Sunday, May 3, 2009

Pencarian...

Assalamualaikum dan Salam Kasih...

Alhamdulillah, syukur ke hadrat-Nya kerana diberikan peluang kepada patik untuk berkongsi serba sedikit coretan pada kali ini. Baiklah, bagi segelintir di kalangan kita tentu ada yang mendengarkan mengenai isu bahawa saudara mara terdekat bakal menaiki pelamin mahupun adik-beradik kita yang bakal menjadi raja sehari kelak, bukan? Namun, pernahkah kita terfikir bahawa ada rakan kita sendiri yang bakal menamatkan zaman bujang mereka nanti? Apakah reaksi kita pada ketika itu? Adakah kita bersorak gembira meraikannya bersama-sama dengan insan tersebut atau adakalanya kita hati kita berteleku di suatu sudut, jauh merenung kembali mengenai perkhabaran tersebut?

Sebenarnya, patik pernah sudah melalui situasi-situasi berkenaan sepanjang perkelanaan hidup patik. Tahniah diucapkan terhadap rakan-rakan patik yang telah menyatukan 2 hati menjadi 1 sepanjang perkelanaan patik sehingga hilang perkhabaran yang perlu disampaikan tersebut.

Namun, sering kali patik diajukan persoalan-persoalan yang acap kali dilontarkan terhadap patik. Persoalan-persoalan tersebut adalah seperti berikut:
"Ko bila lagi nak jadi camtue?"
"Ko tak kan tak ada lagi insan yang singgah kat hati ko?"
"Aku dah jadi raja sehari dah. Ko bila lagi sahabat?"
"Bilalah agaknya kitorang dapat merasa makan nasi minyak ko pula?"
"Akak sepupu Fahmi dah naik pelamin bulan depan. Fahmi bila lagi? Tak ada ke yang berkenan di hati?"

Itulah di antara mirip-mirip persoalan yang diajukan terhadap patik sehingga kini. Agak kekok untuk patik terjemahkan ke dalam bentuk lisan dan kata-kata. Maklumlah, patik mempunyai pandangan dan definisi yang berbeza mengenai isu sebegini. Bagi patik, jikalau untuk menamatkan zaman bujang patik kelak, semestinya patik perlu melunaskan terdahulu segala-galanya yang berkaitan dengan diri patik. Antaranya adalah:
1. Penuhkan dahulu ilmu di dada. Bukannya sekadar menamatkan pengajian.
2. Kewangan perlulah wujud dan stabil. Bukannya lahir daripada pertolongan orang lain meskipun daripada golongan keluarga sendiri.
3. Dalam lingkungan umur yang baru melepasi aras 21 tahun, terlalu awal untuk memikirkan soal hati dan perasaan, walaupun terbit sedikit sebanyak naluri yang menginginkan untuk didampingi oleh si Hawa.
4. Patik belum lagi mampu mengisi kehendak dan keperluan yang perlu bagi seorang insan yang bakal bergelar isteri bagi patik kelak.
5. Kekangan daripada pihak keluarga patik, terutamanya ayahanda dan bonda yang terlalu ingin melihat patik di majlis graduasi dengan segulung ijazah di tangan berbanding mencari dan memilih seorang insan yang bakal bergelar isteri kelak.

Itulah mengapa patik 'mengikat' keinginan dalam mencari pasangan hidup untuk diijab kabulkan dengan patik kelak. Selagi kelima-lima perkara tersebut belum dapat patik lunaskan sepanjang kehidupan patik, patik tidak akan sesekali membuatkan diri ini sanggup untuk memijak pelamin. Biarlah satu persatu perkara tersebut patik laksanakan terlebih dahulu. Walaupun terpaksa mengambil masa sehingga patik berada dalam zon usia yang boleh dikategorikan sebagai hampir memasuki waktu Asar, namun patik redha jika itu telah ditetapkan ke atas diri patik. Meskipun adinda patik yang bakal melangsungkan harinya lebih awal berbanding patik, patik tidak akan menentang. Patik sedar yang jodoh setiap insan adalah terletak di tangan-Nya.

Kepada sahabat dan rakan yang mengenali diri ini, sekiranya terbaca mengenai perkara ini, patik harap agar kalian semua mengerti mengapa patik melaksanakan langkah yang sedemikian rupa. Bukannya menidakkan protokol mahupun tatacara dalam meneruskan kehidupan ini, namun masih ada perkara yang perlu patik tunaikan sebelum patik mempunyai masa untuk memikirkan mengenai soal tersebut. Insya Allah, jika hidup ini diberi keizinan oleh-Nya untuk menyatukan 2 keping hati menjadi 1, akan patik laksanakan dengan sebaik-baiknya.

Kepada kalian semua yang bakal menimbang untuk bertunang atau menamatkan zaman bujang, tahniah diucapkan terhadap kalian. Ingatlah bahawa kini kalian mempunyai tambahan tanggungjawab yang perlu kalian pikul bersama, tidak kira sama ada kalian bergelar sebagai suami mahupun isteri. Semoga kalian hidup berbahagia selamanya.




Sekian, wassalam.

0 comments: