Sunday, August 1, 2010

15 Tahun Dan Terus Mendaki

1 Ogos 2010. Jam baru melepasi angka 7.25 pagi. Suasana pagi yang amat dingin dan diselimuti oleh hujan rahmat Ilahi sememangnya yang dinanti-nantikan oleh para hamba-Nya setelah berseharian kelmarin bersengkang kepanasan. Alhamdulillah. Aturcara kehidupan yang sememangnya indah dan tersusun oleh-Nya.

Ketika sedang bertekun untuk mencari-cari sipnosis keseluruhan idea bagi tajuk Projek Sarjana, tiba-tiba diri ini terdiam sebentar. Sudah 15 tahun diri ini mengabdikan diri terhadap institusi pengajian formal. Selama itu juga diri ini belajar mengenai erti-erti kehidupan yang sukar untuk dicari dan diselami. Ah! Begitu pantas masa berlalu meskipun angka satu setengah dekad terus-terusan menginjak tanpa henti.

Kini, tidak pernah diri ini sama sekali mengimpikan untuk berada di takat ini. Menuntut ilmu sehingga melepasi kebiasaan norma masyarakat dalam menggapai cita-cita. Semuanya dilakukan dengan berpandukan niat yang satu. Syukur, alhamdulillah. Diri ini masih lagi mempunyai peluang untuk terus menyelami dunia keilmuan selagi termampu oleh kudrat. Meskipun cabaran dan dugaan datang selama mana kita cuba menempatkan diri kita di suatu situasi atau tempat yang mempunyai tinggi nilainya, berlapanglah dada sentiasa terhadap-Nya. Kerana itu semua adalah salah satu rencah bagi kita untuk mengutip butiran mutiara yang terdampar jauh di dasar lautan luas. Lemparkanlah secangkir senyuman setiap kali dugaan datang menjengah jendela kehidupan kerana di situ mungkin terletaknya sebuah kemanisan dalam beribadat kepada-Nya. Insya Allah.


Nota Kaki: Semoga dipermudahkan oleh Allah dalam mengharungi getir-getir kehidupan pengajian kini.

0 comments: