Tuesday, July 19, 2011

Semut Itu


Awan mendung berarak kembali. Bayu dingin yang berpuput dari arah Barat sekali-sekala menyapa pipiku. Mataku masih lagi tidak putus-putus memerhatikan gelagat si kenit yang melata di pohonan rendang. Melihat gelagat mereka yang rajin bekerja dalam membina kehidupan.

"Farah, saya nak awak siapkan kertas kerja bagi program 'Mendidik Minda Intelektual Mahasiswa' secepat mungkin." Suara Setiausaha Kerja Majlis Perwakilan Mahasiswa seakan keras. Tiada kompromi dalam lontaran nada suaranya.

"Insya Allah, tapi, saya perlukan sedikit masa lagi untuk siapkannya sebab saya ada perkara mustahak yang perlu saya selesaikan minggu ni," ujarku sedikit cuba untuk meraih simpati. Suaraku seakan serak mengeluarkan bait hujung kalimah ayat yang diutarakan.

Tangannya yang ligat menulis di atas helaian putih itu terhenti. Mukanya sedikit diangkat. Menghala tepat ke wajahku. Kerutan kening di wajahnya seakan menggambarkan sesuatu terhadapku.

"Berapa banyak masa yang awak perlukan? Awak tahu, tarikh program kelolaan jabatan awak tinggal beberapa minggu saja lagi untuk dilancarkan. Segala perjalanan dan progres program tu masih lagi tergendala. Tanpa adanya kertas kerja, mustahil kita mampu untuk menggerakkan AJK untuk memulakan langkah awal pelaksanaannya." Panjang lebar huraian ayat daripadanya. Aku hanya mampu tunduk. Sesekali aku menjelingkan mataku memandangnya. Aku cuba untuk meluahkan permasalahan aku terhadapnya. Namun, suaraku bagaikan disekat. Sepatah kata tidak mampu diatur.

"Awak, kita sama-sama menuntut ilmu. Masing-masing ada tanggungjawab yang perlu diselesaikan dalam satu-satu masa. Jangan awak ingat awak seorang saja yang sibuk. Orang lain pun sibuk juga. Saya tahu awak sekarang ni tahun akhir. Projek Tahun Akhir perlu disiapkan. Tapi, jangan kerana perkara tu, awak menjadikannya alasan."

Aku kembali ke dunia realiti. Deruan angin semakin kencang menampar-nampar pipiku. Aku cuba perbetulkan lipatan tudungku yang sedikit mengerbang.

"Orang lain pun sibuk juga. Saya tahu awak sekarang ni tahun akhir. Projek Tahun Akhir perlu disiapkan. Tapi, jangan kerana perkara tu, awak menjadikannya alasan." Masih terngiang-ngiang lagi butiran kata yang dilontarkan oleh Nafisah. Mengapa sedemikian rupa dia mengucapkan kata-kata tersebut? Tidakkah dia perlu mendengar sendiri permasalahan yang sedang dibelenggu oleh aku? Bukannya aku sengaja untuk meminta tempoh lanjutan tersebut, cuma aku punya hal mustahak yang perlu diuruskan di kampung. Urusan kedua orang tuaku.

"Assalamualaikum, Farah. Jauhnya menung tu. Sampai saya berdiri di sebelah awak pun awak tak sedar," sapa seseorang di belakangku.

"Waalaikumussalam. Oh, Nazira. Ingatkan siapa tadi." Aku menyambut huluran tangan Nazira. Nazira duduk di kananku. Suasana sepi buat beberapa ketika. Hanya kicauan burung dan puputan bayu yang mengisi di perantaraannya.

"Farah, saya tahu awak ada masalah. Setiap kali awak ada masalah, mesti awak akan datang sini. Awak, kalau ada apa-apa yang nak dikongsi masalah tu, kongsilah dengan saya. Jangan pendamkan seorang."

"Hmm. Entahlah Ira. Saya rasa buntu sekarang ni. Tak tahu macam mana nak hadapi masalah yang sebegini. Masalah akademik, tanggungjawab berorganisasi, tanggungjawab terhadap ibubapa. Semuanya kini bercelaru. Semuanya menuntut untuk saya hadapinya." Air mataku mula bergenang di pelupuk mata.

"Farah, setiap ujian yang diberikan sebenarnya adalah mengikut kemampuan diri kita. Sebenarnya, kita yang tak nampak apa hikmahnya diberikan ujian sebegitu rupa. Cuba kita lihat semut yang melata di pohon tu. Meskipun saiz tubuhnya kecil, ianya masih gagah dalam meneruskan kehidupan. Sebesar manapun ujian dan cabaran yang dihadapinya, ia tetap akan mengharunginya kerana ujian yang diberikan kepadanya mampu untuknya meneruskan hidupnya."

Aku diam tanpa kata. Cuba menghayati senario yang disampaikan oleh Nazira. Sememangnya aku lupa akan perkara itu. Lupa bahawa ujian itu datang daripada-Nya yang sememangnya mampu untuk tempuhi.

"Jadi, jangan sedih-sedih lagi ya. Kuatkan semangat. Saya tahu awak lagi sibuk daripada saya sebab awak ada lebih tanggungjawab dan amanah yang perlu awak pikul, tapi semua tu sebenarnya kesempatan buat awak dalam mencari redha-Nya." Nazira tidak putus-putus memberikan kata dorongannya kepadaku. Sememangnya, sahabat sejati sukar dicari.

Aku memandang wajahnya. Cuba menyelami setiap inci ruang di wajahnya. Mencari bibit-bibit kematangan yang mekar yang semakin menjalar pada usianya.

Aku terus memeluk Nazira seerat-eratnya. Tanpa sedari, air mataku turut sama mengalir. Laju.

Ya. Aku lupa. Aku lupa bahawa setiap ujian yang diberikan oleh-Nya adalah ujian yang mampu diharungi oleh hamba-Nya. Ia juga sebagai indikator taqwa kepada hamba-Nya yang beriman.

Ya Allah. Aku lupa. Aku lalai.

Angin petang itu semakin berpuput kencang. Gerimis hujan sudah mulai membasahi bumi ciptaan Ilahi. Aku dan Nazira cepat-cepat beredar ke wakaf berhampiran untuk berteduh. Kala itu, mataku sempat sekilas memandang terhadap semut-semut itu. 

0 comments: