Friday, November 19, 2010

Sorotan 12 Zulhijjah 1426H

Mataku tertumpu pada sebuah binaan yang sangat utuh berdiri di hadapan kaca mataku. Sebuah binaan yang menjadi pusat tujuan seluruh umat Islam dalam melengkapi kelima-lima rukun Islam.


Kaabah. Dibaluti dengan kiswah berwarna hitam, bersulamkan jahitan berwarna emas dengan pelbagai kalimah Allah berada di atasnya. Aku merenung ke arah Kaabah sambil korneaku ligat memerhatikan segenap pelusuk tempat yang mula dipenuhi manusia untuk mengerjakan tawaf. Semuanya mempunyai satu matlamat, satu darjat, satu pakaian, satu niat. Iaitu menyerah diri kepada Tuhan Yang Maha Esa. Tiada satupun perbezaan di antara mereka meskipun mereka datang dari pelbagai latar belakang dan profil. Semua itu bukan suatu indikator dalam menghadap Tuhan Yang Maha Esa. Hanya hati dan iman saja yang menjadi huluran dalam meraih cinta sejati-Nya.

Hari ini genap 12 Zulhijjah 1426H. Suasana pagi ini disulami dengan curahan cahaya mentari yang menyinari dari ufuk Timur dunia, seakan-akan memberi peluang kepada para jemaah haji yang menunaikan rukun kelima Rukun Islam ini melaksanakannya dengan tenang. Kebanyakkan para jemaah haji yang berada di Mina beransur-ansur bergerak masuk ke Masjidil Haram untuk menyempurnakan segala rukun dan wajib haji, bagi mereka yang berniat untuk mengerjakan Nafar Awal.

Gambarajah perjalanan ketika melakukan ibadah haji

Aku telah usai mengerjakan tawaf dan sai'e bersama-sama dengan adik dan abahku. Kini, aku menunggu mereka dalam menyelesaikan sujud syukur mereka terhadap Ilahi. Syukur kerana mampu melaksanakan segala yang diperintahkan-Nya dan dipermudahkan segala urusan.

Hatiku sayu memerhatikan lambaian manusia yang mengelilingi Kaabah. Oh! Betapa rindunya hati ini tatkala melihat Kaabah. Hati ini sudah dipungut rindu sebelum ini ketika meninggalkan Madinah al-Munawwarah terdahulu. Sebuah tempat yang bersemadinya seorang insan agung yang menjadi kekasih Allah, iaitu Muhammad saw. Selamat dan salam ke atas baginda. Entah bila lagi hati ini mampu untuk datang mendekati kedua-dua tempat suci ini.

Sungguh tidak aku sangka bahawa aku mampu untuk sampai ke sini. Ianya seperti bagaikan mimpi yang menjadi realiti. Sesungguhnya, diri ini terpilih menjadi salah seorang tetamu jemputan-Nya adalah salah satu penghargaan yang tidak mampu untuk dihitung, malah diukur dengan nilai permata sekalipun. Syukur, alhamdulillah.

Aku tidak sama sekali terfikir bahawa pemergianku bersama-sama dengan keluargaku ke Tanah Suci ini membawa pada penyempurnaan rukun Islamku. Yang nyata, dalam mindaku, aku hanya hadir ke bumi para Anbiya' ini sekadar untuk membantu abah dan ibuku menunaikan fardhu haji mereka. Kerana aku bertanggungjawab sebagai anak sulung untuk membantu mereka menyempurnakan ibadah tersebut tanpa adanya sebarang permasalahan yang wujud. Namun, akhirnya ia diakhiri dengan aku turut sama mengerjakan ibadah tersebut. Subhanalllah. Maha Suci Allah yang mengatur segala perjalanan hidup para hamba-Nya. Begitu teliti dan berhikmah sekali tanpa mampu untuk hamba-Nya menjangkau makna yang tersurat, apatah lagi makna yang tersirat di sebalik kejadian dan peristiwa tersebut.

Masih lagi segar dalam ingatanku ketika melontar jamrah buat kali pertama dengan asakan dan rempuhan manusia yang mempunyai bentuk fisiologi dan anatomi tubuh yang jauh lebih besar daripada kebanyakkan warganegara Malaysia. Ketika itu, aku menggunakan tubuhku sebagai perisai untuk melindungi seluruh ahli keluargaku daripada rempuhan manusia yang bisa meninggalkan kesan kesakitan dan trauma. Ah! Pengalaman yang jarang untuk aku peroleh di mana-mana tempat. Begitu juga dengan pengalamanku mencukur rambut bagi seorang jemaah daripada Turki yang memintaku berbuat demikian kerana beliau sudah melaksanakan Tahalul Awal. Meskipun perbezaan bahasa, namun, kita mampu memahami antara satu sama lain kerana ianya didasari atas niat yang satu; menuju Allah swt.

Aku kembali semula ke dunia fana ini setelah aku dicuit oleh adikku. Abah dan adikku kini berada di sebelahku. Mereka mengajakku untuk pulang ke hotel. Sambil aku bergerak seiringan bersama mereka, mataku sempat memandang sekilas ke arah Kaabah. Ya. Selepas ini, aku akan menemani ibuku untuk melaksanakan tawaf dan sai'enya kelak. Tidak sabar rasanya hati ini untuk mengerjakan tawaf pada waktu malam pula. Semoga dipermudahkan urusan. Insya Allah.


Nota Kaki: Sebuah perjalanan kisah ini telah diubah suai bagi membolehkan penulis menceritakan semual situasi yang pernah dilaluinya.

0 comments: