Saturday, July 17, 2010

Muhasabah Diri Untuk Masa Hadapan


Sudah seminggu aku melalui detik-detik sebagai seorang mahasiswa siswazah. Seperti biasa, bergelumang dengan segala macam ilmu dan bahan ilmiah. Namun, suasana menuntut ilmu tidak lagi sama seperti di bangku pra-siswazah. Semuanya berdiri di atas bumi realiti. Bertemankan hati dan minda sendiri.

Bukannya diri ini ingin melancarkan Perang Saraf mahupun Perang Psikologi terhadap mahasiswa pra-siswazah yang ingin melanjutkan pengajian mereka kelak. Hakikatnya, diri ini ingin melontarkan sedikit perasaan selama mana berada dalam kategori mahasiswa siswazah. Cuma.

Betullah apa yang sering kita dengar mahupun baca mengenai alam mahasiswa ini. Sesungguhnya, berada dalam lingkungan dan kelompok teman-teman dan rakan-rakan yang sama-sama ingin mengejar genggaman ijazah pertama dalam hidup adalah lebih seronok berbanding melaluinya buat kali kedua, atau melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Suasananya tidak semanis dan seindah jika tempoh tersebut usai dilalui.

Pernah juga terdetik dalam diri bahawa mengapa diri ini berada di sini ketika ini. Pernah juga mencari persoalan-persoalan lain mengapa diri ini perlu melalui saat-saat sebegini. Namun, hidup ini ibarat sebagai masa. Sekali kita melangkah ke hadapan, kita tidak mampu untuk memutarkannya kembali. Jadi, apa yang perlu diri ini lakukan adalah dengan menetapkan semula hati dan minda serta bersedia menghadapi penjelajahan baru yang bakal mendatang kelak. Tiada gunanya jika hati dan minda masih lagi ragu-ragu setelah berada dalam situasi tersebut. Insya Allah, mudah-mudahan, diri ini mampu mengatasi dugaan dan cabaran mendatang dengan hati dan minda yang lapang.

Visi dan misi ketika ini perlu diselaraskan semula mengikut piawaian asal. Lupakan kisah lalu. Fokus untuk menghadapi gelombang masa kini dan bersedia untuk jelajah diri bagi masa hadapan.

0 comments: