


Dengan jadual perjalanan bas yang bakal bertolak jam 7.30 pagi ke Johor Bahru, aku menjangkakan aku akan tiba di UTM sebelum matahari tegak berdiri di atas kepala. Dan tiket untuk pulang semula ke Kuala Lumpur dijadualkan akan bertolak dari Sri Puteri pada jam 4.30 petangnya. Sungguh aku tak mampu untuk membayangkan suasana yang bakal aku lalui pada hari itu. Aku sendiri terasa bagaikan janggal dengan situasi itu. Awal pagi, aku berada di Kuala Lumpur. Menjelang tengah hari, aku sudah menjejakkan kaki di bumi UTM. Dan pada sebelah malamnya pula, aku berada kembali di kampung halamanku. Sungguh tidak mampu untuk aku ungkapkan perjalanan yang boleh aku klasifikasikan sebagai tidak pernah terjadi lagi sepanjang aku menjangkau usia 22 tahun.

Kerana ilmu, aku sanggup berkelana sebegitu rupa. Kerana Allah, aku turutkan juga niat mama dan abah untuk pulang semula ke UTM. Kerana hati, aku bulatkan nawaitu aku bahawa perkelanaan aku ini bukannya suatu musibah, bahkan suatu kesempatan untuk aku memperbetulkan segala kesilapan yang telah aku lakukan sebelum ini. Dan, syukur kepada-Nya. Aku mampu menempuhinya meskipun kesabaran aku diuji dengan pelbagai situasi yang melanda. Alhamdulillah, semoga perkelanaan aku ini memberikan hikmah kepadaku.


Nota Kaki: Alhamdulillah, sempat juga melihat gred senarai tampal bagi subjek Projek Sarjana Muda (PSM) yang ditampal di luar bilik koordinator. Syukur dengan keputusan yang diperoleh.

0 comments: