Sunday, March 10, 2013

Dab Yang Beriman

Nabi Muhammad SAW sedang berjalan bersama-sama dengan sekumpulan para sahabat. Tiba-tiba, mereka didatangi oleh seorang Arab Badwi daripada Bani Sulaim yang mara menghadap Baginda. Di tangan Arab Badwi tersebut adanya seekor dab (biawak padang pasir).

Arab Badwi tersebut bertanya kepada gerombolan yang sedang dalam perjalanan itu. Apabila beliau diberitahu bahawa mereka sedang mengiringi Muhammad SAW, lantas beliau merapati Baginda dan berkata,

"Demi tuhan Lata dan Uzza, tiadalah sesuatu yang terdapat dalam alam ini yang lebih kubenci daripadamu wahai Muhammad! Kalaulah tidak kaumku memanggilku dengan panggilan yang tergesa-gesa, tentu sahaja aku sudah memenggal kepalamu lalu aku dapat menggembirakan hatiku dan hati seluruh manusia berkulit hitam, putih dan merah serta selainnya!"

"Wahai Nabi! Biarlah aku mengakhiri hidupnya!" bentak Umar al-Khattab dengan nada marah.

Dengan tenang, Nabi Muhammad SAW menjawab permintaan Umar,

"Wahai Umar! Tidakkah negkau mengetahui bahawa orang yang lemah lembut itu hampir diangkat menjadi nabi?"

"Apakah yang menyebabkan engkau berkata sedemikian? Sepatutnya engkau menghormatiku dalam perhimpunan bersama sahabatku!" Nabi Muhammad SAW berkata kepada Arab Badwi itu pula.

"Demi tuhan Lata dan Uzza! Aku takkan beriman kepadamu, Muhammad sehinggalah dab yang berada di tanagku ini beriman kepadamu." Orang Arab Badwi itu menjawab pertanyaan Nabi Muhammad SAW seraya melemparkan dab itu kepada Baginda.

Nabi Muhammad SAW memanggil dab itu lalu menjawab panggilan Baginda dengan fasih berbahasa Arab dan difahami oleh semua yang berada di situ ketika itu.

"Kepada siapakah engkau beriman?" Baginda bertanya kepada dab itu.

"Aku beriman kepada Tuhan yang di langit itu Arasy-Nya, di bumi itulah kekuasaan-Nya, dan di lautan itulah jalan-Nya, dan di syurga itu rahmat-Nya, dan dalam neraka itu azab-Nya!"

"Siapakah aku wahai dab?" Baginda bertanya lagi.

Dab itu seraya menjawab,

"Tuan adalah utusan Allah, yang memiliki sekalian alam! Amatlah beruntung orang yang mendukung perjuangan tuan dan binasalah orang yang mendustakan tuan!"

Mendengar butiran kata dari dab itu, Arab Badwi itu lantas berkata,

"Wahai Muhammad! Sebelum ini engkau merupakan orang yang paling aku benci, namun hari ini engkaulah orang yang paling aku kasihi berbanding dengan bapaku, diriku sendiri, engkau amat kukasihi zahirku dan batinku."

Kemudian, orang Arab Badwi itu mengucapkan kalimah syahadah di hadapan semua yang ada ketika itu.


Nota Kaki:
Menggambarkan bahawa hidayah Allah itu boleh hadir dalam pelbagai bentuk dan situasi. Hanya orang yang memikirkan tanda-tanda kebesara Allah sahaja yang akan dapat memanfaatkan hidayah tersebut.

Buku 'Himpunan Kisah Benar tapi Pelik' nukilan Dr. Hj. Zahazan Mohamed ini merupakan gugusan koleksi kisah-kisah yang berdasarkan kitab-kitab sejarah muktabar, yang merekodkan pelbagai peristiwa yang luar biasa, yang mampu memberikan rasa kekaguman dan keinsafan kepada sesiapa yang membacanya. Sesuai untuk pembacaan bagi semua peringkat umur dan yang menariknya, di setiap akhir bab, akan diselitkan pengajaran dan ikhtibar yang boleh kita semua ambil sebagai pedoman hidup.

0 comments: