Wednesday, June 16, 2010

5 Tahun Terdahulu: Nostalgia Tersingkap Kembali

Sedang saya sibuk mengemas segala wacana yang berkaitan dengan akademik, tiba-tiba saya terjumpa sebuah memori lama yang tersemat rapi di dalam sebuah majalah. Kulit luarannya masih lagi bersih dan elok rupanya. Sebiru. Saya mengamat kembali nostalgia lama yang telah saya lalui sebelum ini. Di dalam naskah swakarya ini, semuanya tercatat rapi. Disulam dengan pelbagai rona kehidupan dan dibalut dengan rencah-rencah kelana.

Masih saya ingat lagi. Semasa zaman persekolah dahulu, saya terlalu aktif dalam bidang ko-kurikulum. Dengan lambakan tanggangjawab sebagai Pengawas Pusat Sumber yang betul-betul menguji kestabilan emosi dan masa saya. Terlalu padat dan terlalu kritikal bagi saya segala-gala tanggungjawab yang diamanahkan terhadap saya. Berikut merupakan tanggungjawab yang perlu saya pikul selama mana saya menjawat gelaran sebagai seorang murid:
1. Pengawas Pusat Sumber
i. Ketua Pengawas sesi 2004/2005
ii. Ketua Disiplin sesi 2004
2. Kelab Catur sesi 2005 [Pengerusi]
3. Pergerakan Pengakap Malaysia 86-Gombak sesi 2004 dan 2005 [Setiausaha]
4. Sidang Redaksi Majalah Sekolah IMEJ sesi 2005 [Setiausaha]

Terlalu berat amanah yang perlu saya harungi di sebalik jadual tugasan saya sebagai seorang murid yang mengambil jurusan Sains Tulen dengan kapasiti 10 buah subjek untuk dipelajari selama 2 tahun saya berada di peringkat pembelajaran menengah atas. Sebagai seorang pelajar dari aliran Sains Tulen, tentu saja tiada masalah bagi saya untuk menggalas segala kehendak dan amanah tersebut. Secara tafsiran akal dan logiknya, ya. Namun, saya sendiri seringkali dilanda dilema dan stress yang amat tatkala tibanya musim peperiksaan dan ujian bulanan kerana terlalu banyak subjek yang perlu saya ulangkaji disulami dengan tanggungjawab yang menuntut diri saya kadang-kala untuk lebih fokus terhadapnya. Sungguh perit situasi ketika itu.

Namun, di situlah saya belajar bagaimana untuk menyerap tekanan dan stress yang melanda diri saya. Syukur, alhamdulillah. Saya sedikitpun tidak terjebak dengan gejala negatif meskipun saya dikelilingi oleh masyarakat yang rata-rata kurang mengamalkan cara hidup sihat.

Masih lagi saya ingat tarikh yang menjadi kenangan manis saya, iaitu 27 Disember 2003. Tarikh pengumuman keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi sesi 2003. Keputusan peperiksaan yang sama sekali saya tidak duga. Alhamdulillah, berkat usaha dan doa kedua-dua ibu bapa dimakbulkan oleh Allah. Keputusan cemerlang yang sekaligus membolehkan saya mendapat tempat di salah sebuah penempatan asrama. Penempatan asrama yang diberikan kepada saya adalah di Sekolah Menengah Sains Seremban. Namun, setelah saya berfikir selama 3 hari, saya dengan rela hati menolak tawaran tersebut. Hasrat saya tersebut sebenarnya ditentang oleh ibu saya yang menginginkan saya mendapat peluang belajar yang lebih baik berbanding ketika waktu tersebut. Namun, saya bulatkan nekad saya bahawa di mana-mana saja ilmu boleh dicari. Tidak semestinya saya pergi menuntut di sekolah tersebut, menjaminkan saya mendapat keputusan cemerlang. Yang menjadi jaminan adalah saya akan mendapat peluang pendidikan yang lebih baik berbanding kini. Itu saja.

Perginya sahabat saya yang paling akrab, iaitu Muhammad Nazmi Khalid ke Sekolah Menengah Sains Seremban semasa di Tingkatan 4 benar-benar menyebabkan saya agak tenggelam timbul dalam mencari rentak kehidupan sebelum ini. Ketika menuntut di Tingkatan 3, saya dan Nazmi kerap menghabiskan masa bersama dalam mengulangkaji pelajaran. Bahkan, masa untuk melepaskan lelah turut kami kongsikan bersama-sama. Sepergiannya benar-benar dirasakan oleh saya sehinggakan begitu sukar untuk saya mencari gantinya. Betapa tingginya harga nilai insan yang digelar sahabat.

Ah! Begitu sekali perjalanan hidup saya tatkala saya berada di bangku sekolah. Pelbagai rencah dan onak saya tempuhi ketika itu sehinggalah saat-saat terakhir saya berada di dalam laman memori sekolah berkenaan. Alangkah jika masa dapat diputarkan kembali.

0 comments: