Friday, August 21, 2009

Influenza A (H1N1): RM 80

Ehsan dari malaysiakini

Ubat H1N1 maksimum RM 80
Orang ramai boleh mendapatkan ubat antivirus bagi merawat influenza A (H1N1) dengan harga tidak melebihi RM80 sekotak di semua rangkaian klinik atau hospital yang menyertai kempen klinik cegah dan rawat wabak tersebut.

http://1.bp.blogspot.com/_-TmWcCkYErY/Sd3JQEV5faI/AAAAAAAADhw/QQOY8YYoTEM/s320/liow+tiong+lai.jpg
Liow Tiong Lai

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata setakat ini, sebanyak 85 klinik dan hospital swasta di seluruh negara telah mengesahkan penyertaan mereka dalam kempen berkenaan.

Beliau berkata di bawah kempen itu, klinik atau hospital swasta yang menyertainya akan diberikan harga istimewa bagi membeli ubat antivirus FluHalt (Oseltamivir Phospate) keluaran Syarikat Ranbaxy (Malaysia) Sdn Bhd.

"Apabila kita beri kata putus, iaitu klinik jangan jual harga antivirus ini lebih tinggi daripada RM80."

"Saya rasa dengan jelas orang ramai boleh mendapat antivirus ini dengan lebih murah. Satu ketika dulu harganya meningkat sehingga RM180."

"Kita rasa ini adalah musim pandemik dan dengan sokongan pembekal ubatan farmasi, kita dapat mengurangkan harga ini."

"Saya harap klinik-klinik mendapatkan bekalan dan memberi rawatan dengan cepat kepada pesakit H1N1," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen klinik cegah dan rawat influenza A (H1N1) di Kuala Lumpur hari ini.

Selain itu tawaran harga rendah, klinik atau hospital swasta di bawah kempen ini juga digalakkan untuk mengenakan caj yang minimum bagi konsultasi kes-kes penyakit seakan-akan influenza (ILI) bagi membantu mengurangkan bebanan kewangan kepada pesakit.

Liow turut menegaskan bahawa tindakan akan dikenakan terhadap mana-mana klinik atau hospital swasta yang enggan memberikan rawatan kepada pesakit H1N1 sebaliknya meminta pesakit dirujuk di klinik atau hospital kerajaan.

"Sebelum ini, ramai pesakit yang pergi ke klinik dan hospital swasta diminta merujuk kepada hospital kerajaan."

"Saya harap ini tidak berlaku lagi. Sudah tiba masanya semua klinik dan hospital swasta memainkan peranan masing-masing untuk membantu kerajaan dalam menangani wabak H1N1," katanya.

Alriz, sebuah syarikat bumiputera, dan Ranbaxy (Malaysia) Sdn Bhd melancarkan kempen bagi membantu rakyat Malaysia mendapatkan rawatan bagi influenza A(H1N1) dengan lebih mudah dan pada bayaran lebih rendah, di klinik-klinik peserta swasta di seluruh negara.

Sebuah laman web pelbagai bahasa www.h1n1.net.my telah disediakan bagi memberi maklumat kepada orang ramai mengenai H1N1 serta membolehkan mereka mengesan klinik peserta yang terdekat dengan kawasan mereka.

Liow berkata Malaysia telah pun membuat tempahan awal bagi vaksin H1N1 dan bekalan pertama 400,000 dos akan tiba pada Oktober sementara yang kedua pada Januari.

Terdahulu, di Hospital Ampang, Liow menggesa syarikat insurans menawarkan perlindungan untuk mangsa influenza A (H1N1) yang membeli insurans dengan mereka terutamanya jika pelanggan meninggal dunia akibat wabak itu.

"Ia adalah tanggungjawab sosial yang perlu mereka jalankan memandangkan ketika ini tidak semua syarikat insurans menawarkan perlindungan untuk mangsa H1N1," katanya.


P/S: Vaksin yang ada kini hanyalah vaksin terdahulu yang sebenarnya tidak mampu untuk menghapuskan sepenuhnya H1N1. Produktiviti vaksin mengambil masa sekurang-kurangnya 10 tahun untuk dihasilkan setelah wujudnya penyakit berkenaan.

0 comments: