Thursday, May 28, 2009

Memori Semalam Menggamit Kembali...

Hari nie, tak semena-mena aku mengalirkan air mata aku di kala aku berada di tempat kerja. Semasa sedang menjalani latihan industri. Jam waktu tue menunjukkan pukul 7.30 pagi. Aku usai saja meletakkan segala perkakas aku di dalam makmal dan terus keluar memerhatikan alam ciptaan-Nya. Hati aku terusik dengan memori lama yang menyingkap kembali. Makmal aku berada di aras 4 di Bangunan Bioteknologi Hutan, FRIM. Hati aku tiba-tiba terasa sebak. Cubaku tahan daripada berlinangnya air mata. Namun, air mata yang telah berada di kepungan kelopak mata berderai juga akhirnya.

Aku terkenangkan kembali zaman usiaku dahulu. Semasa di bangku sekolah. Di matrikulasi sehinggalah aku berada kini. Aku hanya mampu mengimbau memori pahit. Meskipun kenangan yang terindah sentiasa mengatasi palitan memori duka, namun, palitan tersebutlah yang sebenarnya membuatkan aku menangis. Menangis kerana segala perilaku aku yang sememangnya hanya Allah saja yang tahu.

Ketika aku sedang lara menanggung perit memori tersebut, aku mencari kedamaian dan ketenangan yang bisa wujud di sekeliling aku. Aku mencari-cari posisi terbaik untuk menghelakan segala-gala yang terbuku di jiwa sanubari aku. Dengan suasana pemandangan yang menghijau, aku melepaskan rinduku terhadapnya. Begitu juga suasana langit membiru yang turut sama menyaksikan aku mengeluarkan manik-manik jernih yang keluar walaupun ditahan olehku.

Ahh! Begitu besarnya percaturan-Nya dalam mengemudi hidup hamba-hamba-Nya. Aku masih lagi terkapai-kapai mencari rentak dan nada dalam kehidupan nie. Mencari sinergi yang mungkin aku turut sama mampu untuk bergerak seiringan dengan Qada' dan Qadar-Nya. Di manakah suria mentari yang mampu menyuluh semangatku untuk kembali bangkit menongkah arus kehidupan yang serba mencabar nie? Aku sehingga kini masih lagi tercari-cari rentaknya.

Aku hanyalah insan hina dan kerdil di sisi-Nya. Cuma yang aku mampu bawa bersama adalah amalan aku yang tidak setinggi mana berbanding para malaikat-Nya yang begitu khusyuk menunaikan tanggungjawab dan menyembah Yang Esa. Namun, di manakah darjat diriku nie? Adakah aku sebaris dengan orang-orang yang soleh terhadap-Nya atau berdiri sekaki dengan syaitan la'natullah?

Aku bersalah kepada insan yang bakal dipertemukan dengan aku kelak (jika aku masih lagi diberi keizinan oleh-Nya untuk meneruskan hidup nie). Setiap kali aku mengimbau kenangan lalu, mesti aku teringat akan perkara nie:
Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula).”
Surah An-Nuur (24): Ayat 26

Benar. Aku bukanlah seorang insan yang layak untuk meminta yang terbaik buat diriku. Seandainya aku dihukum oleh-Nya kerana kesalahan lalu, aku redha. Aku redha untuk hidup membujang hingga ke akhirnya. Aku tak nak membabitkan insan lain untuk turut sama menanggung kesilapan yang telah aku lakukan dahulu. Biarlah aku saja yang memperbetulkan situasi. Aku nekad untuk menebus kembali dosa-dosa aku yang lalu. Biarlah aku menanggungnya sendirian daripada meluahkannya kepada orang lain. Ya Allah, jika Kau benar-benar ingin menguji diriku, aku terima.

Layakkah aku untuk menjadi seorang suami di sisi seorang isteri yang solehah? Bersediakah aku untuk menjadi seorang suami? Ilmu, tanggungjawab, kepercayaan, agama, kasih sayang. Cukupkah bekalan untuk aku bawa bersama ketika tibanya saat akad dilafazkan? Layakkah aku untuk melafazkan ayat-ayat tersebut? Layakkah status diri nie untuk mencari insan untuk hidup bersama-sama melalui bahtera hidup di dunia nie? Hanya air mataku yang menjawab segala persoalan yang bertalu-talu menyinggahi kalbuku.

0 comments: