Friday, June 12, 2009

'Berpencak Silat' di Medan Keenam

Assalamualaikum dan Salam Bahagia kepada anda semua...

Alhamdulillah, akhirnya dapat juga saya coretkan cebisan kenangan di sini, khas untuk tatapan anda semua. Anda semua bagaimana, terutamanya yang sedang menjalani latihan industri? Semestinya, kalian semua sedang 'bertarung' untuk menyiapkan segala hasil tulisan laporan anda di saat-saat akhir menuju ke penghujung latihan nie. Semoga kalian semua berjaya mengharunginya dan bersabar dengan segala dugaan yang ditempuhi. Insya Allah.

Baiklah. Rasanya, dah lama saya tak mencoretkan sesuatu mengenai perihal yang berhubung kait dengan latihan industri saya. Jadi, di kesempatan nie, memandangkan hari nie penyelia industri saya cuti, maka, saya mempunyai banyak masa terluang untuk menyiapkan draf laporan saya dan dalam masa yang sama, ingin mencoretkan sesuatu yang dirasakan terlintas di minda, khas buat kalian semua.

Sebelum saya pergi lebih lanjut, mesti anda semua tertanya-tanya, mengapa tajuk warkah nukilan saya sebegini? Hmm, sebenarnya, tak ada sangkut-paut mengenai ilmu dunia persilatan sekalipun. Sengaja saya biarkan tajuk tue sebegitu rupa. Sempena di minggu keenam mengharungi latihan industri nie, minggu nie merupakan saat-saat yang agak kritikal jika dibiarkan berterusan tanpa adanya progres yang meyakinkan sebelum diri nie melangkah keluar menamatkan tempoh latihan nie. Jadi, minggu nie adalah peringkat terakhir projek mini saya, iaitu One-Dimensional Electrophoresis atau dikenali sebagai Sodium Dodecyl Sulfate-Polyacrylamide Gel Electrophoresis (SDS-PAGE). Seharian hari Rabu lepas saya dan penyelia industri saya bertungkus lumus dalam menyiapkan peringkat terakhir projek saya nie, bermula dari persediaan gel tersebut sehinggalah proses menangkap gambar menggunakan densitometer; sejenis scanner atau pengimbas khas untuk mengambil gambar gel electrophoresis nie.

Namun, hasilnya agak hampa kerana keputusan yang ingin diperoleh tidak menepati kehendak prosedur. Apa boleh buat? Dugaan. Tapi, dalam masa 2 minggu dari sekarang, saya akan mengulangi prosedur electrophoresis nie untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik. Sebelum saya terlupa, untuk electrophoresis nie, saya menggunakan Coomassie Blue staining method. Walau bagaimanapun, untuk percubaan seterusnya, saya diminta oleh penyelia industri saya untuk melakukan 2 jenis kaedah staining; Coomassie Blue staining dan Silver staining. Nampaknya, dalam waktu tue, hidup saya akan bertambah sibuk walaupun menjelang saat-saat akhir penghabisan latihan industri nie.

Insya Allah, dalam masa baki 4 minggu nie, saya sekarang sedang bertungkus lumus menyiapkan hasil tulisan laporan latihan industri yang akan disemak sendiri oleh penyelia industri saya sebelum ianya difotokopikan menjadi 3 buah. Walaupun projek saya bakal diakhiri tidak lama lagi, namun, jelas saya puas dalam menghadapi latihan industri di sini. Banyak perkara dan pengalaman yang saya timba meskipun adakalanya hati agak terguris dengan karenah diri yang sentiasa berbelah bahagi dalam melakukan sesuatu keputusan. Tue adalah salah satu kemahiran yang perlu saya perbaiki di kemudian hari kelak. Insya Allah.

Rasanya, setakat tue dahulu coretan saya di minggu keenam nie. Insya Allah, jika diizinkan oleh-Nya, akan saya warkahkan di laman nie buat tatapan rakan-rakan seperjuangan. Semoga, sedikit sebanyak coretan saya nie mampu memberikan gambaran terhadap kalian situasi alam penyelidikan yang sedang saya dan kalian lalui, terutamanya bagi mereka yang sedang mengikuti latihan industri tatkala nie.

Semoga kita bertemu lagi di ruangan nukilan yang akan datang.

Sekian dan Wassalam...

0 comments: