Friday, October 23, 2009

Kebejatan Masa Berterusan...

Assalamualaikum dan Salam Hormat...

Hari ini dahpun menginjak ke hairi Jumaat, di mana hanya beberapa jam saja lagi akan memasuki hari Sabtu. Minggu belajar hampir tiba ke penghujungnya. Aku masih lagi terkial-kial mencari formula untuk mengisi minggu belajar dengan ulangkaji. Namun, apa yang diharapkan tidak menjadi realiti sepenuhnya.

Di kala niat yang telah terpasang di hati ingin fokus terhadap subjek-subjek bagi semester ini, hadirnya Projek Sarjana Muda (PSM) mengisi senarai subjek yang seharusnya tidak diletakkan sebagai senarai prioriti dalam waktu-waktu sebegini. Tapi, adakan daya. Ianya terjadi juga. Mungkin ada hikmah di sebaliknya PSM ini menyelit di antara ruang-ruang waktu yang sekelumit cuma ini.

Sudah lama aku tak mengemas kini ruang blog ini. Sibuk yang teramat dengan hal urusan akademik. Terutamanya PSM. 4 hari berturut-turut berada di makmal dari pagi hinggalah ke lewat petang. Tiada definisi 'tidak' bagi PSM ini meskipun subjek-subjek lain memanggil dan meminta untuk didampingi. Terdetik juga di ruang lingkup hati ini, mengeluh terhadap apa yang terjadi. Namun, aku buangkan jauh-jauh. Tidak mahu persepsi negatif itu menyelubungi minda sehingga memberi impak terhadap putaran kehidupan yang sedang berpusar.

Semester ini juga penentu untuk masa hadapan aku kelak. Selama 4 semester berturut-turut aku menghampakan hasrat ayahanda dan bonda meskipun mereka berdua tidak menunjukkan sekelumit perasaan kecewa tersebut. Aku tahu, jauh di sudut hati mereka, mereka masih menyimpan rasa kecewa tersebut walaupun mereka tidak menunjukkan sebarang tanda pada riak wajah mereka. Selama 4 semester ini, aku telah mengecewakan harapan mereka terhadap aku. Semoga semester ini, aku dapat memberikan keputusan yang baik dari semester sebelum ini kepada mereka berdua. Amin...


Walaupun, semester ini aku hanya berhadapan dengan jam kredit yang agak berkurangan daripada semester-semester sebelumnya, namun semester inilah yang sebenarnya memberikan impak kesibukan yang teramat sehinggakan makan, minum, tidur dan segala-galanya hanya mampu diisi sekadar secukup rasa. Aku tidak kisah semua itu asalkan kejayaan yang manis di hujungnya mampu aku genggam dan nikmati bersama-sama dengan insan tersayang di sisiku kelak.

Semoga semester ini akan memberi kejayaan yang aku harapkan. Amin...

Selamat Maju Jaya kepada anda semua yang bakal menghadapi peperiksaan akhir semester kelak.

0 comments: