Saturday, May 30, 2009

4 Dari 10...

Assalamualaikum dan Salam Bicara Mengutus Suasana Mesra...

Anda semua bagaimana? Sihat? Saya, alhamdulillah. Sudah kembali sihat seperti sedia kala setelah mengalami demam biasa pada minggu lepas. Bagaimana dengan cuti ini? Apakah pengisian yang telah anda coretkan? Diharapkan agar anda semua mengisi waktu yang terluang dengan sebaik-baiknya, terutama bagi rakan-rakan seperjuangan yang sedang melaksanakan latihan industri tatkala ini. Semoga anda terus maju ke hadapan dalam mengikhlaskan diri menjalani latihan berkenaan.

Baiklah, buat warkah titipan kali ini, saya akan menceritakan secara ringkas dan tuntas mengenai liku-liku perjalanan sepanjang minggu ini yang telah saya lalui terutamanya berkenaan latihan industri. Kini, saya telah menyempurnakan 4 minggu dari 10 minggu latihan saya di FRIM ini. Sepanjang minggu ini, saya telah diberi amanah oleh penyelia saya dalam melakukan sebuah projek mini yang berkaitan dengan estrak protein (protein extraction). Dan bermula pada minggu ini hinggalah usainya latihan ini, saya akan bergelumang dengan kerja-kerja makmal yang direncanakan waktunya oleh penyelia industri saya.

Sepanjang minggu ini juga, saya banyak diberi input mengenai segala hal yang berkaitan dengan kerja-kerja makmal, seperti teknik-teknik penggunaan radas makmal, faktor-faktor yang relevan di sebalik projek yang saya kendalikan ini dan juga cara-cara bagi menulis sesebuah thesis yang baik. Alhamdulillah, semua input ilmu ini sebenarnya banyak membantu saya kelak dalam menghadapi kehidupan saya yang bakal memasuki fasa tahun akhir di peringkat pengajian ijazah sarjana muda.

Minggu ini lebih terarah dalam penyediaan sampel ekstrak (extract samples) sebelum diuji dengan kaedah kuantifikasi protein (protein quantification) menggunakan alat spektroskopi pada minggu hadapan; menentukan jumlah nilai ketumpatan optikal (optical density) protein yang terkandung dalam sesuatu sampel itu. Insya Allah, jika diberi keizinan oleh-Nya, saya akan menjalankan eksperimen yang berhubung kait dengan projek ini, iaitu kesan kontaminasi (contamination effects) dan juga elektroforesis (elektrophoresis) bagi mendapatkan keputusan projek ini bagi dimuatkan dalam laporan saya kelak.

Insya Allah, semoga Allah mempermudahkan urusan saya dalam menyelesaikan tugasan dan amanah serta tanggungjawab yang telah diberikan dengan sebaik mungkin. Semoga rakan-rakan yang sedang menjalani latihan industri juga diberi kesenangan oleh-Nya dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan.

Setakat ini saja coretan yang ingin saya uar-uarkan kepada anda semua. Insya Allah, di keluaran coretan yang lain pula, akan saya rencanakan terhadap anda semua situasi dan keadaan yang saya hadapi semasa di sini. Sentiasalah mengikuti segala-gala perkembangan yang berkaitan dengan latihan industri saya di ruangan ini.

Sehingga kita bertemu lagi dalam coretan yang seterusnya. Sekian, wassalam.

1 comments:

Unknown said...

Alhamdulillah, dah hampir separuh perjalanan diari kehidupan latihan industri nie...

Semoga aku istiqamah dalam menjalani latihan industri nie...

Amin...