Sunday, June 21, 2009

Cerpan: Konfrontasi Realiti Hati (Bahagian 19)

“Ya, Nazmi. Abah aku kemalangan minggu lepas. Abah aku, abah aku…” Terhenti luahan aku di situ. Tidak tahu bagaimana ingin menyambung bait-bait ayat yang sedang menunggu masa untuk dilepaskan daripada kerongkongku. Manik-manik jernih mula bergenang di sekitar kelopak mata. Nazmi merapati tubuhnya di sisi kananku. Memeluk bahuku. Cuba menenangkan perasaan yang bergelora di lambung ombak keresahan di jiwaku ini.

“Abah aku lumpuh separuh badan. Dari paras pinggang hingga ke bawah,” sambungku tatkala sepi berputik beberapa jurus sebentar tadi. Esakan kecil mula berkumandang di langit ketika itu.

“Shh, Amir. Bersabarlah, Amir. Maafkan aku. Aku tak tahu duduk sebenar keadaan kau. Harap kau tabah ya, Amir. Aku sentiasa berada di sisi kau. Jangan anggap masalah yang sebegini, hanya kau seorang saja yang layak menanggungnya. Apa gunanya aku sebagai sahabat kau? Walaupun aku tak dapat membantu memulihkan keadaan, seboleh-bolehnya, aku akan cuba membantu kau sekeluarga sekadar yang termampu,” ucap Nazmi panjang lebar sambil cuba mententeramkan aku.

“Aku sedih, Nazmi. Aku sedih. Dulu, aku kehilangan adik aku. Sekarang ni, abah pula jadi macam ni.”

“Sabarlah, Amir. Semua tu sudah ketentuan dan ketetapan Allah. Qada’ dan Qadar daripada-Nya. Apa kau dah lupa apa yang Ustazah Fatimah ulaskan topik dalam kelas sebelum ni? Percayalah kepada-Nya. Sesuatu yang terjadi mempunyai hikmat yang tersirat di sebaliknya. Hanya kita saja yang tidak mengerti perancangan Allah.”

Aku terpaku mendengarkan ulasan Nazmi. Aku mendongak memandangnya. Esakan tangisan suara aku tadi terhenti dengan sendirinya. Ada gelora di mata Nazmi ketika aku memandangnya. Aku terus mencapai Nazmi dan memeluknya seerat-erat yang mungkin. Air mata kembali berlinangan di wajah aku. Deras mengalir sehingga membasahi bahu Nazmi.

“Terima kasih, Nazmi. Terima kasih kerana sudi menemani aku sewaktu aku dilanda keperitan. Maaflah kerana kau terpaksa menjadi pendengar setia aku hari ni.”

“Sama-sama, Amir. Ingatlah kepada-Nya. Banyakkan berzikir dan bermunajat terhadap Allah. Kuatkan semangat kau, Amir. Kau bukan seorang yang lemah seperti mana yang aku kenal dahulu. Bangkitlah, Amir. Aku sentiasa ada di sisi kau sekiranya kau memerlukan teman untuk meluahkan isi hati kau segala-galanya.”

Petang itu, terungkai sedikit bebanan yang aku tanggung selama ini. Nazmi, sahabat baik aku, akhirnya mengetahui duduk sebenar perkara yang meruntun di hati ini. Tidak aku sangka, dalam aku menyembunyikan perkara tersebut, akhirnya pecah di tangan sahabat baik aku sendiri. Mungkin ada hikmatnya. Mengapa Allah mengadakan percaturan hidup aku sebegini. Hikmat tersirat yang hanya Allah saja tahu. Yang Maha Mengetahui dan Bijaksana…


Bersambung...

*Sekuel cerpan ini boleh dilayari melalui laman sesawang iLuvislam.com dengan tajuk thread [Cerpan] Konfrontasi Realiti Hati

0 comments: