Monday, January 7, 2013

Imbauan Tahun 2012


Sudah seminggu tahun 2013 menginjak masuk. 

Bagaikan tiada apa-apa perasaan dirasai. Tiada kata untuk menggambarkan bentuk rasa itu.

Biasa.

Kosong.

Sama.

Seperti hari-hari sebelumnya, yang dilalui.

Namun, sedikit sebanyak perjalanan tahun 2012 memberikan pelbagai 1001 memori untuk disingkap sebagai ubat kehidupan.
Antara memori yang paling memberi bekas adalah kehilangan komputer riba sewaktu pulang bercuti rehat setelah usai melengkapkan kajian penyelidikan. Hasil usaha selama hampir setahun, akhirnya lebur dalam masa beberapa saat saja.

Meskipun kesemua data yang berada di dalam simpanan komputer berkenaan tidak dapat diselamatkan akibat kecurian tersebut, alhamdulillah, syukur kepadaNya. Bantuan daripadaNya dalam bentuk yang tidak disangka. 

Seorang teman sekelas banyak memberikan bantuan, terutamanya dalam menyiapkan penulisan kajian. Tanpa bantuan daripadanya, mungkin agak sukar dan payah untuk menyiapkan segala-galanya bermula dari sifar.

Dari situ, satu pengajaran yang ingin disampaikan olehNya. Semua yang dirancang oleh kita, manusia, tidak sama dengan perancangan terbaik yang disusun olehNya.

Ya, nampak seperti musibah yang menimpa, tetapi, akal kita dangkal dalam mentafsir ilmu milik Allah.

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."
Surah al-Baqarah: Ayat 216.

Dan, alhamdulillah, berkat kesabaran, doa daripada abah dan mama, akhirnya, transkrip dan sijil berjaya diperoleh.

Kesemua penat lelah dalam mencari ilmu berserta halangannya, kini berbayar jua.

Ya, meskipun pada awalnya perjalanan tampak samar dalam menamatkan pengajian, akhir, alhamdulillah. Selesai jua.

Perasaan apabila menerima album transkrip dan sijil di tangan tatkala menuntutnya, merupakan suatu perasaan lega yang tidak terungkap dengan bahasa.

Gembira.

Tenang.

Mata melihat sekilas terhadap album tersebut.

Apa yang bakal dilalui kelak?

Apakah hala tuju hidup di kemudian hari?

Sahabat, teman, kenalan, masing-masing sudah punya perancangan tersendiri, meskipun ianya mengambil masa untuk merealisasikannya.

Aku?

Semoga kedatangan tahun 2013 ini dipermudahkan urusan perjalanan hidupku kelak. Amin.

0 comments: