[Cerpan] Ombak Kasih: Bahagian 3
Sunday, June 27, 2010
By
Unknown
Insan Kognitif
0
comments
Aku sedang menunggu menu hidangan aku tiba. Aku memilih restoran Tu Dia Pak Tam sebagai penghilang nafsu kelaparanku. Waktu ketika itu sudah menunjukkan jam 8.30 malam. Mataku khusyuk melihat siaran berita yang dipaparkan di kaca televisyen di dalam restoran berkenaan.
“Assalamualaikum.” Suatu suara ditujukan terhadapku. Aku menoleh ke belakang. Mencari kelibat empunya diri yang memberi salam.
“Waalaikumsalam.” Tangan aku hulurkan kepadanya sambil aku bangkit dari kerusi dudukku. Aku cuba mengamati jejaka berkenaan sambil bibir mengukirkan sekuntum senyuman kepadanya.
“Amir, ingat tak kat aku lagi?” Jejaka terbabit mula bersuara apabila menyedari kehadirannya memberikan gambaran yang aku masih lagi terkial-kial dan terpinga-pinga dengan kehadirannya.
“Err, maaflah saudara. Saya betul-betul lupa dan tak ingat. Kita pernah kenalkah?” jawabku sambil dahiku mula berkerut-kerut. Cuba mengingati wajah jejaka berkenaan. Naluriku kuat mengatakan bahawa aku pernah mengenali jejaka berkenaan, namun memoriku sama sekali tidak mampu memutarkan kembali episod-episod tersebut. Hampa.
“Haish, sahabat sendiripun dah tak kenalkah? Ni akulah, Nazmi.”
“Nazmi. Nazmi anak pakcik Daud?” Aku cuba menduga.
“Haa, betullah tu. Ingatpun kau. Akulah Nazmi tu. Wah, dah lama kita tak bersua ya! Lebih dari lima tahun.” Aku tidak mampu berkata-kata lagi. Aku terus menarik tubuhnya ke dalam dakapanku.
“Ya Allah, Naz. Macam manalah aku tak sedar? Kau dah banyak berubah,” ujarku lalu mempersilakannya duduk. Lalu aku memanggil pelayan.
“Haa, kau nak minum apa? Aku belanja,” suaraku.
“Jus tembikai, satu,” ujar Nazmi. Lantas, pelayan berkenaan mencatatnya lalu beredar. Aku merenung lama ke arah Nazmi. Nazmi sudah sedikit berisi berbanding lima tahun dahulu semenjak dia berkahwin dengan gadis pilihan keluarganya.
“Kau macam mana, Amir? Lama benar tak jumpa kau. Kau apa khabar sekarang?” luah Nazmi setelah keadaan sepi beberapa ketika.
“Alhamdulillah. Aku sihat. Aku masih lagi macam ni. Sama seperti apa yang kau lihat lima tahun dulu,” jawabku. Masih lagi aku terbayang-bayang suasana perkahwinan Nazmi bersama Nurul Fatiha, isterinya. Seakan-akan baru saja minggu lepas mereka diijab kabulkan.
“Yakah ni? Takkan single lagi,” balas Nazmi sambil mempersilakan pelayan berkenaan meletakkan air minumannya di atas meja.
“Ya Allah. Aku bujang lagilah, Naz. Manalah ada orang nak kat aku ni,” seloroh aku berkata sambil menjemput Nazmi untuk minum. Aku menghirup air teh ‘O’ suamku perlahan-lahan. Aku masih lagi menunggu menu makanan malamku untuk dihidangkan.
“Mana isteri kau? Kau datang seorang saja?” Aku seakan-akan mencari kelibat isteri Nazmi namun masih lagi tidak aku ketemui.
“Isteri aku kursus sekarang ni. Kursus Biro Tata Negara kat Janda Baik. Insya Allah, lusa baru dia balik,” ujar Nazmi menjawab pertanyaan aku sebentar tadi.
“Oh. Jadi, dah berapa orang anak dah sekarang ni? Lelaki atau perempuan?”
“Aku tak ada anak lagi, Amir. Belum rezeki aku lagilah nampaknya,” luah Nazmi. Bibirnya ditacapkan dengan straw. Dia menghirup sedikit demi sedikit air jus tembikai tersebut.
“Yang kau ni, bila lagi?” soal Nazmi sambil memerhatikan gelagat aku. Aku dapat rasakan sebegini akan bakal ditanya olehnya namun, tidak sempat untuk aku menukar topik perbualan, aku telah dahulu diperangkapnya. Namun, aku cuba berdalih.
“Bila apanya ni, Naz? Bila aku nak datang rumah kau, ya?” Aku menjawab sambil tergelak kecil. Sengaja aku memberikan reaksi yang sedemikian rupa. Seboleh-bolehnya, aku ingin mengubah isi perbualan tersebut. Tidak mahu aku memikirkannya di saat ini.
“Aduhai, kau ni memang. Ada-ada saja idea kau nak tukar topik. Yang kau sibuk-sibuk tanya aku ni dah berapa orang anak, kau tu bila lagi nak beristeri? Nak kata kacak, kalah Norman Hakim. Ke kau ni memang memilih sangat?” Sedas aku kena penangan ayat daripada Nazmi. Inilah Nazmi. Tidak ubah perwatakannya sejak dari dulu perkenalanku dengannya. Seringkali aku menjadi mangsa gurauanya.
“Ceh, mana ada aku kacak. Biasa-biasa saja. Mentang-mentanglah orang tu dah beristeri, kita pula yang dikisahkannya. Memang aku memilih. Kalau tak, dah lama aku beristeri empat,” ujarku selamba. Sengaja mahu mengenakan si Nazmi.
“Ambil balik buah keras kau,” getus hatiku seraya melemparkan secebis senyuman kepadanya.
“Aik, kau ni memang berhajat nak membujang sampai ke tuakah? Kasihan dengan Arina Ain Syairah Muhammad,” usikkan si Nazmi semakin galak. Namun, aku tiba-tiba kelu. Kelu tanpa kata. Nama yang sememangnya mampu menggetarkan jiwaku tatkala aku mendengarnya. Ah! Aku dilambung keasyikan. Mengimbau kembali memori lalu. Arina Ain Syairah Muhammad. Apakah perkhabaran dia kini?
0 comments:
Post a Comment