Saturday, September 11, 2010

Aidilfitri 1431H: Suatu Kemestian Yang Menjadi Kejanggalan

Takbir raya bergema di ruang langit kawasan Permatang Tiga Ringgit. Jam menunjukkan jam 8.55 malam. 1 Syawal disambut dengan kehadiran bunyi-bunyian mercun pelbagai yang menyerang pelusuk kawasan kampung yang terletak dalam pekan Permatang Pauh, Pulau Pinang. Lagi sayu, kedatangan Syawal kali ini tidak lagi dihiasi oleh salah seorang insan yang teramat penting dalam hidup ayahanda aku. Arwah meninggal dunia tatkala seluruh umat Islam di Malaysia sudah bersiap sedia untuk menyambut kedatangan 1 Ramadhan 1431H. Semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin. Al-fatihah untuknya.

Hatiku masih lagi terasa seperti asing seperti kebiasaannya. Tidak pernah merasa kedatangan Syawal dalam suasana kampung sebelum ini. Petang 30 Ramadhan, sebelum aku sekeluarga tiba di kampung halaman abah di Permatang Tiga Ringgit, aku sekeluarga singgah sebentar di pusara Tok Wan. Itulah pertama kali aku dapat ke pusaranya kerana aku tidak berkesempatan untuk pulang ke kampung semasa arwah Tok Wan meninggal. Ketika itu aku berada di UTM Skudai. Agak terkilan aku kerana tidak mampu untuk memberikan penghormatan terakhir buatnya sebagai cucu sulung.

Malam raya aku diselubungi rasa syukur ke hadrat-Nya kerana mampu menyempurnakan rukun Islam yang ketiga dengan jayanya. Alhamdulillah. Malam raya aku juga turut sama terisi dengan hati yang kosong. Terasa tiada semangat untuk menyambut Aidilfitri dengan meriahnya saudara-maraku yang lain. Perasaan janggal kerana pertama kali menyambut Aidilfitri di halaman yang berbeza sedikit sebanyak memberikan kesan terhadapku.

Pemergian arwah Tok Wan memang dirasakan oleh semua. Aku dapat merasakan bahawa keserian di rumah tersebut hilang. Tidak seperti sebelumnya. Sebelum ini, setelah selesainya solat sunat Aidilfitri, arwah Tok Wan akan berada di ruang tamu untuk sesi bermaaf-maafan seisi keluarga. Namun, tiada lagi bagi Aidilfitri kali ini. Lebih merunsingkan aku apabila arwah Tok Wan ada meninggalkan harta pusaka yang tidak sempat diwasiatkan kepada sesiapa.

Petang 1 Syawal itu juga aku sekeluarga berangkat pulang ke kampung halaman di Kedah pula. Kampung halaman ibuku. Hatiku berbaur rasa sedih. Mengingati kembali peristiwa 8 tahun lalu. Peristiwa di mana, arwah Tok Nek aku pergi buat selama-lamanya. Ketika itu, aku sempat pulang ke kampung selepas mendapat berita bahawa arwah Tok Nek mengalami strok. Arwah Tok Nek pergi sehari selepas aku sempat melawatnya di Hospital Alor Setar.

Maghrib aku sekeluarga tiba di halaman perkarangan rumah arwah Tok Nek. Terasa seperti sungguh asing buatku. Kerana aku tidak pernah pulang ke kampung menyambut Aidilfitri bersama-sama mereka sebelum ini. Ah! Hatiku dibuai-buai perasaan sedih lagi. Perasaan sedih yang dianyam bersama-sama rasa syukur dan gembira kerana masih lagi mampu menyambut Aidilfitri bersama dengan insan yang masih lagi ada di sisi.

Pagi 2 Syawal, aku menyambutnya dengan mula berpuasa sunat. Memang telah aku niatkan bahawa tahun ini akan sama seperti tahun-tahun sebelumnya di mana puasa sunat 6 hari di bulan Syawal akan aku tunaikan. Yang lebih manis sekali adalah aku bersahur sekali bersama-sama dengan Tok Wan aku. Meskipun aku berdua dengan Tok Wan saja yang bersahur, ianya akan menjadi suatu kenangan yang amat bermakna dalam hidupku. Alhamdulillah.



Maghrib 2 Syawal, aku berbuka puasa di rumahku. Sebelum melalui perjalanan sejauh lebih dari 400 kilometer dalam jangka masa kurang dari 5 jam. Dalam perjalanan pulang, pelbagai peristiwa berlegar-legar di ruang mata dan mindaku. Semuanya mengungkap kembali peristiwa-peristiwa terdahulu dan terkini. Meskipun hanya 2 hari saja aku memperuntukkan masa untuk berhari raya di kampung, aku bersyukur kerana diberi peluang oleh-Nya untuk menyambutnya dalam suasana yang belum pernah aku lalui sebelum ini. Dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri, ada juga terselit pelbagai pengajaran dan iktibar yang sememangnya amat bernilai buatku. Terima kasih, Ya Allah, kerana memberikan cebisan peringatan-Mu kepadaku. Moga-moga, peringatan ini mampu mematangkan ilmu dan imanku terhadap-Mu, Ya Allah.


Nota Kaki: Salam Aidilfitri kepada semua muslimin dan muslimat yang mengunjungi blog ini. Maaf dipinta andai diri ini pernah melukai sesiapa dengan 'kata-kata' penulisan yang lahir daripada kekhilafan diri, yang mengguris hati para pengunjung. Moga-moga Aidilfitri kali ini memberikan sesuatu iktibar terhadap kita.

2 comments:

al-fatihah utk yg dah tiada..jgn sedih2 yer..hidup mesti diteruskan....

salam aidilfitri dari NUR HIDAYAH :)

Unknown said...

Salam Aidilfitri juga buat Hidayah...
:)