Tuesday, December 1, 2009

Nur Kasih: Hangat Diperbualkan

Assalamualaikum dan Salam Perkhabaran kepada semua.

Nur Kasih. Itulah drama bersiri Melayu yang menjadi buah mulut dan perkongsian hujah yang mendapat tempat di hati setiap peminatya. Meskipun drama tersebut melabuhkan tirainya pada malam 11 Zulhijjah yang lalu (27 November), ianya masih lagi diikuti oleh segenap masyarakat yang menantikan ulang siarannya pada setiap hari Selasa hingga Jumaat, jam 7.30 malam di TV3. Ternyata, penangan Nur Kasih ini sehebat dan sebaris dengan hangatnya Liga Perdana Inggeris.

http://3.bp.blogspot.com/_hV5FH8CqMuc/SrzCU9itzaI/AAAAAAAACic/SGSsSgg61jg/s400/nur.jpg

Dalam sebuah akhbar tempatan, ada saya terbaca mengenai rencana yang membabitkan Nur Kasih. Apa yang mengejutkan saya adalah angka statistik yang dicatatkan pada episod yang ke 25 drama bersiri tersebut, menjumlahkan angka penonton seramai 3.098 juta.

Melihatkan terhadap statistik tersebut, saya terfikir sejenak. Seringkali golongan Melayu dihidangkan dengan drama atau cerita yang berkonsepkan mistik, tahyul dan jenayah kerana dalam lingkungan tersebut, ternyata ianya mempunyai asas peminat yang tinggi. Namun, sejak drama bersiri Nur Kasih yang diarahkan oleh Khabir Bhatia ini, mendapat sambutan yang hangat sejak ianya mula ditayangkan pada 29 Mei lalu.

Persoalannya, apa yang menjadi tarikan yang sebegitu rupa terhadap drama terbabit? Saya juga merupakan salah seorang peminat drama tersebut, namun tidaklah mencapai tahap fanatik. Sekadar mengikuti perjalanan kisah drama tersebut. Hendak dikatakan barisan pelakonnya yang memainkan watak dalam Nur Kasih, hampir kesemuanya dibarisi oleh muka-muka baru yang masih lagi menongkah arus karya seni. Jadi, apa keistimewaan cerita ini sehinggakan ianya digilai oleh masyarakat terutamanya barisan muda-mudi?

Secara kasarnya, drama ini cuba menerapkan konsep dakwah. Cara olahan cerita ini yang berteraskan cinta, kesetiaan dan pengorbanan yang seiring dengan kehidupan norma manusia berkemungkinan menjadi asas bermulanya kejayaan drama ini untuk memikat hati para penontonnya.

Namun, saya sering seakan-akan tidak menyenangi cara pelaksanaan drama ini. Hakikat sebenar unsur Islamik yang ingin ditonjolkan amat saya puji tetapi penerapannya seolah-olah melabelkan Islam itu adalah payah dan susah untuk dituruti. Mengapa saya berkata demikian? Jawapannya adalah aurat wanita. Seringkali saya tertanya-tanya mengapa pelakon wanita, terutamanya watak Nur Amina memakai tudung hanya dalam situasi-situasi atau babak-babak lakonan tertentu? Begitu juga dengan watak pembawaan Adam. Saya berasa tidak senang dengan layanan yang diberi olehnya terhadap isterinya, Katrina.

Namun, secara keseluruhannya, konsep cerita ini mampu ditingkatkan agar kesan dan impak pembawaan motifnya mampu memberi kesan terhadap kehidupan masyarakat, terutama sekali bangsa Melayu. Saya tertarik dengan perenggan ayat yang saya baca berkenaan dengan rencana drama ini:
"Jika filem Hindustan yang memaparkan kemewahan, kekayaan dan keriangan satu ketika dulu dikatakan menjadi escapism bagi majoriti rakyat India yang miskin, apakah sambutan terhadap Nur Kasih ini juga berupa escapism masyarakat Melayu/Islam di negara ini yang sudah bosan dengan keruntuhan moral dalam setiap bidang kehidupan mereka sekarang?"


Nota Kaki: Anda pula bagaimana?

1 comments: