Monday, November 30, 2009

Sekadar Untuk Melepaskan Stress Dan Rindu

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Alhamdulillah, hari ini, 30 November, saya telah selamat tiba di kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai setelah bercuti selama hampir 5 hari di rumah bersempena dengan sambutan perayaan Hari Raya Aidiladha. Tepat jam 1 tengah hari tadi, saya sudahpun berada di bilik yang tercinta ini. Meskipun cuti semester masih lagi berbaki 2 minggu untuk dihabiskan, saya tidak mampu untuk berada agak lama di rumah kerana mempunyai misi yang harus saya teruskan. Tatkala mendengar seakan-akan rintihan daripada seorang ibu yang ternyata tidak puas dengan mata pertemuan bersama-sama anak yang disayanginya. Namun, itulah jalan yang terbaik buat diri anaknya dan juga buat dirinya. Perjalanan hidup mesti diteruskan jua.

Bagi saya, inilah satu-satunya cuti semester yang paling sedikit saya luangkan bersama-sama dengan keluarga tersayang. Berbanding dengan cuti semester sebelum ini, saya mempunyai sekurang-kurangnya 2 minggu untuk dihabiskan bermanja dengan mereka. Setahu saya, hanya cuti pertengahan bagi setiap semester saja saya tidak pulang ke rumah bermula semasa saya menginjak sebagai seorang mahasiswa Tahun 2. Jadi, kebanyakan masa cuti saya habiskan untuk berada di kampus. Walaupun hanya sekadar 5 hari saja saya diizinkan oleh-Nya berada dan bersama-sama dengan mereka, syukur, Alhamdulillah kerana masih lagi dapat menyambut hari kesyukuran umat Islam di samping mereka.

Kepulangan saya ke rumah selama 5 hari mampu untuk sedikit sebanyak mengubat rasa rindu dan mengurangkan stress yang dihadapi sepanjang semester ini. Terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan akademik, atau lebih tepat lagi mengenai Projek Sarjana Muda (PSM) yang masih lagi dalam proses pelaksanaannya. Insya Allah, jikalau tiada aral yang melintang, dijangka dalam bulan Disember ini akan selesai sudah PSM saya yang melibatkan kerja-kerja makmal dan eksperimen. Kemudian, PSM saya lebih terarah terhadap aspek penulisan thesis pula. Insya Allah.

Kelmarin, 29 November, saya berkesempatan melawat Kolej Matrikulasi Johor (KMJ). Atas urusan penghantaran pulang adik saya ke kolej tersebut bersama-sama mama dan abah, saya tidak melepaskan peluang untuk turut sama menyertai mereka. Tatkala tiba di sana, saya dapat melihat perubahan yang ketara dalam konteks luaran fizikal, di mana kolej ini semakin diperbaharui dan diperindahkan persekitarannya. Berikut adalah beberapa keping gambar yang sempat saya rakamkan ketika saya berada di sana.

Masjid An-Nur memberikan imej baru di mana pembinaan wakaf baru hampir siap dibina di sekitar perkarangan masjid. Begitu juga dengan bumbung hadapan masjid yang telah ditukar dengan bumbung berwarna biru. Sebelum ini, warna hijau telah digunakan dalam pembinaan bumbung berkenaan


Wakaf ini sudah berusia lebih dari setahun. Semasa saya mengambil gambar ini, saya dapat melihat beberapa wakaf baru yang hampir siap pembinaannya di sekitar kolej kediaman Az-Zahrawi dan Al-Kindi


Pemandangan dari hadapan kolej kediaman Az-Zahrawi. Sudah ada perubahan yang dilakuakn terhadap suasana sekitar blok kolej kediaman ini. Inilah blok asrama saya dahulu semasa melanjutkan pelajaran di peringkat matrikulasi


Dewan Sri Ledang (DSL) sudah berwajah baru, di mana ianya telah dicat dengan penggunaan warna-warna yang agak terang. Bangunan yang masih lagi mengekalkan imej warna asal bersebelahan dengan DSL adalah gelanggang squash. Bangunan ini hanya menunggu masa untuk dicat


Laluan koridor kompleks kuliah. Semasa saya berada di sini pada sesi pengajian 2006/2007, ianya kosong tanpa adanya perhiasan tumbuhan dan pokok yang mampu mencerna situasi di atas


Ini pula adalah bangunan yang menempatkan perpustakaan yang diberi nama Perpustakaan Zaaba

Kini, bangunan baru 4 tingkat yang dibina bersebelahan dengan kompleks tutoran sudah hampir siap untuk digunakan. Bangunan ini dibina sebagai asas penggunaan untuk menggantikan kompleks tutoran yang digunakan sebagai bilik peperiksaan sebelum ini. Dataran Temenggung juga kini sudah mempunyai astakanya sendiri.

Kenangan lama disingkap kembali tatkala melintasi kawasan yang seringkali saya berada di sini. Walaupun ianya pahit untuk ditelan, saya berharap agar kenangan tersebut memberikan sesuatu mutiara yang bermakna terhadap saya. Insya Allah.


Nota Kaki 1: Kenangan dan memori yang tercipta di sini banyak memberi pengajaran kepada saya. Meskipun tiada kenangan indah yang mampu untuk saya sisipkan dalam perjalanan hidup saya, iktibar yang diperoleh benar-benar memberi impak kepada diri saya.

Nota Kaki 2: En. Farid, ketua felo kolej kediaman Az-Zahrawi telah berpindah keluar dan kini mengajar di sekolah menengah. Beliau antara felo yang mesra pelajar dan menjadi salah seorang favourite icon bagi warga Az-Zahrawi.

Nota Kaki 3: Adik saya kini menetap di kolej kediaman Al-Jazari bagi pelajaran peringkat matrikulasinya.

Nota Kaki 4: Kini, menghitung hari untuk menyiapkan PSM secepat mungkin agar ianya tidak memberi tekanan dan bebanan tatkala semester baru bermula kelak.

2 comments:

salam..
sekejapnye cuti...nape balik awal sgt...byk gk ek bnda baru kat kmj...hehe

Unknown said...

Wassalam...
Nak buat camner?
Dah lumrah kehidupan...
Sebenarnya, serba salah nak balik awal ke kampus nie...
Namun, bersempena dengan Aidiladha nie, pengorbanan mesti dilakukan...
Jadi, ikhlaskan hati untuk balik awal demi PSM...

KMJ banyak benda baru...
Termasuklah peraturan yang 'baru' juga...