Thursday, July 14, 2011

Semangat Abah

Abah seorang yang gigih dan kuat bekerja. Tidak ada satupun yang ditinggalkan abah apabila tanggungjawab kerja diamanahkan kepadanya.

Dulu, abah segak berseragam baju hijau pucuk pisang dan berseluar hijau gelap untuk ke tempat kerja. Ketika itu, abah adalah seorang pegawai tentera. Setiap pagi, seusai waktu Subuh, abah akan keluar ke tempat kerja. Akupun turut ikut sama. Tika itu, perjalanan untuk ke sekolah dan ke tempat kerja abah berada dalam satu laluan yang sama. Abah tidak pernah merungut apabila aku menumpangnya. Saban hari, pelbagai kata-kata nasihat diberikan olehnya. Meskipun di rumah, abah jarang berkelakuan sebegitu, sebenarnya, abah juga mengambil berat akan hal anak-anaknya selain mama yang sentiasa tidak pernah lekang di bibirnya dengan segala peringatan, semangat dan nasihat.

Abah mempunyai perwatakan yang garang, bagiku. Semasa kecil, aku tertanya-tanya, abah seorang tentera, semestinya abah akan selalu memegang senjata dan memasuki hutan belantara. Namun, semua itu terjawab dengan sendirinya.

Abah seorang jurutera yang berkhidmat di bahagian Kor Jurutera Letrik dan Jentera (Kor JLJ) Tentera Diraja Malaysia. Maknanya, abah lebih banyak masa berada di bengkel dan markas. Hanya sekali-sekala saja abah akan masuk ke hutan untuk sesi latihan.

Garang abah, hanya mereka yang mengenalinya saja yang tahu. Abah sebenarnya garang bertempat. Ada juga ketikanya, abah akan moody. Pernah suatu ketika, pelatih-pelatih di bawah seliaan abah mengajukan soalan kepada mama, bertanyakan sikap garang abah. Mereka bertambah pelik apabila mama menjawab bahawa garang abah biasa-biasa saja semasa abah berada di rumah, bersama dengan anak-anak. Tidaklah segarang mana yang mereka perkatakan.

Tapi, itu dulu. Semasa aku masih lagi kecil. Masih lagi merangkak untuk mengenali dunia ini. Kini, abah sudah semakin berubah. Semakin aku menginjak dewasa, abah mula mendidik aku dengan cara yang berlainan. Aku dapat merasakannya semasa aku melangkahkan kakiku ke alam matrikulasi. Sikap garang yang dahulu semakin berkurangan. Abah lebih banyak memberikan ruang buatku untuk membuat pilihan. Abah sendiri yang memberikan ruang untukku menentukan hala tuju hidupku sendiri. Namun, ketegasannya tetap ada. Cuma, garangnya saja yang aku lihat semakin pudar.

Lebih dari separuh dekad abah meninggalkan badan uniform berkenaan. Sepanjang waktu tersebut jugalah aku dapat melihat perubahan terhadap abah. Abah semakin banyak memberikan kata-kata nasihat dan semangat kepadaku tika aku rebah. Dulu, mamalah orang pertama yang sudi menghulurkan butir bicaranya kepadaku. Kini, abah pula yang menjadi insan pertama aku semasa aku berjauhan daripada mereka. Tidak kira melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) mahupun panggilan telefon. Abah tidak pernah lelah dalam menjadi seorang kaunselor kepadaku.

Aku masih lagi teringat bagaimana aku membesar di samping abah dan mama. Pelbagai kisah hidup aku coretkan bersama-sama mereka. Alhamdulillah, meskipun abah garang pada masa dahulu, namun, tidak semestinya garang bermaksud benci. Cuma, matangnya kita mengambil masa untuk menerokai segala laluan perjalanan hidup yang kita tempuhi.

Kini, abah masih lagi menjadi pendengar setia terhadap segala permasalahan aku. Meskipun aku sudah menginjak usia ke angka 23, abah tetap dengan peranannya. Terima kasih abah. Terima kasih atas segala-galanya yang telah abah curahkan kepada anakmu ini.


Nota Kaki: Hari ini banyak kenangan lama kembali hinggap di jendela memori. Mungkin penangan kepulangan ke pangkuan keluarga sudah mula bergema memanggil.

2 comments:

Nor Hidayah said...

Wah...pegawai tentera rupanya...baru tau^^v

Eyh, awak baru tahu ke?
Hahaha.
Nie kisah lama.
Ayah saya dah lama tamat perkhidmatan dalam tentera.